Petikan dari: www.iLuvislam.com
Nur Syamimi Mohamad Napis
Editor: Im Koyube
Cuba uji, sejauh mana kepekaan diri anda terhadap tanah air; Malaysia, yang tercinta. Kepekaan yang membawa kepada erti mengenal dan tahu tentang keadaan sekeliling dan apa yang berlaku di tempat anda.
Apabila disebut perkataan ‘Klang', apa yang terlintas di fikiran anda? Klang adalah sebuah daerah yang terletak di Selangor, yang juga merupakan Bandar Diraja bagi negeri tersebut.
Sebelum kita melangkah dengan lebih jauh, ada baiknya jika kita mengetahui dimanakah letaknya Klang dan bagaimana ia mendapat jolokan tersebut. Ya, implankan pepatah, "tak kenal maka tak cinta" di dalam diri, dalam usaha mengenal negara sendiri.
Klang terbahagi kepada dua, iaitu Klang Utara dan Klang Selatan. Dua bahagian ini dipisahkan oleh sebatang sungai yang dinamakan dengan nama Sungai Klang. Perkataan ‘Klang' terhasil daripada perkataan ‘Klong' yang membawa maksud gudang. Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa ‘Klang' bermaksud ‘terusan' atau ‘jalan air'. Hal ini dapat dilihat daripada kewujudan beberapa jalan air di sekitar Klang[1].
Selain itu, terdapat juga sebuah pelabuhan entrepot yang memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi Malaysia. Pelabuhan Klang muncul sebagai pelabuhan ketujuh yang tersibuk di dunia pada tahun 2004[2].
Bukankah itu menunjukkan petanda yang baik kepada Malaysia? Pelabuhan yang dahulunya dikenali dengan nama Port Swettenham, merupakan pintu masuk utama ke Malaysia melalui jalan laut.
Jadi, tidak mustahil jika pelabuhan ini menjadi tempat teduhan para pedagang sebelum meneruskan pengembaraan mereka, menuju terus ke destinasi yang dituju. Lebih untung jika apabila persinggahan yang dibuat tersebut, membuka minat mereka untuk menjalankan perniagaan di Malaysia.
Kepesatan Pelabuhan Klang yang dilihat oleh pihak kerajaan telah menjadikan pelabuhan Klang melonjak naik ke satu taraf apabila kerajaan negeri Selangor, telah meluluskan sebuah projek zon bebas. Projek yang pada awalnya memakan belanja hanya RM2.5 bilion, akhirnya menginjak naik kepada RM4.6 bilion.
Jika dilihat pada cadangan penubuhan zon bebas ini, sebenarnya ia sebuah tempat yang menawarkan pelbagai kemudahan bagi tujuan perdagangan. Pelabur-pelabur asing dan tempatan boleh menjalankan urusan jual beli di kawasan tersebut. Tambahan pula, ianya adalah kawasan zon bebas.
Cuba bertanya kepada diri, apa yang anda faham dengan perkataan ‘kawasan zon bebas'? Ada orang kata, "..kawasan zon bebas ni kalau beli coklat boleh dapat dengan harga yang murah. Macam dekat Langkawi tu...".
Tujuan utama ‘kawasan zon bebas' ini adalah untuk menggalakkan perniagaan entrepot dan perkembangan industri yang berorientasikan eksport. Penubuhan zon bebas ini juga bertujuan untuk mengurangkan kadar cukai yang dikenakan ke atas sesebuah syarikat, ataupun adakalanya tiada cukai dikenakan ke atas sesebuah syarikat tersebut.
Hal ini menguntungkan para peniaga yang mengendalikan perniagaan oleh kerana barangan yang di bawa masuk, tidak akan dikenakan cukai yang tinggi. Dalam masa yang sama, ia juga menguntungkan para pembeli, oleh kerana pembeli dapat membeli barangan dengan harga yang lebih murah daripada harga di kedai biasa.
Jadi, disebabkan faktor ini, apabila cadangan penubuhan PKFZ diutarakan, ianya diterima baik oleh masyarakat setempat. Selain ia mampu meningkatkan bilangan pelabur dan pedagang ke Malaysia; yang akhirnya akan meningkatkan ekonomi negara, ia juga mampu menaikkan nama Malaysia di mata dunia.
Kesan yang dapat dilihat daripada penubuhan dan pembinaan PKFZ dapat dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu kesan daripada sudut ekonomi, politik dan sosial. Memandangkan usaha penubuhan PKFZ, secara tidak langsung melibatkan rakyat, seharusnya rakyat, khususnya mereka yang tidak pernah lewat membayar segala jenis cukai, diberi penjelasan tentang perkembangan projek ini.
Dari sudut ekonomi, memang tidak dapat dinafikan ekonomi negara akan meningkat naik, seiring dengan pertambahan bilangan pelabur asing yang melebarkan sayap perniagaan mereka di Malaysia. Apabila hal ini berlaku, sekali gus ia akan memberi khabar gembira kepada rakyat jelata yang menunggu nasib mereka dibela.
Apabila ekonomi negara menjadi semakin baik dan berkembang pesat, sudah tentu sedikit demi sedikit kemiskinan dapat dibasmi. Pada saat ini, kerajaan mahupun pembangkang, mahupun orang perseorangan boleh turun padang melihat kebajikan rakyat-rakyat yang berada di ceruk pedalaman negeri.
Paling tidak, bagi mereka yang kurang berkemampuan ini, mereka boleh diberi modal permulaan untuk penghidupan mereka yang baru, di samping membuat follow up terhadap perkembangan mereka. Firman Allah SWT, di dalam surah At-Taubah, ayat 34,
"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak dari orang-orang alim dan rahib-rahib mereka benar-benar memakan harta orang dengan jalan yang batil, dan (mereka) menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menginfakkannya di jalan Allah, maka berikanlah khabar gembira kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) azab yang pedih,"
Apabila ekonomi negara meningkat, secara tidak langsung Malaysia berjaya menyahut salah satu cabaran yang terkandung di dalam Wawasan 2020 iaitu "untuk membentuk satu komuniti yang mempunyai ekonomi seimbang."
Di samping menaikkan nama Malaysia di mata dunia, dalam masa yang sama, kerajaan perlu menitik beratkan keadaan hidup rakyat. Hal ini bertujuan agar Malaysia tidak dipandang seperti sebuah negara yang bertopengkan kekayaan dan keamanan, sedangkan jauh di pelusuk negeri sana, masih ada rakyat yang melarat hidupnya.
Lihat, betapa besarnya impak yang akan dimainkan oleh hanya sebuah zon bebas. Walaupun ia hanyalah sebuah zon bebas, namun sebenarnya ia memainkan peranan yang besar dalam pembentukan sebuah negara. Jadi, tidak seharusnya rakyat jelata memandang enteng perkara ini.
Mungkin bukan tugas kita untuk mengangkat setiap segi batu bata, mungkin bukan tugas kita untuk mengukur bangunan yang akan dibina, tapi sebenarnya ada tugas kita yang lebih penting, iaitu memastikan ‘kelancaran' pembinaannya. Kelancaran dari sudut dalaman mahupun luaran.
Kelancaran pengaliran duit yang berlaku sebelum, semasa dan selepas projek tersebut dijalankan juga perlu untuk diketahui oleh rakyat. Tugas seorang rakyat ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang yang peka terhadap keadaan sekeliling seperti pekanya kita terhadap isu Palestin dan umat-umat Islam di seantero dunia.
Kesan sosial yang dapat dilihat melalui PKFZ ialah kurangnya masalah kekurangan pekerjaan dalam kalangan masyarakat. Apabila ramai pelabur luar dan tempatan yang membuka premis perniagaan di kawasan zon bebas tersebut, maka akan terbentang luaslah sumber pekerjaan bagi penduduk setempat.
Apabila pengeluaran yang dihasilkan oleh sesebuah syarikat itu mendapat permintaan yang tinggi, sudah tentu usaha pembuatan yang akan dijalankan akan turut sama meningkat.
Melalui cara ini, masalah kekurangan pekerjaan dapat diatasi, itu pun jika dan hanya jika, individu yang terlalu memilih terhadap pekerjaan, tidak lahir dalam kalangan masyarakat tersebut.
Selain itu, kesan dari sudut sosialnya ialah melahirkan masyarakat yang up-to-date dengan teknologi terkini. Kemasukan dan pelaburan yang dibawa masuk oleh pelabur luar ke Malaysia harus dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Jika tidak mereka yang memperkenalkan teknologi tersebut kepada kita, maka kitalah yang perlu mengorak langkah mengambil inisiatif untuk mengenali teknologi tersebut.
Kesan dari sudut politiknya pula, hubungan diplomatik antara negara akan menjadi semakin kukuh dan erat. Melalui hubungan ini, pelbagai kerjasama dapat dilakukan antara Malaysia dengan beberapa negara luar yang lain. Dalam usaha Malaysia menggalakkan rakyat tempatan menggunakan barangan buatan tempatan, barangan buatan Malaysia juga boleh mendapat tempat di pasaran luar negara.
Apabila barangan buatan Malaysia semakin mendapat tempat di hati pengguna, maka adalah amat perlu untuk pekerja di sektor berkenaan untuk menjaga dan meningkatkan mutu serta kualiti barangan, agar ianya setanding dengan barangan jenama luar.
Jika di Malaysia, ada yang memandang Proton Saga generasi pertama, sebagai sebuah kenderaan yang biasa, tetapi, ketahuilah, masih ada rakyat Malaysia yang berada di luar negara sana berbangga apabila melihat Proton Saga generasi pertama ini meluncur laju di jalan raya.
Melihat kepada peri pentingnya sebuah zon bebas kepada sesebuah negara, seharusnya dan sepatutnya semua pihak; daripada kerajaan, mahupun swasta dan rakyat jelata, mengambil berat tentang usaha ini. Usaha membangunkan zon bebas ini tidak sepatutnya difikirkan untuk memenuhkan periuk nasi sendiri sahaja.
Jika kita ialah orang yang telah diamanahkan untuk sesuatu tanggungjawab, maka berusahalah untuk menjadi ‘sebersih' yang mungkin. Jika kita fikir kita layak untuk mendapatkan sesuatu, sebenarnya masih ada di luar sana, orang yang lebih layak mendapatkannya.
Peningkatan perbelanjaan di dalam projek tersebut, menjadi satu isu kepada negara apabila peningkatan perbelanjaan yang dianggarkan sebanyak RM2.5 bilion meningkat kepada RM4.6 bilion. Ada pihak yang mengatakan ianya tidak mustahil memandangkan dalam tempoh projek ini dijalankan, terdapat masalah ekonomi dan peningkatan harga barangan.
Jadi, tidak mustahil kos pembinaan projek ini terdapat plus minus dalam perbelanjaannya. Tetapi, memandangkan selisih harga tersebut bukanlah suatu nilai yang sedikit, maka sepatutnya pihak yang bertanggungjawab menjelaskan kepada umum supaya semua pihak berpuas hati.
Ada pepatah berbunyi, "sediakan payung sebelum hujan", sebab jangan disangka cerah hingga ke petang. Jika masa ini, kita melihat ramai pelabur yang berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai sektor, maka, semua pihak perlu beringat.
Jangan terlalu asyik dan lalai dengan kemewahan dan nikmat yang dinikmati sekarang, kerana dalam sekelip mata, semuanya bisa berubah di atas kehendak-Nya. Jagalah imej negara, jagalah reputasi negara dan peribadi, dan yang paling penting, sebagai sebuah negara yang dianuti oleh majoriti penduduk beragama Islam, jagalah kecantikan dan keelokan agama Islam itu sendiri.
Jangan disebabkan konflik kepentingan, kelemahan urus tadbir dan pengurusan yang sepatutnya dapat diatasi, akhirnya menjadi wabak kepada negara.
Riwayat Imam Muslim;
"Tiada seorang amir (pemimpin) yang menguasai urusan pemerintahan kaum Muslimin, kemudian ia tidak bersungguh-sungguh memberikan kemanfaatan kepada mereka, juga tidak memberikan nasihat pada mereka yakni mengusahakan mana-mana yang baik dan menolak mana-mana yang tidak baik, melainkan pemimpin itu tidak akan masuk syurga beserta mereka yang dipimpinnya itu."[6]
Disediakan oleh,
Nur Syamimi Mohamad Napis
Setiausaha Media I iLuvislam.com
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan