Barisan Nasional (BN) mahu menang dalam setiap pilihan raya umum dan pilihan raya kecil. Setiap kali ada kekosongan kerusi DUN atau Parlimen kerana wakil rakyatnya meninggal dunia atau sebagainya, BN tetap meletakkan calon.
Dan tentulah apabila meletakkan calon, BN mahu menang. Tetapi BN seolah-olah lupa, satu demi satu kerusi pilihan raya kecil yang ditandinginya kalah. Walaupun dapat mengurangkan majoriti pihak lawan, BN tetap kalah, dan kerusi itu dimenangi oleh pembangkang.
Persoalannya kenapa mutakhir ini BN sering kalah? Kenapa sebelum ini BN tidak pernah tewas? Sehingga ada penganalisis politik membuat andaian, jika BN meletakkan calon songkok sekali pun BN boleh menang.
Kenapa sekarang ini BN meletakkan calon yang berwibawa dan terpelajar pun boleh kalah? Manakala pembangkang meletakkan calon yang langsung tidak ada perwatakan kepimpinan pun boleh menang?
Jawapan yang tersirat ada pada BN. Tetapi jawapan yang ada pada saya ialah kerana BN tidak lagi bersatu sebagaimana sebelum ini.
Dalam siri komen, ulasan, pandangan dan nasihat saya kepada politik BN sebelum ini, saya sering mengatakan pucuk pimpinan BN telah melakukan banyak kesilapan dalam mengurus tadbir dan memilih pemimpin untuk menerajui atau membarisi kepimpinan di peringkat pusat, negeri, bahagian, peti undi dan cawangan.
Berdasarkan pengalaman bekerja sebagai wartawan dan sering kali berhadapan dengan senario politik, saya cuba menyatakan kegusaran, kebimbangan dan ketakutan mengenai masa depan BN.
Saya sedar segala pandangan yang saya lontarkan hanya sekadar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri bagi setiap ahli politik terutama BN. Siapalah saya pada mereka untuk melahirkan kebimbangan masa depan BN.
Tetapi pada masa sama, selepas seminggu analisis saya disiarkan, saya dapati ada sesetengah kenyataan yang dibuat oleh pemimpin menyamai dengan apa yang saya sarankan. Itulah yang berlaku sepanjang 24 tahun saya menghambakan diri dalam dunia kewartawanan. Namun, saya menganggap mungkin itu secara kebetulan.
Krisis demi krisis berlaku dalam BN. UMNO cara UMNO, MCA cara MCA, MIC cara MIC dan PPP cara PPP. Setiap hari, setiap detik rakyat tidak pernah sunyi dengan perbalahan yang berlaku dalam parti-parti komponen BN.
Krisis ini secara tidak langsung membosankan rakyat. Mereka mula hilang keyakinan terhadap kewibawaan BN. Bagi rakyat, walaupun mereka diberi jaminan kapal yang dinaiki adalah selamat, tetapi jika mereka dapat tahu kapal itu mengalami kebocoran, tentulah mereka akan bimbang dan gelabah.
Jalan terbaik untuk selamatkan diri daripada berada di atas kapal yang pada mulanya gah macam Titanic itu ialah meninggalkannya untuk naik atau berada atas kapal yang lebih selamat walaupun kecil.
Inilah hakikat kenapa BN mengalami zaman malap. Biasalah pucuk kepimpinan akan memberi jaminan BN berada di landasan yang betul, tetapi kenyataan itu sekarang ini tidak lagi dapat menyakinkan rakyat. Mereka sudah nampak kapal yang mereka naiki dulu itu hampir tenggelam seinci demi seinci.
Rakyat tahu jaminan itu hanya sekadar untuk menyedapkan hati. Mereka fikirkan untuk apa terus tinggal atas kapal yang hampir tenggelam, tetapi diberi jaminan kapal berada dalam keadaan baik?
Pucuk pimpinan BN harus mencari jalan terbaik untuk menyelamatkan parti itu daripada krisis dalaman. Pergaduhan tidak wajar berlaku. Pemecatan pemimpin juga tidak harus berlaku kerana ia akan menganjurkan kepada perpecahan yang lebih serius.
Sebagai contoh, amatlah tidak wajar Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat memecat Timbalannya, Datuk Seri Chua Soi Lek kerana perbuatan itu menyebabkan penyokong Soi Lek akan berpaling tadah.
Di Perak saja lebih 1,000 ahli MCA termasuk penyokongnya bertindak melarikan diri dan menyertai parti pakatan pembangkang. Di negeri-negeri lain seperti di Kelantan, sudah lama MCA hilang pengaruh.
Kini BN sedang mengalami nasib malang sebagaimana yang dialami pembangkang iaitu Pas tidak lama dulu, setiap kali menghadapi pilihan raya umum atau kecil, calon Pas mesti kalah.
Sekarang dunia sudah terbalik. Pas yang selalu berada di bawah, telah mula naik sedikit demi sedikit. Parti itu bukan tak ada krisis, mereka juga tidak sunyi daripada krisis, tetapi pucuk pimpinannya bijak dan bertindak segera mengatasinya. Mereka tahu saja ada kebocoran, sepantas kilat mereka menampalnya atau membaikinya bagi menutup kebocoran itu.
BN tidak begitu. Tahu ada bocor, bocor itu dibiarkan berterusan bocor sampai bocor itu menjadi besar dan hampir-hampir tidak dapat dikawal, barulah tindakan menampal dan membaikinya dilakukan, tetapi sudah terlambat. Nak tak nak pucuk pimpinan terpaksa berbohong untuk meyedapkan hati dengan mengatakan BN stabil dan makin kuat.
Kalau stabil dan makin kuat, kenapa dalam tujuh pilihan raya kecil lalu BN boleh kalah? Adakah kekalahan itu disebabkan teknikal SPR? Atau pengira kertas undi tersilap mengira?
Jangan...jangan salahkan mereka. Kekalahan BN bukan kerana teknikal SPR atau pengira kertas undi bias, tetapi kerana BN sudah hancur. Hilang seri, hilang sokongan dan makin tidak diminati lagi.
Persoalannya, bolehkah BN kembali seperti dulu? Dengan kapal yang lebih baik dan sempurna tanpa sedikit pun kerosakan?
Jawapannya, boleh. Itu pun kalau ada kemahuan untuk berbuat demikian.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
1 ulasan:
salam, saya ni bukan peminat politik...tetapi apabila terbaca blog ini teringin juga nak komen sikit dalam senario politik tanah air kita ni. Pada saya sejak akhir-akhir ni setiap kali pilihan raya kebanyakkan pengundi terutama orang melayu akan berasa bodoh sangat jika memangkah BN dan berasa bijak jika menyokong parti pembangkang walaupun calonnya tak seberapa. Senang cakap parti BN ni sekarang bermaksud "Bodoh Noo" (slang daerah) dan parti pembangkang "Bijak Noo".Bagaimana pun setiap kali keluar mengundi saya akan menyokong atau memangkah BN kerana pendirian yang sangat teguh dan tiada apa-apa kepentingan selain mengingati pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu. Jadi nasihat saya supaya pemimpin BN hendaklah ikhlas,berubah(positif) dan teruskan perjuangan yang sebenar.
Terimakasih
Catat Ulasan