Khamis, 1 Januari 2026

UMNO Dalam Kerajaan Madani: Antara Digunakan dan Ditinggalkan

SEBAGAI penganalisis politik, saya berpandangan UMNO hari ini sedang melalui fasa paling memalukan dalam sejarah politik moden parti itu, bukan kerana kekalahan pilihan raya, tetapi disebabkan kegagalan mempertahankan maruah dan janji politiknya sendiri selepas menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH). Ketika UMNO bersetuju untuk bergabung dengan PH bagi membentuk Kerajaan Perpaduan dan seterusnya Kerajaan Madani, terdapat persefahaman politik sama ada secara terbuka atau tersirat, bahawa nasib Najib akan diberi ruang penyelesaian yang adil dan munasabah. Ini bukan rahsia, malah menjadi antara faktor utama yang menenangkan akar umbi UMNO untuk menerima kerjasama yang suatu ketika dahulu dianggap mustahil. Namun, apa yang berlaku hari ini membuktikan UMNO mungkin hanya diperlukan untuk membentuk kerajaan, bukan untuk menentukan hala tuju kuasa. Hakikat yang semakin sukar disembunyikan ialah wujud percanggahan kepentingan yang jelas antara Presiden UMNO dan Presiden PKR yang juga Pengerusi PH. Presiden UMNO dilihat berusaha mempertahankan Najib, bukan semata-mata atas faktor individu, tetapi kerana beliau sedar mantan Perdana Menteri keenam itu masih mempunyai pengaruh besar dalam kalangan orang Melayu dan akar umbi parti. Sebaliknya, Pengerusi PH dan sekutunya dalam DAP melihat Najib sebagai ancaman politik yang nyata. Najib di luar penjara bukan sekadar bekas perdana menteri. Beliau berpotensi menjadi pemangkin kebangkitan semula UMNO, sekali gus menggugat dominasi moral dan naratif reformasi yang menjadi aset utama PH. Maka tidak hairanlah segala pintu seolah tertutup. Undang-undang dijadikan benteng, prosedur dijadikan alasan, pemisahan kuasa dijadikan perisai politik. Ironinya, semua hujah ini pernah ditolak mentah-mentah oleh Anwar Ibrahim ketika beliau berada di pihak pembangkang. Inilah kemarahan sebenar akar umbi UMNO. Bukan sekadar soal Najib, tetapi soal hipokrasi kuasa. Ketika Anwar menjadi pembangkang, tekanan politik dianggap perjuangan, cabaran terhadap institusi dianggap reformasi dan pelanggaran norma dilihat sebagai keberanian moral. Namun, apabila berada di puncak kuasa, undang-undang tiba-tiba menjadi suci, prosedur menjadi mutlak dan tuntutan UMNO pula dianggap tidak wajar, berlebihan, malah berbahaya. Ini bukan soal keadilan, tetapi siapa yang berkuasa dan siapa yang perlu tunduk. Lebih membimbangkan, UMNO kini dilihat semakin hilang leverage politik. Setiap kali isu Najib dibangkitkan, kepimpinan parti kelihatan defensif, terperangkap dan akhirnya akur. UMNO bercakap lantang di pentas parti, tetapi lembut dan bisu di meja kuasa. Ini menimbulkan satu persoalan besar, adakah UMNO benar-benar rakan setara dalam Kerajaan Madani atau sekadar alat mencukupkan nombor? Jika UMNO tidak mampu mempertahankan isu yang paling dekat dengan jantung penyokongnya, maka sukar untuk meyakinkan rakyat bahawa parti itu masih mempunyai kuasa tawar-menawar yang bermakna. Sekiranya keadaan ini berterusan, implikasinya jelas, UMNO akan terus kehilangan sokongan akar umbi Melayu, sentimen “UMNO dipergunakan” akan menjadi naratif dominan, parti akan dilihat gagal belajar daripada kesilapan lampau – tunduk demi kuasa, akhirnya kehilangan segalanya. Najib mungkin individu, tetapi isu ini jauh lebih besar. Ia adalah ujian maruah politik UMNO. Dalam politik, tiada pengkhianatan yang lebih besar daripada menjual kepercayaan penyokong sendiri. UMNO hari ini berisiko melakukan kesilapan itu secara perlahan, tetapi konsisten. Jika UMNO terus membiarkan isu Najib diperkotak-katikkan atas nama reformasi selektif, maka jangan terkejut jika akar umbi akhirnya membuat kesimpulan sendiri, bahawa UMNO bukan kalah kerana lawan, tetapi kalah kerana sanggup menjadi penumpang dalam kerajaan orang lain. Dan dalam politik, penumpang selalunya yang pertama diturunkan apabila perjalanan menjadi sukar. – ND 26 Disember 2025

Tiada ulasan: