Selasa, 28 Februari 2012

Opp... Sori!! 'Terlepas Pandang'

Pada pertengahan Ogos 2011, ketika hampir separuh bulan umat Islam berpuasa, tiba-tiba kita dikejutkan dengan siaran menu babi sebagai juadah berbuka puasa yang disiarkan akhbar berbahasa Inggeris, The Star.

Menu yang memaparkan gambar babi panggang itu disiarkan di muka hadapan akhbar berkenaan yang diberi tajuk 'Ramadan Delights'. Menu itu juga diletakkan bersekali dengan menu-menu juadah berbuka puasa yang lain. Cumanya menu babi di'lead'kan.

Selang sehari kemudian setelah umat Islam membangkitkan kemarahan dengan penyiaran makanan yang haram bagi orang Islam itu, pihak pengurusan The Star memohon maaf dengan membuat kenyataan mereka 'terlepas pandang' dan berjanji 'tak akan buat' lagi.

Namun, selang enam bulan kemudian, pihak pengurusan The Star lupa akan janji-janjinya sebelum ini, apabila pada 27 Februari 2012, mereka menyiarkan gambar penyanyi Amerika Syarikat, Erykah Badu yang mendedahkan bahagian atas dadanya yang tertera tatu perkataan 'Allah'.

Seperti biasa, apabila mendapat bantahan dan kecaman daripada orang Islam, akhbaar itu segera mengeluarkan kenyataan memohon maaf. Juga alasan yang sama diberikan mereka, "terlepas pandang".

Apakah motif The Star dalam tempoh enam bulan telah mengguris hati dan perasaan umat Islam dengan penyiaran gambar serta berita yang menghina orang Islam?

Adakah mereka beranggapan, mereka boleh menyiarkan apa saja gambar dan berita yang menghina orang Islam, kemudian keesokkan hanya mengeluarkan kenyataan meminta maaf? Apakah perasaan umat Islam apabila gambar atau berita itu kekal tersiar dan sudah tertebar ke serata muka bumi ini? Sedangkan mereka hanya meminta maaf?

Alangkah mudah dan senangnya orang kafir menghina dan akan menghina orang Islam selepas ini kerana cukup dengan mengatakan mereka 'terlepas pandang' dan 'berjanji tak akan ulangi lagi'. Kemudian keluar lagi provokasi yang sama dan selepas itu mereka minta maaf lagi dan lagi dan lagi.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Dah kerajaan bagi muka sangat. biarlah kerajaan rasakan. Kalau paper Melayu buat silap sikit riuh satu dunia.