Khamis, 1 Januari 2026
Kisah PAS Hampir Terburai di Kelantan: Sebuah Pengajaran Politik
SEJARAH politik bukan sekadar rekod tarikh dan angka, tetapi himpunan ujian kesetiaan, prinsip dan ketahanan sesebuah perjuangan. Dalam perjalanan panjang Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Kelantan menyimpan satu episod penting, detik di mana kerajaan PAS hampir tumbang, namun akhirnya menjadi bukti kekuatan disiplin dan kepercayaan dalam parti.
Hari ini, apabila timbul suara membandingkan pergolakan kecil di Perlis dengan sejarah lampau, elok kita kembali menoleh ke belakang. Apa yang berlaku di Perlis sekarang, jika diukur dengan neraca sejarah PAS di Kelantan, sebenarnya hanyalah ujian kecil dan pernah dilalui dalam bentuk yang jauh lebih getir.
Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 mencatatkan keputusan paling mencabar bagi PAS di Kelantan. Dari 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), PAS hanya menang 24 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) meraih 21 kerusi. Jurang ini amat nipis. BN hanya memerlukan dua kerusi tambahan untuk merampas Kelantan dari PAS.
Keadaan ini mencetuskan pelbagai spekulasi. Ketika itulah muncul apa yang sering disebut sebagai “broker politik”, individu dan pihak yang bergerak di belakang tabir, cuba memujuk dan mencatur supaya wakil rakyat PAS melompat parti.
Tekanan bukan sedikit. Tawaran yang datang bukan kecil. Namun, percaturan tersebut tidak menjadi kenyataan.
Takdir politik terus menguji. Pada tahun 2005, ADUN PAS bagi Pangkalan Pasir dalam Parlimen Pasir Mas meninggal dunia. Maka berlangsunglah Pilihan Raya Kecil (PRK) yang sangat kritikal. BN turun habis-habisan. Seluruh jentera digerakkan. Akhirnya, calon BN, Hanafi Mamat berjaya merampas kerusi tersebut.
Keputusan itu mengubah landskap. PAS kini hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di DUN Kelantan. Lebih mendebarkan, satu-satunya kelebihan itu bergantung pada DUN Kemuning dalam Parlimen Machang, kerusi yang dimenangi PAS dengan majoriti hanya dua undi.
Dua undi. Bukan dua ratus. Bukan dua ribu. Dua undi sahaja. Dalam suasana inilah, suhu politik Kelantan menjadi panas. Kenyataan cabar mencabar memenuhi media.
Broker politik kembali rancak beroperasi. Ramai menjangka PAS tidak akan mampu bertahan. Jika ada seorang sahaja ADUN berpaling, kerajaan akan jatuh.
Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. ADUN-ADUN PAS tetap istiqamah dengan janji mereka kepada parti dan rakyat. Mereka memilih untuk kekal walaupun mengetahui jika melompat, habuan yang menanti mungkin lumayan dan menjamin masa depan politik peribadi.
Keputusan itu bukan mudah. Tetapi di situlah terletaknya nilai yang jarang dibicarakan secara terbuka iaitu baiah, ikatan kesetiaan yang menjadi tunjang disiplin dalam PAS.
Melihat keadaan yang semakin tegang, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Allahyarham), akhirnya bersuara. Beliau menyeru semua pihak supaya menghentikan usaha menjatuhkan Kerajaan Negeri Kelantan melalui cara tidak bermoral.
Tun Abdullah dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempunyai hubungan peribadi yang baik, berasaskan saling hormat sebagai pemimpin dan tokoh agama. Seruan itu meredakan keadaan. Episod percubaan menjatuhkan kerajaan negeri pun berakhir.
Kelantan terus ditadbir PAS walaupun dengan kelebihan yang sangat tipis dan kerajaan berjalan seperti biasa sehingga pilihan raya berikutnya.
Di sinilah relevannya sejarah. Jika dibandingkan dengan Perlis hari ini, situasinya jauh lebih kecil. Perlis hanya mempunyai 15 ADUN. Lapan menjadi Exco, seorang Speaker dan tinggal enam ADUN PAS di luar pentadbiran. Ia bukan krisis besar seperti Kelantan 2004–2005.
Namun, prinsipnya sama. PAS tidak boleh berkompromi dalam soal kesetiaan dan disiplin parti. Bukan soal hubungan kekeluargaan, persahabatan atau alasan peribadi. Jika dibiarkan, ia akan menjadi precedent case iaitu contoh yang membenarkan perkara sama berlaku berulang kali di masa depan.
Ketegasan ditunjukkan PAS hari ini sebenarnya adalah pelaburan jangka panjang. Ia mungkin mengundang ejekan, sindiran atau kritikan dalam jangka pendek. Namun, dalam politik kepercayaan rakyat dibina bukan dengan populariti sementara, tetapi dengan prinsip yang konsisten.
Justeru, kisah PAS hampir terburai di Kelantan bukan cerita kelemahan, tetapi kisah ketahanan. Ia membuktikan parti ini pernah diuji ditahap paling genting dan lulus ujian tersebut.
Apa yang berlaku di Perlis hari ini hanyalah gema kecil daripada badai besar yang pernah melanda Kelantan dan sejarah telah mengajar PAS satu perkara penting iaitu prinsip yang dipertahankan ketika susah akan menjadi kekuatan ketika senang. – ND 27 Disember 2025
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...

Tiada ulasan:
Catat Ulasan