Selasa, 2 April 2013

Masa untuk tamatkan karier Anwar, Nik Aziz

Dr Mahathir ketika menyampaikan ceramah pada program Bicara Perdana Bersama Pemimpin Ulung, di Kempas Permas, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) adalah masa terbaik untuk menamatkan karier politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Nik Aziz Nik Mat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri berkata, sejak dalam UMNO, Anwar bercita-cita menjadi Perdana Menteri hingga sanggup melakukan apa saja dan hasrat itu diteruskan selepas dibuang dari UMNO.

Katanya, ketika menyertai UMNO, ketua pembangkang itu bukannya memperjuangkan agama dan bangsa, tetapi cita-cita politiknya untuk menjadi Perdana Menteri.

"Dulu, waktu dia baru tiga hari masuk UMNO, dia minta jawatan Ketua Pemuda, lepas itu mahu jawatan Naib Presiden, kemudian Timbalan Presiden. Bila bagi jawatan Timbalan Menteri, dia persoal kenapa tak bagi jawatan menteri penuh, sampai saya selaku Presiden sendiri pun dia nak lawan.

"Sekarang belum menang PRU-13, dia tergila-gila nak jawatan Perdana Menteri. Beliau memang pakar kalau tunjuk perasaan. Dulu jadi dalang demonstrasi pada 1974 kononnya rakyat mati kebuluran di Baling, kemudian selepas dipecat 1999 berlaku demonstrasi, sekarang demonstrasi BERSIH pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap hampir dua jam pada program Bicara Perdana Bersama Pemimpin Ulung di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permas di sini, malam kelmarin.

Dr Mahathir juga meminta rakyat Johor menjadikan PRU-13 sebagai ‘kubur’ kepada karier politik Kit Siang (Penasihat DAP) jika beliau bertanding di negeri kubu kuat UMNO itu.

"Kalau Kit Siang berani datang sini, orang Johor mesti ganyang dia habis-habisan. Biar itu menjadi hari terakhirnya dalam politik. Jika nak bertanding di tempat lain, kita faham, tapi nak serang kubu besar UMNO di Johor, satu perbuatan yang tak masuk akal.

"Rakyat Johor mesti pastikan Kit Siang kalah di Johor sebab dia dah lama sangat. Dia kata 'ubah' (kerajaan), tapi sepatutnya dia yang patut diubah, dah lama sangat... sejak 1964. (Dalam tempoh itu) UMNO sudah enam kali bertukar kepemimpinan sejak zaman Tunku Abdul Rahman,” katanya.

Mengenai Nik Aziz, Dr Mahathir berkata, Mursyidul Am PAS itu menggelar dirinya ulama, tetapi tergamak menyatakan Tuhan mencarut serta menyamakan Nabi Muhammad SAW seperti orang kampung biasa dan tidak perlu sambut Maulidur Rasul.

"PAS juga pernah kafirkan UMNO kerana kerjasama dengan orang bukan Islam, tetapi sekarang PAS bekerjasama dengan orang bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata, hakikatnya PAS ditubuh sekumpulan pemimpin berlatar belakang agama keluar UMNO, bukan disebabkan agama, tetapi kerana kecewa apabila Tunku hanya peruntukkan satu tempat dalam Dewan Perundangan daripada 10 diminta mereka ketika itu.

Parlimen bubar seawal esok

KUALA LUMPUR: Parlimen dijangka dibubarkan seawal esok selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan.

Ini berikutan pengedaran surat daripada Jabatan Perdana Menteri meminta semua Ahli Jemaah Menteri hadir pada mesyuarat itu lengkap berpakaian lounge suit berwarna gelap dan bertali leher berwarna merah untuk sesi bergambar.

Mengikut amalan sebelum ini, Ahli Jemaah Menteri akan bergambar bersama Perdana Menteri dan timbalannya pada mesyuarat terakhir Kabinet sebelum pengumuman pembubaran Parlimen selepas mesyuarat.

Difahamkan sesi bergambar diadakan sebelum mesyuarat Kabinet esok dan Datuk Seri Najib Razak mengadakan sidang media bagi mengumumkan pembubaran Parlimen selepas itu.

Mengikut kelaziman, Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mesyuarat Kabinet bagi memohon perkenan pembubaran Parlimen.

Beberapa Menteri yang dihubungi mengesahkan menerima surat itu dan tidak menolak kemungkinan Najib mengumumkan pembubaran Parlimen selepas mesyuarat Kabinet esok seperti kelaziman sebelum ini.

"Saya sudah menerima surat dan mungkin ini adalah mesyuarat Kabinet terakhir penggal ini kerana mengikut tradisi Perdana Menteri sebelum ini, Parlimen dibubarkan selepas itu," kata seorang Menteri kepada BH semalam.

Jika Parlimen dibubarkan esok, ia genap empat tahun Najib menerajui negara selepas dilantik menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

Tempoh satu penggal atau lima tahun Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) akan berakhir pada 30 April ini dan Parlimen akan terbubar secara sendiri jika tidak dibubarkan sebelum tarikh itu.

Selepas itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh 60 hari sehingga selewat-lewatnya bulan Jun untuk mengadakan PRU-13 bagi membentuk kerajaan baru.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan menjadi negeri pertama terbubar secara automatik pada Khamis lalu dan kini ditadbir kerajaan sementara yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, jika Parlimen dibubarkan esok SPR akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin untuk menetapkan beberapa perkara dasar seperti daftar pemilih, watikah kepada pegawai SPR, tarikh penamaan calon tarikh mengundi.

Insiden Pencerobohan Lahad Datu Perlu Dijadikan Iktibar - Ketua Gempur Marin

GEORGE TOWN: Insiden pencerobohan militan di Lahad Datu dan Semporna, Sabah seharusnya menjadi iktibar kepada semua bahawa betapa pentingnya menjaga dan mempertahankan keamanan negara.

Ketua Unit Gempur Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pulau Pinang, Inspektor Hazri Zakaria berkata, peperangan yang berlaku memberi banyak kesan buruk kepada rakyat dan negara selain mengakibatkan banyak kerosakan.

"Kalau boleh elakkan peperangan dan saya sebagai pasukan keselamatan takkan benarkan ini terjadi (lagi). Walaupun dengan kudrat saya, saya akan cuba mempertahankan (negara) bukan saja untuk saya, tetapi untuk generasi akan datang.

"Saya tak nak mereka susah dalam keadaan macam ni, memang cukup susah... cukup tertekan dan banyak kesulitan. Saya lihat penduduk kampung di sana, keresahan mereka untuk teruskan hidup, sampai kena keluar daripada kampung sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan kepulangan petugas-petugas Operasi Daulat PPM Wilayah 1 Pulau Pinang, di sini Selasa.

Pada majlis itu, seramai 16 pegawai dan anggota dari PPM Wilayah 1 Pulau Pinang, Markas Langkawi, Kedah dan Markas Kampung Acheh, Perak menerima surat penghargaan dan cenderahati daripada Timbalan Ketua Ketua PPM Wilayah 1 negeri Supt R. Morgan.

Berikutan keadaan tegang di kawasan operasi, Hazri yang menyertai operasi itu selama lebih sebulan lebih berkata beliau tidak dapat menjawab panggilan mahupun pesanan ringkas (SMS) daripada isterinya kerana mahu memberi tumpuan 100 peratus kepada operasi.

"Tertekan saya tak boleh nak jawab (panggilan dan SMS), saya tak jawab sebab nak bagi tumpuan 100 peratus pada penugasan saya. Kerisauan keluarga ni secara tak langsung terdetik juga. Saya ada minta pegawai di sini untuk tengok-tengokkan isteri dan anak-anak saya," kata bapa kepada dua anak yang berumur antara lapan dan lima tahun.

Sementara itu, berkongsi pengalaman bertugas dalam Operasi Daulat, Koperal Norhazeni Ahmad yang mengetuai Jentera Bot PSC 52 yang berpangkalan di Lahad Datu berkata detik mencemaskan adalah apabila bot yang dinaiki hampir terkena bom pihak pengganas.

"Saya sebagai ketua jentera diarahkan ke zon merah iaitu di kawasan Tanjung Labian. Jarak antara perairan laut Tanjung Labian ke darat lebih kurang satu batu.

"Waktu itu berlaku pertempuran di mana pihak keselamatan dan pihak musuh bertempur. Pada waktu tu kami telah diserang hendap dan berlaku tembakan menyebabkan bot kami hampir dibom dengan jarak bot lebih kurang 20 meter. Alhamdulillah, pada waktu itu kami semua terselamat," katanya. -BERNAMA

Lokasi Persembunyian Pengganas di Sabah Kini Bersih - Hamza

LAHAD DATU: Sembilan kampung yang menjadi lokasi pertempuran dan persembunyian militan dari selatan Filipina sepanjang Operasi Daulat telah digeledah dan disahkan bersih daripada ancaman pengganas.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, proses pemindahan penduduk yang mendiami pusat penempatan sementara ke kampung berkenaan giat dijalankan, kecuali Kampung Tanduo yang ditutup.

"Penduduk dari Kampung Sungai Nyamuk, Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Tanagian yang ditempatkan di pusat penempatan sementara telah mula dipindahkan ke kampung masing-masing.

"Malah kawasan Sungai Bilis, Lok Sembuang dan Lok Buani juga telah selesai digeledah dan dibersihkan, dengan itu, boleh dikatakan seluruh kawasan Operasi Daulat telah bersih dan orang kampung juga telah dibenar untuk kembali ke rumah masing-masing," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16 pada Isnin.

Beliau berkata, tiga daripada empat dewan serba guna di Felda Sahabat yang dijadikan pusat penempatan sementara iaitu Fajar Harapan, Cenderawasih dan Gemala Pura juga telah ditutup kecuali Embara Budi disebabkan ada rumah penduduk yang mendiami pusat itu rosak sepenuhnya.

Beliau berkata, walaupun pusat pemindahan sementara di kawasan Felda akan ditutup sepenuhnya, Operasi Daulat tetap diteruskan kerana fokus utama operasi ialah memastikan seluruh kawasan Lahad Datu, Semporna dan Sandakan benar-benar selamat.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamza berkata, lapan lagi individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 didakwa di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu yang dijadikan mahkamah sementara.

"Sehingga kini, 16 orang yang ditahan di bawah Sosma telah dituduh di mahkamah," katanya.

Mengulas laporan media Filipina bahawa 100 orang memasuki perairan Sabah untuk membantu saki-baki pengganas, Hamza berkata: "Mereka boleh mengatakan apa sahaja tetapi saya telah nyatakan bahawa keselamatan di negeri Sabah adalah terjamin".

Dalam pada itu, Hamza berkata, pasukan keselamatan mempunyai kepakaran tersendiri dalam menangani taktik pengganas yang mungkin cuba menyamar sebagai orang tempatan dengan berpakaian seperti penduduk kampung. -BERNAMA

Potong Kemaluan: Bapa Masih Belum Sedarkan Diri, Emosi Anak Tidak Stabil

KUALA TERENGGANU: Mangsa yang kemaluannya dipotong oleh anak kandungnya masih belum sedarkan diri dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K. Manoharan berkata, mangsa yang berusia 67 tahun itu kini stabil setelah menjalani pembedahan untuk menyambung kembali kemaluannya Ahad lepas.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengambil keterangan daripada beberapa anggota keluarga mangsa bagi membantu siasatan.

"Keadaan mangsa telah stabil, namun masih tidak sedarkan diri, manakala suspek pula mengalami gangguan emosi.

"Walaupun emosi suspek masih belum stabil, namun siasatan lanjut berhubung kes itu tetap dijalankan dan penahanan akan dilakukan sebaik suspek pulih daripada kecederaan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Manoharan berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada pihak hospital untuk mengetahui keadaan sebenar suspek.

Pada 24 Mac lepas, seorang penyelia di sebuah kilang di ibu negara bertindak memotong kemaluan bapanya sebelum memotong kemaluannya sendiri.

Dalam kejadian 1.30 pagi di kediaman keluarganya di Felda Kerteh 6, Ketengah Jaya, Dungun, suspek yang berusia 40 tahun itu dipercayai terpengaruh dengan ajaran sesat yang dipelajarinya menerusi Internet.

Suspek sebelum itu dikatakan bertindak agresif dengan merotan dan memukul bapanya bagi membuatkan warga emas berkenaan menangis untuk mengeluarkan "semangat Imam Nawawi" daripada badan bapanya.

Setelah gagal membuatkan bapanya menangis, suspek kemudian meminta sebilah pisau daripada abang iparnya sebelum meluru masuk ke bilik tidur bapanya dan bertindak memotong kemaluan warga emas itu sebelum memotong kemaluan sendiri.

Dia juga turut memaksa abang iparnya berbuat demikian namun lelaki itu berjaya melarikan diri. - BERNAMA

Ceroboh Lahad Datu: 7 Warga Filipina & Seorang Anggota Polis Didakwa

LAHAD DATU: Tujuh warga selatan Filipina pada Isnin didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di sini, atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tujuh lelaki berumur lingkungan 20-an hingga 63 tahun itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu, Rajalingam a/l S.S.Maniam yang bersidang sebagai Majistret.

Pertuduhan asal dalam bahasa Melayu diterjemah ke dalam dua bahasa iaitu Bajau dan Suluk.

Lima tertuduh didakwa terhadap dua pertuduhan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati dan menjadi ahli kumpulan pengganas di bawah Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 121, 130KA dan Seksyen 130E iaitu merekrut orang sebagai ahli kumpulan pengganas atau untuk menyertai perbuatan pengganas yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda dan Seksyen 130K iaitu melindungi orang yang melakukan perbuatan pengganas yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda atau penjara maksimum 20 tahun dan boleh denda jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh pula menghadapi satu pertuduhan mengikut Seksyen 130KA.

Pendakwaan diketuai Ketua Unit Pendakwaan Sabah, Jamil Aripin dan Timbalan Pendakwa Raya Lahad Datu, Shukor Abu Bakar.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 177A (2) Kanun Acara Jenayah bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Tawau.

Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan untuk sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, seorang anggota polis berpangkat Koperal juga didakwa di tempat sama Jumaat lepas mengikut Seksyen 130M iaitu dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat mengenai tindakan pengganas, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ini menjadikan sehingga hari ini 16 orang didakwa di mahkamah.

Pada 20 Mac lepas, lapan warga Filipina didakwa di tempat sama mengikut Seksyen 121 dan Seksyen 130KA dan sehari selepas itu kes berkenaan disebut di Mahkamah Tinggi Tawau.

Kes itu akan disebut semula di Mahkamah Tinggi 12 April ini bagi mengetahui perkembangan perbincangan Peguam Negara dengan Persatuan Undang-Undang Sabah, Majlis Peguam dan kerajaan Filipina berhubung khidmat guaman yang akan diberikan kepada tertuduh. -BERNAMA

Lokasi Persembunyian Pengganas di Sabah Kini Bersih - Hamza

LAHAD DATU: Sembilan kampung yang menjadi lokasi pertempuran dan persembunyian militan dari selatan Filipina sepanjang Operasi Daulat telah digeledah dan disahkan bersih daripada ancaman pengganas.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, proses pemindahan penduduk yang mendiami pusat penempatan sementara ke kampung berkenaan giat dijalankan, kecuali Kampung Tanduo yang ditutup.

"Penduduk dari Kampung Sungai Nyamuk, Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Tanagian yang ditempatkan di pusat penempatan sementara telah mula dipindahkan ke kampung masing-masing.

"Malah kawasan Sungai Bilis, Lok Sembuang dan Lok Buani juga telah selesai digeledah dan dibersihkan, dengan itu, boleh dikatakan seluruh kawasan Operasi Daulat telah bersih dan orang kampung juga telah dibenar untuk kembali ke rumah masing-masing," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16 pada Isnin.

Beliau berkata, tiga daripada empat dewan serba guna di Felda Sahabat yang dijadikan pusat penempatan sementara iaitu Fajar Harapan, Cenderawasih dan Gemala Pura juga telah ditutup kecuali Embara Budi disebabkan ada rumah penduduk yang mendiami pusat itu rosak sepenuhnya.

Beliau berkata, walaupun pusat pemindahan sementara di kawasan Felda akan ditutup sepenuhnya, Operasi Daulat tetap diteruskan kerana fokus utama operasi ialah memastikan seluruh kawasan Lahad Datu, Semporna dan Sandakan benar-benar selamat.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamza berkata, lapan lagi individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 didakwa di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu yang dijadikan mahkamah sementara.

"Sehingga kini, 16 orang yang ditahan di bawah Sosma telah dituduh di mahkamah," katanya.

Mengulas laporan media Filipina bahawa 100 orang memasuki perairan Sabah untuk membantu saki-baki pengganas, Hamza berkata: "Mereka boleh mengatakan apa sahaja, tetapi saya telah nyatakan bahawa keselamatan di negeri Sabah adalah terjamin".

Dalam pada itu, Hamza berkata, pasukan keselamatan mempunyai kepakaran tersendiri dalam menangani taktik pengganas yang mungkin cuba menyamar sebagai orang tempatan dengan berpakaian seperti penduduk kampung. - BERNAMA