Selasa, 11 Ogos 2015

Apa motif derma RM2.6 bilion kepada PM?

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendesak YAB Perdana Menteri untuk menjelaskan terlebih dahulu kepada rakyat apakah motif derma ASD 700 juta (RM 2.6 bilion) yang didepositkan ke dalam akaun peribadinya oleh penderma dari Timur Tengah tersebut?

DPPWP berpandangan isu ini perlu dijelaskan terlebih dahulu sebelum beliau bercadang untuk mengusulkan rang undang-undang berkaitan pembiayaan dana kepada parti politik khususnya untuk pilihanraya. Derma tersebut masih meragukan dan ia telah dipertikaikan sekali lagi oleh Tun Dr Mahathir kelmarin.

Sekiranya derma tersebut adalah untuk membiayai gerak kerja pilihanraya UMNO, maka Perdana Menteri sendiri gagal menunjukkan kaedah yang betul walaupun pihak PEMANDU di bawah Program Transformasi Kerajaan telah mencadangkan amalan terbaik mengenai political funding ini 6 tahun yang lalu.

PEMANDU sendiri telah mencadangkan praktis political funding di bawah makmal korupsi bagi meningkatkan transparensi dan akauntabilti. Antara cadangan tersebut ialah derma kepada parti politik mestilah dibuat atas nama dan akaun parti bukan individu serta akaun parti tersebut mestilah diaudit dan didedahkan untuk pengetahuan awam.

Maka, isu ini perlu dijelaskan bagi mengelakkan keraguan. Sekiranya ia didermakan untuk kegunaan peribadi Perdana Menteri, sudah pasti ia mempunyai motif yang lebih besar dan ia mudah terdedah kepada rasuah. Sebaliknya, jika ia bertujuan untuk operasi UMNO dalam pilihanraya, maka ia tidak selari dengan cadangan PEMANDU dan praktis terbaik dunia.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran