Khamis, 20 Ogos 2015

Ekonomi dan Ringgit Malaysia - Najib Razak

PTJ11_200815_PM_EKONOMIKerajaan telah memantau dengan teliti perkembangan terkini pasaran kewangan, termasuk pergerakan mata wang.

Jemaah Menteri dan Majlis Ekonomi membincangkan secara terperinci mengenai kedudukan ekonomi terkini di negara ini, terutamanya perkara berkaitan dengan Ringgit Malaysia.

Ini termasuk beberapa taklimat khas oleh Gabenor Bank Negara Malaysia kepada Majlis Ekonomi pada 17 Ogos 2015 dan Jemaah Menteri pada 19 Ogos 2015.

Semalam, saya telah mengadakan suatu sesi perbincangan dengan ahli ekonomi dan penganalisis dari beberapa institusi kewangan dari dalam dan luar negara.

Pada sesi ini, ahli-ahli ekonomi dan penganalisis turut mengemukakan penilaian mereka mengenai situasi ekonomi dan pasaran kewangan serta memberi maklum balas secara langsung kepada kerajaan.

Susulan daripada perbincangan Jemaah Menteri dan sesi-sesi tersebut, Kerajaan Malaysia mengambil ketetapan seperti berikut: -

1. Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, sepertimana dicerminkan dalam pertumbuhan KDNK sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua 2015 yang diumumkan minggu lepas. Struktur ekonomi terus kukuh, didokong oleh sektor Perkhidmatan dan Pembuatan yang menyumbang 76.6 peratus daripada KDNK, sungguhpun sektor-sektor perlombongan (termasuk minyak dan gas) dan pertanian berkurangan kepada 17.9 peratus daripada KDNK.

Struktur ekonomi yang kini dipelbagaikan telah mengurangkan pergantungan hasil Kerajaan ke atas minyak dan gas. Langkah kepelbagaian ekonomi ini, membolehkan hasil berkaitan minyak dikurangkan daripada 41 peratus pada tahun 2009 kepada bawah paras 30 peratus pada 2014. Dalam hal ini, kerajaan Malaysia akan meneruskan program transformasi ekonomi bagi mengukuhkan struktur dan kepelbagaian ekonomi.

Ekonomi Malaysia juga terus mencatat lebihan dagangan dan akaun semasa. Bagi separuh pertama 2015, Malaysia mencapai lebihan dagangan sebanyak RM41.7 bilion, manakala akaun semasa mencatat lebihan sebanyak RM17.6 bilion. Keadaan pasaran buruh di negara ini kekal stabil, dengan kadar pengangguran rendah 3.1 peratus pada Mei 2015. Kadar inflasi kekal pada paras yang rendah.

Daya tahan sistem kewangan kekal utuh. Pasaran kewangan domestik terus berfungsi dengan teratur, dan aktiviti pengantaraan kewangan terus berfungsi dengan cekap, memenuhi keperluan kewangan dan pembiayaan ekonomi dalam negara.

2. Memandangkan asas ekonomi yang kukuh dan persekitaran yang berbeza secara ketara berbanding semasa krisis kewangan Asia pada 1997-1998, Kerajaan Malaysia tidak akan memperkenalkan kawalan modal, atau tambatan Ringgit Malaysia kepada Dollar Amerika Syarikat.

Adalah tanggungjawab Bank Negara Malaysia menguruskan dasar monetari negara. Sehubungan itu, Kerajaan tetap menyokong kebebasan Bank Negara Malaysia tersebut, di samping lain-lain tanggungjawab yang dimandatkan.

3. Kerajaan Malaysia juga komited dalam meneruskan langkah-langkah pembaharuan dan pengukuhan kedudukan fiskal, termasuk meneruskan pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST), dan pengurangan defisit fiskal secara berperingkat ke arah mencapai bajet seimbang menjelang 2020.

Integrasi Malaysia dengan pasaran kewangan antarabangsa semakin kukuh, disebabkan oleh perdagangan dan pasaran kewangan negara yang terbuka. Integrasi ini memberikan impak terhadap pasaran kewangan negara dan kadar pertukaran mata wang.

Maka, kadar pertukaran mata wang yang fleksibel adalah amat penting untuk menyerap impak penyelarasan global tersebut dan juga volatiliti pasaran.

Walaupun Kerajaan berpandangan bahawa tahap semasa Ringgit tidak mencerminkan asas ekonomi semasa yang kukuh, Kerajaan sentiasa peka terhadap integrasi ekonomi negara dengan ekonomi global.

Oleh itu, Kerajaan tetap komited terhadap dasar mesra pasaran (market friendly policy). Seterusnya, Kerajaan tetap komited dalam mengekalkan integriti dan keterbukaan pasaran, dan tidak akan mengenakan kawalan modal, dan tidak akan melaksanakan tambatan Ringgit Malaysia kepada Dollar Amerika Syarikat.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran