Sabtu, 16 Januari 2016

Anggota IS asal Terengganu yang ditahan mengaku rancang serangan berani mati di Malaysia…


Ini sudah kes berat... Seorang suspek anggota IS berusia 28 tahun berasal dari Terengganu yang ditahan di stesen LRT Setiawangsa, Kuala Lumpur Jumaat malam, mengaku merancang serangan berani mati di Malaysia.
 
Ketua Polis Negara. Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan memberitahu, suspek berkenaan membuat rancangan itu selepas menerima arahan daripada anggota IS warga asing di Syria.

"Suspek juga dikenal pasti sebagai individu yang bertanggungjawab menggantung bendera IS di beberapa lokasi sekitar Terengganu, Perak, Selangor dan Johor bagi memberi peringatan kepada kerajaan supaya menghentikan operasi penangkapan ke atas anasir IS di Malaysia," katanya.
 
Sebelum itu pada sebelah pagi, Khalid menerusi twitter berkata, "Syabas E8 CK @PDRMsia semlm tkap 1 (L) disyaki elemen IS di LRT Jelatik, Ampg. Senjata dan dokumen IS dirampas. #GoPDRMGo," katanya.

Apa yang beliau maksudkan ialah Bahagian Cawangan Khas Anti Pengganas (E8) Bukit Aman menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan kumpulan Negara Islam (Daesh) di ibu negara, Jumaat malam.

Katanya, lelaki yang ditahan di Stesen LRT Jelatek di Datuk Keramat itu turut membawa senjata dan dokumen berkaitan IS. Difahamkan suspek berkenaan orang sama.
 
Cuma beliau membuat pembetulan lokasi dia ditahan. Stesen LRT Setiawangsa dan Stesen LRT Jelatek berhampiran satu sama lain dekat Datuk Keramat.
 
Sementara itu, dalam kenyataan berkenaan Khalid juga berkata, polis telah menahan tiga suspek IS lain.
 
Tiga suspek termasuk sepasang suami isteri yang berasal dari Terengganu dan Perak berusia antara 23 dan 28 tahun, ditahan di Gaziantep, Turki, 15 November lalu oleh pihak berkuasa negara itu kerana cuba menyusup masuk ke Syria untuk menyertai IS.
 
Katanya, mereka dihantar pulang ke negara ini Isnin lalu ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
 
"Siasatan mendapati mereka direkrut oleh Muhammad Wanny Mohamamed Jedi@Abu Hamzah, iaitu rakyat Malaysia yang menyertai militan IS di Syria, melalui Facebook dan aplikasi Telegram.
 
"Beliau (Muhammad Wanndy) juga bertanggungjawab merancang penyusupan masuk semua suspek itu ke Syria," katanya.

Tiada ulasan: