Jumaat, 19 Ogos 2016

Sanusi: Mana ada ‘AIDS’, Musa bukan hebat

Sanusi-Junid_musa-hitam_600

Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid menganggap Tun Musa Hitam bukanlah seorang yang hebat sehingga memerlukan gandingan "konspirasi" bagi menjatuhkan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dulu.

"Kejatuhan Tun Musa adalah kerana sikap dan tindakannya sendiri," tulis Sanusi dalam portal Malaysiakini, membalas tuduhan Musa dalam bukunya "Frankly Speaking" yang dilancarkan minggu lalu.

Musa, Timbalan Perdana Menteri pertama di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan pada 1986 dan terus bersara daripada politik.

Dalam bukunya, beliau menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Daim Zainuddin dan Sanusi sebagai pemimpin Umno yang membuat tuduhan palsu ke atasnya cuba menggulingkan Dr. Mahathir.

Sanusi berkata, beliau hanya mula aktif dalam permainan politik Umno selepas Dr. Mahathir mengumumkan peletakan jawatan Musa.

Katanya, Musa berundur kerana "cemburu" dengan keputusan Dr. Mahathir mengekalkan Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah dikalahkan Musa, di samping kemaraan Anwar.

Sanusi turut menafikan dakwaan beliau "melaporkan sesuatu yang tidak baik" mengenai Musa kepada Dr. Mahathir.

Sebaliknya, beliau mendakwa pernah diminta Dr. Mahathir supaya membantu kempen Musa dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden Umno dengan Razaleigh.

"Bila Tun Mahathir menyarankan pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden Umno bagi menentukan Timbalan Perdana Menteri, saya telah diminta oleh Tun Mahathir untuk mengetuai kempen menyokong Tun Musa, walaupun saya merasakan Tengku Razaleigh lebih layak," kata Sanusi.

Penjelasan Sanusi ini dilihat bercanggah dengan dakwaan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Tan Sri Zainuddin Maidin yang mengesahkan wujud gandingan Anwar-Daim-Sanusi yang diberi singkatan "AIDS".

"Yang tersembunyi di sebalik gerakan senyap ini ialah cita-cita Anwar Ibrahim dan Sanusi Junid untuk menjadi Perdana Menteri dan Daim Zanuddin sebagai kingmaker yang tersembunyi," kata Zainuddin, merujuk dua bekas Menteri Kewangan di era Dr. Mahathir.

Tiada ulasan: