Rabu, 8 Januari 2014

Kematian Run Run Shaw Tinggalkan Nostaliga Filem Melayu



Kompleks Show Movie City yang diilhamkan oleh Sir Run Run Shaw di Tseung Kwan O, Hong Kong, China. - Foto EPA.
 
PETALING JAYA: Kematian perintis perfileman Cina era 50-an iaitu Sir Run Run Shaw di Hong Kong pada Selasa meninggalkan nostalgia besar terhadap filem-filem Melayu.

Ini kerana tokoh itu merupakan penggerak kepada kemasyhuran seniman dan seniwati filem hitam putih yang diangkat di sebuah studio kecil di Singapura antaranya P.Ramlee, Siput Sarawak, M.Zain, Nordin Ahmad, Salih Kamil, Neng Yatimah dan ramai lagi.

Run Run Shaw bersama abangnya Runme Shaw yang berasal dari Shanghai, China memasuki industri hiburan pada tahun 1920.

Mereka berdua dilahirkan daripada sebuah keluarga tekstil kaya dan mendapat pendidikan di sekolah antarabangsa di China.

Ketika berhijrah ke Singapura, mereka telah membuka pawagam-pawagam kecil termasuklah Shaw Brothers, sebuah studio filem pertama di Singapura pada tahun 1937.

Adik-beradik ini kemudiannya berjaya menghasilkan 10 buah filem pada 1942 antaranya Mutiara, Bermadu, Toping Saitan, Hanchor Hati, Mata Hantu dan Gagak Hitam.

Gambar kenangan P.Ramlee (kanan) bersama Run Run Shaw.

Bagaimanapun proses penerbitan filem Toping Hitam terganggu ketika berlakunya Perang Dunia kedua sehingga studio berkenaan dirampas ketika pendudukan Jepun.

Shaw Brothers kemudiannya membelanjakan wang kira-kira RM1 juta pada ketika itu untuk membangunkan kelengkapan studio sehinggalah mereka memberi nama studio berkenaan Malay Film Productions yang terletak di No. 8, Jalan Ampas, off Balestier Road, Singapura.

Di bawah syarikat itu, maka terhasillah filem pertama iaitu Singapura Di Waktu Malam pada tahun 1947 yang menampilkan seniwati Siput Sarawak sebagai pelakon utamanya.

Empayar Shaw Brothers dan Malay Filem Productions semakin berkembangan sehingga memaksa dua bersaudara ini menggaji beberapa pengarah filem dari India termasuklah L Krishnan (kini Tan Sri) di samping pekerja-pekerja produksi berbangsa Cina.

Malah mereka turut mempunyai kira-kira 150 panggung wayang di seluruh Tanah Melayu termasuklah Indonesia, Borneo dan Thailand, lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti taman hiburan, dewan tarian dan peralatan produksi.

Nama Malay Film Productions terus masyhur selepas P.Ramlee menyertai syarikat itu apabila pengarah B S Rajhans menemui beliau dalam sebuah persembahan di Pulau Pinang.

Mendiang Run Run Shaw meninggal dunia pada usia 106 tahun.

P.Ramlee kemudian diambil bekerja dengan syarikat berkenaan sebagai penyanyi latar sehinggalah diberi kepercayaan untuk membintangi filem-filem yang dihasilkan.

P.Ramlee telah berlakon kira-kira 42 buah filem dan mengarah 16 filem yang diterbitkan Malay Film Productions sebelum seniman itu membawa diri ke Merdeka Filem Productions yang bertempat di Kuala Lumpur.

Filem terakhir yang diterbitkan oleh Malay Film Productions ialah Raja Bersiong arahan Jamil Sulong pada tahun 1963.

Disebabkan pengaruh televisyen hitam putih yang semakin kuat pada ketika itu, dunia perfileman Melayu menunjukkan kemerosotan sehinggalah Run Run Shaw dan Runme Shaw membuat keputusan menutup syarikat berkenaan pada 1967.

Sir Run Run meninggal dunia pada usia 106 tahun, kira-kira pukul 6.55 pagi, Selasa.

Dalam pada itu L Krishnan, 92, yang dibawa bekerja dengan produksi tersebut menganggap mendiang sebagai bos yang baik dan amat teliti dalam menghasilkan kerjanya.

Beliau masih mengingati peristiwa apabila Run Run tidak gemar dengan makanan pedas.

“Apabila kami berdua, dia akan menikmati manakan berbeza daripada saya dan dia tidak mengambil makanan pedas kerana dia mempunyai ‘perut yang lemah’,” katanya kepada The Star.

Tiada ulasan:

Najib Razak ditahan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat ...