Khamis, 27 Ogos 2015

Najib tubuh Jawatankuasa Khas Ekonomi tangani impak global ekonomi negara

Kenyataan akhbar Perdana Menteri;

Pada Khamis 20 Ogos 2015 yang lepas, saya telah membuat kenyataan bahawa asas-asas ekonomi Malaysia adalah kukuh, sistem kewangan yang berdaya tahan dan komitmen yang berterusan dalam melaksanakan langkah-langkah pembaharuan dan pengukuhan kedudukan fiskal.

Saya juga menekankan bahawa walaupun kerajaan Malaysia berpandangan bahawa tahap semasa Ringgit Malaysia tidak mencerminkan asas ekonomi semasa yang kukuh, kerajaan sentiasa peka terhadap integrasi ekonomi Malaysia dengan ekonomi global.

Kerajaan tetap komited kepada dasar mesra pasaran dan dalam mengekalkan integriti dan keterbukaan pasaran. Oleh itu, kerajaan tidak akan mengenakan kawalan modal dan tidak akan melaksanakan tambatan Ringgit Malaysia kepada Dollar Amerika Syarikat.

Ketidaktentuan kedudukan global masa ini memerlukan tindakan lebih responsif dan tegas. Dengan mengambil kira keadaan semasa, kerajaan berazam untuk menangani dan mengurangkan sebarang impak global kepada ekonomi sebenar negara.

Oleh yang demikian, kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) yang akan melapor terus kepada YAB Perdana Menteri.

JKE akan mempertimbangkan perancangan serta merta dan jangka sederhana bagi mengukuhkan lagi asas-asas ekonomi Malaysia. Ini termasuk isu-isu semasa seperti nilai Ringgit, mengekalkan kestabilan pasaran kewangan serta mengukuhkan keyakinan dalam pasaran modal.

Keputusan untuk mewujudkan JKE adalah berdasarkan keperluan kerajaan utuk membangunkan dan melaksanakan strategi serta merta dan pelan tindakan untuk memastikan Malaysia terus dalam pertumbuhannya.

JKE akan terdiri daripada ahli ekonomi dan tokoh korporat untuk melengkapkan lagi kapasiti dan keupayaan yang sedia ada.

JKE akan bermesyuarat pada setiap minggu atau lebih kerap jika perlu untuk menimbang dan mencadangkan langkah-langkah segera.

Majlis Ekonomi yang sedia ada, yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri akan terus berfungsi.

Majlis Ekonomi memberi tumpuan kepada isu ekonomi yang menyeluruh. Majlis Ekonomi ini akan terus, antara lain; merumuskan strategi untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik; mengenal pasti cara untuk mengawal inflasi dan merangka strategi bagi memastikan bekalan yang mencukupi; dan merangka jaringan keselamatan sosial yang komprehensif untuk melindungi kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah.

JKE ini dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi dan akan terdiri daripada individu seperti berikut;

1. Bekas Menteri Kewangan yang juga Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop,
2. Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar,
3. Ketua Penasihat kepada Suruhanjaya Peraturan Perbankan China, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao,
4. Pengerusi Eksekutif Symphony Life Berhad, Tan Sri Mohamed Azman Yahya,
5. Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak,
6. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RAM Holdings Berhad, Datuk Seri Dr. K. Govindan,
7. Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali,
8. Pengerusi Persatuan Bank-Bank di Malaysia, Datuk Abdul Farid Alias,
9. Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, Datuk Seri Saw Choo Boon

JKE ini akan disertai bersama beberapa ahli ex-officio yang terdiri daripada pegawai tertinggi; Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Suruhanjaya Sekuriti, Pejabat Perdana Menteri dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (Ketua Sekretariat, Jawatankuasa Khas Ekonomi).

JKE akan diurusetiakan oleh Sekretariat di Unit Perancang Ekonomi yang mana Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk K. Yogeesvaran dilantik sebagai Ketua Sekretariat.

Pihak-pihak berkenaan akan dijemput dalam perbincangan untuk menangani isu-isu dasar, menyelesaikan urusan operasi atau membantu menyelesaikan masalah yang menghalang pertumbuhan ekonomi.

Tiada ulasan: