Khamis, 1 Januari 2026
Mas Ermieyati dan Politik Kelangsungan PN di Melaka
KEPUTUSAN Datuk Mas Ermieyati Samsudin untuk kekal sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, meskipun beberapa pimpinan kanan Bersatu melepaskan jawatan termasuk Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mencerminkan satu realiti penting dalam politik gabungan, iaitu perbezaan keutamaan antara kepimpinan pusat dan keperluan politik negeri.
Dalam konteks politik semasa, tindakan Mas Ermieyati tidak boleh dilihat secara terpisah atau semata-mata sebagai keengganan mengikut arus kepimpinan pusat.
Sebaliknya, ia perlu dianalisis sebagai langkah strategik yang berpaksikan pertimbangan pilihan raya dan kestabilan organisasi, khususnya ketika Melaka dijangka berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Hujah utama Mas Ermieyati bertumpu kepada keperluan kesinambungan kepimpinan bagi memastikan jentera parti berada dalam keadaan siap siaga.
Dalam politik pilihan raya, kekosongan atau pertukaran kepimpinan secara mengejut sering membawa implikasi negatif, daripada kelemahan penyelarasan jentera sehingga kekeliruan di peringkat akar umbi.
Dengan PRN Melaka di ambang mata, sebarang pergolakan dalaman berisiko menjejaskan keyakinan pengundi terhadap PN sebagai sebuah gabungan yang stabil.
Justeru, keputusan untuk kekal boleh ditafsirkan sebagai usaha “damage control” bagi mengelakkan kesan domino daripada krisis kepimpinan di peringkat pusat.
Menarik untuk diperhatikan, Mas Ermieyati menegaskan, hubungan antara Bersatu dan Pas di Melaka berada dalam keadaan harmoni, selari dengan situasi di Kelantan dan Terengganu.
Kenyataan ini membawa mesej jelas bahawa konflik yang tercetus di peringkat nasional khususnya susulan kemelut di Perlis, tidak semestinya mencerminkan realiti di semua negeri.
Dalam gabungan longgar seperti PN, kestabilan sering bergantung kepada dinamik tempatan. Jika kerjasama negeri masih kukuh, kepimpinan negeri mempunyai insentif untuk mempertahankan status quo demi kelangsungan politik masing-masing.
Ini sekali gus menjelaskan mengapa terdapat pendekatan berbeza antara pimpinan pusat dan negeri.
Namun, keputusan Mas Ermieyati juga tidak terlepas daripada tekanan persepsi awam. Desakan supaya beliau mengikut jejak langkah Muhyiddin dan pimpinan Bersatu lain mencerminkan jangkaan sebahagian penyokong terhadap prinsip “tanggungjawab kolektif”.
Dengan menegaskan, beliau hanya akan melepaskan jawatan berdasarkan keputusan matang, bukannya tekanan emosi atau sentimen sementara, Mas Ermieyati cuba meletakkan dirinya sebagai pemimpin rasional, bukan reaktif.
Ini satu percubaan untuk mengekalkan kredibiliti politik, khususnya dalam kalangan pengundi sederhana yang menilai kestabilan sebagai nilai utama.
Lebih penting, pendirian ini menghantar isyarat kepada kepimpinan baharu PN bahawa penyelesaian konflik memerlukan kebijaksanaan, kompromi dan kefahaman terhadap realiti negeri.
Retorik “adik-beradik” antara Pas dan Bersatu yang digunakan Mas Ermieyati menggambarkan harapan, perbezaan pandangan masih boleh dirunding tanpa mengorbankan gabungan secara keseluruhan.
Jika kepimpinan pusat gagal meredakan ketegangan, keputusan pemimpin negeri seperti Mas Ermieyati untuk bertahan mungkin menjadi pedang dua mata, sama ada membantu menstabilkan PN di peringkat akar umbi atau sebaliknya menonjolkan perpecahan hala tuju dalam gabungan tersebut.
Secara keseluruhan, tindakan Mas Ermieyati bukan sekadar soal enggan meletakkan jawatan, tetapi mencerminkan percaturan politik yang lebih besar, antara idealisme kepimpinan pusat dan pragmatisme pilihan raya di peringkat negeri.
Menjelang PRN Melaka, keberkesanan keputusan ini hanya dapat diukur melalui satu perkara utama, iaitu sejauh mana PN mampu tampil sebagai gabungan yang bersatu, stabil dan diyakini pengundi.
Dalam politik, kelangsungan sering menjadi mata wang paling berharga. Mas Ermieyati jelas memilih untuk mempertaruhkannya. - ND 01 Januari 2026
Left. Jen. Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh: Pemikir Strategik, Arkitek Transformasi dan Tonggak Kesihatan Ketenteraan Negara
DALAM sejarah pembangunan perkhidmatan kesihatan ketenteraan Malaysia, nama Leftenan Jeneral Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh berdiri sebagai satu simbol kepimpinan unggul, keilmuan mendalam dan khidmat bakti yang merentasi sempadan nasional dan antarabangsa.
Dengan pengalaman profesional melebihi 33 tahun, beliau bukan sahaja membentuk hala tuju Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah mengangkatnya ke tahap kesiapsiagaan strategik yang sejajar dengan cabaran keselamatan dan kesihatan global abad ke-21.
Dilahirkan di Kelantan pada 1 Mei 1967, (Dr) Zulkeffeli memulakan perjalanan akademiknya dalam bidang perubatan di Army Medical College, Universiti Quaid-e-Azam, Pakistan dan menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan pada tahun 1991.
Keunggulan akademik beliau diteruskan dengan pengajian lanjutan apabila memperoleh Diploma Pascasiswazah Perubatan Aeroangkasa dari School of Aerospace Medicine, Tentera Udara Amerika Syarikat pada tahun 1996, diikuti Diploma Pascasiswazah Perubatan Penerbangan dari Royal College of Physicians, London pada tahun 1997 serta Sarjana Kesihatan Awam dari Universiti Malaya (UM) pada 2012.
Beliau menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1992 dan memulakan perkhidmatan ketenteraannya sebagai Pegawai Perubatan Rejimen di Rejimen Gerak Khas ke-22, satu penugasan awal yang mencerminkan tahap kepercayaan tinggi terhadap keupayaan profesional beliau.
Seiring masa, kepakarannya dalam perubatan penerbangan, aeroangkasa dan kesihatan awam menjadikan beliau aset strategik kepada ATM, khususnya dalam pembangunan keupayaan kesihatan operasi.
Latihan lanjutan beliau dalam Perubatan Aeroangkasa dan Penyiasatan Kemalangan Pesawat di Amerika Syarikat serta latihan Aeroperubatan di Moscow, Rusia telah memberikan perspektif global yang luas dalam pengurusan risiko, keselamatan penerbangan dan kesiapsiagaan kesihatan operasi.
Kepakaran ini dimanfaatkan sepenuhnya dalam perkhidmatan beliau bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk penugasan di Institut Perubatan Penerbangan TUDM, di mana (Dr) Zulkeffeli memainkan peranan utama dalam pembangunan kemudahan latihan aeroperubatan bertaraf dunia, termasuk pembinaan High-Performance Human Centrifuge bagi Simulator G dan Pusat Latihan TUDM di Pangkalan Udara Subang.
Keupayaan kepimpinan antarabangsa beliau diiktiraf apabila dilantik sebagai Pegawai Perubatan Pasukan bagi Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Referendum Sahara Barat (MINURSO) pada Disember 2002.
Dalam kapasiti ini, beliau mengetuai unit perubatan antarabangsa, bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keseluruhan operasi perubatan misi, termasuk aspek pentadbiran, strategik, pemindahan perubatan merentas teater dan penyelarasan rawatan.
Beliau turut menyelia perkhidmatan perubatan Unit Perubatan Korea dan bertanggungjawab secara langsung kepada Wakil Khas Setiausaha Agung PBB serta Komander Pasukan MINURSO.
Sumbangan (Dr) Zulkeffeli kepada negara melangkaui domain ketenteraan apabila dipinjamkan ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai Pengarah Program Angkasa Negara dari Julai 2004 hingga Jun 2009.
Dalam tempoh itu, beliau bertanggungjawab merangka keseluruhan proses pemilihan, kriteria dan latihan calon angkasawan negara, yang mana di bawah kepimpinannya, Malaysia mencatat sejarah dengan kejayaan menghantar angkasawan pertama ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Beliau turut mengurus pelaksanaan penyelidikan saintifik di ISS serta menyelia latihan dan penilaian dua calon akhir di Pusat Latihan Kosmonaut Star City, Moscow. Di samping itu, beliau juga berkhidmat sebagai ahli Panel Penilaian Geran Penyelidikan Saintifik Aeroangkasa Kebangsaan dari tahun 2004 hingga 2006.
Sekembalinya ke ATM, (Dr) Zulkeffeli terus memegang pelbagai jawatan strategik, antaranya sebagai Ketua Unit Aerofisiologi di Institut Perubatan Penerbangan TUDM dari Julai 2006 hingga Jun 2007, beliau bertanggungjawab membangunkan keperluan dan silibus latihan aeroperubatan bagi TUDM serta unit penerbangan lain termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia, Unit Udara Tentera Darat, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Selepas memperoleh Sarjana Kesihatan Awam dari Universiti Malaya, beliau dilantik sebagai Inspektorat Jeneral Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM pada Mac 2013 hingga November 2013. Dalam peranan ini, beliau bertanggungjawab memastikan pematuhan piawaian penyampaian perkhidmatan kesihatan ATM di seluruh negara.
Beliau turut merangka Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan ATM serta melaksanakan audit pematuhan perkhidmatan kesihatan, menyemak struktur organisasi, mengoptimumkan sumber manusia dan memperkukuh aplikasi teknologi dalam penjagaan pesakit. Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa pembangunan Protokol Standard Perkhidmatan ATM serta penyumbang kepada Pelan Transformasi Generasi Baharu ATM.
Pada November 2013 hingga Februari 2015, (Dr) Zulkeffeli dilantik sebagai Ketua Jabatan Perubatan Ketenteraan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan. Di sini, beliau mengetuai jabatan yang bertanggungjawab terhadap perlindungan kesihatan anggota ATM dan memperkenalkan Program Pengoptimuman Prestasi dan Kesejahteraan Insan, yang memantau kesejahteraan fizikal, psikologi, sosial dan spiritual anggota sepanjang perkhidmatan mereka, selain memperkukuh pengesanan awal penyakit melalui pemeriksaan berkala.
Seterusnya, sebagai Ketua Jabatan Pakar Perubatan Primer dari Februari 2015 hingga September 2016, beliau bertanggungjawab terhadap pengurusan strategik perkhidmatan kesihatan primer ATM, pembangunan silibus dan protokol latihan di Institut Kesihatan ATM serta perancangan kerjaya pakar perubatan primer masa hadapan.
Kemuncak pengurusan hospital beliau terserlah apabila dilantik sebagai Pegawai Memerintah merangkap Pengarah Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dari September 2016 hingga Mei 2018. Dalam kapasiti ini, beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap operasi hospital merangkumi pentadbiran sumber manusia, penyampaian perkhidmatan, pematuhan piawaian kesihatan, pengurusan kewangan, perancangan bajet tahunan, logistik, farmaseutikal serta obligasi kontrak. Beliau juga berperanan sebagai penilai perubatan pentadbiran MSQH dan bertanggungjawab terus kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM.
Sebagai Pengarah Kesihatan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM dari Mei 2018 hingga Januari 2019, beliau menerajui inisiatif penjagaan kesihatan primer, pencegahan penyakit dan peluasan liputan kesihatan kepada anggota ATM, keluarga, tanggungan serta veteran melalui pemantauan berterusan terhadap pelaksanaan dasar kesihatan kebangsaan di 119 fasiliti kesihatan ATM seluruh negara. Beliau juga mengetuai pasukan rentas fungsi dalam pembangunan dasar dan pengurusan ancaman perubatan semasa penugasan antarabangsa, termasuk misi PBB di Lubnan dan penugasan Pemerhati Tentera PBB.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Pembangunan dan Perancangan Perkhidmatan Perubatan serta Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM dari Januari 2019 hingga 29 April 2021. Dalam peranan ini, beliau bertanggungjawab terhadap perancangan strategik dan pembangunan hospital ketenteraan, pengurusan bajet, pengoptimuman sumber, pembangunan sumber manusia, naik taraf fasiliti serta pematuhan peraturan.
Salah satu legasi penting beliau ialah pelaksanaan sistem kesihatan digital bersepadu Centralized Medical Repository System (CENTROMERES), yang menghubungkan data kesihatan seluruh fasiliti ATM melalui sistem awan selamat dengan sokongan analitik strategik dan kecerdasan buatan. Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pemandu Informatik Kesihatan Kebangsaan dan Ahli Inisiatif Sistem Maklumat ATM.
Pada 30 April 2021, beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia. Dalam era paling mencabar akibat pandemik COVID-19, beliau muncul sebagai pemimpin strategik yang menerajui respons kesihatan negara melalui penubuhan Hospital Medan ATM di Kedah, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak, serta mengetuai pelaksanaan program vaksinasi ATM. Beliau turut dilantik sebagai Ahli Kumpulan Pengurusan Strategik Pasukan Petugas Khas Lembah Klang Raya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia.
Di bawah kepimpinan beliau, ATM juga melaksanakan misi kemanusiaan antarabangsa termasuk Operasi Starlight II susulan gempa bumi besar di Syria dan Turkiye, dengan penghantaran Hospital Medan Tahap 3 serta 106 anggota perubatan yang menawarkan sembilan subkepakaran termasuk perubatan kecemasan, pediatrik, oftalmologi, pembedahan maksilofasial, ortopedik dan anestesia.
Sebagai Ketua Pengarah, beliau memainkan peranan penting dalam kepimpinan perubatan dan perumusan dasar, pengurusan fasiliti kesihatan, sokongan perubatan operasi, kesihatan awam dan pencegahan penyakit, latihan dan penyelidikan perubatan, kerjasama pertahanan-awam dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, serta penyediaan perkhidmatan berterusan kepada veteran dan program pemulihan anggota cedera.
Pencapaian beliau termasuk kejayaan menerajui respons COVID-19, pelaksanaan CENTROMERES, pembangunan Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan ATM 2017–2050 serta penganjuran Indo-Pacific Military Health Exchange 2023 yang menghimpunkan 800 peserta dari 55 negara. Beliau juga menerima Anugerah Kecemerlangan Ketua Pengarah serta pelbagai darjah kebesaran persekutuan dan negeri termasuk Seri Paduka Kesatria Mahkota Kelantan, Panglima Setia Angkatan Tentera, Darjah Paduka Kesatria Mahkota Kelantan, Johan Setia Mahkota, Darjah Pahlawan Angkatan Tentera, Kesatria Angkatan Tentera, Kesatria Mangku Negara dan Ahli Ahmad Shah Pahang.
Di sebalik semua pencapaian ini, Leftenan Jeneral Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh kekal sebagai seorang pemimpin yang berpegang teguh kepada prinsip khidmat, integriti dan kemanusiaan. Beliau, bersama isteri tercinta Datin Dr Zaleha Dato’ Awang Ngah serta dua orang anak, terus menjadi inspirasi bahawa kekuatan sebenar pertahanan negara bermula dengan kesejahteraan insan yang mempertahankannya. - ND 31 Disember 2025
Tahun Baharu 2026: Memperteguh Ilmu, Memaknai Tanggungjawab
KETIKA tirai tahun 2025 dilabuhkan dan kita melangkah ke ambang Tahun Baharu 2026, saya mewakili seluruh warga Editorial Nasional Daily (ND) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para pembaca yang terus setia bersama kami.
Sokongan yang tidak berbelah bahagi inilah yang menjadi nadi dan kekuatan utama kepada kelangsungan sebuah portal berita yang masih muda usianya, namun besar tanggungjawab yang digalas.
Editorial: Penasihat Bersama, Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin dan Mohd Shah Abdullah, dan Ketua Pengarang, Manzaidi Mohd Amin.
Dalam usia dua tahun, Nasional Daily menyedari sepenuhnya kepercayaan pembaca bukan sesuatu yang datang dengan mudah dan lebih sukar lagi untuk dipertahankan.
Justeru, sejak awal penubuhannya Februari 2024, ND meletakkan prinsip kewartawanan bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi merupakan satu amanah intelektual dan moral kepada masyarakat.
Kami berusaha sedaya mungkin untuk menyajikan laporan yang tepat, analisis yang mendalam serta wacana yang berasaskan ilmu, demi memberi makna sebenar kepada fungsi media dalam sebuah negara yang sedang membangun.
Landskap media hari ini berdepan pelbagai cabaran, daripada kepantasan maklumat, limpahan berita sensasi, sehinggalah kecenderungan untuk mengorbankan ketepatan demi perhatian.
Dalam keadaan ini, ND memilih jalan yang mungkin tidak paling mudah, namun kami yakin ia jalan yang paling benar, iaitu menampilkan penulisan ilmiah, analisis berfakta dan pemikiran kritis hasil karangan tokoh akademik, penyelidik serta cendekiawan yang komited terhadap kebenaran dan keadilan ilmu.
Editorial: Pengarang Berita, Rudy Sham Abdul Rauf; dan Pengarang Seni&Sastera, Kassim Muhamad
Pendekatan ini menuntut kesabaran, ketelitian dan disiplin editorial yang tinggi. Namun kami percaya, masyarakat yang berfikir dan bermaklumat memerlukan lebih daripada sekadar tajuk sensasi, sebaliknya mereka memerlukan hujah, konteks dan kefahaman yang menyeluruh.
Dalam hal ini, ND berhasrat menjadi jambatan antara dunia akademik dan masyarakat umum, agar ilmu tidak terkurung di menara gading, sebaliknya dimanfaatkan untuk memahami realiti semasa dan merangka masa depan lebih baik.
Sepanjang dua tahun perjalanan ini, kami tidak menafikan adanya kekurangan dan ruang penambahbaikan. Setiap kritikan membina, teguran ikhlas dan pandangan pembaca kami terima dengan hati terbuka sebagai cermin untuk memperbaiki mutu kandungan serta hala tuju editorial ND.
Kepercayaan pembaca bukan sekadar ukuran kejayaan, tetapi amanah yang wajib dipelihara dengan penuh tanggungjawab.
Editorial: Ketua Wartawan, Mohamad Zulhairie; Wartawan, Abdul Ghaffar Daud dan Ismail Daud.
Menjelang tahun 2026, Nasional Daily akan terus memperkukuh komitmennya sebagai portal berita nasional yang berintegriti, bebas dan berteraskan ilmu. Kami beriltizam untuk memperluas liputan, memperdalam analisis dan memperkaya wacana nasional tanpa mengabaikan etika kewartawanan serta nilai keilmuan yang menjadi tunjang identiti ND.
Akhir kata, semoga tahun baharu ini membawa harapan, kestabilan dan kemajuan kepada negara serta kesejahteraan kepada para pembaca sekalian. Teruskan bersama Nasional Daily, bukan sekadar sebagai pembaca, tetapi sebagai rakan fikir dalam membina masyarakat yang lebih matang, kritis dan berdaya saing. - ND 31 Disember 2025
Keluar PN: PAS Tidak Perlu Takut Kembali Berdikari
PERIKATAN Nasional (PN) lahir dalam suasana politik tidak stabil selepas Pilihan Raya Umum (PRU14), ketika landskap kuasa negara berada dalam keadaan cair dan tidak menentu.
Penubuhannya lebih bersifat reaktif, iaitu sebagai jalan singkat untuk membentuk kerajaan persekutuan, bukannya hasil daripada keserasian ideologi atau falsafah perjuangan mendalam antara parti-parti terlibat.
Dalam kerangka ini, hubungan antara PAS dan Bersatu sejak awal lagi perlu difahami sebagai hubungan bersifat taktikal, bukan strategik. Kedua-duanya bergerak seiring kerana keperluan semasa, bukan kerana matlamat jangka panjang yang benar-benar sehaluan.
PAS merupakan sebuah parti berteras Islam yang telah lama bertapak dalam politik Malaysia, dengan kekuatan utama terletak pada akar umbi yang kukuh, khususnya di Kelantan dan Terengganu.
Pengalaman mentadbir negeri selama beberapa dekad memberikan PAS keyakinan dan kestabilan yang tidak dimiliki oleh banyak parti lain.
Bersatu pula ialah sebuah parti relatif baharu, yang kelangsungannya banyak bergantung kepada tokoh, elit politik dan akses kepada kuasa pusat. Perbezaan asas ini menjadikan hubungan PAS–Bersatu tidak seimbang sejak awal, apabila PAS sering dilihat sebagai penyumbang kekuatan jentera dan sokongan rakyat, manakala Bersatu lebih banyak mendapat manfaat dari segi legitimasi dan kedudukan nasional.
Jika diteliti secara jujur sejarah politik PAS, jelas parti ini tidak pernah menjadikan pakatan persekutuan sebagai syarat utama untuk menang atau mentadbir.
PAS telah membuktikan keupayaannya bergerak secara solo dan tetap berjaya. Kelantan ditadbir hampir tanpa putus sejak 1990, manakala Terengganu pula berjaya dirampas dan dipertahankan dalam beberapa pilihan raya dengan majoriti yang signifikan. Kejayaan ini bukan datang daripada kekuatan kuasa pusat, tetapi daripada jentera akar umbi yang tersusun, kesetiaan pengundi teras yang kukuh, serta naratif perjuangan yang menekankan Islam, negeri dan kebajikan rakyat.
Sebaliknya, pengalaman lalu juga menunjukkan PAS sering berada dalam posisi kurang menguntungkan apabila terlalu bergantung kepada pakatan. Dalam banyak keadaan, PAS terpaksa berkompromi dalam isu prinsip dan dilihat sekadar menjadi pelengkap kepada parti lain yang lebih lemah di peringkat akar umbi.
Keadaan ini bukan sahaja mengaburkan identiti PAS, malah menimbulkan kegelisahan dalam kalangan penyokong setia yang mengharapkan PAS kekal konsisten dengan perjuangan asalnya.
Dalam konteks ini, pembubaran PN sebenarnya memberi kesan jauh berbeza kepada PAS dan Bersatu. Bagi Bersatu, kehilangan PN bermakna kehilangan platform politik nasional yang selama ini menjadi sandaran utama.
Tanpa sokongan jentera PAS, khususnya di kawasan luar bandar, Bersatu akan berdepan kesukaran besar untuk bertahan dalam pilihan raya. Ia berisiko kembali menjadi sebuah parti elit yang bergantung kepada tokoh tertentu, lemah di peringkat negeri, dan tidak mempunyai asas ideologi yang cukup kuat untuk menarik sokongan pengundi secara konsisten.
PAS pula berada dalam kedudukan jauh lebih stabil. Secara struktur, PAS tidak bergantung kepada Bersatu untuk menang di Kelantan dan Terengganu. Kerajaan negeri ditadbir PAS telah lama berdiri tanpa sokongan pusat, dan pengundi PAS lazimnya membuat pilihan berdasarkan parti dan kepercayaan agama, bukannya semata-mata kerana pakatan politik.
Malah, pembubaran PN berpotensi menguntungkan PAS dari sudut imej dan identiti. PAS boleh kembali dilihat sebagai parti berdikari, mengurangkan persepsi ia ditunggang oleh rakan pakatan, dan memperjelaskan pendirian politiknya kepada penyokong tradisi.
Pengalaman PAS dalam PN 0.2 juga tidak boleh dipandang ringan. Apabila beberapa pemimpinnya diberi peluang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri. Mereka mula merasai sendiri hakikat sebenar pentadbiran persekutuan.
Tekanan birokrasi, kekangan dasar dan fiskal, campur tangan politik elit serta beban tanggungjawab nasional yang kompleks menjadi realiti harian. Pengalaman ini membuktikan, mentadbir pusat jauh lebih perit dan berisiko berbanding mentadbir negeri, di mana PAS mempunyai ruang lebih besar untuk melaksanakan dasar mengikut acuan sendiri.
Hakikat ini sepatutnya menjadi bahan muhasabah yang mendalam. Ia memberi isyarat jelas, kuasa pusat bukan segala-galanya, dan PAS tidak semestinya perlu terus mengejar Putrajaya sebagai matlamat utama.
Dalam banyak keadaan, obsesi terhadap kuasa persekutuan hanya mendedahkan PAS kepada risiko politik yang tinggi dan tekanan kompromi yang boleh menghakis sokongan teras.
Oleh itu, PAS wajar kembali menilai dan menegaskan semula matlamat asal perjuangannya. Fokus lebih realistik ialah memperkukuh negeri-negeri sedia ada seperti Kelantan dan Terengganu, di samping menawan dan mengekalkan negeri berpotensi seperti Kedah dan Perlis.
Pembinaan sebuah “blok negeri” yang stabil dan konsisten bukan sahaja lebih selari dengan kekuatan PAS, malah lebih rendah risikonya dari sudut politik. Dari perspektif pentadbiran dan dakwah, pendekatan ini juga lebih berkesan kerana PAS boleh menunjukkan contoh tadbir urus yang nyata, bukan sekadar retorik di peringkat pusat.
Negeri-negeri yang ditadbir PAS boleh dijadikan model kepada pentadbiran berteraskan nilai Islam, melalui kestabilan ekonomi, kebajikan rakyat dan integriti pentadbiran. Rekod seperti ini jauh lebih bernilai dan meyakinkan berbanding jawatan menteri yang bersifat sementara dalam kerajaan pusat yang rapuh dan mudah tumbang akibat permainan politik.
Sekiranya PN benar-benar dibubarkan, strategi PAS perlu dilaksanakan secara berperingkat dan berhemah. Dalam jangka pendek, PAS boleh menjarakkan diri daripada Bersatu tanpa mencetuskan konflik terbuka, sambil menegaskan pendirian berdikari dan menenangkan akar umbi agar tidak melihat situasi ini sebagai kekalahan.
Dalam jangka sederhana, tumpuan perlu diberikan kepada pengukuhan jentera negeri, persiapan menghadapi PRN dan PRU di kawasan tradisi, serta menampilkan kepimpinan negeri sebagai wajah utama PAS.
Dalam jangka panjang pula, PAS perlu membina kekuatan sendiri tanpa bergantung kepada pakatan rapuh, hanya bekerjasama secara selektif dan berprinsip, serta menjadikan negeri sebagai asas kuasa politik Islam yang berterusan.
Kesimpulannya, jika PN dibubarkan, Bersatu berkemungkinan besar kehilangan arah dan sandaran, manakala PAS tidak runtuh, malah berpeluang pulih dari segi identiti dan strategi.
Sejarah membuktikan, PAS tidak pernah bergantung kepada kuasa pusat untuk terus hidup. PAS lebih berjaya apabila bergerak solo dan menumpukan perhatian kepada negeri.
Meninggalkan pakatan yang bersifat sementara bukan satu kerugian, sebaliknya boleh menjadi langkah pembetulan yang penting. Pengalaman bersama PN 0.2 seharusnya menjadi pengajaran bahawa kuasa negeri adalah lebih realistik dan mampan, manakala kuasa pusat tanpa asas kukuh hanyalah satu ilusi yang bersifat sementara. – ND 29 Disember 2025
Hujan Tidak, Ribut Tidak: Cuti Panglima Tentera Darat dan Ujian Integriti Angkatan Tentera Malaysia
HUJAN tidak, ribut tidak, tiba-tiba meledak satu berita kurang enak didengar dalam landskap pertahanan negara.
Berita mengenai Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan yang bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi memberi ruang kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Laporan ini mengejutkan banyak pihak, bukan sahaja dalam kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tetapi juga masyarakat umum yang meletakkan kepercayaan tinggi terhadap institusi pertahanan negara.
Langkah pentadbiran yang diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu, pada zahirnya dilihat sebagai satu tindakan berhemah dan selari dengan prinsip tadbir urus baik.
Namun, di sebalik kenyataan ringkas itu, tersembunyi persoalan besar yang meresahkan, apakah makna sebenar episod ini terhadap maruah, integriti dan keyakinan awam terhadap Tentera Darat dan ATM keseluruhannya?
Perlu ditegaskan sejak awal, cuti yang dikenakan ke atas Panglima Tentera Darat bukanlah satu bentuk hukuman atau penghakiman awal. Prinsip keadilan menuntut setiap individu dianggap tidak bersalah selagi belum dibuktikan sebaliknya.
Menteri Pertahanan sendiri menegaskan, langkah tersebut diambil semata-mata bagi memastikan siasatan dapat dijalankan tanpa sebarang konflik kepentingan.
Namun, dalam konteks ketenteraan, simbolisme sesuatu tindakan jauh lebih besar daripada sektor awam biasa. Panglima Tentera Darat bukan sekadar seorang penjawat awam kanan.
Beliau adalah figur tertinggi dalam hierarki Tentera Darat, pemegang amanah keselamatan, disiplin dan moral ribuan anggota di bawah pemerintahannya. Apabila tokoh sedemikian terpalit dengan siasatan, walaupun pada peringkat awal, kesannya meresap jauh ke dalam jiwa organisasi.
Pendedahan siasatan SPRM tertumpu kepada projek perolehan Tentera Darat sejak 2023 hingga 2025 membuka kembali luka lama yang belum benar-benar sembuh dalam sektor pertahanan negara, isu perolehan dan ketelusan.
Rekod awal SPRM menunjukkan sebanyak 158 projek bernilai melebihi RM500,000 dan lebih 4,500 projek bernilai di bawah RM500,000 telah diluluskan dalam tempoh tersebut.
Angka-angka ini bukan kecil. Ia mencerminkan skala perbelanjaan yang besar dan kompleks serta membuka ruang luas kepada risiko salah guna kuasa jika kawalan dan integriti tidak dijaga rapi.
Persoalan yang timbul bukan semata-mata mengenai siapa yang bersalah, tetapi mengenai sistem itu sendiri. Adakah mekanisme semak dan imbang mencukupi?
Adakah budaya “ikut arahan” telah mengaburi keperluan untuk bertanya soalan yang sukar? Atau adakah integriti institusi telah terlalu bergantung kepada individu semata-mata?
ATM selama ini menikmati tahap kepercayaan awam yang tinggi. Ia dilihat sebagai institusi berdisiplin, patriotik dan relatif bersih berbanding banyak sektor lain. Justeru, sebarang isu mengaitkan kepimpinan tertinggi dengan siasatan rasuah membawa impak psikologi yang besar.
Lebih membimbangkan, ia berlaku dalam suasana geopolitik serantau yang tidak menentu, di mana keupayaan dan kewibawaan ketenteraan bukan sahaja diukur melalui senjata dan latihan, tetapi juga melalui integriti institusi.
Persepsi bahawa institusi pertahanan boleh terjejas oleh amalan tidak beretika, walaupun sekadar dakwaan, boleh melemahkan keyakinan rakyat dan rakan strategik.
Dalam sudut pandang yang lebih seimbang, keputusan membenarkan Panglima Tentera Darat bercuti dan membuka ruang kepada siasatan bebas juga boleh dibaca sebagai tanda kematangan institusi.
Ia mencerminkan kesediaan kepimpinan politik dan ketenteraan untuk tidak melindungi sesiapa, walau setinggi mana pun pangkatnya.
Ini adalah mesej penting. ATM tidak kebal daripada undang-undang dan prinsip akauntabiliti tetap terpakai kepada semua. Jika siasatan nanti membuktikan tiada salah laku, maka maruah individu dan institusi boleh dipulihkan dengan lebih kukuh. Jika sebaliknya, tindakan tegas akan menjadi bukti reformasi bukan sekadar slogan.
Akhirnya, episod ini adalah ujian, bukan sahaja kepada individu yang disiasat, tetapi kepada keseluruhan ekosistem pertahanan negara. Ia menguji keberanian kepimpinan untuk berterus terang, kecekalan sistem untuk membersihkan dirinya dan kematangan masyarakat untuk menilai dengan adil tanpa melompat kepada kesimpulan.
Hujan memang tidak, ribut juga tidak. Tetapi awan gelap ini wajar diperhatikan dengan serius. Dalam ketenteraan, ancaman tidak semestinya datang dari luar pagar. Kadangkala, ancaman paling berbahaya ialah kelalaian terhadap integriti sendiri.
Apa yang berlaku seterusnya akan menentukan sama ada episod ini menjadi sekadar catatan hitam yang sementara atau titik tolak kepada pembaharuan yang benar-benar mengukuhkan Angkatan Tentera Malaysia sebagai benteng negara yang bukan sahaja kuat secara fizikal, tetapi juga teguh dari segi moral dan amanah. – ND 28 Disember 2025
Kisah PAS Hampir Terburai di Kelantan: Sebuah Pengajaran Politik
SEJARAH politik bukan sekadar rekod tarikh dan angka, tetapi himpunan ujian kesetiaan, prinsip dan ketahanan sesebuah perjuangan. Dalam perjalanan panjang Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Kelantan menyimpan satu episod penting, detik di mana kerajaan PAS hampir tumbang, namun akhirnya menjadi bukti kekuatan disiplin dan kepercayaan dalam parti.
Hari ini, apabila timbul suara membandingkan pergolakan kecil di Perlis dengan sejarah lampau, elok kita kembali menoleh ke belakang. Apa yang berlaku di Perlis sekarang, jika diukur dengan neraca sejarah PAS di Kelantan, sebenarnya hanyalah ujian kecil dan pernah dilalui dalam bentuk yang jauh lebih getir.
Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 mencatatkan keputusan paling mencabar bagi PAS di Kelantan. Dari 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), PAS hanya menang 24 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) meraih 21 kerusi. Jurang ini amat nipis. BN hanya memerlukan dua kerusi tambahan untuk merampas Kelantan dari PAS.
Keadaan ini mencetuskan pelbagai spekulasi. Ketika itulah muncul apa yang sering disebut sebagai “broker politik”, individu dan pihak yang bergerak di belakang tabir, cuba memujuk dan mencatur supaya wakil rakyat PAS melompat parti.
Tekanan bukan sedikit. Tawaran yang datang bukan kecil. Namun, percaturan tersebut tidak menjadi kenyataan.
Takdir politik terus menguji. Pada tahun 2005, ADUN PAS bagi Pangkalan Pasir dalam Parlimen Pasir Mas meninggal dunia. Maka berlangsunglah Pilihan Raya Kecil (PRK) yang sangat kritikal. BN turun habis-habisan. Seluruh jentera digerakkan. Akhirnya, calon BN, Hanafi Mamat berjaya merampas kerusi tersebut.
Keputusan itu mengubah landskap. PAS kini hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di DUN Kelantan. Lebih mendebarkan, satu-satunya kelebihan itu bergantung pada DUN Kemuning dalam Parlimen Machang, kerusi yang dimenangi PAS dengan majoriti hanya dua undi.
Dua undi. Bukan dua ratus. Bukan dua ribu. Dua undi sahaja. Dalam suasana inilah, suhu politik Kelantan menjadi panas. Kenyataan cabar mencabar memenuhi media.
Broker politik kembali rancak beroperasi. Ramai menjangka PAS tidak akan mampu bertahan. Jika ada seorang sahaja ADUN berpaling, kerajaan akan jatuh.
Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. ADUN-ADUN PAS tetap istiqamah dengan janji mereka kepada parti dan rakyat. Mereka memilih untuk kekal walaupun mengetahui jika melompat, habuan yang menanti mungkin lumayan dan menjamin masa depan politik peribadi.
Keputusan itu bukan mudah. Tetapi di situlah terletaknya nilai yang jarang dibicarakan secara terbuka iaitu baiah, ikatan kesetiaan yang menjadi tunjang disiplin dalam PAS.
Melihat keadaan yang semakin tegang, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Allahyarham), akhirnya bersuara. Beliau menyeru semua pihak supaya menghentikan usaha menjatuhkan Kerajaan Negeri Kelantan melalui cara tidak bermoral.
Tun Abdullah dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempunyai hubungan peribadi yang baik, berasaskan saling hormat sebagai pemimpin dan tokoh agama. Seruan itu meredakan keadaan. Episod percubaan menjatuhkan kerajaan negeri pun berakhir.
Kelantan terus ditadbir PAS walaupun dengan kelebihan yang sangat tipis dan kerajaan berjalan seperti biasa sehingga pilihan raya berikutnya.
Di sinilah relevannya sejarah. Jika dibandingkan dengan Perlis hari ini, situasinya jauh lebih kecil. Perlis hanya mempunyai 15 ADUN. Lapan menjadi Exco, seorang Speaker dan tinggal enam ADUN PAS di luar pentadbiran. Ia bukan krisis besar seperti Kelantan 2004–2005.
Namun, prinsipnya sama. PAS tidak boleh berkompromi dalam soal kesetiaan dan disiplin parti. Bukan soal hubungan kekeluargaan, persahabatan atau alasan peribadi. Jika dibiarkan, ia akan menjadi precedent case iaitu contoh yang membenarkan perkara sama berlaku berulang kali di masa depan.
Ketegasan ditunjukkan PAS hari ini sebenarnya adalah pelaburan jangka panjang. Ia mungkin mengundang ejekan, sindiran atau kritikan dalam jangka pendek. Namun, dalam politik kepercayaan rakyat dibina bukan dengan populariti sementara, tetapi dengan prinsip yang konsisten.
Justeru, kisah PAS hampir terburai di Kelantan bukan cerita kelemahan, tetapi kisah ketahanan. Ia membuktikan parti ini pernah diuji ditahap paling genting dan lulus ujian tersebut.
Apa yang berlaku di Perlis hari ini hanyalah gema kecil daripada badai besar yang pernah melanda Kelantan dan sejarah telah mengajar PAS satu perkara penting iaitu prinsip yang dipertahankan ketika susah akan menjadi kekuatan ketika senang. – ND 27 Disember 2025
Kes Najib: Dari Skandal 1MDB ke Hukuman Penjara dan Denda Berbilion Ringgit
DATUK Seri Najib Tun Razak telah dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahundan didenda sejumlah RM11.38 bilion hingga RM11.4 bilion berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hukuman ini akan berjalan selepas beliau menyelesaikan hukuman enam tahun (yang dikurangkan dari 12 tahun melalui pengampunan sebahagian) yang sedang dijalankan dari kes SRC International.
Semua hukuman penjara dijalankan secara serentak (concurrently). Jadi, jumlah maksimum yang sebenarnya akan dijalani oleh Najib adalah 15 tahun lagi selepas 2028.
Najib ialah bekas Perdana Menteri keenam yang memimpin negara dari 2009 hingga 2018. Ketika tempoh ini, beliau juga memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, iaitu sebuah syarikat pelaburan strategik negara.
1MDB pada asalnya diasaskan untuk menarik pelaburan asing dan merancakkan pertumbuhan ekonomi, tetapi kemudian menjadi pusat skandal kewangan terbesar dalam sejarah Malaysia.
Skandal 1MDB mula menjadi perhatian antarabangsa apabila berbilion ringgit wang negara dilaporkan hilang melalui rangkaian urus niaga kompleks yang melibatkan peluru-pelanggan, syarikat luar pesisir dan bank antarabangsa.
Bahagian dana itu dilaporkan disalur ke akaun peribadi Najib dan digunakan untuk pembelian barangan mewah, hartanah dan pembiayaan filem Hollywood seperti “The Wolf of Wall Street”.
Pengarah urus niaga seperti Jho Low dinamakan sebagai tokoh utama dalam perancangan pengaliran dana, sementara Najib berulang kali menafikan penglibatan langsung, mendakwa wang itu adalah sumbangan politik dari pemerintah Arab Saudi, dakwaan yang dibantah mahkamah sebagai “tidak masuk akal”.
Antara kes perundangan yang dihadapi Najib ialah SRC International (2020). Dalam kes ini Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berhubung salah guna dana SRC International (unit milik 1MDB) sebanyak RM42 juta.
Pada Julai 2020, beliau dijatuhi 12 tahun penjara dan didenda RM210 juta. Hukuman ini dimulakan setelah semua rayuannya ditolak dan kemudian Pardons Board memotong hukuman kepada enam tahun serta mengurangkan denda kepada RM50 juta pada 2024.
Najib mulai menjalani hukuman itu pada Ogos 2022 dan kini diputuskan hukuman baharu akan bermula selepas tarikh tamat hukuman SRC tersebut, sekitar 2028.
Kes 1MDB Tanore Finance/1MDB (2025). Ini ialah kes yang melibatkan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan sejumlah RM2.2 hingga RM2.3 bilion dana daripada 1MDB melalui akaun bank peribadi Najib.
Pada 26 Disember 2025, High Court di Putrajaya mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Hakim memutuskan hukuman 15 tahun penjara untuk setiap pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan lima tahun penjara bagi setiap pengubahan wang haram, dengan semua hukuman berjalan secara serentak, menjadikan tempoh maksimum yang perlu dijalani 15 tahun lagi selepas selesai hukuman SRC.
Selain itu, beliau dikenakan denda RM11.38 bilion untuk pertuduhan penyalahgunaan kuasa (dan turut diperintahkan memulangkan aset RM2.08 bilion di bawah undang-undang pengubahan wang haram).
Walaupun jumlah hukuman keseluruhan (jumlah hukuman teorinya boleh mencapai ratusan tahun jika dikira setiap pertuduhan), keputusan mahkamah menetapkan semua hukuman utama berjalan bersama (concurrent).
Ini bermakna Najib akan menjalani maksimum 15 tahun lagi dalam penjara selepas 2028. Jika beliau gagal membayar denda besar, ia boleh menyebabkan tambahan hukuman penjara dalam keadaan tertentu.
Pasukan pembela Najib yang diketuai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah mengisytiharkan mereka akan memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman ini.
Permohonan rayuan dijangka dihantar ke Mahkamah Tinggi atau seterusnya ke Mahkamah Rayuan, seterusnya ke Mahkamah Persekutuan.
Kes Najib ini menandakan satu daripada tindakan perundangan terbesar terhadap seorang pemimpin tertinggi negara berhubung penyalahgunaan kuasa dan salah guna dana awam iaitu hukuman terkini yang direkodkan pada 26 Disember 2025 ialah 15 tahun penjara, denda RM11.38 bilion dan hukuman bermula selepas tamat hukuman SRC International sekitar 2028.
Kes ini turut menunjukkan proses perundangan di Malaysia berlanjutan melalui peringkat pertuduhan, sabitan, rayuan serta implikasi politik dan sosial yang besar. – ND 27 Disember 2025
UMNO Dalam Kerajaan Madani: Antara Digunakan dan Ditinggalkan
SEBAGAI penganalisis politik, saya berpandangan UMNO hari ini sedang melalui fasa paling memalukan dalam sejarah politik moden parti itu, bukan kerana kekalahan pilihan raya, tetapi disebabkan kegagalan mempertahankan maruah dan janji politiknya sendiri selepas menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Ketika UMNO bersetuju untuk bergabung dengan PH bagi membentuk Kerajaan Perpaduan dan seterusnya Kerajaan Madani, terdapat persefahaman politik sama ada secara terbuka atau tersirat, bahawa nasib Najib akan diberi ruang penyelesaian yang adil dan munasabah.
Ini bukan rahsia, malah menjadi antara faktor utama yang menenangkan akar umbi UMNO untuk menerima kerjasama yang suatu ketika dahulu dianggap mustahil.
Namun, apa yang berlaku hari ini membuktikan UMNO mungkin hanya diperlukan untuk membentuk kerajaan, bukan untuk menentukan hala tuju kuasa.
Hakikat yang semakin sukar disembunyikan ialah wujud percanggahan kepentingan yang jelas antara Presiden UMNO dan Presiden PKR yang juga Pengerusi PH.
Presiden UMNO dilihat berusaha mempertahankan Najib, bukan semata-mata atas faktor individu, tetapi kerana beliau sedar mantan Perdana Menteri keenam itu masih mempunyai pengaruh besar dalam kalangan orang Melayu dan akar umbi parti.
Sebaliknya, Pengerusi PH dan sekutunya dalam DAP melihat Najib sebagai ancaman politik yang nyata. Najib di luar penjara bukan sekadar bekas perdana menteri. Beliau berpotensi menjadi pemangkin kebangkitan semula UMNO, sekali gus menggugat dominasi moral dan naratif reformasi yang menjadi aset utama PH.
Maka tidak hairanlah segala pintu seolah tertutup. Undang-undang dijadikan benteng, prosedur dijadikan alasan, pemisahan kuasa dijadikan perisai politik. Ironinya, semua hujah ini pernah ditolak mentah-mentah oleh Anwar Ibrahim ketika beliau berada di pihak pembangkang.
Inilah kemarahan sebenar akar umbi UMNO. Bukan sekadar soal Najib, tetapi soal hipokrasi kuasa. Ketika Anwar menjadi pembangkang, tekanan politik dianggap perjuangan, cabaran terhadap institusi dianggap reformasi dan pelanggaran norma dilihat sebagai keberanian moral.
Namun, apabila berada di puncak kuasa, undang-undang tiba-tiba menjadi suci, prosedur menjadi mutlak dan tuntutan UMNO pula dianggap tidak wajar, berlebihan, malah berbahaya.
Ini bukan soal keadilan, tetapi siapa yang berkuasa dan siapa yang perlu tunduk. Lebih membimbangkan, UMNO kini dilihat semakin hilang leverage politik.
Setiap kali isu Najib dibangkitkan, kepimpinan parti kelihatan defensif, terperangkap dan akhirnya akur. UMNO bercakap lantang di pentas parti, tetapi lembut dan bisu di meja kuasa.
Ini menimbulkan satu persoalan besar, adakah UMNO benar-benar rakan setara dalam Kerajaan Madani atau sekadar alat mencukupkan nombor?
Jika UMNO tidak mampu mempertahankan isu yang paling dekat dengan jantung penyokongnya, maka sukar untuk meyakinkan rakyat bahawa parti itu masih mempunyai kuasa tawar-menawar yang bermakna.
Sekiranya keadaan ini berterusan, implikasinya jelas, UMNO akan terus kehilangan sokongan akar umbi Melayu, sentimen “UMNO dipergunakan” akan menjadi naratif dominan, parti akan dilihat gagal belajar daripada kesilapan lampau – tunduk demi kuasa, akhirnya kehilangan segalanya.
Najib mungkin individu, tetapi isu ini jauh lebih besar. Ia adalah ujian maruah politik UMNO. Dalam politik, tiada pengkhianatan yang lebih besar daripada menjual kepercayaan penyokong sendiri. UMNO hari ini berisiko melakukan kesilapan itu secara perlahan, tetapi konsisten.
Jika UMNO terus membiarkan isu Najib diperkotak-katikkan atas nama reformasi selektif, maka jangan terkejut jika akar umbi akhirnya membuat kesimpulan sendiri, bahawa UMNO bukan kalah kerana lawan, tetapi kalah kerana sanggup menjadi penumpang dalam kerajaan orang lain.
Dan dalam politik, penumpang selalunya yang pertama diturunkan apabila perjalanan menjadi sukar. – ND 26 Disember 2025
Krisis Politik Perlis: Disiplin Parti atau Kepentingan Gabungan?
KRISIS politik di Perlis yang tercetus susulan dakwaan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menandatangani akuan berkanun (SD) menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, bukan lagi sekadar isu sokongan individu kepada seorang ketua kerajaan negeri.
Ia kini berkembang menjadi ujian serius terhadap keutuhan, disiplin dan kejujuran politik dalam Perikatan Nasional (PN) itu sendiri.
Hakikat lapan ADUN berkenaan datang dari parti yang sama membentuk kerajaan negeri iaitu tiga PAS dan lima Bersatu. Ia sekali gus menimbulkan persoalan mendasar: sejauh mana kesepaduan PN benar-benar wujud dan adakah prinsip yang sama diguna pakai ke atas semua pihak?
Dari sudut editorial, PAS tampil dengan pendirian yang jelas dan tegas. Tindakan menggugurkan keahlian tiga ADUNnya bukan sahaja mencerminkan komitmen kepada disiplin parti, malah mesej bahawa sebarang percubaan menggugat kepimpinan yang diputuskan parti tidak akan dikompromi walaupun risikonya adalah ketidaktentuan politik negeri.
Namun, ketegasan ini secara langsung mendedahkan kontras yang ketara dengan sikap Bersatu. Ketika PAS mengambil tindakan drastik, Bersatu memilih pendekatan berhati-hati, malah kelihatan defensif. Ketiadaan tindakan disiplin, alasan tiada mesyuarat parti serta penyerahan keputusan kepada kebijaksanaan Raja Perlis, secara tidak langsung menimbulkan persepsi standard disiplin dalam PN tidak seragam.
Di sinilah, kritikan PAS terhadap Bersatu menjadi signifikan. Teguran terbuka pemimpin PAS bukan sekadar soal emosi politik, tetapi berakar daripada persoalan prinsip.
Jika tindakan menandatangani SD dianggap satu pengkhianatan oleh PAS, mengapa ia tidak dilihat sama oleh Bersatu?
Perbandingan dengan kes ADUN Nenggiri yang lalu menambahkan beban kepada Bersatu. Ketika itu, tindakan pantas menggugurkan keahlian menyebabkan pilihan raya kecil, namun ia dibuat atas alasan mempertahankan prinsip dan mandat parti.
Maka, kegagalan mengambil langkah serupa di Perlis membuka ruang kepada tuduhan dwistandard dan kepentingan politik sempit.
Lebih merumitkan keadaan, dakwaan sebahagian ADUN Bersatu tidak berada di negeri ketika SD ditandatangani pula mencetuskan kekeliruan baharu. Sama ada dakwaan ini benar atau tidak, hakikat bahawa ia timbul mencerminkan kelemahan komunikasi dan kepimpinan dalaman parti.
Dari sudut yang lebih luas, krisis ini mendedahkan keretakan yang berpotensi melebar dalam PN. Ketika PAS memilih pendekatan berprinsip walaupun pahit, Bersatu dilihat cuba mengelak konflik dalaman, walaupun dengan kos kepercayaan rakan gabungan.
Peletakan jawatan Mohd Shukri atas alasan kesihatan, walaupun dinafikan berkait langsung dengan krisis ini, tetap berlaku dalam konteks ketegangan yang sedang memuncak.
Ini menambah lagi ketidakpastian dan membuka ruang spekulasi bahawa krisis kepimpinan di Perlis tidak ditangani secara menyeluruh dan telus.
Pada akhirnya, krisis Perlis bukan sekadar siapa menyokong atau tidak menyokong Menteri Besar. Ia adalah cerminan ujian integriti politik, sama ada prinsip ditegakkan secara konsisten, sama ada rakan gabungan diperlakukan secara adil dan sama ada kuasa politik lebih diutamakan berbanding mandat rakyat.
Jika Bersatu terus memilih untuk berdiam diri atau berlindung di sebalik alasan prosedur, ia bukan sahaja melemahkan kedudukan PAS dalam gabungan, malah menghakis keyakinan rakyat terhadap PN sebagai sebuah kerajaan yang stabil dan berprinsip.
Dalam politik, ketegasan mungkin membawa risiko jangka pendek, tetapi ketidakpastian dan ketidakkonsistenan selalunya membawa kerosakan jangka panjang.
Perlis kini menjadi pentas ujian sama ada Perikatan Nasional benar-benar sebuah gabungan yang berpaksikan prinsip atau sekadar kerjasama yang rapuh apabila kuasa mula dipersoalkan. – ND 26 Disember 2025
Langgan:
Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...








