MANZAIDI
Penyunting Edisi
Negeri Selangor
Kerana kasihan, kawan dianiayai
HARI ini saya hendak menceritakan kisah penipuan antara kawan saya dengan orang politik. Kisahnya berkaitan dengan jual beli sebuah rumah di satu daerah di Kelantan.
Kawan saya itu adalah seorang yang serba sederhana.
Kehidupannya sederhana. Sifatnya sederhana. Hatta, pendapatannya pun sederhana. Tetapi hasil usahanya, dia telah mencapai impiannya untuk memiliki sebuah rumah kos sederhana.
Rumah yang sempat dibiayai lebih setahun itu kemudian dijual kepada orang politik yang juga kenalan rapatnya kerana dia tidak mampu membiayainya lagi disebabkan ketika itu negara mengalami kegawatan ekonomi. Puas dia mencari kenalan untuk menawarkan rumah berkenaan, tetapi gagal kerana ekonomi mereka juga merudum.
Dalam berlegar-legar mencari pembeli rumah, ditakdirkan kawan itu bertemu dengan orang politik itu dan atas dasar kasihan, orang politik itu setuju membelinya.
Terima kasih kepada orang politik itu atas kebaikan hatinya membantu kawan yang dalam kesempitan.
Orang politik itu kemudian menyerahkan urusan pembelian rumah berkenaan kepada adiknya. Setelah selesai jual beli, kawan itu mahu melakukan urusan tukar nama hak milik iaitu daripada namanya kepada nama pembeli kedua.
Mungkin memikirkan prosesnya mengambil masa, orang politik itu minta kawannya tidak berbuat demikian, sebaliknya mahu kawan itu mempercayai dia. Dia berjanji akan memastikan sewa bulanan terus dibayarnya sehingga tamat tempoh ditetapkan bank.
Mempercayai orang politik itu, yang kedudukannya sangat kaya dan berjaya, maka si kawan itu bersetuju, lalu menyerahkan seratus peratus kepercayaan dan amanah itu kepada orang politik berkenaan serta adiknya.
Tetapi, mereka ada membuat perjanjian bertulis berhubung pemindahan jual beli rumah itu yang ditandatangani mereka bertiga.
Beberapa tahun selepas itu, kawan orang politik itu hendak membeli kereta. Tanpa ragu-ragu dia membuat pinjaman dengan sebuah bank. Tetapi malang sungguh, permohonan itu ditolak kerana namanya telah disenaraihitamkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Terkejut si kawan itu. Sedikit pun dia tidak menduga orang politik itu sanggup berbuat demikian. Perbuatan yang boleh meragut dan memusnahkan masa depan dia untuk jangka masa yang lama. Orang politik itu pun dihubungi.
Kawan itu menyatakan rasa terkejut, kesal dan kecewa dengan tindakannya tidak menyambung bayar sewa rumah itu sehingga tunggakan terkumpul lebih RM3,000.
Kes itu bagaimanapun tidak selesai begitu sahaja, apabila seminggu lalu (selepas tiga tahun kes pertama berlaku), kawan saya menerima surat saman daripada pihak bank.
Dia diminta hadir ke mahkamah pada pertengahan September ini kerana kegagalannya membuat bayaran sewa bulanan sehingga tertunggak lebih RM12,000. Maknanya, lebih kurang tiga tahun orang politik itu atau adiknya tidak membuat bayaran bulanan.
Kesian sungguh si kawan itu. Tidak semena-mena dia menerima nasib malang untuk kali kedua. Gara-gara mempercayai orang politik itu. Dulu, kini dan selama-lamanya dia berdepan dengan zaman gelap. Sedangkan, orang politik itu senang lenang, tanpa sedikit pun timbul rasa sedih.
Kini kawan saya itu menunggu hari dengan penuh debaran untuk ke mahkamah dan berdepan dengan peguam yang mewakili bank berkenaan. Sebagai insan yang lemah dan mampu melawan, dia terpaksa akur dengan hukuman yang bakal diterimanya.
Nasihat saya kepada kawan-kawan yang mempunyai kenalan dalam kalangan orang politik, jangan sekali-kali mempercayai orang seperti itu. Bagi orang politik itu, menipu adalah perkara rutin baginya untuk dia terus 'maju' dan 'berjaya' dalam arena politik.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan