Khamis, 1 Januari 2026

Hujan Tidak, Ribut Tidak: Cuti Panglima Tentera Darat dan Ujian Integriti Angkatan Tentera Malaysia

HUJAN tidak, ribut tidak, tiba-tiba meledak satu berita kurang enak didengar dalam landskap pertahanan negara. Berita mengenai Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan yang bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi memberi ruang kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Laporan ini mengejutkan banyak pihak, bukan sahaja dalam kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tetapi juga masyarakat umum yang meletakkan kepercayaan tinggi terhadap institusi pertahanan negara. Langkah pentadbiran yang diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu, pada zahirnya dilihat sebagai satu tindakan berhemah dan selari dengan prinsip tadbir urus baik. Namun, di sebalik kenyataan ringkas itu, tersembunyi persoalan besar yang meresahkan, apakah makna sebenar episod ini terhadap maruah, integriti dan keyakinan awam terhadap Tentera Darat dan ATM keseluruhannya? Perlu ditegaskan sejak awal, cuti yang dikenakan ke atas Panglima Tentera Darat bukanlah satu bentuk hukuman atau penghakiman awal. Prinsip keadilan menuntut setiap individu dianggap tidak bersalah selagi belum dibuktikan sebaliknya. Menteri Pertahanan sendiri menegaskan, langkah tersebut diambil semata-mata bagi memastikan siasatan dapat dijalankan tanpa sebarang konflik kepentingan. Namun, dalam konteks ketenteraan, simbolisme sesuatu tindakan jauh lebih besar daripada sektor awam biasa. Panglima Tentera Darat bukan sekadar seorang penjawat awam kanan. Beliau adalah figur tertinggi dalam hierarki Tentera Darat, pemegang amanah keselamatan, disiplin dan moral ribuan anggota di bawah pemerintahannya. Apabila tokoh sedemikian terpalit dengan siasatan, walaupun pada peringkat awal, kesannya meresap jauh ke dalam jiwa organisasi. Pendedahan siasatan SPRM tertumpu kepada projek perolehan Tentera Darat sejak 2023 hingga 2025 membuka kembali luka lama yang belum benar-benar sembuh dalam sektor pertahanan negara, isu perolehan dan ketelusan. Rekod awal SPRM menunjukkan sebanyak 158 projek bernilai melebihi RM500,000 dan lebih 4,500 projek bernilai di bawah RM500,000 telah diluluskan dalam tempoh tersebut. Angka-angka ini bukan kecil. Ia mencerminkan skala perbelanjaan yang besar dan kompleks serta membuka ruang luas kepada risiko salah guna kuasa jika kawalan dan integriti tidak dijaga rapi. Persoalan yang timbul bukan semata-mata mengenai siapa yang bersalah, tetapi mengenai sistem itu sendiri. Adakah mekanisme semak dan imbang mencukupi? Adakah budaya “ikut arahan” telah mengaburi keperluan untuk bertanya soalan yang sukar? Atau adakah integriti institusi telah terlalu bergantung kepada individu semata-mata? ATM selama ini menikmati tahap kepercayaan awam yang tinggi. Ia dilihat sebagai institusi berdisiplin, patriotik dan relatif bersih berbanding banyak sektor lain. Justeru, sebarang isu mengaitkan kepimpinan tertinggi dengan siasatan rasuah membawa impak psikologi yang besar. Lebih membimbangkan, ia berlaku dalam suasana geopolitik serantau yang tidak menentu, di mana keupayaan dan kewibawaan ketenteraan bukan sahaja diukur melalui senjata dan latihan, tetapi juga melalui integriti institusi. Persepsi bahawa institusi pertahanan boleh terjejas oleh amalan tidak beretika, walaupun sekadar dakwaan, boleh melemahkan keyakinan rakyat dan rakan strategik. Dalam sudut pandang yang lebih seimbang, keputusan membenarkan Panglima Tentera Darat bercuti dan membuka ruang kepada siasatan bebas juga boleh dibaca sebagai tanda kematangan institusi. Ia mencerminkan kesediaan kepimpinan politik dan ketenteraan untuk tidak melindungi sesiapa, walau setinggi mana pun pangkatnya. Ini adalah mesej penting. ATM tidak kebal daripada undang-undang dan prinsip akauntabiliti tetap terpakai kepada semua. Jika siasatan nanti membuktikan tiada salah laku, maka maruah individu dan institusi boleh dipulihkan dengan lebih kukuh. Jika sebaliknya, tindakan tegas akan menjadi bukti reformasi bukan sekadar slogan. Akhirnya, episod ini adalah ujian, bukan sahaja kepada individu yang disiasat, tetapi kepada keseluruhan ekosistem pertahanan negara. Ia menguji keberanian kepimpinan untuk berterus terang, kecekalan sistem untuk membersihkan dirinya dan kematangan masyarakat untuk menilai dengan adil tanpa melompat kepada kesimpulan. Hujan memang tidak, ribut juga tidak. Tetapi awan gelap ini wajar diperhatikan dengan serius. Dalam ketenteraan, ancaman tidak semestinya datang dari luar pagar. Kadangkala, ancaman paling berbahaya ialah kelalaian terhadap integriti sendiri. Apa yang berlaku seterusnya akan menentukan sama ada episod ini menjadi sekadar catatan hitam yang sementara atau titik tolak kepada pembaharuan yang benar-benar mengukuhkan Angkatan Tentera Malaysia sebagai benteng negara yang bukan sahaja kuat secara fizikal, tetapi juga teguh dari segi moral dan amanah. – ND 28 Disember 2025

Tiada ulasan: