Isnin, 13 Februari 2012

Nik Abduh selar Karpal?

NOTE: Tak ada apa-apa pun. Tak perlulah kita fikir PAS dan DAP sudah tidak sehaluan hanya kerana berbeza pendapat dan pandangan mengenai Hari Kekasih.

Sebagai orang Islam, sudah tentu Nik Abduh tidak mahu sambutan Hari Kekasih yang menjadi amalan penganut Kristian disambut di negara ini kerana dikhuatiri turut disambut oleh remaja atau muda mudi beragama Islam.

Manakala Karpal Singh pula, yang bukan beragama Islam pastinya tidak ada halangan kalau sambutan Hari Kekasih diadakan kerana itu amalan dan budaya masyarakat kafir.

Perbezaan pendapat ini adalah perkara biasa dan tidak sampai ke peringkat untuk kedua-dua pihak atau parti sebumbung itu bergaduh sehingga berpecah belah. Ia hanya isu kecil saja.


KUALA LUMPUR 12 Feb. – Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Aziz hari ini menyelar tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang tidak bersetuju dengan pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih.

Sambil meminta Karpal belajar menghormati agama lain, Nik Abduh turut menegaskan peguam itu sepatutnya tidak memaksa pandangannya diterima oleh orang lain.

“Ia bukan hanya pendirian Pas, ia pendirian semua umat Islam. Semua pihak mesti terlibat mendidik dan menyeru umat Islam kepada kebaikan beragama.

“Mencegah kemungkaran adalah kebaikan yang dipromosi agama secara unggul. Dalam diri umat Islam ada agama. Ia hak tertinggi. Justeru, mendidik umat agar menghormati ajaran agama adalah hak asasi umat Islam.

“Karpal kena belajar walau sudah tua untuk menghormati agama lain, bukan memaksa pandangan sendiri ke atas orang lain. Politik bukan mahkamah,” katanya menerusi status terkini di laman sosial Facebooknya hari ini.

Kenyataan Nik Abduh itu dipercayai berkait dengan tindakan Karpal yang menggesa Pas menarik balik pendirian membantah sambutan Hari Kekasih pada 14 Februari ini kerana ia mempromosikan aktiviti tidak bermoral.

Karpal seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar hari ini dipetik berkata, pendirian Pas itu tidak boleh dipertahankan kerana sambutan Hari Kekasih diterima umum dan disambut hampir di semua negara.

Menurut Karpal, DAP berpendapat pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih bukan satu langkah yang baik dan tindakan Pas juga bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan.

Dewan Pemuda Pas pada 7 Februari lalu, menggesa kerajaan melancarkan kempen menentang sambutan Hari Kekasih termasuk dengan menyiarkan iklan anti sambutan hari tersebut bagi mencegah umat Islam menyambutnya.

Tiada ulasan: