Isnin, 16 April 2018

Undi anda tidak rahsia? Mengarutlah

HARI ni ambo nak ceritakan sikit pasal isu yang tersebar luas mengenai kebimbangan segelintir pengundi yang mengatakan kononnya parti memerintah boleh tahu kita undi siapa.
Reason mereka kata begitu berdasarkan tercatat akan nombor siri pada kertas undi kita dan kononnya kertas itu akan disemak oleh pihak tertentu untuk mengetahui siapa yang kita undi.
Sebenarnya, sangkaan mereka itu tidak benar sama sekali. Bukan perkara mudah untuk mana-mana parti, terutama parti pemerintah nak buat semakan satu persatu kertas undi semata-mata nak tahu siapa yang kita pangkah.
Ambo pernah dua kali dipelawa oleh pagawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri untuk melantik ambo jadi kerani undi. Ambo tahulah sedikit sebanyak proses mengundi dan bagaimana kertas undi digunakan.

Memang betullah kertas undi ada nombor siri, tetapi nombor itu tidak boleh disamakan dengan siri nombor kita yang ada dalam senarai nama pengundi berdaftar.
Pada hari mengundi, semua kerani mengundi ditempatkan dalam satu bilik khas yang disediakan. Kerusi meja diatur mengikut peraturan ditetapkan SPR dan di meja itu sekurang-kurang ada tiga kerani.
Seorang kerani tugasnya menyemak nombor mykad pengundi. Kemudian kerani itu baca nama dan nombor mykad pengundi yang tersenarai dalam buku senarai pendaftar.
Selepas nama dan nombor mykad kita disahkan betul, kerani kedua akan memeriksa jari kita. Jika jari kita bersih, tidak ada apa-apa kesan atau tanda berbentuk dakwat atau apa-apa warna, dia mencelupkan jari kita ke dalam botol dakwat.
Kemudian, kita diarahkan pergi ke meja kerani ketiga. Di sini, selepas kerani ketiga melihat jari kita sudah terpalit dakwat, lalu diberikan kepada kita dua kertas undi. Satu kertas undi untuk Parlimen dan satu lagi kertas undi untuk DUN.
Kerani ini memberikan kepada kita kertas undi kosong. Dia memerhati saja kita berlalu masuk ke ruang yang disediakan SPR untuk kita memangkah calon mana yang kita nak. Kerani ini tidak akan mencatatkan apa-apa lagi selepas itu.
Dan hanya seorang kerani sahaja dibenarkan memegang pen atau pensil, iaitu kerani pertama yang menyemak nama dan nombor mykad kita.
Dua lagi kerani iaitu bahagian mencelup jari kita dalam botol dakwat dan yang memberikan kertas undi tidak dibenarkan sama sekali memegang sebarang objek menyerupai pen atau pensil.
Tugas kita sebagai pengundi selepas menerima dua kertas undi itu ialah memangkah (X). Di meja yang disediakan tempat kita memangkah itu disediakan pensil yang diikat dengan tali. Maknanya pensil itu tidak boleh dibawa keluar atau dimasukkan dalam poket kita.
Memangkah pula ada sistem dan kaedahnya. Setiap pengundi mesti memangkah calon yang kita nak dalam kotak empat segi yang tercetak pada kertas undi itu.
Kalau kita terlebih pangkah sehingga terkeluar dari kotak itu, undi kita dianggap rosak dan masa membilang undi nanti kertas undi itu akan ditunjukkan kepada ejen parti masing-masing untuk disahkan sebagai rosak (undi rosak).
Dalam bilik khas itu juga SPR menyediakan meja untuk wakil dari setiap parti bertanding melihat dan mengemukakan bantahan kepada Ketua SPR yang bertugas pada saluran itu jika berlaku sebarang pelanggaran protokol mengundi.
Pendek kata, proses mengundi ini sangat ketat dan bersistematik. Itu undang-undang yang disediakan sejak dahulu hingga kini. Tidak kira siapa Perdana Menteri atau Pengerusi SPR, itulah sistem yang dijalankan.
Pada ambo, undi tetap rahsia, dan cerita yag tular mengatakan undi bukan rahsia adalah cerita yang sengaja disebarkan untuk menakut-nakutkan pengundi sahaja.
Untuk itu, ambo juga nak pesan kepada pengundi, kalau tiba-tiba kertas undi yang anda dapat itu ada tanda-tanda diceroboh, seperti terdapat kesan titik dalam kotak calon-calon yang perlu anda pangkah, anda perlu melaporkan segera kepada Pegawai SPR yang bertugas di saluran itu.
Ini kerana, mana-mana kertas undi yang ada tanda seperti itu akan dianggap tidak sah dan anda boleh minta tukar kertas undi baharu dari Pegawai SPR berkenaan.
Jika anda dapat kertas undi yang benar-benar bersih dari sebarang tanda dari pen atau pensil, baharulah anda boleh memangkah calon yang anda hendak.
Itulah sedikit sebanyak proses mengundi yang ambo tahu dan ambo beritahu ini berdasarkan pengalaman ambo sebagai kerani mengundi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: