Rabu, 21 Disember 2011

Najib: Tun M hasilkan 3 aspek kepimpinan besar

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Datuk Seri Najib Razak berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya menghasilkan tiga aspek kepimpinan penting yang sangat besar dalam pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata, tiga aspek itu ialah mewujudkan misi nasional iaitu Wawasan 2020, menyelamatkan ekonomi negara ketika krisis kewangan dunia pada 1997 dan menggalakkan rakyat menanam semangat keyakinan diri yang tinggi melalui slogan ‘Malaysia Boleh’.

“Bila Tun (Mahathir) ungkapkan ucapan visi Malaysia jadi negara maju, ia cetuskan satu semangat di kalangan rakyat dan hari ini kita berdiri di pusingan akhir.

“Saya boleh menyokong apa yang Tun (Mahathir) sebut bahawa dia tentu sekali tidak akan menyerahkan negara kita ini kepada penguasaan IMF dalam apa jua keadaan, sebaliknya kalau ada orang nak tuduh dia (Tun) menulis surat itu, saya fikir itu mengarut belaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Tun Dr Mahathir: Legasi Tersohor dan Pelancaran Program Kepimpinan Ulung Mahathir (MDIP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Majlis turut dihadiri Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamed Ali serta isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib menambah, kesemua usaha yang dilakukan Dr. Mahathir itu memberikan kesan yang besar dan berjaya meletakkan Malaysia ke arah visi negara maju dan memberikan keyakinan kepada rakyat.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir dalam ucapannya memberi jaminan akan terus menyumbangkan pengalaman dan pendapatnya untuk kemajuan negara selagi diperlukan.

Sementara itu, MDIP diwujudkan bertujuan memberikan penghormatan atas jasa dan kepimpinan Dr. Mahathir terhadap pembangunan Malaysia.

Program itu memberikan geran penyelidikan kepada golongan profesional berumur 35 tahun ke bawah dari luar negara untuk mengkaji pemikiran Dr. Mahathir dan disebarkan ke negara asal mereka.

Semua pinjaman ketika Anwar Menteri Kewangan


KUALA LUMPUR 20 Dis. - Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) berkata, semua permohonan pinjaman yang diluluskan Bank Dunia kepada Malaysia pada tahun 1999 bukan dibuat oleh beliau, sebaliknya permohonan itu dibuat lebih awal iaitu pada 1997 ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi Menteri Kewangan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, rundingan terakhir mengenai permohonan tersebut membabitkan tiga projek iaitu pinjaman untuk sektor pendidikan (AS$244 juta), sektor sosial (AS$60 juta) dan sektor teknikal (AS$100 juta) juga dibuat pada tahun 1997 (Anwar dipecat pada 1999).

Malah, beliau berkata, pinjaman AS$300 juta untuk program makanan, pendidikan tinggi serta mikro kredit yang ditandatangani pada Jun 1998 antara Bank Dunia dan Malaysia, beberapa bulan sebelum ringgit ditambat juga ketika Ketua Pembangkang itu masih lagi bergelar Menteri Kewangan.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir sekali lagi mengulangi kesediaan untuk bersumpah dan mencabar Anwar mengambil tindakan sama jika ketua pembangkang itu gagal mengemukakan bukti yang beliau pernah memohon pinjaman daripada Bank Dunia serta Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Krisis mata wang berlaku pada 1997. Secara semula jadi setiap pinjaman tidak akan diluluskan sehingga 1999 bila krisis sudah berakhir. Setiap permohonan pinjaman yang dibuat harus diikuti dengan rundingan dan kelulusan hanya akan diberi selepas segala urutan itu dilalui.

“Semua pinjaman yang dibuat pada 1997 oleh Kementerian Kewangan pada masa itu akhirnya diluluskan pada Mac 1999 tetapi kerajaan telah membuat keputusan untuk menghentikan segala pinjaman tersebut,” kata beliau dalam blognya, http://chedet.cc, hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, pada 31 Mac 1999, pinjaman yang dibuat semasa era Anwar menjadi Menteri Kewangan bagi menangani masalah Y2K, projek pendidikan dan sektor sosial telah dihentikan selepas sebahagian daripada dana pinjaman tersebut diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Tambahnya, walaupun Malaysia tidak meminjam daripada IMF, tetapi Anwar semasa menjadi Menteri Kewangan melaksanakan dasar IMF apabila menaikkan kadar faedah dan mengurangkan tempoh pengisytiharan pinjaman tidak berbayar daripada enam bulan kepada tiga bulan.

“Seluruh dunia tahu mengenai perkara ini dan walaupun Anwar tidak menentang langkah kawalan mata wang, tetapi Gabenor Bank Negara dan timbalannya (orang kanan Anwar) enggan melaksanakan dasar tersebut dan meletak jawatan,” katanya.

Selasa, 20 Disember 2011

SYABAS: Hasan Ali tolak konsep Negara Berkebajikan

KUALA LUMPUR: Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menolak konsep negara berkebajikan, sebaliknya mendesak PAS kembali ke matlamat asal parti itu bagi menubuhkan sebuah negara Islam.

Menurut beliau, PAS boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak asalkan tidak tersasar daripada matlamat utama parti untuk memperjuangkan kepentingan Melayu, mempertahankan Islam dan memartabatkan Institusi Diraja.

"Siapa saja di luar PAS ataupun dalam PAS mesti letakkan parti di pancang asalnya. Perjuangan asas itu tidak boleh dipertikaikan... itu prinsip sebenar kita yang telah berpuluh-puluh tahun dipertahankan.

"Bahkan ketika di awal penubuhan parti, ketiga-tiga prinsip itu adalah perjuangan asasnya...tiangnya itu, dindingnya itu, bumbungnya itu, semuanya itu. Dalam menubuhkan negara Islam, tiangnya adalah al-Quran," katanya pada sidang media di kediamannya di Pinggir TTDI di sini, Selasa.

Bagaimanapun, untuk menubuhkan negara Islam, beliau berkata, masyarakat di negara ini memerlukan golongan ulama yang muktabar, berfikiran jauh dan berupaya menggarap nilai-nilai Islam dalam konteks kehidupan moden hari ini.

Malah, katanya, PAS tidak perlu melaksanakan konsep negara berkebajikan yang telah diamalkan oleh pemimpin-pemimpin di negara hebat seperti Sweden, Norwary, Scandinavia, United Kingdom dan Australia yang terdiri daripada golongan berpendidikan sekular.

"Orang PAS tidak perlu menjalankan konsep ini. Dari pengamatan saya, PAS mula dikuasai golongan profesional yang lebih cenderung mengamalkan politik akomodasi hingga sanggup mengorbankan prinsip perjuangan parti yang dipertahankan sejak penubuhannya.

"Jadi, kita perlu kembali ke matlamat asal yang sudah tersasar. Apa yang saya lakukan adalah untuk mengembalikan perjuangan parti yang berpaksikan al-Quran dan Sunnah," katanya.

Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkata, ketiga-tiga prinsip itu perlu didukung untuk mengukuhkan kedudukan PAS supaya parti itu tidak dilihat terumbang-ambing dan tidak konsisten dengan dasar perjuangannya.

Ketika ditanya sama ada PAS perlu keluar daripada Pakatan Rakyat, Hasan tidak pasti mengenai perkara itu dan menyerahkannya kepada pucuk pimpinan parti.

"Perbincangan dengan lebih mendalam perlu dilakukan mengenai perkara ini. Pada saya, isu ini amat penting. Saya bertindak bukan atas sebab peribadi tetapi ingin melihat agama Islam, orang Melayu dan Institusi Diraja dimartabatkan," katanya.

Hasan berkata, beliau tidak berkeseorangan dalam hal itu kerana mendapat sokongan meluas daripada beberapa pemimpin dan penyokong PAS serta rakyat di negara ini.

"Bisikan-bisikan ini bukan datang dari saya seorang...mungkin di dalam PAS tidak ramai yang ingin keluarkan kenyataan ini. Mungkin Allah pilih saya untuk bertindak...saya pun tak tahu," katanya.

Sementara itu, beliau berpendapat, kerjasama yang terjalin dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat pada hari ini antara sebahagian faktor yang menyumbang kepada perubahan polisi dan tradisi parti itu.

"Memang benar, beberapa perkara perlu diubah suai apabila kita sertai PKR dan DAP tapi janganlah ubah suai Islam. Mungkin banyak faktor lain tapi apapun itu soal sejarah, saya tak nak sebut balik," katanya.

Saifuddin nafi sokong demonstrasi

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menafikan ‘cakap-cakap’ blog yang mendakwa beliau menyokong demonstrasi anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kelmarin.

Sebaliknya, menurut beliau, kehadirannya di situ hanyalah untuk menerima memorandum bantahan dua pertubuhan itu terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Malah, ujarnya, tindakan liar peserta demonstrasi yang bertindak biadab menggantikan bendera memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan bendera perhimpunan mereka adalah perbuatan terkutuk dan merupakan satu kesalahan.

”Sesiapa sahaja boleh memberi tafsiran tetapi kehadiran saya di sana (PWTC) hanyalah semata-mata untuk menerima memorandum. Saya menjunjung kebebasan bersuara dan politik baru yang sihat dan segar dalam mematangkan demokrasi.

”Saya juga menjunjung idealisme perjuangan mahasiswa dan percaya kepada mereka. Tetapi, perbuatan menurunkan bendera itu tidak mewakili apa yang dimaksudkan itu.

”Justeru, saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan itu dan menuntut pihak bertanggungjawab memohon maaf kepada Perdana Menteri,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan liar peserta demonstrasi anjuran SMM dan Bebas yang menurunkan bendera Najib di pekarangan PWTC semasa menyerahkan memorandum bantahan berhubung AUKU kepada UMNO.

Saifuddin berkata, ketika kejadian, beliau yang telah dihubungi penganjur demonstrasi itu kemudiannya bersetuju untuk menerima memorandum tersebut kerana mendapat maklumat sumber yang mereka sedang berarak ke PWTC dengan diselia polis.

”Bagi saya, kalau cepat saya menerima memorandum terbabit, maka cepatlah mereka bersurai. Telahan saya betul kerana tidak lama selepas itu mereka bersurai. Namun, saya hanya mengetahui insiden menurunkan bendera berkenaan melalui Twitter kira-kira sejam saya meninggalkan PWTC.

”Saya menghubungi penganjur dan mereka mengakui ia dilakukan oleh seorang anggota mereka tetapi bendera itu telah dinaikkan semula tidak lama selepas itu. Sebelumnya, pada sebelah pagi, saya telah mempengerusikan Meja Bulat Pindaan AUKU di ibu negara dan ia berjalan baik.

”Perundingan itu adalah bagi mendukung hasrat Perdana Menteri untuk meminda AUKU. Insiden menurunkan bendera Perdana Menteri bukan sebahagian daripada demokrasi yang dimaksudkan. Ia menguatkan lagi komitmen untuk menegakkan demokrasi yang sebenar dan ingin dicapai oleh pindaan AUKU,” tegasnya,

Ditanya sama ada peserta demonstrasi yang bertindak membuat kekecohan di PWTC telah dikenal pasti dan tindakan kementerian terhadap mereka yang dikatakan penuntut institusi pengajian tinggi, ujarnya, ia berlaku di luar kampus dan akan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ahad, 18 Disember 2011

JIKA IANYA BENAR - Cepat-cepatlah bertaubat

















Al kisahnya begini, baru-baru ini ada seorang bapa meminta pertolongan daripada pihak media arus perdana - Utusan Malaysia - supaya dapat mengesan anak lelakinya bernama Ariff Alfian Rosli yang gagal dihubungi keluarga sejak tiga tahun lalu.

Ariff Alfian adalah pelajar perubatan di Dublin, Ireland.

Bapanya, pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu kini dalam keadaan buntu setelah gagal mengesan anak kedua daripada empat beradik itu, termasuk membuat laporan kepada polis, Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Ireland dan Kedutaan Ireland di sini.

Prihatin dengan masalah itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh berjanji akan terbang ke United Kingdom (UK) pada 23 Disember ini untuk bertemu dengan Kelab UMNO Luar Negara UK dan Ireland dalam usaha mengesan 'kehilangan' Ariff Alfian.

Muhd Khairun berkata, ketika ini pihaknya masih mengumpul beberapa maklumat mengenai Ariff Alfian supaya usaha menjejaki pelajar perubatan itu dapat dilakukan.

Namun akhirnya disahkan Ariff Alfian berada dalam keadaan selamat di sana.

Duta Malaysia ke Ireland, Datuk Ramli Naam berkata, pihaknya maklum mengenai kehadiran Ariff Alfian di negara itu sejak beliau masih dalam pengajian lagi.

Bagaimanapun, katanya, pihak kedutaan dan Wisma Putra tidak boleh mendedahkan maklumat terperinci bekas pelajar tajaan Petronas itu kerana menghormati Akta Data Perlindungan Peribadi Dublin.

















Tetapi yang lebih mengejutkan, pelajar itu dikatakan telah berkahwin dengan seorang lelaki bernama Jonathan di sana,

Beberapa keping gambar perkahwinannya dengan seorang lelaki warga asing itu tersebar dalam sebuah laman web bigayweddingproject.com.

Apa yang mengejutkan, pada majlis perkahwinan sejenis yang dipercayai berlangsung dalam sebuah gereja di luar negara itu, dia memakai baju Melayu berwarna hitam, lengkap bersamping serta tanjak berwarna emas.

Pasangannya yang dianggarkan berusia lewat 30-an pula mengenakan busana sut lengkap warna hitam yang biasanya dipakai ketika majlis perkahwinan masyarakat Barat.
Laman web yang dipercayai menyokong perkahwinan homoseksual itu telah memuatkan sebanyak 15 keping gambar sepanjang majlis ‘perkahwinan’ itu berlangsung.


















Antara yang disiarkan adalah pasangan itu bergambar di dalam kumpulan dan sedang diraikan setelah selesai menjalani proses bergelar ‘suami-isteri’.

Terdapat dua keping gambar lelaki warga asing itu sedang bersiap sedia melangsungkan perkahwinan sambil dibantu rakan-rakannya.

Turut menarik perhatian ialah gambar yang menunjukkan lelaki Melayu itu disarungkan cincin oleh pasangannya.

Menurut keterangan yang dipaparkan bersama kepingan gambar yang dipercayai dimuatkan pada 20 September itu, pasangan terbabit merupakan klien pertama bagi projek penggambaran majlis perkahwinan golongan homoseksual dikendalikan laman web berkenaan.

Dalam hal ini, yang paling tertekan sudah tentu keluarga Ariff Alfian.
Lelaki itu sudah tentu enak dipeluk ‘suaminya’ tetapi keluarganya terutama ibu dan bapa sudah tentu berendam airmata.

Apa tidaknya, anak yang dibela, diberi didikan agama dan didikan dunia hingga berjaya menjejakkan kaki ke kolej perubatan boleh menconteng arang di muka mereka.
Itu belum dikira hutang yang terpaksa ditanggung disebabkan si anak tidak berjaya menghabiskan pelajaran.

















Dalam hal ini, penulis meminta janganlah disalahkan ibu bapanya 100 peratus…tidak ada ibu bapa di dunia ini yang mahu anak mereka jadi begitu. Bak kata pepatah…bukan salah ibu mengandung.

Mungkin ada kelemahan dalam proses mereka membesarkan Ariff Alfian tetapi sebagai seorang yang terpelajar, dia sudah tentu tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.

Penulis tidak tahu apa nak buat kalau berada di tempat ibu dan bapa lelaki berkenaan, ini kerana apa yang berlaku cukup keji dan memalukan bukan saja pada agama kita, tetapi juga pada bangsa dan negara.

Inilah padahnya kalau terlalu berfikiran liberal, semuanya hendak dihalalkan demi kebebasan dan atas nama hak asasi manusia.

Penulis pernah membaca kenyataan peguam Zainul Rijal Abu Bakar. Katanya, hak asasi tersebut sebenarnya tidak boleh bercanggah dengan prinsip utama dalam Perlembagaan.

Hak asasi ini dilihat seolah-olah menghalalkan apa jua amalan mengikut naluri nafsu golongan tertentu.

Mungkin hari ini mereka mahukan hak bagi golongan yang mengamalkan seks sejenis.
Kemudian hari kelak berkemungkinan ada yang memperjuangkan atas nama hak asasi seseorang itu bebas melakukan seks dengan anak kandung sendiri ataupun dengan haiwan.

Ini disebabkan hak tersebut perlu dihormati dan tidak ada orang yang boleh menghalangnya.

Pendekatan sebegini adalah amat terpesong dengan prinsip utama Perlembagaan Persekutuan itu sendiri selain bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Namun golongan ini tidak harus dizalimi tetapi didekati supaya mereka diberi peluang untuk balik ke pangkal jalan.

Mendekati golongan ini bukanlah dengan memperjuangkan agar mereka dapat terus mengamalkan amalan hina tersebut tetapi supaya mereka meninggalkannya, Wallahualam.

AWANG SELAMAT - Nasib Anwar

Bisik- Bisik Awang Selamat

KEPUTUSAN kes Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sama ada dibebaskan atau disabitkan kesalahan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, akan diketahui 9 Januari ini.

Tarikh itu nanti pasti menjadi perhatian ramai. Kes perbicaraan liwat tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di dunia melibatkan pemimpin pembangkang.

Pada tahun 2000, Anwar pernah dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah meliwat bekas pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar.

Dua kali dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meliwat, juga merupakan rekod.

Anwar yang selama ini mendabik dada memperjuangkan keadilan dan kebebasan, turut mengejutkan semua apabila memilih memberikan keterangan membela diri di dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah. Ia sekali gus ‘menyelamatkan’ beliau daripada disoal balas oleh pasukan pendakwaan.

Perbicaraan tersebut turut mencatat sejarah kerana mengambil masa yang panjang ekoran pelbagai permohonan difailkan oleh Anwar sehingga berpuluh-puluh kali penangguhan.

Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008 dan hanya selepas dua tahun tujuh bulan, barulah perbicaraan sebenar bermula iaitu pada 3 Februari 2010. Seingat Awang, tiada kes lain di tanah air ini yang begitu mencabar sebagaimana perbicaraan Anwar. Sehingga hari ini, beliau juga masih enggan bersumpah laknat di dalam masjid bagi menafikan pembabitan dalam kes liwat itu walaupun Saiful telah berbuat demikian.

Pada masa yang sama, Anwar terus menjadi tumpuan kontroversi kerana dikaitkan dengan rakaman video seks bersama pelacur selain isu-isu integriti. Bukti-bukti kesahihan video telah disahkan oleh pakar-pakar termasuk dari Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan polis. Kini Ketua Pembangkang itu sudah dianggap sebagai liabiliti.

Belum pernah dalam sejarah di mana-mana negara, ada Ketua Pembangkang yang paling bermasalah terutama dari segi akhlak dan moral. Dalam menanti penentuan 9 Januari ini, Awang mendapat tahu, PKR yang dipimpin oleh Anwar sudah mengatur gerakan, daripada yang bertujuan meraih simpati hinggalah kepada tindakan lebih menggemparkan.

Seperti menjangkakan Anwar akan didapati bersalah, Angkatan Muda Keadilan parti itu mula melancarkan Kempen Bebas Anwar 901 secara maya di laman twitter.

Khabarnya, ada banyak rancangan lagi. Demonstrasi jalanan, salah satu pilihan sebagaimana ketika kes liwat pertamanya dulu. Itu belum menyentuh kata dua Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang mahu merobohkan penjara jika bosnya dipenjarakan.

Anwar sendiri sanggup melakukan apa sahaja bagi menyelamatkan dirinya. Jika didapati bersalah dan dipenjarakan, Awang percaya simpati kepadanya tidak lagi seperti dahulu. Rakyat sudah kenal siapa Anwar.

Angkara nafsu peribadi tidak boleh dijatuhkan beban kepada rakyat. Anwar tahu segala risikonya kali ini. Maka ini penentuan terbesar bagi hidup dan karier politiknya, yang tidak mungkin beliau pasrah begitu sahaja. Ia memungkinkan pelan luar jangkaan. Kita nantikan apa kejutannya.

Rabu, 14 Disember 2011

Musa lapor polis demi maruah

KUALA LUMPUR 13 Dis. - "Laporan polis yang saya buat baru-baru ini untuk memulihkan imej dan maruah saya dan ahli keluarga yang terjejas," kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau yang difitnah berkahwin dengan seorang penyanyi, Syella Kamaruddin pertengahan bulan lalu meminta penulis-penulis blog yang memfitnahnya agar menghentikan perbuatan mereka.

Musa membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya pada 8 Disember lalu setelah mendawa dia difitnah beberapa penulis blog kononnya berkahwin dengan penyanyi tersebut.

"Ini semua (fitnah yang mengaitkan dirinya) adalah cerita palsu. Ia turut memberi kesan dan menjatuhkan maruah keluarga saya.

"Saya harap pihak bertanggungjawab akan menyiasat penyebaran blog berunsur fitnah ini termasuk beberapa lagi blog yang saya tidak namakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Musa, 60, baru-baru ini menafikan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya dalam beberapa blog bahawa beliau mendirikan rumahtangga dengan Syella atau Nurshid'la Ahmad Kamaruddin, 26.

Menurutnya, apa yang disiarkan dalam beberapa laman blog termasuk dakwaan beliau membelanjakan sejumlah RM15 juta untuk majlis perkahwinan itu sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan dirinya.

Beberapa keping gambar perkahwinan Syella dengan pasangannya tersiar dalam beberapa laman blog.

Antara maklumat yang disiarkan dalam blog itu adalah belanja majlis perkahwinan tersebut dianggarkan sebanyak RM15 juta, selain Syella menerima hadiah banglo bernilai RM5 juta, kereta Audi R8 berharga RM800,000, wang hantaran RM111,111, mas kahwin RM1,000, telefon bimbit, set mandian, alat solek, al-Quran, sejadah, telekung dan tasbih.

Berikutan tersiarnya gambar majlis persandingan itu, beberapa komen antara lain turut menghina bekas Ketua Polis Negara itu.

Musa dalam pada itu berkata, beliau turut menamakan tiga laman blog dalam laporan polis yang dibuatnya.

Tiga laman blog itu adalah free malays.blogpot.com, pulakdah.blogspot.com dan abushahid.wordpress.com.