Sabtu, 5 Mac 2016

Deklarasi Rakyat - Apa kata pemimpin UMNO?

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman

1. Tindakan mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad bergandingan bersama parti-parti pembangkang bukan sahaja mengejutkan malah mengecewakan banyak pihak termasuk dalam kalangan ahli UMNO sendiri.

2. Apakah dengan ‘tagline’ 'Selamatkan Malaysia', ia benar-benar boleh menyelamatkan Malaysia atau sebenarnya menghancurkan negara ini?

3. Apa yang menjadi kebimbangan saya ketika ini ialah dengan tindakan Tun Dr. Mahathir yang merupakan negarawan tersohor serta ikon antarabangsa yang disayangi boleh menyebabkan keadaan negara menjadi tidak stabil dan sekali gus mendorong pelabur asing untuk menjauhkan diri dari negara ini. Sebagai seorang mantan Perdana Menteri beliau seharusnya lebih menahami apa sebenarnya erti kata demokrasi yang sememangnya bukannya dicapai dengan cara yang dilakukan oleh Tun sekarang.

4. Pelaburan asing merupakan salah satu sumber utama bagi pembangunan negara. Kemasukan pemodal-pemodal asing boleh meningkatkan pendapatan negara, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kemajuan ekonomi.

5. Oleh yang demikian, kerajaan telah menjalankan pelbagai langkah bagi menggalakkan pelaburan asing di negara ini.

6. Adakah dengan agenda politik tersendiri dan tersirat oleh mana-mana kumpulan untuk mensabotaj perkara ini mampu menyelamatkan Malaysia?

7. Malaysia sebuah negara yang memiliki kekuatan dalam proses demokrasi dan ekonominya diiktiraf di peringkat antarabangsa, dua faktor utama ini telah menjamin kestabilan dalam negara ketika ini serta dijangka kesinambungannya akan berterusan.

8. Sebelum ini, Tun Dr Mahathir sendiri pernah menyifatkan perubahan kerajaan bukanlah terbaik untuk Malaysia kerana ia hanya akan merencatkan kemajuan ekonomi yang cuba dibawa oleh kerajaan sedia ada.

9. Tun Dr Mahathir menegaskan Malaysia berbeza dengan negara lain kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang tidak pernah bertukar pemerintahan sejak mencapai kemerdekaan dan menggambarkan perubahan kerajaan bakal memberi kesan teruk terutamanya dari segi ekonomi khususnya.

10. Tetapi, kini beliau membuat ‘Pusingan U’ apabila dilihat sedang membawa ancaman besar yang mampu memporak perandakan negara.

11. Kita bimbang dengan situasi politik ketika ini, pembangkang juga licik memainkan peranan dengan ‘mengapi-apikan’ pemimpin kerajaan lain untuk melakukan perkara yang pastinya bukan membantu rakyat di negara ini sebaliknya menjadikan situasi politik berada dalam keadaan paling teruk.

12. Kita jangan sesekali lupa, masyarakat antarabangsa sedang memerhati kita. Ketidakstabilan ini akan menyebabkan implaksi buruk kepada kita pada hari-hari mendatang.

13. Gabungan ‘Selamatkan Malaysia’ sebenarnya mempunyai agenda tersendiri dan dendam serta tidak mendatangkan kepentingan kepada mana-mana parti politik atau rakyat.

14. Kumpulan ini yang hanya mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah di pilih mengikut lunas-lunas perlembagaan bukanlah cara demokrasi yang sebenar-benarnya.

15. Tindakan ini sangat bertentangan dengan prinsip-prinsip asas demokrasi untuk menjatuhkan Najib yang di pilih oleh rakyat serta pemimpin UMNO. Prinsip yang suatu ketika dahulu diperjuangkan oleh Tun Dr Mahathir sendiri.

16. Jika ini berlaku, ia suatu mainan politik paling kotor, apatah lagi dengan Dr Mahathir duduk semeja dengan kumpulan pembangkang yang tidak pernah membawa apa-apa kebaikan selain daripada kekacauan yang berpanjangan.

17. Apa yang pelik, Tun Mahathir bersama konco-konconya menggunakan perkataan ‘demokrasi’, tetapi tidak menggunakan saluran yang betul untuk meluahkan perasaan mereka sebaliknya mengambil jalan singkat untuk bersekongkol bersama pembangkang yang selama ini pernah banyak kali melakukan cubaan menjatuhkan kerajaan sekaligus mencalarkan imej negara kepada pihak luar?

18. Mereka bermati-matian melakukan apa sahaja termasuk demonstrasi jalanan.

19. Tun Dr Mahathir juga ada mengeluarkan kenyataan kononnya beliau tidak kisah siapa akan menjadi Perdana Menteri tetapi Najib harus pergi.

20. Apakah dengan kenyataan seperti ini bermakna beliau benar-benar akan menyelamatkan Malaysia? Apakah ini yang dikatakan mencintai perpaduan dan menghormati sistem demokrasi di negara ini? Terus terang saya nyatakan bahawa saya sebenarnya mengharapkan lebih pemahaman daripada seorang yang amat disanjungi dan disayangi seperti Tun Dr Mahathir dan tindakan yang diambil oleh Tun Dr Mahathir baru-baru ini merupakan suatu kejutan yang sememangnya tidak saya sangka akan berlaku.

Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin

1. Pergerakan Puteri UMNO Malaysia melihat Deklarasi Rakyat yang berlangsung petang tadi merupakan tindakan Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Lim Kit Siang yang bersifat terdesak serta mementingkan diri tanpa melihat kesan yang mendalam terhadap pentadbiran negara.
 

2. Jujur, kami terkesan dengan tindakan ini. Tindakan bekas pemimpin tertinggi UMNO yang pada kami seumpama membakar lagi api perselisihan yang kini tidak surut dalam kalangan ahli UMNO. Lebih mengecewakan, apabila tindakan ini dijalankan bersama sama dengan pimpinan parti pembangkang yang kita sedia tahu tujuan mereka cumalah satu, meranapkan kepimpinan sedia ada agar mereka dapat berkuasa.
 

3. Janggal tatkala melihat yang dahulunya disanjung, yang seharusnya memberi pengajaran terbaik kepada orang muda dalam parti, mengambil langkah drastik bersama musuh musuh politik. Dan terlalu asing buat kami melihat mereka yang dulunya menentang, kini menjulang. Kita perlukan perubahan, yang pasti memerlukan pengorbanan, tapi bukan prinsip yang digadaikan. Buat ahli UMNO, bersatulah. Ini masa kita memperlihatkan semangat juang.
 

4. Sebagai sayap yang paling bongsu, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada YAB Dato' Sri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang dibantu teguh oleh YAB Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, selaras dgn prinsip kesetiaan dan ketaatan sebuah sayap kepada organisasi induk dengan mengenepikan kepentingan individu dan kumpulan serpihan.

5. Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang mewakili suara orang muda ingin melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan gangguan demi gangguan terhadap pentadbiran YAB Dato Sri Najib Tun Razak yang dipilih secara demokrasi, walhal sepatutnya tumpuan diberikan terhadap pemulihan sosioekonomi rakyat di saat kegawatan ekonomi yang sedang melanda dunia.

6. Kami melahirkan rasa bimbang dan khuatir dalam melihat pertelingkahan yang tidak berkesudahan ini bakal merugikan negara dan rakyat tanpa pemenang sebenar bak kata pepatah "Menang jadi arang kalah jadi abu". Pergerakan Puteri UMNO Malaysia sangat yakin dan percaya kepada proses demokrasi yang tidak pernah tertangguh di negara kita dan apabila sampai masa ketikanya, mandat akan dikembalikan kepada rakyat untuk memilih. 


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor (BPUNS), Datuk Seri Noh Omar 

1- BPUNS menzahirkan sokongan padu kepada kepimpinan YAB Dato Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO dan Dato Seri Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri untuk terus menerajui saf kepimpinan negara.

2- BPUNS mahu supaya semua rakyat dan ahli UMNO khasnya bersatu dan menghormati mandat yang telah diberikan kepada YAB Perdana Menteri untuk menerajui negara ini.

3- BPUNS melihat tindakan Yang Berbahagia Tun Mahathir bersengkokol dengan pembangkang untuk memaksa Perdana Menteri meletak jawatan adalah satu perkara yang tidak menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada UMNO BN.

4- BPUNS menzahirkan rasa kesal atas tindakan Tun Mahathir yang mahu menukar Perdana Menteri yang jelas memperlihatkan kehendak nafsu politik beliau melebihi ketetapan yang pernah beliau perkatakan tentang DAP dan PKR.

5- Sebagai mantan Perdana Menteri beliau pasti memahami keperluan mempertahankan demokrasi dan tindakan beliau sekarang tidak seharusnya dilakukan oleh seorang bekas pemimpin negara. Dalam proses menukar Perdana Menteri ianya perlu melalui perlembagaan dan bukannya melalui demonstrasi jalanan ataupun melalui memorandum.

6-BPUNS mengucapkan tahniah kepada YBhg Tun kerana telah berjaya memperdayakan barisan pembangkang untuk bersama beliau dan mengiktiraf Tun sebagai pemimpin mereka. Tun Mahathir perlu bersedia untuk dipergunakan kembali oleh pembangkang untuk melengkapkan perjuangan mereka untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara yang kita sedia maklum masalahnya berpunca ketika pemerintahan beliau.

Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun

1- Kami di Pergerakan Pemuda UMNO menerima kenyataan dengan hati yang terbuka bahawa pemimpin serta individu yang pernah kami sanjungi sebelum ini telah menyatakan pendirian mereka dengan jelas.

2- Walaubagaimanapun selaku sebuah pergerakan dan sayap utama kepada parti keramat ini, sudah tentu perjuangan dan keteguhan institusi itu jauh lebih besar dan signifikan buat kami.

3- Pemuda UMNO akan terus mengekalkan disiplin dan kesetiaan kepada kepimpinan parti dalam menghadapi sebarang cabaran dan dugaan. Seluruh jentera Pemuda UMNO peringkat pusat dan akar umbi seluruh negara berdiri teguh mempertahankan kepimpinan YAB Dato Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO serta YAB Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang menjalankan tugas Timbalan Presiden dan kami berdiri teguh mendukung kepimpinan Ketua Pemuda UMNO Malaysia YB Khairy Jamaluddin.

4- Kami juga berpendirian bahawa gandingan kekok Tun Mahahir dan Lim Kit Siang tidak layak untuk mendesak YAB Dato Seri Najib Tun Razak seorang pemimpin yang mendapat mandat demokratik dari rakyat dan ahli UMNO untuk berundur mahupun meletak jawatan.

5- Tun Mahathir sepatutnya tidak mengajar anak muda dengan sikap sebegini. Sewaktu Tun Mahathir menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, ahli parti tetap mempertahankan beliau dalam pelbagai episod dan krisis politik.

6- Bersekongkol dengan Lim Kit Siang yang sudah lapuk menjadi pemimpin DAP sejak tahun 1965 sehingga ke hari ini. Siapa dia hendak mendesak pemimpin lain untuk berundur? Lim Kit Siang adalah pemimpin yang 'overstay'. Sekiranya ada keberanian maka kami desak agar kedua-dua yang masih enggan bersara ini untuk bertanding dalam PRU yang akan datang.

7- Kami juga amat sedih melihat tauladan buruk yang ditunjukkan oleh Tun Mahathir dan politik lalang ini tidak wajar menjadi ikutan anak-anak muda. Tun Mahathir perlu hentikan 'the act of political hypocrisy' yang amat ketara dari beliau ini.

Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob

1. Apapun suasana dan kemelut politik yang melanda Parti dan Negara sekarang ini, UMNO Pahang tetap memberikan sokongan padu dan berdiri teguh di belakang Presiden Parti, Dato' Sri Najib Tun Razak.

2. Sejarah dunia dan negara membuktikan bahawa krisis,  perselisihan, pertelingkahan, kemelut, kegawatan dan darurat adalah perkara biasa yang dialami oleh sesebuah negara. Apa yang penting ialah langkah-langkah pro-aktif dan munasabah wajib diambil untuk mengurus dan mengatasi masalah yang timbul. Ini semestinya memerlukan sokongan padu dari rakyat khususnya ahli Parti semua peringkat

3. Sebagai Presiden dan Perdana Menteri, DS Najib sedang memberikan perhatian serius menguruskan ekonomi negara yang tidak menentu disebabkan suasana ekonomi global yang juga tidak menentu. Langkah seterusnya ialah untuk menangani kenaikan kos hidup yang membebankan kehidupan rakyat. Semua Ahli sewajibnya menyokong penuh Presiden Parti dan Perdana Menteri supaya setiap langkah yang diambil mencapai matlamat.

4. UMNO Pahang berasa sedih, dukacita, marah dan mengecam keras tindakan bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO dan lain-lain pemimpin dan bekas pemimpin UMNO yang bersekongkol dengan Pembangkang dalam cubaan menjatuhkan Perdana Menteri. Mereka lupa bahawa menjatuhkan Perdana Menteri bermakna menjatuhkan juga UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional dan inilah juga matlamat Pembangkang. Ini sesuatu yang sangat tidak wajar dan merupakan sabotaj besar kepada Parti, Kerajaan dan Negara.

5. UMNO Pahang berpendapat bahawa dalam perjuangan, apapun tindakan hendaklah berpaksikan prinsip, nilai, maruah dan harga diri dan bukan berpaksikan nafsu dan emosi. Perubatan dan tindakan Tun Mahathir, Tan Sri Muhiyuddin, Dato' Sri Shafie Afdal dan Dato' Sri Mukhriz berpakat dan bersekongkol dengan  Pembangkang atas apa juga tujuan adalah dikecam oleh ahli-ahli UMNO di Pahang. Ini merupakan satu tindakan mensabotaj UMNO, BN dan kepercayaan majoriti rakyat.

6. UMNO Pahang sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan perbezaan pendapat dan perbahasan yang teratur dan beradab kerana ianya memberi peluang kepada wujudnya prinsip dan dasar perjuangan yang lebih teratur dan mantap.

7. Ada saluran demokratik menukar Perdana Menteri dan Kerajaan, yakni menerusi Pilihanraya. Menukar Perdana Menteri dan Kerajaan menerusi tekanan umum dan demonstrasi cuma berlaku di negara pemerintahan kuku besi yang dibayar melalui pertumpahan darah rakyat. Jangan pula cara ini cuba di bawa ke negara kita, Malaysia tercinta.

8. UMNO Pahang mendesak Presiden Parti dan Perdana Menteri meneruskan perjuangan dengan penuh semangat dan dedikasi demi untuk rakyat. Jangan pandang kiri kanan atau toleh ke belakang. Buatlah yang terbaik untuk ugama Islam, bangsa Malaysia dan tanahair, Malaysia tercinta.


Naib Presiden UMNO Malaysia,Datuk Seri Hishammuddin Hussein

1. Ramai yang terkejut dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad serta beberapa pemimpin UMNO yang sanggup bekerjasama dengan pihak pembangkang hari ini semata-mata untuk menumbangkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

2. Tun Mahathir serta beberapa pemimpin UMNO ini seharusnya sedar bahawa tindakan sebegini bukan sahaja memberi kesan kepada Perdana Menteri, tetapi juga kepada parti, kerajaan dan negara.

3. Di saat kita di saf kepimpinan sedang bertungkus-lumus memastikan ekonomi dan keselamatan awam dijamin demi kesejahteraan rakyat, Tun Mahathir, beberapa pemimpin UMNO dan pihak pembangkang terlalu rakus dengan agenda menjatuhkan Perdana Menteri.

4. Kestabilan yang selama ini menjadi tonggak kekuatan kita cuba dihakis semata-mata untuk menjayakan agenda politik penuh kebencian.

5. Saya tidak faham bagaimana Tun Mahathir serta beberapa pemimpin UMNO ini boleh duduk semeja dengan pemimpin PKR, PAS, DAP, AMANAH serta NGO-NGO lain semata-mata untuk menumbangkan Perdana Menteri

6. Lupakah mereka bahawa NGO-NGO inilah yang bermati-matian mahu menjatuhkan kerajaan sebelum ini melalui beberapa siri demonstrasi jalanan.

7. Lupakah mereka bahawa pemimpin-pemimpin pembangkang inilah suatu ketika dahulu yang menggelarkan Tun Mahathir sebagai ‘Firaun’.

8. Sebilangan pemimpin-pemimpin UMNO ini seolah-olah cuba mengambil alih peranan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan yang sah ketika ini. Mereka harus menghormati sistem demokrasi yang kita junjung. Tindakan mereka hari ini jelas bertentangan dengan nilai dan prinsip perjuangan yang mereka pegang selama ini.

9. Saya harap ahli-ahli UMNO faham bahawa Tun Mahathir sudah keluar dari UMNO dan kini mula bergabung dengan pembangkang, justeru tindak-tanduknya sudah pasti tidak lagi mengambil kira kepentingan UMNO.

10. Malah, tindakan Tun Mahathir hari ini, tidak langsung mencerminkan sifat-sifat seorang negarawan yang menghormati sistem demokrasi, cintakan perpaduan dan mementingkan kesejahteraan rakyat.

Tiada ulasan:

Pembangkang kitar semula manifesto lama

HAMPIR semua parti memerintah di seluruh negara sudah melancarkan manifesto pilihan raya umum masing-masing. Pelbagai janji dan tawaran d...