PM, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil langkah segera minta siasatan terhadap laman web yang siarkan dokumen membabitkan PKFZ. Memandangkan ia merupakan dokumen rahsia kerajaan, maka amat wajar tindakan perundangan dikenakan terhadap mereka terbabit.
Reaksi PM bagaimanapun dilihat bagai "cakap tak habis" kerana beliau tidak pun sebut soal orang yang bocorkan rahsia tersebut. Ia tak kurang sama dengan apa yang kita lihat bagaimana pihak penguatkuasa menangkap penjual VCD di pasar malam, sedangkan tokey cetak rompak masih gagal dibanteras secara total. Hal ini, sama juga apabila kastam nak tangkap mereka yang bakar mercun, sedangkan masalah pokoknya ialah kenapa begitu lambak mercun dapat diseludup masuk?
Kalau yang tukang siar rahsia rasmi kerajaan akan dikenakan tindakan, sudah semestinya si tukang bocor rahsia patut dikena tindakan lebih tegas. Kerajaan jangan lepas tangan hanya tangkap tukang siar, sedangkan si pembocor rahsia masih ada kesempatan menghilangkan diri atau setidaknya mencari helah menafikan perbuatannya.
Kenyataan PM sepatutnya bertegas terhadap pembocor rahsia kerajaan dan diikuti tukang siar, ini sudah terbalik, seolah kerajaan hanya memandang berat tukang siar kerana ia menjadi punca orang ramai tahu rahsia kerajaan.
Nampak sangat dendam kerajaan terhadap pengamal web dan blog, sedangkan pembocor rahsia kerajaan adalah jauh lebih bahaya kerana ia merupakan musuh dalam selimut, boleh jual rahsia kerajaan dan tidak mustahil boleh jual kerajaan sekali...
PM sila buat kenyataan semula yang meyakinkan rakyat bahawa pembocor rahsia kerajaan adalah pengkhianat ibarat gunting dalam lipatan.
Petikan laporan akhbar:
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, polis akan menyiasat sebuah laman web yang menyiarkan dokumen didakwa Kertas Kabinet mengenai isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Perdana Menteri menegaskan, jika benar dokumen yang disiarkan itu Kertas Kabinet, mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
"Polis akan siasat dan tengok hasilnya nanti. Apa-apa tindakan ke atas pesalah boleh diambil di bawah OSA," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program Permata Negara di sini, hari ini.
Semalam, sebuah laman web menyiarkan dokumen 18 muka yang didakwa sebagai memorandum daripada Menteri Kewangan bertarikh 22 Jun 2007 berhubung PKFZ.
Posted by byPASs at 12:35 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan