Ahad, 6 September 2009

Amat wajar MB Selangor di boo, diejek

Komen tetamu laman ini:
Saya hanya nak katakan, padan muka kepada Abdul Khalid Ibrahim apabila dia di 'boo' oleh penduduk Seksyen 23 Shah Alam. Kalau saya ada pada majlis itu, sayalah orang pertama yang akan lempar kasut ke arah mukanya. Saya meluat tengok muka dia, muka Ahli Parlimen Shah Alam dan ADUN Batu Tiga.

Mereka bertiga ini selayaknya diejek kerana mereka jenis wakil rakyat yang lebih utamakan orang bukan Islam daripada umat Islam. Kerana merekalah, arak boleh dijual di kawasan majoriti Islam dan kerana mereka juga, banyak kuil dibenarkan dibina dalam penempatan majoriti orang Islam.



Dari Berita Harian:
Pemindahan kuil Seksyen 19 dibeku sehingga lokasi baru ditemui

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di'boo' lebih 200 penduduk Seksyen 23 yang menyertai sesi dialog di Dewan Bankuet, Wisma MBSA, di sini, semalam ketika menjelaskan isu pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Selain beliau, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga, Rodziah Ismail turut di'boo' lebih 10 kali oleh penduduk terbabit yang mendakwa kerajaan negeri lambat bertindak dan hanya mahu berdialog selepas ia menjadi isu nasional.

Ahli Parlimen Shah Alam yang bangun mahu memberi penjelasan berhubung perkara sama tidak diberi langsung peluang bercakap, sebaliknya disuruh duduk oleh penduduk kerana tiada ruang disediakan untuk beliau berucap.

Malah, ada penduduk yang mengacah untuk membaling kasut sebagai tanda protes kepada ketiga-tiga pemimpin Pakatan Rakyat itu.

Ketika majlis dibuka kepada penduduk untuk bertanyakan soalan, seorang demi seorang tampil melepaskan geram kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang didakwa lambat memberikan reaksi untuk berbincang.

Menteri Besar terpaksa memberhentikan majlis berkenaan apabila seorang penduduk yang menyokong kuil berkenaan dipindahkan ke Seksyen 23 membangkitkan soal azan lima kali sehari yang membangkitkan kemarahan penduduk.

Pada sidang akhbar khas di kediaman rasminya selepas itu, Abdul Khalid mengumumkan cadangan pemindahan kuil itu dibekukan sehingga satu lokasi baru lebih sesuai ditemui.

Katanya, cadangan itu terpaksa dikaji semula selepas mendengar rintihan dan protes penduduk Seksyen 23 dalam dialog berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mahu masyarakat di situ tidak lagi membangkitkan isu berkenaan sehingga kerajaan negeri mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasinya.

"Kita mendengar pandangan bukan saja daripada masyarakat Islam, tetapi juga Hindu yang bermastautin di Seksyen 23. Kita prihatin keinginan mereka untuk mendapat sebuah kuil di kawasan itu tetapi ini bukan mudah diselesaikan.

"Bagi langkah seterusnya, kita akan berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk mengenal pasti satu lagi tempat yang sesuai dan boleh diterima Jawatankuasa Kuil Seksyen 19 dan diterima penduduk di sekitar seksyen itu.

"Ia akan dilakukan seberapa segera sebab kita rasa masalah pemindahan kuil ini mesti diselesaikan. Kalau tidak ia akan berpanjangan," katanya.

Sejam sebelum itu, pergaduhan hampir tercetus di dalam dewan di antara lebih 200 penduduk Seksyen 23 dengan wakil kerajaan negeri dan sekumpulan wakil komuniti India yang menyokong pemindahan kuil ke kawasan itu.

Sesi dialog bermula kira-kira jam 10.10 pagi dengan perang mulut antara penduduk dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) apabila anggota terbabit tidak membenarkan dua warga emas dari kawasan itu memasuki dewan.

Kekecohan kedua timbul apabila beberapa penduduk menghalau keluar empat anggota unit amal Pas yang berada di dalam dewan kerana mereka bukan penduduk Seksyen 23.

Sebaik Abdul Khalid, Khalid dan Rodziah memasuki dewan, mereka di'boo', selain penduduk enggan mendengar taklimat yang mahu disampaikan Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md Noor mengenai pembangunan Shah Alam dengan membuat bising dan berkeras mahu mendengar keputusan Menteri Besar mengenai isu pemindahan kuil.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Kuil Seksyen 23, Mahayuddin Manaf, ketika ditemui, berkata tujuan penduduk menghadiri dialog untuk mencari jalan penyelesaian, selain menyuarakan bantahan terhadap pembinaan kuil di kawasan perumahan mereka.

"Hari ini penduduk hadir dan menyuarakan kemarahan mereka. Sejak Mei lalu hingga sekarang, baru kerajaan negeri panggil ke sini untuk berdialog, itu pun selepas masalah ini menjadi isu nasional," katanya sambil menambah kerajaan negeri sengaja mencetuskan kemarahan penduduk.

Ditanya keputusan yang dibuat Menteri Besar, Mahyudddin berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri bersungguh-sungguh untuk mencari tapak lain lebih sesuai untuk kuil berkenaan, bukan di Seksyen 23.


Laporan Utusan Malaysia:

SHAH ALAM 5 Sept. – Majlis Dialog Bersama Penduduk Seksyen 23 berhubung cadangan pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke kawasan perumahan mereka di Dewan Bankuet, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pagi ini berlangsung dalam suasana kecoh.

Ini kerana hampir sepanjang sesi dialog dari pukul 10 pagi itu berlaku perang mulut antara penduduk yang membantah cadangan pembinaan kuil dengan para pemimpin yang hadir termasuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri.

Mereka turut menghamburkan kata-kata kesat dan menjerit perkataan penipu kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail setiap kali kedua-duanya memberi penjelasan terhadap soalan yang diajukan.

Keadaan menjadi lebih tegang dan hampir mencetuskan pergaduhan apabila seorang penduduk yang mewakili masyarakat India, R. Gunaretinam, 27, bangun dan menegaskan persetujuan 48 keluarga India di situ berhubung pembinaan kuil tersebut.

Ini kerana, katanya, kebanyakan rumah di bandar raya itu mempunyai surau dan masjid.

Dia kemudian mendakwa orang Melayu di Seksyen 23 tidak peka dengan sensitiviti masyarakat India di situ yang didakwanya bertoleransi dengan orang Islam berhubung isu azan lima kali sehari.

Dakwaan Gunaretinam itu telah mencetuskan kemarahan penduduk beragama Islam sehingga ada yang dilihat bertindak mengangkat kerusi yang akhirnya menyebabkan Abdul Khalid terpaksa bangun dan menghentikan perbincangan sambil meminta penduduk bertenang.

“Hentikan perbincangan cadangan pembinaan kuil Seksyen 23, kita akan cari jalan yang sesuai dan saya akan cuba selesaikan hari ini.

“Kalau kita perlu selesaikan, kita cari penyelesaian dengan baik bukan dengan cara memecah-belahkan masyarakat.

“Kerajaan negeri akan cari jalan penyelesaian, tiada perbincangan lagi, saya akan jumpa masyarakat Hindu dan lihat bagaimana nak selesai masalah kuil dan saya juga berharap mereka dapat sabarkan diri,” ujar beliau.

Namun, sekumpulan penduduk dilihat terus mengerumuni tempat duduk komuniti India di dalam dewan tetapi keadaan berjaya dikawal anggota penguat kuasa MBSA dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23, Ahmad Mahyuddin Manaf ketika ditemui berkata, apa juga keputusan yang diambil oleh kerajaan negeri, penduduk di situ sebulat suara tetap membantah cadangan pembinaan kuil tersebut.

“Tujuan kami adalah untuk menyuarakan pendapat serta pandangan dan pada hari ini, kita lihat macam mana penduduk menyuarakan hati mereka.

“Saya tidak bercakap tadi sebab selama ini kita lakukan dengan cara yang betul, buat surat, serah memorandum dan kita tidak dapat layanan dan kenapa sejak Mei baru kini September mereka nak buat perbincangan.

“Kalau masalah ini diatasi dan dikaji lebih awal, perkara ini tidak akan berlaku dan sebelum ini pun keharmonian kami di Seksyen 23 tidak pernah tergugat,” ujarnya.

Sementara itu, seorang guru India yang tinggal di fasa kedua Seksyen 23, M. Sekar ketika ditemui selepas sesi dialog memberitahu, walaupun penduduk India di situ menyokong pembinaan kuil di kawasan itu, namun mereka akur dengan keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan negeri.

“Kami mahu kuil itu dibina dan ia adalah hak kami untuk menyokong pembinaan kuil itu tetapi kami akur dengan keputusan kerajaan negeri,” katanya.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Barulah kita sedar, senangnye jd pembangkang...

Tanpa Nama berkata...

Yg layak jadi MB Slangor ialah Dato Hj Hasan Ali. Yg ada skg ni org suruhan anwar ibrahim. Org yg boleh dicucuk belakang, sbb tu sejak dia pgg jawatan MB, slangor jadi huru hara. Masa umno/BN dulu tak timbul pun penganut agama Islam marah pd penganut agama Hindu atau Buddha. Semuanya ada kerjasama. Tapi yg ni lain sgt.

Tanpa Nama berkata...

Satu lagi..sy hrp sgt2 Pas keluar dari pakatan rakyat. Sbb selagi Pas berada dlm pakatan tu, nama pas dipandang buruk.

Tanpa Nama berkata...

ini bukan pasal sentimen perkauman atau pun agama. ini masalah mentaliti penduduk yg di tahap rendah serendah rendahnya. bukan nama nya berdialog @ perbincangan namanya sekiranya sebegitu rupa. itu menunjukkan tahap pemikiran yang dikuasai nafsu mengatasi iman & akal. tidak akan ada jalan penyelesaian sekiranya masing2 hendak tunjuk "hero"