Dipetik dari Utusan Malaysia
Sasterawan dulu terarah ikut landasan perjuangan
Oleh: AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)
DALAM satu tulisan panjang lebar disiarkan di ruangan Sastera, akhbar Mingguan Malaysia sebelum ini, penulis Manzaidi Mohd. Amin ada melontarkan persoalan apakah akan lahir sasterawan sehebat Allahyarham Datuk Usman Awang, Datuk A. Samad Said, Allahyarham Keris Mas dan Datuk Abdullah Hussain dalam tempoh terdekat ini?
Berkesempatan menemui dua Sasterawan Negara – Samad dan Arenawati, penulis ajukan pula kemusykilan itu kepada mereka berdua.
Dalam nada sama, kedua-duanya cenderung tidak menjawab dengan jelas pertanyaan itu. Mereka memberikan jawapan kepada soalan kenapa dan bukan pertanyaan adakah. Dapat dibaca reaksi kepada jawapan itu, kerana perbezaan sasterawan dahulu dan kini ada jurangnya. Menjawab kenapa dan bukannya adakah juga memberi ruang untuk difikirkan persoalan berkenaan.
Kata mereka, sastera dulu lebih terarah, pengkarya-pengkarya dekad sebelum ini ada landasan lurus untuk diikuti.
“Karya-karya dulu, tidak kira puisi, cerpen, novel, pementasan drama, teater, wayang dan sebagainya kesemuanya menuju ke arah kemerdekaan. Apa yang diangkat atau tema penceritaan merakamkan segala yang buruk, hitam dan momok tentang penjajahan, dengan harapan untuk menunjukkan kepada khalayak perlunya kemerdekaan,” kata Pak Samad dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini bagi membincangkan mengenai perubahan sastera sebelum dan sesudah mereka.
Menurut Sasterawan Negara yang memiliki keistimewaan serta bakat dalam semua genre sastera – puisi, cerpen, teater, novel dan tidak ketinggalan seni lukisan, kumpulan Asas 50 yang menghimpunkan Keris Mas, Said Zahari, Usman dan beliau sendiri, menulis tentang situasi resah dan genting menanti kemerdekaan.
“Tulisan dan karya-karya cukup membayangkan bahawa harapan diletakkan kepada satu titik perubahan sebaik sahaja negara diberikan hadiah kemerdekaan.”
Bagaimanapun sekarang, cabang sastera itu menjadi variasi – masih terarah tetapi belok kepada tujuan untuk carma.
Carma? “Ya, kependekan daripada perkataan ‘cari makan’,” begitu jawab Pak Samad. Kata beliau yang mendapat anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1985, dalam hal ini, kesalahan tidak boleh diletakkan secara total di bahu pengkarya generasi baru kerana ia turut bertitik tolak kepada permintaan di pasaran juga.
Ambil contoh permintaan kepada buku-buku motivasi, ini diperlukan oleh khalayak yang dicanangkan pula oleh penerbit-penerbit tempatan.
Namun ada segelintir penulis era sekarang yang percaya bahawa kesusasteraan itu perlu menghantar kisah-kisah realiti dan menunjukkan sudut-sudut yang harus diperbetulkan.
“Tetapi sastera yang dihantar secara indah dalam sudut yang tersendiri itu terdiri daripada kelompok yang amat sedikit,” kata Arenawati pula dalam satu interviu sedikit masa lalu.
Sebagai menamakan beberapa contoh kelompok yang sedikit itu ialah seperti Nisah Haron, SM Zakir, Faisal Tehrani dan beberapa kerat penulis muda lain.
Barisan-barisan ini bahkan ‘melawan’ walaupun terkadang tidak terdaya dengan godaan kepada lorong-lorong yang tersedia demi ‘carma’ itu. Godaan itu ialah pelbagai hadiah sastera yang meletakkan tema tertentu dalam pengkaryaan.
“Mahu tidak mahu, jika mahu menang, mendapat nama, anugerah dan wang, pengkarya yang kebiasaannya terarah akan belok juga sekali- sekala.
“Jelas sekali sebelum ini ada penulis yang cenderung menghasilkan karya-karya berunsur Islam tetapi saat mahu ‘carma’, mereka melencong kepada tema semasa.”
Menjawab satu soalan, beliau berkata, bukan sastera sekarang tidak setanding dengan karya-karya era terdahulu tetapi cabangnya yang pelbagai itu membawa pula kepada tema yang bermacam-macam.
“Karya-karya mengenai mistik, alam hantu dan misteri mendapat sambutan hangat, bahkan memenangi banyak anugerah. Fenomena penerimaan kepada hasil kreativiti berbentuk sebegitu bukan sahaja terjadi di Malaysia bahkan di dunia sekalipun,” ujar beliau dengan menyebut karya J.K Rowling menerusi siri Harry Potter beliau.
Membandingkan nasib Rowling dengan apa yang berlaku terhadap sasterawan di negara ini amatlah tidak adil, kata Pak Samad.
“Di belakang Rowling itu ada jentera besar-besaran melonjakkan nama beliau dan karyanya. Belum masuk ke pasaran lagi, karya dipromosikan di seluruh dunia dengan segala ragam. Program pelancaran buku ‘dijual’ lebih awal bukan sahaja di Amerika Syarikat (AS) bahkan di seluruh dunia.
“Seperkara lagi, adakah adil membandingkan masyarakat 22 juta pembaca di negara ini dengan 22 bilion di AS, Britain dan negara-negara lain.”
BERIKUT ADALAH TULISAN SAYA YANG DISIARKAN ITU:-
Bakat penulis muda perlu dimantapkan
Oleh MANZAIDI MOHD. AMIN
PERSOALAN yang sering timbul dari dulu hingga sekarang ialah apakah akan lahir sasterawan sehebat Allahyarham Datuk Usman Awang, Datuk A. Samad Said, Allahyarham Keris Mas dan Datuk Abdullah Hussain dalam waktu terdekat ini?
Malah lebih merisaukan, ada kemungkinan berlakunya ketandusan bakat muda dalam mengisi dunia sastera dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang ketika negara melangkah ke era negara maju.
Ketika itu, kemajuan sepatutnya bukan sahaja diukur dari segi fizikal dan ekonomi ataupun status kehidupan rakyat tetapi juga seharusnya meliputi dunia sastera yang turut menjadi simbol kepada peradaban dan ketamadunan sesuatu bangsa.
Sebenarnya, tugas melahirkan bakat baru dalam bidang sastera tidak semudah menghasilkan pakar dalam bidang lain. Kalau negara boleh melahirkan ratusan jurutera dalam tempoh masa tertentu, belum tentu negara dapat menghasilkan satu atau dua orang sasterawan setaraf Sasterawan Negara dalam tempoh yang sama.
Oleh itu, bakat sastera yang ada perlu dikenal pasti seawal mungkin dan sasaran itu mesti diberi bimbingan dan galakan supaya potensi serta bakat mereka dapat digilap secara berterusan.
Hal ini pernah diluahkan mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman yang menyatakan bahawa dalam perkembangan dunia masa kini, penggiat seni perlu memikirkan semula perkembangan sastera Malaysia.
Beliau meluahkan betapa perlunya mereka memikirkan langkah berkesan bagi menjana kekuatan untuk membangkitkan semula kegemilangan sastera Malaysia dengan turut meningkatkan apresiasi dan mutu pengkaryaan.
Setiap orang yang cintakan sastera mempunyai tanggungjawab untuk terus berjuang supaya tetap berperanan sebagai unsur penting dalam kehidupan, tamadun masyarakat dan bangsa Malaysia.
Pada pengamatannya, dunia sastera negara seolah-olah tidak bermaya, seolah-olah ada jurang antara aspirasi dengan perjuangan sasterawan generasi lama dan baru sehingga ketrampilan sebilangan besar sasterawan berkenaan kurang memberi impak.
Mereka juga seolah-olah sudah kekurangan sumber atau hasil untuk menyuntik modal ke dalam suatu bentuk pelaburan minda dan kemanusiaan.
Isu perjuangan dalam dunia sastera hari ini juga seolah-olah sudah tiada lagi, sedangkan kita sedia maklum perjuangan itu perlu berterusan pada setiap masa dan ketika.
Apakah adanya sikap di kalangan sasterawan generasi lama ini yang beranggapan perjuangan mereka sudah selesai dan zaman kegemilangan mereka juga sudah berakhir?
Adakah ini bererti sasterawan generasi lama boleh berdiam diri dengan membiarkan saja urusan meneruskan perjuangan baru sastera Malaysia pada alaf mendatang dipikul sepenuhnya oleh sasterawan generasi baru?
Menurut A. Aziz lagi, warga sasterawan hari ini memerlukan karya sastera yang hidup, baru dan segar yang dihasilkan bukan saja oleh sasterawan lama tetapi oleh bakat baru, manakala karya yang lahir tidak kira apa pun genre mestilah menggambarkan kematangan penulis itu sendiri.
Kekuatan bangsa
Sasterawan perlu menyerlahkan jiwa serta kekuatan satu bangsa Malaysia merdeka yang berpadu tenaga dalam semua aspek budaya. Isu sensitif, misalnya dalam hubungan kaum dan budaya, jika dikupas dengan penuh kepekaan dan dipersembahkan secara kreatif dan imaginatif akan melahirkan suatu perasaan saling memahami di kalangan masyarakat.
Karya sastera juga harus menjadi himpunan sejarah bangsa yang merangsang mereka untuk berfikir, merenung ke dalam diri, menjadi teladan dan sempadan kepada generasi akan datang.
Seterusnya, untuk melahirkan karya yang berkualiti dan bermakna ini, sasterawan perlu menguasai pelbagai bidang ilmu kerana dengan ilmu itu, mereka dapat memberi perspektif lebih luas kepada karyanya.
Mungkin sudah sampai masanya sasterawan daripada kedua-dua era itu duduk bersama merangka pelan tindakan perancangan pembangunan sastera Malaysia jangka panjang bagi menghadapi ketibaan alaf baru dengan semangat dan iltizam yang lebih jitu.
Dalam pelan tindakan itu, perkara pokok harus ditangani adalah mencari jalan pragmatik untuk membina khalayak sastera seluas mungkin daripada semua peringkat umur, kaum, peringkat setempat, kebangsaan dan antarabangsa.
Menyentuh mengenai khalayak sastera, kita tentu maklum mereka tidak akan terbina sekiranya tiada usaha keras diambil oleh masyarakat sasterawan untuk menjadikan khalayak mereka kenal, cinta dan seterusnya menghayati karya seseorang penulis.
Sastera sebagai salah satu bidang ilmu yang diiktiraf perlu mendapat tempat sewajarnya dalam kurikulum pendidikan kebangsaan. Yang penting pendidikan sastera mesti dilalui oleh setiap generasi muda tidak kira daripada aliran sains mahupun sastera.
Inilah yang seharusnya dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran untuk membina generasi yang seimbang dalam kehidupan manusia, tetapi ini nampaknya dilupakan seperti suatu barang yang tidak berharga saja. Tidak ada kesungguhan yang meyakinkan daripada kementerian penting itu.
Sastera mampu memberi perspektif positif kepada khalayaknya. Ia bukan suatu bidang khusus untuk sasterawan tetapi seperti bidang ilmu lain, ia memberi manfaat sekali gus membuka banyak peluang pekerjaan kepada bukan sasterawan.
Peranan sasterawan sama seperti profesyen lain, misalnya doktor, jurutera atau ahli sains yang apabila menghasilkan karya atau buku, mereka dapat mengembang dan menerapkan nilai ilmu serta kemanusiaan kepada khalayak.
Oleh itu, penulis disarankan, luangkanlah masa untuk bersama-sama khalayak, bukan saja daripada kalangan peminat sastera tetapi juga mereka yang belum mengenali sastera.
Misalnya, bertemu dengan pelajar daripada aliran sains atau khalayak dewasa daripada golongan profesional atau pekerja kilang.
Sudah sampai masanya golongan penulis merangka strategi baru seperti melantik ejen sastera atau ejen literari persendirian, menubuhkan Kelab Pembaca atau Kelab Peminat, atau melangkah ke alam siber dengan membina laman web sendiri.
Melalui beberapa strategi itu, diyakini penulis bukan saja dapat memperluaskan perjuangan seni, bahkan mendapat maklumat lebih terperinci dan sahih mengenai apa yang diperlukan oleh khalayak.
Antara langkah yang perlu penulis lakukan untuk memastikan mereka tahu apa yang sedang dan akan berlaku dalam arena sastera antarabangsa ialah dengan menjadikan DBP dan badan lain di negara ini sebagai tempat memperoleh maklumat yang diperlukan.
Bersifat sejagat
Bagaimanapun, hubungan penulis dengan badan itu perlulah bersifat dua hala iaitu penulis boleh menyumbang, memberi pandangan, mengusulkan sesuatu untuk dilaksanakan lebih baik dan berkesan bagi meningkatkan martabat sastera tanah air.
Sebelum perkembangan pesat era komputer dan teknologi maklumat, masyarakat lebih mengenali produk sastera dalam bentuk bercetak sama ada buku, majalah dan sisipan akhbar.
Namun, penerbitan itu tidak mengehadkan penghasilan produk dalam bentuk bercetak saja, malah menjangkau kepada beberapa bentuk lebih menarik lagi canggih bersifat multimedia dan interaktif seperti CD-rom, video dan DVD.
Perkembangan ini juga memungkinkan produk dihasilkan dengan lebih cepat, ekonomi, mengikut keperluan khalayak atau pasaran, iaitu melalui satu lagi bentuk penerbitan dikenali sebagai Publishing-On-Demand (POD) atau cetak mengikut permintaan.
Dalam hal ini, kata A. Aziz, amat penting bagi sasterawan mengikuti perkembangan terkini dalam bidang penerbitan supaya karya yang mereka hasilkan dipersembahkan dalam bentuk paling berkesan untuk bersaing dalam pasaran.
Walaupun ada pakar penerbitan dan pendidik yakin produk bacaan dalam bentuk bercetak tidak akan lupus dengan adanya persaingan hebat daripada media elektronik atau digital, mereka harus ingat bahawa permintaan pasaran ditentukan oleh khalayak.
Keberkesanan produk seni bergantung pula kepada kualiti manusia yang bergabung untuk menghasilkannya iaitu penulis, editor, pakar komputer dan pelukis grafik.
Oleh sebab penghasilan produk sastera sama ada dalam bentuk bercetak atau multimedia membabitkan kos yang tinggi, amatlah penting bagi penerbit memastikan pasaran produk itu meluas. Penulis pula perlu menyedari karya yang bermutu, bernilai komersial dan bersifat sejagat akan menjadi keutamaan penerbit.
Akhir sekali, untuk merealisasikan perancangan jangka panjang itu, penulis perlu membina rakan kongsi dengan beberapa agensi kerajaan atau swasta bagi mewujudkan rangkaian kerjasama sastera.
Kesusasteraan Malaysia pada alaf baru seharusnya menggambarkan wajah bangsa Melayu yang sarat dengan pemikiran Melayunya, yang merakam manusia Malaysia mewah dengan rencah keMalaysiaannya yang matang dan bersedia menghadapi realiti.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
2 ulasan:
Haa artikel macam nilah hok saya maksudkan... saya tertarik dgn artikel ini. Syabas dan tahniah diucapkan pada saudara. artikel yg amat baik.
Dato' a.samad said pun dah tak mcm a.samad said dulu dah. dia skg ni dibayangi politik pembangkang. tengok sajalah perbuatannya, amat memalukan..
Catat Ulasan