Selasa, 16 Ogos 2016

Datuk Seri, Datuk direman 7 hari kes rasuah

MACC-Azam-Baki

Mahkamah di Putrajaya dan Melaka hari ini, mereman seorang bergelar "Datuk Seri" dan seorang lagi "Datuk", kedua-dua mereka pegawai tinggi kerajaan bagi membantu siasatan rasuah.

Bernama melaporkan "Datuk Seri" itu adalah pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), direman tujuh hari di Putrajaya bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman membenarkan permohonan SPRM menahan lelaki berusia 54 tahun itu selama tujuh hari sehingga 22 Ogos.

Peguamnya, Azizzul Shariman Mat Yusoff berkata, anak guamnya ditahan di pejabatnya di bangunan DBKL pada jam 3.07 petang semalam dan disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 23, Akta SPRM 2009 bagi kesalahan rasuah dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

"Rumahnya digeledah, sebuah kereta BMW dirampas, semua dokumen juga dirampas di pejabat dan di rumahnya," katanya.

Di Melaka, seorang "Datuk" berusia 56 tahun direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana meminta rasuah.

Mereka adalah antara tiga penjawat awam yang ditahan SPRM semalam atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa serta pengubahan wang haram.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, mereka ditahan dalam operasi serentak pada jam 12 tengah hari dan 2 petang semalam.

Akaun bank milik mereka melebihi RM13 juta turut dibekukan, di samping menyita kondominium mewah seperti penthouse, banglo, kenderaan Maserati, BMW dan Audi.

SPRM turut merampas RM400,000 tunai termasuk mata wang asing dan beberapa jam tangan mewah.

Tiada ulasan:

Najib Razak ditahan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat ...