SEBAGAIMANA sahabat saya, Hanafiah Hashim, Penolong Editor Edisi Selangor/KL ada cerita mengenai kawannya dalam Pas. Saya pun ada cerita juga mengenai nasib seorang kawan dalam sebuah parti Islam. Kisahnya lebih hebat daripada Mat Min Kepioh Hijau.
Dulu kawan saya ini dipanggil dengan nama Mat Islam. Bila dia keluar dari parti Islam untuk sertai parti Melayu, namanya ditukar kepada Mat Kafir. Kemudian bila dia tinggalkan kedua-dua parti itu, namanya turut bertukar kepada Mat Murtad.
Mat Islam mendapat jolokan itu ketika 'berjuang' dalam parti Islam. Dia antara penyokong fanatik dan menunjukkan sikap taksub luar biasa kepada pemimpinnya. Sanggup cerai bini kalau tak sebulu atau tak pangkah calon parti itu.
Pantang ada ceramah, Mat Islam akan pergi. Sanggup habiskan duit. Sanggup tinggal anak bini kerana nak 'berjihad'. Di tempat ceramah, Mat Islam duduk di depan pentas. Dia selesa di posisi itu kerana dapat melaung 'Takbir' dan disahut 'Allahu Akbar' oleh hadirin. Dia seronok.
Itu sejarah Mat Islam dari tahun 1960-an. Selepas pilihan raya umum 1999, ditakdirkan Mat Islam mendapat wakil rakyat yang tidak prihatin. Pintu rumah sentiasa tertutup. Rakyat diabaikan. Keluar rumah awal pagi, balik lewat malam. Takut rakyat datang nak adu masalah atau minta duit.
Mat Islam kecewa kerana tidak dilayan seperti dulu. Mat Islam mula makan hati. Masalahnya perlukan penyelesaian segera. Mat Islam semakin buntu. Dia buat perkiraan mahu mengadu masalah itu kepada calon parti yang tewas. Manalah tahu orang yang tidak disokongnya itu dapat membantu.
Mat Islam tebalkan muka. Dia pergi ke rumah calon parti yang tewas itu. Hanya dua kali ketuk, daun pintu rumah terbuka. Mat Islam disambut baik. Dipelawa naik ke rumah. Dijamu makanan dan minuman. Mat Islam malu, tapi disembunyikan. Dia teringat ketika berkempen, dia paling lantang mengutuk pemimpin parti Melayu itu.
Ditakdirkan, masalah Mat Islam dapat diselesaikan. Peruntukan RM50,000 untuk pembedahan jantung anaknya dapat dikumpulkan. Sebagai membalas jasa, Mat Islam isytihar masuk parti Melayu. Parti yang dibencinya selama ini. Ramai rakan dalam parti Islam tidak setuju tindakan itu. Mereka pujuk tetapi tidak berjaya. Hasilnya, Mat Islam diisytiharkan sebagai kafir dan diberi jolokan Mat Kafir.
Lama juga Mat Kafir berada dalam parti Melayu itu. Dia diberi pekerjaan sebagai pemandu peribadi kepada calon parti yang tewas itu. Mat Kafir gembira dan hidup bahagia. Dalam parti Melayu itu, dia dianugerahkan dua lagi cahaya mata, menjadikan tiga. Ketika dalam Pas, Mat Kafir tidak dapat tambah zuriat kerana sibuk ke hulu ke hilir berpolitik.
Dalam parti Melayu, Mat Kafir ada banyak masa bersama anak isteri. Berbeza ketika dalam parti Islam. Banyak duitnya dihabiskan. Tanggungjawab kepada anak dan isteri juga terabai. Maklum nak 'berjihad' dan terpedaya dengan slogan 'masuk parti Islam, masuk syurga'. Siapa tak nak syurga.
Memikirkan masa depan tidak menentu. Mat Kafir mahu berhenti kerja makan gaji. Dia nak berniaga kecil-kecilan. Calon parti Melayu yang tewas itu beri sokongan moral dan modal. Serentak itu juga, Mat Kafir tidak mahu lagi aktif dalam mana-mana parti. Mat Kafir mahu jadi rakyat biasa yang tidak berparti. Justeru, dia keluar parti Melayu dan bina hidup baru.
Berita Mat Kafir keluar parti Melayu sampai ke telinga golongan fanatik parti Islam. Mereka pujuk Mat Kafir sertai parti itu. Mat Kafir tolak. Katanya, dia tidak mahu lagi sertai mana-mana parti, baik parti Islam mahupun parti Melayu. Mat Kafir kata, dia mahu hidup bebas tanpa dibelenggu oleh fahaman parti.
Kecewa sikap Mat Kafir, golongan fanatik parti Islam itu menggelarnya Mat Murtad.
Itulah kisah hidup suka duka kawan saya. Kesian dia. Di sekolah, anak-anaknya dipanggil 'anak Mat Murtad'. Di rumah, isterinya dipanggil 'isteri Mat Murtad'. Di mana-mana saja Mohd Bakhtiar pergi, dia dipanggil Mat Murtad. 7 Minit Siaran 5hb Jun 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan