Isnin, 8 Ogos 2016

Ada lapan bom lagi di tangan IS di Malaysia

 

Kalau ada yang cuba nak putar kononnya isu membabitkan militan IS di negara ini satu pengalihan atau sengaja diadakan oleh kerajaan untuk menakutkan rakyat sila dengar apa yang diberitahu oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi ini.

Katanya ia adalah ancaman sebenar.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kini polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menjejaki lapan butir bom tangan yang dipercayai masih berada di tangan militan IS di negara ini.

Menurutnya dua daripada 10 bom itu telah digunakan dalam serangan di sebuah pusat hiburan Movida di Puchong, pada Jun lepas.

"Kita nak pastikan rakyat tidak terjejas dan terganggu dengan perbuatan mereka .

"Langkah keselamatan dan kawalan juga sedang dipertingkatkan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada wartawan selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor Ahad.

Dalam perkembangan berkaitan Zahid memberitahu, kerajaan telah membatalkan 68 pasport rakyat Malaysia yang menyertai kegiatan IS di negara-negara terlibat dengan militan itu.

Katanya, pembatalan itu berkuat kuasa dua minggu lalu selepas mendapat arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

"Daripada maklumat perisikan, pasport rakyat Malaysia yang terlibat (dengan IS) telah diarah untuk dibatalkan, jadi mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan lagi sebagai warganegara Malaysia.

"Jika mereka pulang ke negara ini, tindakan perundangan akan diambil terhadap mereka mengikut Akta Imigresen," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, terdapat dua keluarga iaitu di Shah Alam dan Ipoh, Perak, bertindak menjual rumah, restoran dan kereta masing-masing untuk menyertai perjuangan militan IS di Syria.
"Berdasarkan risikan, kedua-dua keluarga ini tinggalkan segalanya dan bawa anak-anak kecil ke Syria kononnya ingin berjihad untuk mencari jalan singkat ke syurga.

"Berdasarkan laporan yang saya terima, mereka yang kononnya ingin berjuang dengan Daesh di Iraq dan Syria berakhir dengan menjadi pencuci tandas atau penyapu sampah di jalanan sahaja.. ternyata semuanya indah khabar dari rupa.

"Saya dapat tahu mereka menyesal dan nak balik ke Malaysia, tetapi kerajaan telah keluarkan arahan untuk batalkan pasport mereka serta merta. Kita tidak mahu kompromi dengan mereka yang khianati negara dan kita tidak iktiraf mereka sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Tiada ulasan: