Khamis, 24 Mac 2016

Thailand beri pinjaman mudah untuk pembeli rumah pertama


Kabinet Thailand hari ini meluluskan pinjaman mudah bernilai 60 bilion baht (RM6.87 bilion) kepada pembeli rumah pertama yang berpendapatan rendah bagi merangsang kelesuan ekonomi menerusi peningkatan perbelanjaan isi rumah.

"Mesyuarat kabinet hari ini meluluskan program bernilai 60 bilion baht kepada rakyat berpendapatan rendah untuk membeli rumah pertama," kata Menteri Kewangan Thailand, Apisak Tantivorawong kepada Reuters.

Ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu merasai kesan daripada kelembapan global serta penyusutan eksport. Thailand mahu menjadikan pemilikan rumah pertama adalah mudah namun rakyat negara itu antara yang mencatatkan hutang isi rumah tertinggi di Asia Tenggara dan bank-bank Thailand telah menolak hampir separuh daripada permohonan pembiayaan rumah yang mereka terima.

Bank-bank komersial telah mengetatkan kelulusan pembiayaan berikutan terdapat peningkatan dalam hutang tidak berbayar (NPL).

Awal bulan lalu, kementerian kewangan berkata, pemohon pinjaman mudah tersebut mestilah mencari rumah yang bernilai tidak lebih 1.5 juta baht (RM170,000). Menurut Apisak, tiga bank akan menyediakan pinjaman tersebut.-Reuters

Tiada ulasan: