Khamis, 1 Januari 2026
Krisis Politik Perlis: Disiplin Parti atau Kepentingan Gabungan?
KRISIS politik di Perlis yang tercetus susulan dakwaan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menandatangani akuan berkanun (SD) menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, bukan lagi sekadar isu sokongan individu kepada seorang ketua kerajaan negeri.
Ia kini berkembang menjadi ujian serius terhadap keutuhan, disiplin dan kejujuran politik dalam Perikatan Nasional (PN) itu sendiri.
Hakikat lapan ADUN berkenaan datang dari parti yang sama membentuk kerajaan negeri iaitu tiga PAS dan lima Bersatu. Ia sekali gus menimbulkan persoalan mendasar: sejauh mana kesepaduan PN benar-benar wujud dan adakah prinsip yang sama diguna pakai ke atas semua pihak?
Dari sudut editorial, PAS tampil dengan pendirian yang jelas dan tegas. Tindakan menggugurkan keahlian tiga ADUNnya bukan sahaja mencerminkan komitmen kepada disiplin parti, malah mesej bahawa sebarang percubaan menggugat kepimpinan yang diputuskan parti tidak akan dikompromi walaupun risikonya adalah ketidaktentuan politik negeri.
Namun, ketegasan ini secara langsung mendedahkan kontras yang ketara dengan sikap Bersatu. Ketika PAS mengambil tindakan drastik, Bersatu memilih pendekatan berhati-hati, malah kelihatan defensif. Ketiadaan tindakan disiplin, alasan tiada mesyuarat parti serta penyerahan keputusan kepada kebijaksanaan Raja Perlis, secara tidak langsung menimbulkan persepsi standard disiplin dalam PN tidak seragam.
Di sinilah, kritikan PAS terhadap Bersatu menjadi signifikan. Teguran terbuka pemimpin PAS bukan sekadar soal emosi politik, tetapi berakar daripada persoalan prinsip.
Jika tindakan menandatangani SD dianggap satu pengkhianatan oleh PAS, mengapa ia tidak dilihat sama oleh Bersatu?
Perbandingan dengan kes ADUN Nenggiri yang lalu menambahkan beban kepada Bersatu. Ketika itu, tindakan pantas menggugurkan keahlian menyebabkan pilihan raya kecil, namun ia dibuat atas alasan mempertahankan prinsip dan mandat parti.
Maka, kegagalan mengambil langkah serupa di Perlis membuka ruang kepada tuduhan dwistandard dan kepentingan politik sempit.
Lebih merumitkan keadaan, dakwaan sebahagian ADUN Bersatu tidak berada di negeri ketika SD ditandatangani pula mencetuskan kekeliruan baharu. Sama ada dakwaan ini benar atau tidak, hakikat bahawa ia timbul mencerminkan kelemahan komunikasi dan kepimpinan dalaman parti.
Dari sudut yang lebih luas, krisis ini mendedahkan keretakan yang berpotensi melebar dalam PN. Ketika PAS memilih pendekatan berprinsip walaupun pahit, Bersatu dilihat cuba mengelak konflik dalaman, walaupun dengan kos kepercayaan rakan gabungan.
Peletakan jawatan Mohd Shukri atas alasan kesihatan, walaupun dinafikan berkait langsung dengan krisis ini, tetap berlaku dalam konteks ketegangan yang sedang memuncak.
Ini menambah lagi ketidakpastian dan membuka ruang spekulasi bahawa krisis kepimpinan di Perlis tidak ditangani secara menyeluruh dan telus.
Pada akhirnya, krisis Perlis bukan sekadar siapa menyokong atau tidak menyokong Menteri Besar. Ia adalah cerminan ujian integriti politik, sama ada prinsip ditegakkan secara konsisten, sama ada rakan gabungan diperlakukan secara adil dan sama ada kuasa politik lebih diutamakan berbanding mandat rakyat.
Jika Bersatu terus memilih untuk berdiam diri atau berlindung di sebalik alasan prosedur, ia bukan sahaja melemahkan kedudukan PAS dalam gabungan, malah menghakis keyakinan rakyat terhadap PN sebagai sebuah kerajaan yang stabil dan berprinsip.
Dalam politik, ketegasan mungkin membawa risiko jangka pendek, tetapi ketidakpastian dan ketidakkonsistenan selalunya membawa kerosakan jangka panjang.
Perlis kini menjadi pentas ujian sama ada Perikatan Nasional benar-benar sebuah gabungan yang berpaksikan prinsip atau sekadar kerjasama yang rapuh apabila kuasa mula dipersoalkan. – ND 26 Disember 2025
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...

Tiada ulasan:
Catat Ulasan