Isnin, 16 April 2018

Awang Adek bakal MB Kelantan?

SETAKAT ini, dua nama pemimpin UMNO Kelantan disebut-sebut bakal menteri besar sekiranya Barisan Nasional (BN) negeri itu mengambil alih tampuk pemerintahan dari Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Kedua-dua pemimpin itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.
Kewibawaan kedua-dua pemimpin ini tidak ada tolok bandingnya kerana mereka antara pemimpin Pusat yang banyak pengalaman dalam mentadbir.
Untuk merealisasikan kerusi nombor satu itu, salah seorang dari mereka perlu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan UMNO dan BN Kelantan menyatakan, setakat ini Awang Adek yang lebih mesra dengan panggilan DAA dilihat mendahului senarai nama sebagai menteri besar berbanding Mustapa yang mesra dipanggil Tok Pa.

Ini kerana, menurut sumber itu, pengalaman Tok Pa lebih diperlukan di peringkat pusat untuk meneruskan tugasnya menarik pelabur asing dan menambah pendapatan ekonomi negara melalui kementerian yang pernah diterajui (Menteri Kewangan dan Menteri MITI).
DAA pula lebih diperlukan di peringkat negeri berdasarkan pengalamannya membangunkan kawasan Bachok sebaik dilantik sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian itu pada tahun 2001.
Kejayaannya memimpin Bachok, sebuah jajahan yang agak mundur suatu ketika dahulu mendorong pimpinan atasan melantiknya sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dan bekas Duta Malaysia di Amerika Syarikat.
Kini, beliau memimpin Majlis Amanah Rakyat Malaysia (Mara) sebagai Pengerusi, menggantikan Tan Sri Annuar Musa.
Jadi, menurut kata sumber itu, sudah sampai masanya DAA diberi tanggungjawab yang lebih besar untuk rakyat Kelantan, sebagai menteri besar.
Justeru, bagi merealisasikan perkara itu, DAA perlu bertanding sama ada di DUN Perupok, tempat kelahirannya (sekarang nama baharu DUN Pantai Irama) atau Jelawat atau DUN Tawang.
Untuk rekod, tiga DUN dalam Parlimen Bachok dimenangi calon Pas. DAA gagal untuk kali kedua merampas Parlimen itu pada PRU12 dan PRU13.
“Untuk PRU14 ini, wajar DAA diberi bertanding di kerusi DUN sahaja dan pucuk pimpinan harus menamakannya sebagai calon Menteri Besar Kelantan sekiranya mahu menambat sokongan rakyat negeri ini,” kata sumber itu lagi.
Sejak terlibat dalam politik tahun 2001, DAA diberi peluang kali pertama bertanding kerusi Parlimen pada PRU11 tahun 2004. Dalam pertandingan itu, beliau menang menewaskan calon Pas, Wan Nik Wan Yusoff dengan majoriti 6,272 undi.
Pada PRU12, DAA bertanding di dua kerusi iaitu DUN Perupok melawan penyandang Pas, (Allahyarham) Datuk Omar Mohammad) dan Parlimen mencabar pendatang dari Pas, Nasharudin Mat Isa.
DAA gagal mempertahankan kerusi Parlimen Bachok, kalah dengan majoriti 2,896 undi dan gagal mengalahkan Omar dengan majoriti hanya 1,270 undi.
Dalam pertandingan PRU13 pula, DAA sekali lagi dicalonkan oleh BN untuk bertanding. Calon dari Pas bukan lagi penyandangnya, Nasharudin, sebaliknya diganti oleh anak tempatan Bachok, Ahmad Marzuk Shaari. DAA kalah kali kedua dengan majoriti tipis 201 undi.
Namun, PRU14 pada 9 Mei ini, DAA yang juga Ketua UMNO Bahagia Bachok sekali lagi disebut akan bertanding. Realitinya, ini adalah pertandingan kali keempat beliau selepas berhenti dari jawatan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia pada 2001.
Kata sumber, rakyat atau pengundi Bachok lebih suka kalau pucuk pimpinan meletakkan DAA bertanding di kerusi DUN, bukan kerusi Parlimen lagi.
“Berilah kepada orang lain atau muka baru pula sebagai calon Parlimen. Bachok mempunyai beberapa muka baru yang cukup disenangi rakyat, tetapi tidak pernah diberi peluang sama ada oleh Perhubungan BN Negeri mahupun pimpinan pusat.
“Bukan nak melobi muka baru, tetapi realitinya kalau seseorang sudah tiga kali kalah, takkan masih nak beri peluang lagi (bertanding kerusi Parlimen). Parti mahukan kemenangan dan lawan kali ini bukan calang-calang parti. BN berlawan dalam tiga penjuru,” kata sumber itu.
Menurutnya, tidak rugi BN Kelantan meletakkan calon muka baharu di Parlimen Bachok, daripada menanggung kerugian meletakkan muka lama yang tiga kali kalah dan akan berdepan dengan kekalahan lagi.
Setakat ini, BN Bachok mempunyai seorang muka baru yang disenangi penduduk dalam parlimen itu. Beliau ialah Abdul Rahim Mohamad, bekas guru dan bekas Pegawai Seranta Unit Politik, Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi. – theRakyat (Siaran 15 April 2018)

Tiada ulasan: