Di ambang 2013 yang bakal meninggalkan kita, marilah kita merenung
kembali setahun yang lalu – dan melakar janji masa depan yang baru
dengan kedatangan 2014.
Dua belas bulan yang lalu, kita bersiap
sedia menghadapi pilihan raya umum yang ke-13 dalam sejarah negara kita.
Kita bersyukur apabila BN telah sekali lagi diberikan mandat. Kita
punyai rancangan yang mantap untuk masa depan negara, dan kita telah
bekerja keras untuk meyakinkan rakyat tentang wawasan kita.
Kemenangan
ini telah memperbaharui rasa tanggungjawab saya terhadap setiap rakyat
Malaysia – bukan hanya kepada mereka yang mengundi BN semata.
Dalam
pilihan raya yang sengit seperti itu, ketegangan memang lumrah; kita
merasakan persis masa depan negara sedang dipertaruhkan. Pilihan raya
kita berlangsung dalam aman: dengan seluruh mata dunia memerhati kita.
Malaysia telah membuktikan bahawa kita mendakap demokrasi secara hakiki.
Namun begitu kita juga punya pendapat berbeza, yang kadang-kadang pahit
untuk ditelan, tentang hala tuju yang patut diambil oleh negara.
Ini
juga sebenarnya satu perkara biasa. Pilihan raya adalah medan
pertandingan wawasan untuk sesebuah negara. Rakyat bebas memilih hala
tuju yang mereka ingini, dan mempertahankan pilihan mereka. Inilah
intipati sebenar demokrasi. Namun kali ini, emosi kita lebih daripada
biasa. Jika dulu hanya ada perbezaan pendapat, kali ini kita
berpecah-belah. Adakalanya, ahli-ahli politik, media – dan kadang-kadang
masyarakat umum – bertindak keterlaluan.
Tsunami Cina
Apabila
saya bercakap tentang ‘tsunami Cina’ pada malam pilihan raya, saya
maksudkan gelombang sokongan kaum Cina terhadap BN telah luntur. Ini
jelas menunjukkan betapa kita dicengkam polarisasi sehingga komen saya
telah disalah tafsirkan oleh sesetengah pihak.
Saya percaya
Malaysia sudah cukup matang untuk mengharungi debat-debat yang getir.
Perpecahan antara kita akan berakhir dengan masa, di mana kita boleh
sama-sama melihat negara kita terus membangun dan jadi dewasa, kita juga
akan melihat bahawa mereka yang tidak sependapat dengan kita kekal
menjadi jiran-jiran, rakan-rakan sekerja – dan sahabat-sahabat kita.
Namun saya juga percaya bahawa kita harus memperkukuhkan komitmen kita
terhadap perpaduan yang selama ini menjadi asas kukuh negara kita.
Kita
harus aktif dalam usaha menggapai perpaduan. Kestabilan dan kemajuan
kita bergantung kepada tampuk perpaduan ini. Di atas paksi yang sama,
saya telah menubuhkan Majlis Perundingan Perpaduan Negara, yang akan
melaporkan kepada Jemaah Menteri segala cadangan yang boleh kita lakukan
untuk merapatkan lagi rakyat Malaysia.
Tanggungjawab kerajaan –
dan keutamaan saya – adalah untuk memastikan keamanan, kestabilan dan
kemajuan berterusan kerana masa depan negara bergantung kepada
faktor-faktor ini. Membina semula perpaduan negara, dan menggalakkan
debat umum yang berlandaskan rasa hormat menjadi sebahagian besar
daripada rancangan ini. Apabila tahun baru menjelma, anda akan dapat
mengetahui dengan lebih lanjut tentang bagaimana kerajaan akan
melaksanakan dasar ini.
2014 bawa peluang
Bercakap tentang tahun baru, saya percaya 2014 akan membawa lebih banyak peluang untuk kita.
Dengan
pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia yang kedua, kita akan
menyaksikan usaha lebih bersepadu untuk menarik pelancong-pelancong
asing ke negara kita yang indah ini. Perniagaan-perniagaan baru akan
dibuka, dan pelaburan-pelaburan baru akan direalisasikan. Ekonomi kita,
yang telah mengharungi ribut krisis kewangan dunia, diramalkan
berkembang hingga 5.5 peratus.
Namun di sebalik angka-angka ini,
saya sedar bahawa ada ramai yang bimbang tentang 2014: bimbang dalam
usaha kami untuk mengimbangi belanjawan negara, belanjawan isi rumah
akan menghadapi tekanan.
Saya faham dan bersimpati dengan
kebimbangan ini. Rakyat yang rajin bekerja akan merasakan kesan kenaikan
kos. Dan ketika media kita dipenuhi angka-angka defisit dan peningkatan
harga, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa 2014 hanya bakal membawa
keperitan semata.
Potong subsidi tak sewenang-wenangnya
Kepada
anda yang bimbang mengenai kos sara hidup, izinkan saya memberi sepatah
dua kata tentang ekonomi dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada
anda.
Pertama, kita tidak akan menandatangani atau mempersetujui
sebarang pemotongan subsidi atau kenaikan kadar sewenang-wenangnya.
Program subsidi telah memberi banyak manfaat kepada rakyat selama
bertahun-tahun lama, tetapi, seiring dengan pertumbuhan populasi dan
pembangunan negara, program subsidi tidak lagi mapan dan kini tiba masa
untuk kita melangkah ke hadapan. Kita perlu merasionalkan subsidi dan
mensasarkan pemberian kepada golongan yang benar-benar memerlukannya.
Komitmen
kerajaan terhadap perbelanjaan pembangunan juga telah berkembang, dan
kita perlu menguruskan kedudukan fiskal untuk memastikan kestabilan
ekonomi negara.
Krisis kewangan baru-baru ini menunjukkan
bagaimana serius kesan dan akibat kepada negara-negara di mana kewangan
mereka tidak dibina atas asas yang kukuh: jika pelabur-pelabur dan
agensi-agensi mengambil keputusan bahawa negara-negara tersebut tidak
mampu membayar hutang mereka, kos pinjaman akan naik mendadak sehingga
berada di luar kawalan. Tanpa akses kepada kredit, sesebuah negara dan
rakyatnya akan menanggung implikasi yang besar. Sebagai contoh, lebih
separuh daripada golongan muda di beberapa negara Eropah tidak mempunyai
pekerjaan.
Di bawah kepimpinan BN, Malaysia telah berkembang
dengan pesat – pendapatan per kapita telah meningkat sehingga 49 peratus
dalam tempoh empat tahun lepas. Kita terpaksa mengambil keputusan yang
sukar agar kos pinjaman kekal rendah dan keyakinan pelabur terus kukuh –
kedua-dua faktor ini genting untuk memastikan ekonomi Malaysia terus
kukuh dan berkembang.
Kita harus menerima hakikat bahawa kita
perlu melaksanakan perubahan demi memastikan kewangan kita kekal
terkawal. Dan kita perlu mengimbangi program ini seluas mungkin agar
beban dapat diagih dengan saksama.
Pastikan kenaikan adil
Kedua:
kita akan berusaha sekuat upaya untuk meminimakan kesan kepada rakyat.
Berdasarkan maklum balas awam, kita akan menambahbaik program-program
kerajaan di mana perlu, supaya kesan ke atas pendapatan isi rumah tidak
terlalu ketara. Kita akan melaksanakan beberapa mekanisma untuk
mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan tarif elektrik dan tol.
PEMANDU akan turut mengemukakan idea-idea baru untuk mengurangkan
tekanan kos sara hidup.
Kita juga akan memastikan kadar kenaikan
adalah adil. Sebagai contoh, kenaikan harga petrol dan tarif elektrik
akan memberi kesan kepada kuasa membeli rakyat. Namun, walaupun ada
peningkatan, kerajaan masih memberi subsidi petrol dan bil elektrik.
Untuk kenaikan cukai taksiran di Kuala Lumpur baru-baru ini pula,
setelah mendengar keluhan rakyat, kadar cukai telah dikurangkan sehingga
2 peratus dan rebat tambahan diberikan kepada pemilik hartanah yang
tidak berkeupayaan, pesara serta pemilik-penghuni.
Kita tidak
akan melaksanakan kenaikan kos tanpa memberi bantuan kepada rakyat yang
benar-benar memerlukan. Sejak minggu lepas, seramai 7.9 juta isi rumah
yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan telah layak untuk memohon
pembayaran BR1M yang terkini. Kita juga akan membuka Kedai-Kedai
1Malaysia, serta Klinik 1Malaysia yang baru demi menyediakan
perkhidmatan kesihatan dengan kos yang berpatutan. Secara keseluruhan,
pada tahun depan kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM42 bilion ke
atas subsidi – hampir sama dengan jumlah yang kita belanjakan untuk
pembangunan.
Dalam kita merasionalkan subsidi, kita turut
memotong kos perbelanjaan. Kita telah mengumumkan 11 langkah
mengurangkan perbelanjaan awam, termasuk mengurangkan kos elektrik di
setiap jabatan sebanyak 5 peratus, memperketatkan syarat dalam melantik
juru runding, serta mengurangkan elaun tol dan keraian untuk para
menteri dan penjawat awam. Kita juga turut mengulangi komitmen untuk
menangani rasuah, mengurangkan pembaziran kerajaan dan meningkatkan
perolehan; meletakkan semua tender kerajaan di atas talian, agar ia jadi
lebih telus, dan berusaha untuk lebih merealisasi nilai aset kerajaan.
Perubahan tak popular
Dalam
kita membuat persiapan untuk tahun baru, ia juga masa yang baik untuk
kita mengimbas semula kenapa kita perlu melakukan perubahan-perubahan
ini. Ia mungkin tidak popular dalam jangka masa pendek, jadi lebih mudah
untuk kita mengekalkan status quo. Rakyat akan berkata terlalu banyak
kos meningkat di mana polisi populis pasti kelihatan lebih menarik.
Tetapi kerajaan perlu mengambil tindakan dari sekarang. Saya bertekad
untuk melakukan perkara yang tepat demi Malaysia dan rakyat negara ini.
Kerana dengan bertindak secara bertanggungjawab dari sekarang, kita akan
mengukuhkan ekonomi kita dalam jangka masa panjang – dan manfaatnya
akan dapat dirasai dengan lebih meluas lagi.
Dengan
merasionalisasikan subsidi, kita akan mengukuhkan kedudukan fiskal,
membolehkan kita memberi fokus terhadap perbelanjaan kepada
projek-projek pembangunan – termasuk kesihatan dan pendidikan – dan
bergerak ke arah belanjawan seimbang menjelang 2020. Dengan mengadaptasi
langkah-langkah yang diperlukan untuk menjadikan ekonomi Malaysia lebih
kukuh, kita bukan sahaja melindungi negara dari krisis kewangan, kita
turut membuka peluang dan mewujudkan pekerjaan baru. Banyak pihak akan
lebih cenderung untuk melabur dalam syarikat-syarikat Malaysia, membina
kilang-kilang di Malaysia dan memulakan perniagaan-perniagaan baru. Ini
seterusnya akan memacu pembangunan ekonomi, membantu untuk meningkatkan
kualiti hidup rakyat – dan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih
kukuh dalam jangka masa panjang.
Jika kita ingin menjadi
kerajaan yang bertanggungjawab, kadangkala kita perlu mengambil
keputusan sukar lagi tidak popular. Kepimpinan bermaksud melihat sesuatu
dalam jangka masa panjang, melakukan apa yang betul dan bukan apa yang
popular. Pada tahun 2009, kita telah memulakan perjalanan transformasi
ekonomi dan kerajaan. Apabila 2014 menjelang, kita harus membina asas
kejayaan Malaysia yang lestari, ekonomi yang lebih kuat dengan rakyat
yang lebih bersatu-padu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan