Rabu, 30 September 2009

Ridhuan Tee masuk Islam atau masuk Melayu

Isu timbul kerana kejahilan beragama (Mingguan Malaysia, 6 September 2009)

Oleh Dr. Mohd, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

KOLUMNIS laman web Centre for Policy Initiatives (CPI), Helen Ang mengkritik dengan hebat beberapa siri artikel yang saya tulis dalam Mingguan Malaysia.

Artikel beliau bertajuk Ridhuan Tee‘s reverse take on racism, telah diposkan kepada beberapa laman web pembangkang dan membuka peluang kepada para pembaca laman web tersebut menyerang, mengecam dan menghentam peribadi saya sekali lagi, tanpa fakta ilmiah untuk berhujah sebagaimana artikel yang ditulis beliau.

Saya sepatutnya tidak mahu melayan mereka yang menulis tanpa membuat kajian dan penyelidikan terperinci seperti mana yang saya lakukan. Ternyata beliau tidak faham apa yang saya tulis.

Mungkin disebabkan oleh tahap penguasaan bahasa Melayunya yang agak rendah setelah sekian lama tinggal di negara ini. Sebahagian kecil petikan artikel saya dimanipulasikan seperti yang dilakukan oleh akhbar Cina.

Petikan yang saya ambil daripada kata-kata Almarhum Tunku Abdul Rahman mengenai perlunya bandar raya Shah Alam bebas daripada arak dan kelab malam telah disalah tafsirkan.

Helen Ang mengatakan bahawa ia adalah tulisan saya. Saya sungguh kasihan cara beliau berusaha untuk memahami artikel saya dalam bahasa Melayu mudah. Mujurlah saya tidak gunakan bahasa yang bombastik, jika tidak saya tidak tahu apa yang Helen Ang akan tulis.

Beliau juga menuduh saya ‘masuk Melayu’ dan bukan ‘masuk Islam’ agar diterima oleh orang Melayu, dan seterusnya menjadikan saya lebih berjaya. Bagaimanakah saya boleh ‘masuk Melayu’ sedangkan saya seorang Cina. Saya memeluk agama Islam, bukan ‘masuk Melayu’.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya memeluk Islam kerana kemuliaan dan kesucian Islam. Saya tidak pernah mengharap sebarang bantuan setelah memeluk Islam, kerana agama Islam mengajar saya prinsip berdikari.

Bangsa seseorang tidak boleh ditukar walaupun ia telah memeluk Islam kerana bangsa itu adalah kejadian Allah SWT. Manakala agama, kita boleh pilih untuk dijadikan pegangan hidup seperti yang saya lakukan.

Dalam membahaskan fakta yang saya kemukakan, Helen Ang membandingkan antara Cina Thailand dengan Cina Malaysia.

Helen Ang memujikan rakyat Thai kerana dapat menerima Perdana Menteri Thailand kini, Abhisit Vejjajiva berketurunan Cina. Begitu dengan Perdana Menteri sebelum itu seperti Chuan Leekpai dan Thaksin Shinawatra.

Helen mempertikaikan kenapa orang Cina tidak boleh menjadi Menteri Besar Perak (DAP). Jawapannya mudah, kerana orang Cina di Thailand sudah tidak serupa Cina. Mereka boleh dikatakan lebih Siam daripada Siam. Persoalannya, adakah itu berlaku di Malaysia?

bypass308.blogspot.com

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran