PAS sudah membuat keputusannya untuk tidak bersatu dengan UMNO. Keputusan muktamad itu diumumkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 31 Julai lalu. Dengan itu, Pas adalah Pas. UMNO adalah UMNO. Dua parti yang dilahirkan berasingan dan sudah ditakdirkan tidak akan duduk bersama.
Ini bermakna cadangan Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu kedua-dua parti yang mewakili orang Melayu dan Islam itu dibubar bagi membolehkan parti baru ditubuhkan, hanya sekadar impian.
Apa yang kita dengar sebelum ini, hanyalah sekadar pandangan dan ulasan daripada pihak yang tentunya tidak boleh dianggap sebagai suara atau keputusan mutlak berhubung cadangan itu. Suara-suara mereka yang menghiasi dada akhbar itu hanyalah sekadar penyedap rasa.
Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri belum bersuara secara rasmi, tetapi pada masa masa Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah membuat ketetapan. UMNO lebih suka mengambil sikap tunggu dan lihat apakah reaksi seterusnya daripada Pas.
UMNO mengambil sikap berdiam diri kerana sedang memikirkan kesannya jika dua parti itu dibubarkan, kemudian bersengkokol dalam satu parti baru.
Adalah bukan mudah untuk UMNO dan Pas mencapai kata sepakat bagi mencapai tujuan itu, tambahan pula penubuhan parti baru tentunya tidak semudah mencipta neslo, minuman popular masa kini yang dihasilkan daripada serbuk nescafe dan milo.
UMNO dan Pas mempunyai hujah serta alasan sendiri sebelum membuat sebarang keputusan dibuat. Bagi mereka keputusan itu penting kerana melibatkan masa depan rakyat, agama dan negara.
Ia juga melibatkan kepentingan hubungan antara kaum lain yang sama-sama menyumbangkan kepada pembangunan ekonomi negara sejak sekian lama.
Sejarah sendiri merekodkan bahawa Pas adalah parti memperjuangkan Islam. Begitu juga UMNO. Dalam perlembagaannya menetapkan Islam sebagai agama rasmi untuk pemimpin dan ahlinya yang seratus peratus Melayu.
Jadi, apa yang tidak relevannya antara UMNO dan Pas sehinggakan ada cadangan agar kedua-dua parti itu dibubarkan.
Pada hemat saya, UMNO dan Pas tidak perlu dibubarkan. Kedua-duanya adalah parti orang Melayu dan Islam yang sudah lengkap dan banyak berjasa.
Tidak berada dalam satu kumpulan pun tidak mengapa, asalkan mereka boleh menjadi sahabat baik seakrab persahabatan Do Re Mi yang saling bantu membantu antara satu sama lain, bukan seperti Three Stooges yang selalu memukul kawan.
Pas dan UMNO ibarat dua kapal besar yang berada di lautan. Kapal itu sedang menuju ke sebuah pelabuhan. Untuk selamat sampai ke destinasi, dua kapal berkenaan harus menggunakan laluan sama. Sama ada kapal UMNO bergerak dahulu kemudian diikuti kapal Pas atau sebaliknya. Asalkan pergerakannya tidak bertentangan.
Mereka boleh buat kalau mahu. Siapa dahulu, siapa kemudian bukan persoalannya. Janji mereka dapat mengemudikan kapal itu dengan selamat dan mencapai persefahaman untuk meneruskan perjalanan demi memastikan penumpang di dalamnya terbela.
Kini, 'ya' atau 'tidak' ada kepada Pak Lah dan Abdul Hadi. Kalau 'ya', maka bersatulah. Kalau 'tidak', maka beginilah keadaannya. Cuma untuk mencapai kata 'ya' itu akan mengambil masa lama. Banyak perlu dibincang, didebat, dibahas dan dikaji.
Apapun, kita serahkan semua itu kepada kebijaksanaan barisan kepemimpinan Pak Lah dan Abdul Hadi. Mereka lebih arif dan tahu segala-galanya untuk menentukan masa depan negara, agama dan bangsa. Semuanya di tangan mereka. Baik buruk terletak kepada mereka. Rakyat memberi amanah, mereka yang melaksanakan tanggungjawab.
Yang penting, tanggungjawab itu mesti selari dengan kehendak rakyat, bukan dipengaruhi oleh unsur kepentingan diri atau sikap ego. Selain itu, Pas dan UMNO juga perlu berhati-hati dengan kemungkinan wujud pihak ketiga yang cuba mencari jalan untuk menghalang atau menggagalkan usaha murni itu. - MANZAIDI
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan