Ahad, 8 April 2018

Kerajaan sementara masih urus dan tadbir negara

HARI ini 7 April 2018 bersamaan Sabtu terbubarlah Dewan Parlimen bagi Penggal ke-13. Hari ini juga secara automatiknya Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri akan meneruskan tugas serta tanggungjawab mereka sebagai kerajaan sementara untuk mentadbir urus negara.
Hari ini juga beberapa negeri akan mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Dipertuan Negeri masing-masing untuk memaklumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN). Ada juga beberapa negeri akan berbuat esok dan lusa, kecuali Sarawak yang telah mengadakan ilihan raya negeri pada 7 Mei 2016.
Selepas Parlimen dibubarkan sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sesegera mungkin akan mengeluarkan writ dan arahan kepada Pegawai-Pegawai Pilihan Raya Negeri untuk memaklumkan pilihan raya akan diadakan di negeri masing-masing.
Ada yang bertanya, kalau Parlimen dan DUN sudah dibubarkan, adakah Najib masih perdana menteri? Adakah yang memegang jawatan menteri besar masih berfungsi sebagai menteri besar? Begitu juga bagi mereka yang ada jawatan dalam Kabinet dan kerajaan negeri?

Jawabnya, “Ya”, Najib masih Perdana Menteri dan yang lain-lain masih bergelar menteri serta menteri besar. Mereka akan terus mentadbir negara dan negeri seperti juga sebelum ini.
Beliau dan kabinetnya akan meneruskan tugas sebagai kerajaan, tetapi tidak boleh sesekali mengumumkan inisiatif baharu, membuat keputusan dasar atau belanjawan baharu.
Inilah sistem pentadbiran Britsh yang masih kekal diamal dan dilaksanakan kerajaan negara ini sejak dari merdeka sehingga kini, dan ianya berjaya memberi kesan positif kepada negara.
Kalau ada suara-suara sumbang menolak amalan ini, itu tidak masuk akal. Sebab di zaman pemerintahan dan kekuasaan sesiapa sahaja sebagai Perdana Menteri, mereka juga menggunapakai amalan serta sistem ini.
Mengikut Artikel 55(4) Perlembagaan Persekutuan, satu pilihan raya umum wajib dijalankan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran, manakala sidang Parlimen seterusnya (bagi Penggal ke-14) wajib dilaksanakan dalam tempoh 120 hari dari tarikh pembubaran Parlimen (hari ini).
Dengan kata lain, kalau mengikut artikel itu, tarikh akhir boleh diadakan pilihan raya ialah sehingga 7 Jun ini, manakala sidang Parlimen perlu diadakan selepas 7 Julai 2018.
Bagaimanapun, SPR tidak pernah menetapkan tarikh pilihan raya semaksimum mungkin. Biasanya PRU diadakan pada minggu ketiga atau minggu keempat atau lebih tepat sebulan selepas Parlimen dan DUN dibubarkan.
Sekarang parti-parti bertanding hanya perlu menunggu SPR mengadakan mesyuarat dan mengumumkan tarikh-tarikh penting seperti penamaan calon, undi pos, mengundi awal dan mengundi biasa.
PRU14 ini juga menyaksikan persempadanan semula kawasan Parlimen dan DUN di seluruh negara yang telah disahkan. Tiada pertambahan atau pengurangan kerusi bagi kedua-dua kawasan, melainkan kekal kepada 222 kerusi Parlimen dan 587 kerusi DUN termasuk 82 kerusi DUN di Sarawak.
Laporan Kajian Semula Persempadanan ini turut berlaku perubahan nama pada 12 kawasan Parlimen dan 28 kawasan DUN. Ia hanya melibatkan pindaan ejaan lama kepada ejaan baharu dan ada meliputi perubahan seperti Parlimen Bangi yang asalnya dikenali sebagai Parlimen Serdang, Parlimen Subang (Kelana Jaya), Parlimen Damansara (Petaling Jaya Utara) dan Parlimen Iskandar Puteri (Gelang Patah).
Kali terakhir kajian semula persempadanan itu diadakan pada 2003 dan menurut Perlembagaan Persekutuan ia perlu diadakan sekurang-kurangnya lapan tahun.
Menurut laporan berkenaan, kriteria kajian semula itu berdasarkan keadaan geografi dan topografi kawasan, tahap pembangunan kawasan terlibat, keadaan demografi, kepadatan penduduk dan bilangan pemilih, serta kemudahan asas infrastruktur seperti jalan raya dan sistem komunikasi.
Secara keseluruhannya, sebanyak 600 representasi daripada 1,685 representasi yang diterima diadakan siasatan tempatan.
Kajian semula persempadanan sejak 15 September 2016 itu dilakukan dengan telus melalui proses notis persempadanan, pameran, syor, representasi dan siasatan tempatan.
Sementara itu, jumlah pemilih di Semenanjung Malaysia adalah 11.3 juta orang atau 11,379,352 orang mengikut daftar pemilih yang diperakui dan diwartakan pada 13 Mei 2016 dan 6 September 2016. – theRakyat (Siaran 7hb April 2018)

Tiada ulasan: