Sabtu, 9 Januari 2016

PKR - DAP - Amanah ikat diri dalam satu perjanjian ‘gempak’ …


Bunyinya memang bagai guruh berdentum untuk gambarkan ikatan padu.

Soalnya bolehkah ia bertahan begitu?Ini yang menjadi tandatanya bila mana Pakatan Harapan dianggotai PKR-DAP-Amanah,Sabtu menandatangani perjanjian yang mengikat mereka antara lain ia tidak boleh lagi ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ seperti yang diamalkan masa Pakatan Rakyat PKR-DAP-PAS dulu.

Contohnya tiga parti itu tidak lagi boleh ambil sikap ‘setuju untuk tidak setuju’ seperti isu Hudud yang dibawa PAS dulu yang ditentang DAP atau isu pilihanraya kerajaan tempatan yang dipelopori oleh DAP tetapi ditentang PAS.
Ada pemerhati yang melihat kemungkinan konsep terbaru Pakatan Harapan itu indah khabar dari rupa kerana ada banyak isu melibatkan kepentingan kaum,agama dan lain-lain yang perlu dihadapi dari masa ke semasa.Bagi mereka ia tidak semudah cakap dan lebih kepada satu ‘ gempak ‘ politik untuk memburu undi waktu pilihanraya.

Perhatian kini pasti bertumpu kepada kalangan pemimpin Melayu dalam PKR dan Amanah dalam menjaga kepentingan agama dan bangsa.

Bukan rahsia lagi DAP mempunyai pengaruh terbesar dalam pakatan ini memandangkan undi bukan Melayu menjadi tunjang pakatan ini.Malah gabungan politik dalam Barisan Nasional yang sudah lama memerintah negara ini ada kalanya masih berpegang kepada konsep ‘ bersetuju utuk tidak bersetuju’.

Perjanjian yang ditandatangani pada satu himpunan pimpinan pakatan di Shah Alam ini juga menyaksikan PAS sepenuhnya OUT dari lingkungan pakatan pembangkang itu.Hubungan PAS kini cuma wujud sebagai ‘ talian hayat’ dalam kerajaan negeri Selangor sehingga pilihanraya umum akan datang.

Alasan tiga parti itu mahu konsep ‘ setuju untuk tidak setuju’ tidak lagi digunapakai dalam Pakatan Harapan bagi mengukuhkan pakatan mereka.

Sekalipun setiap parti boleh buat keputusan sendiri,namun semua keputusan politik yang dipersetujui bersama wajib di patuhi dan parti mana yang langgar boleh ditendang keluar.

Perjanjian Pakatan Harapan itu berasaskan tujuh prinsip ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Ia meliputi prinsip dalam membuat keputusan bersama, pembinaan kesatuan politik, prinsip penyelesaian pertikaian, dasar bersama, perjalanan pilihan raya, perjalanan kerajaan dan pembangkang dan keabsahan pakatan.

Perjanjian tersebut dibentang secara rasmi di perhimpunan itu oleh Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke dan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Anuar Tahir.

Anuar sewaktu pembentangan berkata, Pakatan Harapan mengakui tersilap percaturan dalam gabungan Pakatan Rakyat sebelum ini apabila tidak meletakkan fasal yang membolehkan parti majoriti mengenakan tindakan kepada parti minoriti dalam gabungan parti tersebut.

PH pemimpin perjanjian“Dahulu semasa PR tidak ada satu kuasa yang boleh singkirkan mana-mana parti yang melanggar (prinsip).

"Jadi dalam fasal ini, kalau kita ada tiga parti umpamanya, dan ada salah satu parti yang telah melanggar peraturan, maka dua parti tadi boleh buat keputusan terhadap satu parti ini. Maknanya akan pihak majoriti boleh buat keputusan kepada parti minoriti ini tadi," katanya.

Fasal 7 tersebut akan digunapakai untuk menentukan status gabungan baru berkenaan atau mana-mana partinya sekiranya terdapat pelanggaran mana-mana perkara yang telah dipersetujui dalam perjanjian.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke pula berkata, Pakatan Harapan hanya akan meletakkan satu nama calon sahaja bagi mewakili pakatan pembangkang di dalam mana-mana pilihanraya di mana-mana peringkat pada Pilihan Raya Umum (PRU 14) nanti menerusi fasal kelima Perjanjian Pakatan Harapan.

"Calon tersebut akan dipilih oleh parti masing-masing yang akan diberi kepercayaan oleh Majlis Presiden untuk mewakili Pakatan Harapan di dalam pilihanraya tersebut.

"Sebarang pengumuman muktamad mengenai parti yang bertanding di mana-mana kerusi di mana-mana peringkat hanya boleh dibuat oleh Majlis Presiden dan setiap parti tidak boleh membuat pengumuman bertanding di sesuatu kerusi di mana-mana peringkat tanpa persetujuan Majlis Presiden," kata Loke.

Menurutnya, fasal berkenaan menetapkan bahawa sebarang pertikaian mengenai pembahagian parti, akan dibincangkan bersama-sama ketiga-tiga parti sebelum mana-mana keputusan dibuat.

Pakatan Harapan dibentuk pada 22 September 2015 selepas persidangan meja bulat antara parti dan NGO pro-pembangkang kecuali PAS susulan terbubarnya kerjasama politik PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat pada Jun 2015 selepas ditubuhkan secara rasmi pada 2009.

Tiada ulasan: