Khamis, 7 Ogos 2008
Kronologi Anwar liwat:
Satu:
Pejabat Peguam Negara akan mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Sesyen di Jalan Duta, (Khamis) yang melibatkan kes liwat.
Notis bertulis untuk Anwar hadir di mahkamah telah disampaikan kepada beliau tengah hari Rabu oleh polis.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam kenyataannya berkata, polis telah selesai menjalankan siasatan kes jenayah seksual yang melibatkan Anwar.
"Polis telah menjalankan siasatan kes jenayah seksual melibatkan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii yang melibatkan Anwar dengan berlandaskan prinsip undang-undang dan prosedur sedia ada wujud dalam sistem perundangan negara,” katanya.
Menurut beliau, hasil daripada siasatan itu, polis telah menyerahkan kertas siasatan ke pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan nasihat dan keputusan.
Pejabat Peguam Negara katanya, memutuskan untuk mendakwa Anwar di mahkamah.
Sementara itu, tengah hari Rabu, polis telah menyerahkan sapina kepada Anwar yang menghendakinya hadir ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta Kuala Lumpur, hari Khamis.
Sapina tersebut diserahkan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Brickfields, Deputi Superitendan Jude Pareira kepada Anwar di kediamannya di Segambut Dalam, jam 12.05 tengah hari.
Peguam Anwar, Sankara N. Nair ketika ditemui pemberita di hadapan rumah Anwar, enggan mengulas lanjut tujuan anak guamnya dikehendaki hadir ke mahkamah tersebut, sama ada sapina itu ada kaitan dengan pendakwaan terhadap Anwar berhubung kes liwat yang dihadapinya.
Sejak jam 10 pagi, kelihatan beberapa pegawai polis berpakaian biasa berada di luar pekarangan kediaman Anwar.
Deputi Superitendan Jude Pariera yang tiba dengan kenderaan polis berada di dalam rumah Anwar kira-kira 15 minit bagi menyerahkan sapina itu.
Dua:
Anwar Ibrahim tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada jam 9.45 pagi dengan diiringi kira-kira 100 penyokongnya.
Kawalan keselamatan di kompleks berkenaan diketatkan dan tiada sebarang kejadian tidak dingini berlaku.
Kira-kira 15 minit selepas ketibaannya, Anwar kelihatan memasuki Mahkamah Sesyen Jenayah 1 sambil diiringi beberapa pemimpin pembangkang iaitu Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa, isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta anak-anaknya.
Semasa melewati orang ramai yang berada di mahkamah, Anwar yang terkenal dengan gaya selamba sahaja melambai-lambaikan tangannya dan kedengaran berkata “welcome to new drama’.
Tiga:
Anwar Ibrahim mengaku tidak bersalah atas dakwaan dengan sengaja melakukan persetubuhan di luar tabii dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit No 11-5-1 Kondominium Desa Damansara antara jam 3.01 petang hingga 4.30 petang, pada 26 Jun 2008.
Beliau membuat pengakuan itu apabila pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 1, SM Komathy.
Menurut pertuduhan, Anwar didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan.
Ketika ditanya pengakuannya, Anwar yang berdiri di kandang orang kena tuduh berkata: “Tuduhan ini adalah berniat jahat dan khianat dan saya tidak bersalah yang arif.”
Hakim kemudiannya membuat keputusan membenarkan Anwar diikat jamin dengan dikenakan jaminan persendirian sebanyak RM20,000.
Mahkamah menetapkan 10 September depan untuk perbicaraan.
Pihak pendakwaan diketuai oleh Datuk Idris Harun manakala pasukan pembelaan diketuai oleh peguam Sulaiman Abdullah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan