Khamis, 1 Januari 2026

Tahun Baharu 2026: Memperteguh Ilmu, Memaknai Tanggungjawab

KETIKA tirai tahun 2025 dilabuhkan dan kita melangkah ke ambang Tahun Baharu 2026, saya mewakili seluruh warga Editorial Nasional Daily (ND) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para pembaca yang terus setia bersama kami. Sokongan yang tidak berbelah bahagi inilah yang menjadi nadi dan kekuatan utama kepada kelangsungan sebuah portal berita yang masih muda usianya, namun besar tanggungjawab yang digalas. Editorial: Penasihat Bersama, Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin dan Mohd Shah Abdullah, dan Ketua Pengarang, Manzaidi Mohd Amin. Dalam usia dua tahun, Nasional Daily menyedari sepenuhnya kepercayaan pembaca bukan sesuatu yang datang dengan mudah dan lebih sukar lagi untuk dipertahankan. Justeru, sejak awal penubuhannya Februari 2024, ND meletakkan prinsip kewartawanan bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi merupakan satu amanah intelektual dan moral kepada masyarakat. Kami berusaha sedaya mungkin untuk menyajikan laporan yang tepat, analisis yang mendalam serta wacana yang berasaskan ilmu, demi memberi makna sebenar kepada fungsi media dalam sebuah negara yang sedang membangun. Landskap media hari ini berdepan pelbagai cabaran, daripada kepantasan maklumat, limpahan berita sensasi, sehinggalah kecenderungan untuk mengorbankan ketepatan demi perhatian. Dalam keadaan ini, ND memilih jalan yang mungkin tidak paling mudah, namun kami yakin ia jalan yang paling benar, iaitu menampilkan penulisan ilmiah, analisis berfakta dan pemikiran kritis hasil karangan tokoh akademik, penyelidik serta cendekiawan yang komited terhadap kebenaran dan keadilan ilmu. Editorial: Pengarang Berita, Rudy Sham Abdul Rauf; dan Pengarang Seni&Sastera, Kassim Muhamad Pendekatan ini menuntut kesabaran, ketelitian dan disiplin editorial yang tinggi. Namun kami percaya, masyarakat yang berfikir dan bermaklumat memerlukan lebih daripada sekadar tajuk sensasi, sebaliknya mereka memerlukan hujah, konteks dan kefahaman yang menyeluruh. Dalam hal ini, ND berhasrat menjadi jambatan antara dunia akademik dan masyarakat umum, agar ilmu tidak terkurung di menara gading, sebaliknya dimanfaatkan untuk memahami realiti semasa dan merangka masa depan lebih baik. Sepanjang dua tahun perjalanan ini, kami tidak menafikan adanya kekurangan dan ruang penambahbaikan. Setiap kritikan membina, teguran ikhlas dan pandangan pembaca kami terima dengan hati terbuka sebagai cermin untuk memperbaiki mutu kandungan serta hala tuju editorial ND. Kepercayaan pembaca bukan sekadar ukuran kejayaan, tetapi amanah yang wajib dipelihara dengan penuh tanggungjawab. Editorial: Ketua Wartawan, Mohamad Zulhairie; Wartawan, Abdul Ghaffar Daud dan Ismail Daud. Menjelang tahun 2026, Nasional Daily akan terus memperkukuh komitmennya sebagai portal berita nasional yang berintegriti, bebas dan berteraskan ilmu. Kami beriltizam untuk memperluas liputan, memperdalam analisis dan memperkaya wacana nasional tanpa mengabaikan etika kewartawanan serta nilai keilmuan yang menjadi tunjang identiti ND. Akhir kata, semoga tahun baharu ini membawa harapan, kestabilan dan kemajuan kepada negara serta kesejahteraan kepada para pembaca sekalian. Teruskan bersama Nasional Daily, bukan sekadar sebagai pembaca, tetapi sebagai rakan fikir dalam membina masyarakat yang lebih matang, kritis dan berdaya saing. - ND 31 Disember 2025

Tiada ulasan: