Jumaat, 19 Ogos 2016

Penyampai CNN menangis membaca berita kanak-kanak Syria yang ‘tenang’

Kate-Bolduan-sebak
Kate Bolduan sebak dan bergenangan air mata ketika menceritakan seorang kanak-kanak yang diselamatkan, yang duduk diam tanpa sebarang reaksi atau tangisan.

Rakaman video seorang kanak-kanak Syria, menunjukkan badan dan mukanya luka berdarah dan diselaputi debu akibat serangan bom, terlalu menayat hati sehingga menyebabkan seorang penyampai CNN tidak tahan sebak membaca laporan itu di televisyen.

Omran Daqneesh merupakan salah seorang daripada beribu-ribu orang awam yang cedera, terbunuh atau kehilangan ibu bapa selepas tercetus pemberontakan bersenjata menentang Presiden Bashar al-Assad.

Pembaca berita CNN, Kate Bolduan sebak dan bergenangan air mata, dan terpaksa berhenti sejenak beberapa kali.

Dalam klip video laporan itu, Omran yang diselamatkan selepas serangan bom di Aleppo, Syria, kelihatan tenang, duduk diam tanpa sebarang reaksi atau tangisan walaupun seluruh badannya berdarah.

"Omran… bersama ibu bapa, abang, kakaknya di rumah ketika di bom. Siapa yang melakukannya kita tidak tahu. Dia dan keluarganya diselamatkan," kata Bolduan terputus-putus melawan emosinya.

"Omran ditinggalkan dalam ambulans, seorang diri dalam keadaan berlumuran berdarah, pasukan penyelamat pergi menyelamatkan mangsa lain mungkin masih hidup. Keluarganya terselamat".

Kate meneruskan laporannya: "Omran… kita menangis, tetapi bukan kanak-kanak ini.

"Kanak-kanak kecil itu dalam kejutan, dia tidak sedar apa yang berlaku. Dia hilang dalam realiti peperangan yang terkucar-kacir. Tiga orang terbunuh dalam serangan bom di kejiranannya.

"Ini Omran, dia masih hidup, dia mahu keadilan".

Tahun lepas, mayat kanak-kanak Aylan Kurdi yang ditemui terdampar di pantai Turki mencetuskan kemarahan dan kesedihan masyarakat seluruh dunia terhadap nasib kanak-kanak di Syria.
Aylan terkorban selepas bot dinaiki keluarganya karam ketika dalam perjalanan menyeberangi Laut Mediterranean ke Greece.

Tiada ulasan: