MANZAIDI
Penyunting
Edisi Utara
Warkah ringkas untuk perwakilan
KEPADA perwakilan yang budiman lagi bijaksana. Saya doakan kalian semua sentiasa berada dalam keadaan sihat dan waras. Sihat fizikal dan waras mental. Semoga dengan pemberian kesihatan yang baik oleh Allah SWT, kalian semua dapat memandu kehidupan dengan lebih sempurna dan membawanya ke landasan betul demi masa depan kalian, keluarga dan generasi kalian pada masa akan datang.
Hari ini, sebelumnya dan seterusnya sehingga pertengahan Mac tahun depan, kalian yang diberi amanah oleh ahli akar umbi sebagai perwakilan ke peringkat bahagian dan pusat akan menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin.
Ketahuilah sesungguhnya hasrat ahli mahukan pemimpin yang boleh menerajui parti, mempertahankan agama, membela maruah bangsa dan menjaga kedaulatan negara.
Ahli tidak mahu pengamal rasuah, apatah lagi berkepentingan diri sebagai pemimpin. Mereka mahukan pemimpin seperti Allahyarham Datuk Onn Jaafar, Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Hussein Onn, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengemudi parti Melayu itu.
Bolehkah kalian tunaikan hasrat dan impian itu? Memberikan mereka pemimpin intelek seperti Allahyarham Tun Dr Ismail dan Allahyarham Tun Ghafar Baba. Mampukah kalian membuang sikap kepentingan diri dan meletakkan keutamaan parti, agama, bangsa dan negara demi menjadikan impian dan hasrat ahli sebagai kenyataan.
Ketahuilah, sesungguhnya kalian adalah insan paling bertuah berbanding insan lain. Kalian harus bangga kerana dipilih sebagai perwakilan. Untuk berada di tempat itu, kalian terpaksa melalui amalan 'demokrasi', walaupun tidak sedikit dalam kalangan kalian diambil secara rawak oleh pihak tertentu. Apa pun tahniah diucapkan kepada kalian atas kejayaan itu. Diharapkan bukan wang yang meletakkan kalian di tempat itu.
Ah! malu pula saya hendak menasihatkan kalian. Tetapi kalau tidak memberi peringatan, rasa seperti bersalah pula, sebab saya tengok ramai di kalangan kalian terlalu ghairah hendak menjadi perwakilan. Sama ghairah dengan calon yang hendak merebut jawatan tertinggi parti, walaupun pada pemerhatian saya, kalian sememangnya tidak layak sebagai perwakilan.
Namun apakan daya, kerana 'sesuap nasi' dan 'secawan kopi o', kalian sanggup meletakkan kepentingan diri daripada segala-galanya termasuk memikirkan masa depan anak-anak, keluarga, agama, bangsa dan negara kalian. Kalian sanggup membunuh masa depan mereka demi kerana sekeping dua kertas bernama wang.
Perwakilan yang dihormati! Mahukah kalian melihat generasi baru yang di dalamnya ada anak-anak kalian hidup merempat? Mahukah kalian melihat mereka menjadi hamba kepada bangsa asing dan akhirnya menjadi kaum minoriti di negara sendiri. Tentu kalian tidak sukakan. Tetapi bagaimana kalian mahu mengelak daripada berlaku?
Semuanya terletak di tangan kalian. Tepuk dada tanya selera. Jangan tepuk hati tanya duit. Duit tidak akan menyelamatkan bangsa Melayu daripada merempat dan hamba. Duit hanya dapat memberi kesenangan dalam tempoh sementara. Hanya kejujuran yang mampu menobatkan kedaulatan kita sebagai bangsa Melayu.
Oleh itu, kalian jangan tersilap memilih pemimpin. Pilihlah mereka yang berdarah daging perjuangan, bukan kaya dan mewah dengan harta benda. Tolaklah pemimpin hipokrit. Berilah peluang kepada pemimpin yang ikhlas hendak memimpin, jika kalian tidak mahu maruah bangsa, agama dan negara dijual.
Siapalah saya untuk menilai antara kaca dengan permata, tetapi jika diletakkan di depan, saya yakin dapat membezakannya. Saya menilainya bukan kerana kilauan, sebab pada saya tidak ada apa pun pada kilauan kalau ia bukan permata. (Siaran 01hb Nov 08)
Sabtu, 1 November 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan