RM1,300 harga seorang perwakilan
“DI, (panggilan ringkas kepada nama penuh saya, Manzaidi),.. dot dot dot (nama sebuah parti) dah hancur. Betul-betul dah jahanam. Ada perwakilan dibayar antara RM1,000 ke RM1,300 seorang supaya undi dia (calon). Saya kecewa Di. Baik saya belah. Saya tak minat lagi dengan parti ini.”
Demikian bunyi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang saya terima daripada seorang kawan di satu kawasan di Kelantan enam hari lalu. Kawan itu menyatakan gejala politik wang masih berlaku dan berleluasa di situ, malah di mana-mana pun. Walaupun pemimpin tertinggi sudah berbuih mulut memberi amaran, tetapi amalan itu terus berlaku.
Senggang beberapa minit kemudian, saya terima lagi SMS kedua. Bunyinya: “Memang jahanam, perwakilan dari tiga DUN telah dikurung calon di sebuah hotel dot dot dot Inn... Nak pengaruhkan mereka supaya beri undi kepadanya.”
Saya beristighfar. Lama juga termenung buat kesimpulan sama ada nak percaya atau tidak dakwaan dalam SMS itu. Tetapi berdasarkan rekod 24 tahun kerja sebagai wartawan (tiga per empat daripada tempoh itu, bertugas di Kelantan), perkara itu tidak mustahil. Dalam politik macam-macam boleh berlaku.
Angan-angan Mat Jenin boleh menjadi kenyataan Mat Jenin. Sebodoh-bodoh Pak Pandir pun sudah moden sekarang, boleh tipu yang cerdik. Inikan pula politik. Orangnya (calon) bijak pandai dan berharta lagi. Bijak bercakap, memutar belit, menyusun strategi dan segala-galanya hingga berjaya jadi ketua, walaupun hakikatnya tidak layak.
Kalau seorang perwakilan menerima sehingga RM1,300. Bagaimana kalau jumlah perwakilan itu 300 orang? Sudah RM390,000 dibelanjakan. Itu kos di peringkat perwakilan bahagian. Bagaimana pula dengan kos memilih perwakilan di peringkat cawangan. Pendek kata, setiap calon perlu ada RM1 juta dalam poket baru boleh menyingsing lengan hendak bertanding.
Ini sudah serius. Walaupun ada beberapa pemimpin tertinggi mengeluarkan amaran. Tetapi cukupkah dengan hanya sekadar membuat kenyataan, tanpa tindakan. UMNO harus bertindak segera. Masalah itu sudah sampai ke tahap serius. Parti tidak boleh membiarkan politik wang terus berlaku, seolah-olah sudah menjadi adat dan tabiat. Cegahlah dari sekarang sebelum parti tersembam ke bumi.
Pemimpin yang mengamalkan politik wang tidak akan memikirkan soal parti dan negara, apatah lagi hendak memikirkan masa depan Melayu. Tidak ada istilah itu dalam hidup mereka. Mereka tidak ada matlamat hidup.
Yang mereka tahu, mereka seronok dengan kedudukan sekarang. Dapat projek bernilai jutaan ringgit. Memiliki rumah besar, kereta besar dan mengamalkan gaya hidup mewah. Mereka seronok disanjung, dipuja dan dihormati, walaupun mereka tidak pernah membuat jasa kepada parti.
Apabila ditanya apa mereka lakukan untuk parti, mereka tidak boleh menjawab dengan tepat. Mereka hanya boleh memberitahu: “Oh!... UMNO adalah sebuah parti Melayu yang berjuang untuk membela orang Melayu.”
Itu yang mereka tahu. Mereka tidak boleh menjelaskan secara tepat matlamat dan visi UMNO. Mereka tidak boleh memberi angka tepat jumlah sebenar orang Melayu yang hidup melata di bumi Tanah Melayu ini. Mereka hanya mampu menghafal angka peratusan sahaja.
Jadi, tidak hairan dan tidak terkejut kalau dalam pilihan raya umum, pemimpin ini ditolak oleh rakyat. Itu adalah mesej yang hendak disampaikan rakyat kepada pucuk kepemimpinan. Tetapi malangnya, pemimpin itu dikutip semula oleh ahli yang pentingkan duit. Dia diberi tempat paling tinggi di bahagian, negeri dan pusat.
Sokongan ahli yang tidak matang disebabkan kerana duit telah meletakkan UMNO diambang kehancuran. Saya katakan begitu kerana dalam pilihan raya akan datang, mereka akan ditolak lagi oleh rakyat.
‘Trend’ abad ke-21 berbeza dengan ‘trend’ abad ke-20. Rakyat sekarang tidak lagi memerlukan janji pembangunan, sebab tempat mereka sudah maju. Rakyat juga tidak lagi memerlukan kemudahan prasarana kerana bagi mereka akan menyusahkan. (Siaran 9hb Nov 2008)
Sabtu, 8 November 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
1 ulasan:
Hmmm..bagus juga pendedahan Abe Me.. Bagi saya, ini bukan politik wang. Sebabnya bila kita sebut politik wang, kita rasa kabur apa makna sebenarnya. Bagi saya, (mungkin) ia rasuah.. hehehe saya pun tak tahulah.. parti mana ni? ish ish ish mintak jauh..
Catat Ulasan