Rabu, 25 April 2018

Pembangkang kitar semula manifesto lama

HAMPIR semua parti memerintah di seluruh negara sudah melancarkan manifesto pilihan raya umum masing-masing. Pelbagai janji dan tawaran disediakan untuk negeri dan rakyat mereka.
Bagi rakyat di negeri yang diperintah oleh pembangkang seperti Kelantan oleh Pas, Selangor oleh Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR, Pas dan DAP serta Pulau Pinang oleh DAP, harus bijak membuat penilaian antara janji dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dan gula-gula yang ditawarkan dalam manifesto PH.
Apa yang kita tahu, setakat ini manifesti BN tidak pernah mengecewakan kita sebagai rakyat. Segala janji yang ditawarkan, dilaksanakan sebaik mungkin. Ini berbeza dengan janji kerajaan PH, semua janji sampai sekarang belum dilunaskan.
Hari ini, pembangkang tabur janji lagi. Janjinya adalah janji lama yang tidak ditunaikan. Janji yang sudah lapuk itu, di bawa keluar dari saji, ditambah kicap, sos dan perasa supaya kelihatan baharu, padahal rasanya sudah basi.
Oleh itu, sudah tiba masanya rakyat di tiga negeri ini melakukan perubahan. Jangan lagi biarkan pemimpin dari parti yang hanya pandai bercakap itu mentadbir negeri anda. Cukuplah. Tengoklah rakan-rakan anda di negeri yang diperintah oleh BN. Mereka jauh lebih maju dan membangun dari kita.
Mereka ada lebuh raya, mereka ada rangkaian jalan raya yang baik dan mereka juga ada kilang perindustrian, tempat anak-anak muda bekerja mencari rezeki.

Kita, di negeri yang diperintah oleh blok pembangkang, apa ada? Anak-anak muda, lelaki perempuan dan yang dewasa merantau ke ibu kota untuk mencari sesuap nasi. Gaji mereka pula, cukup untuk membayar sewa bilik, membayar bil letrik, bil air, makan minum harian sehingga nak hantar kepada mak ayah di kampung dan nak beli pakaian pun tidak cukup.
Tapi kerana tidak mahu diejek sebagai penganggur, mereka keluar juga dari rumah, kampung halaman dan negeri kelahiran untuk bekerja.
Ada ketua kerajaan negeri yang diperintah blok pembangkang ambil kisah masalah ini? Tidak ada. Mereka hanya sibuk berpolitik dan mengumpul kekayaan dari sumber dan khazanah negeri untuk mengkaya rayakan keturunan masing-masing.
Pada kerajaan negeri seperti ini, rakyat hidup susah, tak apa. Asalkan mereka dan anak beranak mereka hidup senang lenang.
Mereka tidak laksanakan apa yang dijanjikan dalam manifesto, tak mengapa, sebab bagi mereka, rakyat mudah lupa.
Saya masih ingat lagi bekas seorang menteri besar di Selangor pernah memberitahu kepada media, bahawa manifesto bukan janji. Kalau tidak ditunaikan pun tidak mengapa.
Dan ternyata memang benar kata-kata mantan menteri besar itu, apabila sepanjang beliau mentadbir Selangor dari 2008 hingga 2014, beliau tidak menunaikan walau satu pun perkara-perkara yang dijanjikan.
Baginya, kenapa perlu dikota dan ditunaikan, sedangkan manifesto hanya sebuah kertas yang digunakan untuk memikat dan menarik sokongan rakyat supaya memberi undi kemenangan kepada pembangkang.
Selepas Selangor bertukar menteri besar melalui ‘Langkah Kajang’ pun, perangainya sama dengan menteri besar yang digulingnya. Masalah air yang selama ini tidak pernah berlaku, tiba-tiba berlaku. Puncanya, berlaku usaha nak mengambil alih syarikat-syarikat air sehingga perkhidmatan air terjejas.
Rakyat Selangor berdepan dengan masalah keputusan air sehingga seminggu lamanya. Tapi ada pemimpinnya kisah? Tepuk dada tanya selera. – theRakyat

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran