Jumaat, 21 Julai 2023

Proses perbaharui pasport online, Imigresen sila ambil perhatian!

By Manzaidi Mohd Amin - 16 June 2023
UNTUK makluman, permohonan pasport melalui myONLINE PASPORT di aplikasi web dengan no borang EPxELxxxxx telah TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH. Ini adalah jawapan Jabatan Imigresen kepada pemohon yang memperbaharui pasport secara atas talian. Jawapan ini dimaklumkan melalui emel pemohon yang diminta ketika pemohon isi borang EPxELxxxxx. Apa yang Bawah Kolong (BK) nak ceritakan di sini ialah pengalaman BK untuk pertama kalinya memperbaharui pasport secara atas talian atau online. Kaedah ini baharu saja diperkenallkan Imigresen iaitu lebih kurang bermula 11 Mei lalu. Dengan kaedah ini, tak perlulah pemohon bersusah payah ke pejabat Imigresen untuk perbaharui pasport. Cukup duduk di rumah, buka laptop atau komputer, isi borang permohonan. Cuma ada beberapa perkara, yang BK anggap sebagai kelemahan pihak Imigresen dalam proses perbaharui pasport secara online ini, yang perlu diambil kira, perlu perbaiki atau ditambahbaikkan. Ya, maklumlah, bila satu-satu sistem baharu diperkenalkan, sudah tentu tak dapat lari dari ada beberapa ‘benda’ yang BK anggap sebagai menyusahkan pemohon dan boleh juga dikatakan, ‘tak berbaloi’. Dalam hal ini, BK nak pihak Imigresen ambil perhatian mengenai kelemahan yang terdapat dalam kaedah online. Pertamanya, berhubung jawapan Imigresen kepada pemohon melalui emel. Tak sampai 24 jam pemohon isi borang EPxELxxxxx, keesokan pagi pemohon buka emel, terima jawapan: UNTUK makluman, permohonan pasport melalui myONLINE PASPORT di aplikasi web dengan no borang EPxELxxxxx telah TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH. Bila pemohon baca jawapan ini, apa reaksi mereka? Tentunya kelam kabut dan sedikit panik. Pemohon tertanya-tanya, bila masa pemohon diarahkan kena turunkan tandatangan masa isi borang EPxELxxxxx? Setahu pemohon, selepas isi borang itu dan buat pembayaran secara online, jawapan yang diterima adalah PERMOHONAN ANDA BERJAYA dan diminta menyemak emel selepas 24 jam atau selepas tiga hari bekerja untuk kutip pasport di lokasi yang diminta oleh pemohon. Tidak ada pula arahan kena tandatangan. Ini yang menimbulkan kelam kabut dan sedikit panik di kalangan pemohon, terutama BK. Dan dalam jawapan itu juga, pemohon diminta membuat temujanji sebelum hadir ke pejabat bagi pungutan pasport melalui Sistem Temujanji Online – http://sto.imi.gov.my/STO/booking.php) sebelum hadir ke Pejabat Pungutan: Mengikut arahan dinyatakan, BK pun klik link: http://sto.imi.gov.my/STO/booking.php). Jawapannya: Hmmm… can’t reach this page. Selain link untuk sistem temujanji online tidak berfungsi, nombor telefon yang tertera di jawapan Imigresen juga tidak aktif. Selain itu, ada lagi arahan diberikan iaitu: Sebarang pertanyaan, sila hubungi 03-88926000/88926037. Selepas gagal merujuk link temujanji secara online, BK hubungi pula nombor yang dipaparkan. Dua tiga kali BK buat panggilan pada dua-dua nombor telefon berkenaan, satu pun tidak berjawab. BK minta pula orang rumah hubungi dua nombor itu, juga tidak berjawab. Habis tu macam mana? Apa harus pemohon lakukan dalam keadaan semua sistem yang diberikan oleh Imigresen tidak berfungsi? Dan dalam keadaan pemohon terikat dengan jawapan TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH. Nak tak nak terpaksalah BK bersiap-siap pergi ke pejabat Imigresen untuk bertanyakan masalah yang dihadapi ini. Sampai di pejabat Imigresen, rujuk ke Kaunter Pertanyaan beritahu masalah yang dihadapi. BK diberi nombor giliran dan tunggu giliran untuk ke kaunter seterusnya. Tak sampai 15 minit menunggu, nombor giliran BK dipanggil dan BK rujuk ke Kaunter No. 3. BK beritahu tahu masalah cap jari tidak sah. Pegawai Imigresen kemudian minta BK letakkan ibu jari kanan pada alat tandatangan elektronik. Kemudian ibu jari kiri. Selesai cap jari, BK diminta tunggu dua setengah jam untuk ambil pasport. Rupanya, notis “Untuk makluman, permohonan pasport melalui myONLINE PASPORT di aplikasi web dengan no borang EPxELxxxxx telah TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH ini adalah jawapan standard Imigresen untuk menyatakan pemohon perlu ke pejabat untuk ambil pasport. Pada BK, jawapan yang diberikan dalam emel pemohon ini tidak sinonim dengan kefahaman setiap pemohon. Kerana, apabila pemohon membaca jawapan ini, ia tidak lebih memberi kefahaman ada kesilapan yang telah dilakukan pemohon ketika mengisi borang secara online. Imigresen sepatutnya memberi notis, “Untuk makluman, anda perlu ke pejabat Imigresen (lokasi ditetapkan) untuk turunkan tandatangan atau cap jari untuk mengambil pasport”, bukan kata TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH. Sepanjang hampir tiga jam berada di pejabat Imigresen, ada empat lima pemohon datang rujuk ke Kaunter Pertanyaan untuk menyatakan masalah yang sama. Tidak terfikirkah pihak yang mereka-cipta ayat notis itu akan menimbulkan masalah kepada pemohon? Tidak semua pemohon faham dengan maksud jawapan itu. Malah, kakitangan Imigresen sendiri pun, kalau tidak dilatih dari awal, mereka juga tidak tahu dengan maksud jawapan atau notis berkenaan. Oleh itu, BK harap Imigresen kaji semulalah jawapan itu. Fikirlah jawapan yang lebih logik, jawapan yang kalau pemohon terima atau baca, automatik pemohon faham, Oh, mereka kena pergi ke pejabat Imigresen untuk cap jari dan ambil pasport. Bukan dengan notis, TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH. Ini menggambarkan seolah pemohon telah melakukan kesilapan atau kesalahan dalam mengisi borang. Bagi BK, selepas dapat pasport baharu pada pukul 2.30 petang, selang sejam kemudian BK terima emel menyatakan: “Untuk makluman, permohonan pasport melalui myONLINE PASPORT di aplikasi web dengan no borang EPxELxxxxx telah LULUS”. Maka, “Pemohon boleh hadir ke Pejabat Pungutan: untuk pungutan pasport”. Sepatutnya, Imigresen study dulu sebelum laksanakan sistem online. Study daripada segi jawapan kepada pemohon yang perbaharui pasport secara online. Arahan lain dalam borang itu semuanya dah okey, dah mantap, tetapi jawapan kepada pemohon yang perlu dikaji semula. Apa pun, BK ucapkan syabas dan tahniah kepada Imigresen kerana perkenalkan sistem online. Ia sedikit sebanyak menjimatkan masa pemohon. Daripada menunggu lima enam jam kalau walk-in kepada menunggu lebih kurang dua tiga jam di pejabat Imigresen, kira berjayalah tu. – MalaysiaGazette

Selasa, 13 Jun 2023

PAU: Masihkah masuk telinga kiri, keluar telinga kanan?

By Manzaidi Mohd Amin - 9 June 2023
EMPAT hari Bawah Kolong (BK) berkampung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ikuti Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023. Perhimpunan agung ini berlangsung dari 7 hingga 10 Jun dan melibatkan seramai 6,341 perwakilan daripada 190 bahagian seluruh negara termasuk Sabah. Pecahan jumlah itu ialah Pergerakan Wanita seramai 1,159 orang, Pergerakan Pemuda seramai 1,160 orang, Pergerakan Puteri pula seramai 1,134 orang, manakala perwakilan peringkat bahagian seramai 2,888 orang. Daripada 6,431 perwakilan ini lebih kurang 55 orang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan. Bermacam-macam isu, topik, tajuk telah dilantunkan pembahas mengikut perkembangan semasa politik. Ada yang bidas bekas pemimpin UMNO yang tinggalkan parti kerana nak ikut parti lawan seperti Pas dan Bersatu, ada yang sindir pemimpin yang bercakap soal rakyat, tapi di sebaliknya adalah untuk kepentingan diri. BK sebenarnya kasihan kepada mereka yang mengambil bahagian dalam perbahasan ini. Sebabnya, ia bagaikan mencurah air ke daun keladi. Cakap berdegar-degar atas pentas, tetapi di peringkat bawah umpama masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Inilah yang selalu berlaku setiap kali PAU, kursus mahupun bengkel. Mereka hanya terkesan pada waktu itu sahaja, selepas pulang ke rumah masing-masing, segala teguran, ingatan, nasihat tidak lagi diingati. Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri habis ayat dikarang untuk memberi semangat dan kesedaran kepada ahli masing-masing. Tetapi, selepas sampai ke kampung, nota-nota kecil yang dicatatkan ketika hari perhimpunan hilang entah ke mana. Ada yang basah kuyup dan hancur dalam poket baju atau poket seluar selepas dimasukkan mesin basuh. Segala catatan hilang begitu sahaja, malah yang tersimpan dalam minda pun turut hilang, tidak ingat apa-apa. Inilah sikap ahli UMNO, sama ada pemimpin negeri, bahagian mahupun cawangan. Mereka telah menghampa dan mengecewakan sejumlah besar ahli bawahan yang mengharapkan mereka membawa balik segala input yang dikutip di Kuala Lumpur. Akar umbi yang tidak pernah berpeluang menyertai persidangan di PWTC atau kursus di Janda Baik, Pahang sentiasa menunggu dan menanti wakil-wakil mereka balik berkongsi ilmu yang digarap di peringkat pusat mahupun negeri. Namun, masuk angin keluar asap. Harapan mereka punah. Hasrat mereka untuk mendapatkan arahan kerja daripada ketua masing-masing, tidak kesampaian. Justeru, ramai dalam kalangan mereka kecewa dan putus harap kepada UMNO. Mereka tidak lagi mempercayai UMNO dan mereka secara tidak langsung menganggap ketua mereka hanya pentingkan diri sendiri daripada ahli dan parti. BK tahu bagaimana perasaan ahli bawahan, sebab BK sendiri pernah berhadapan dengan permasalahan ini. UMNO, walaupun kalah dalam dua PRU, tetap tidak mahu berubah, lebih lagi dalam persiapan menghadapi PRU dan PRN. UMNO lebih mengambil berat atau mementingkan pemilihan jawatan di peringkat parti. Kalau pertandingan ini, mereka sanggup berhabis duit poket sendiri semata-mata untuk menang. Tetapi, kalau PRU atau PRN, mereka mahu menjadi calon. Ada yang sanggup melobi Presiden supaya memilih mereka bertanding di kerusi Parlimen atau DUN, tetapi pada masa sama mereka tidak mengharapkan kemenangan. Mereka lesu dalam berkempen untuk menarik sokongan undi kerana takut habis duit poket sendiri, sedangkan rasa takut itu tidak pernah bersarang dalam diri kalau turun berkempen merebut jawatan parti. Inilah UMNO dulu, kini dan selama-lamanya. Tidak pernah mahu ambil iktibar dari kekalahan. Bagi mereka, kalah pun dapat habuan, menang lagi mewah. Jadi, tidak ada bezanya. Bagi mereka, baik kalah dari menang. Inilah perangai segelintir ahli UMNO. Tidak pernah ada rasa cinta kepada parti. Kalau ‘ada’ pun itu hanya retorik. Keikhlasan itu tidak ada. BK juga tidak nafikan ada dalam kalangan pimpinan UMNO yang baik, ikhlas dan jujur dalam perjuangan, tetapi jumlahnya agak sedikit, tetapi ia tak dapat membantu untuk memenangkan parti pada PRU mahupun PRN. – MalaysiaGazette

Daftar khairat kematian, kenapa mesti ada had?

By Manzaidi Mohd Amin - 29 May 2023
NAK ceritanya, dalam tempoh dua setengah tahun ni Bawah Kolong (BK) berdepan dengan kehilangan lima orang tersayang. Ayah, ibu, anak, cucu dan ipar. Mereka pergi buat selama-lamanya. Setiap yang hidup pasti akan mati. Al-Fatihah. Dalam episod ini BK bukan nak cerita pasal kehilangan ahli keluarga atau kesedihan, tetapi ada beberapa perkara yang boleh diambil iktibar oleh pihak berkenaan berhubung kait dengan kematian. Perasaan yang ditanggung oleh ahli keluarga si mati. Apa yang BK nak panjangkan di sini berkaitan dengan khairat kematian atau wang sedekah atau derma atau sumbangan ikhlas pada kadar tertentu yang diberikan kepada waris si mati. Perkara ini tidak dirasai pada orang kaya, tetapi cukup terkesan kepada golongan miskin tegar, B40 dan kurang berkemampuan. Bayangkan, jika ada kematian ahli keluarga, wang segera yang diperlukan ditanggung ada yang melebihi RM1,000 dan ada yang mencecah RM2,000. Wang ini perlu dikeluarkan dari poket waris si mati, sebelum sumbangan diterima daripada masjid, surau atau orang ramai. Antara kos yang diperlukan segera ialah mandi jenazah, peralatan mengkafan dan upah menggali kubur. BK sendiri mengalami perkara ini sebanyak lima kali melibatkan lima kematian ahli keluarga sepanjang tempoh dua tahun ini dan memang dugaan untuk mengeluarkan sejumlah wang bagi urusan pengebumian. BK kata begitu kerana untuk upah mandi jenazah sekurang-kurangnya RM300, upah menggali kubur sekitar RM500 hingga RM550, upah solat jenazah sekurang-kurangnya RM10 bagi setiap jemaah dan kos membeli kain kafan dan sebagainya dalam RM300 hingga RM400. Bagi orang kaya, jumlah itu amatlah sedikit. Tetapi, kepada orang miskin tegar, B40 dan kurang berkemampuan, ia tersangatlah besar. Itu belum kira upah orang mengaji al-Quran di kubur atau di rumah yang dikenakan RM30 seorang. Belum juga dikira kos makan minum untuk tahlil. Jika si mati ada hutang, ia perlu diselesaikan segera. Namun, bagaimana pula kalau si mati tidak mempunyai simpanan? Maka, terpaksalah waris terdekat yang menanggungnya. Kalau waris orang berada, tak mengapa. Bagaimana pula kalau waris itu juga tidak mempunyai wang atau simpanan? Ianya cukup menyeksakan. Bagi yang tidak mendaftar khairat kematian, segala kos pengurusan jenazah ditanggung waris atau ahli keluarga. Sudahlah waris sedang bersedih dengan kehilangan ahli keluarga tersayang, mereka pula terpaksa bersedih untuk mendapatkan sejumlah wang bagi mengurus si jenazah mati. Mujurlah belum ada laporan waris tidak dapat kebumikan si mati kerana miskin. Tetapi, secara tersiratnya jika kita mendekati mereka, banyak beban yang ditanggung. Inilah yang dikatakan senyum dalam tangis. Apabila ditanya kepada waris si mati, tidakkah si mati mempunyai khairat kematian dengan masjid atau surau terdekat? Ada yang kata, mereka sebelum ini dah cuba untuk mendaftar, tetapi tidak diterima. Alasannya, jumlah yang mendaftar untuk khairat kematian sudah ramai. Ada masjid atau surau hanya buka pendaftaran kepada mereka yang selalu berkunjung ke masjid atau surau sahaja. Masyarakat sekitar tidak boleh mendaftar sebab jumlah yang dibuka dihadkan kepada mereka yang acap ke masjid atau dengan lain perkataan, untuk ahli jawatankuasa sahaja. Bagi yang mendaftar khairat kematian, jika meninggal dunia, semua urusan pengebumian ditanggung A sampai Z oleh masjid menerusi wang pendaftaran khairat kematian. Dari mandi jenazah, dari kafan jenazah, dari solat jenazah hingga jenazah dikebumikan semuanya diurus oleh masjid atau surau. Waris hanya cuci tangan dan terima baki sekiranya ada. Namun, malangnya kepada yang tidak dapat mendaftar khairat kematian. Segalanya perlu ditanggung sendiri. Ini yang selalu berlaku, tetapi tidak diceritakan kepada dunia luar. Hanya BK merasakan perkara ini perlu dimaklumkan kepada umum. Sepatutnya, hal kematian ini dipermudahkan oleh pihak berkenaan, bukan menjadi payah sehingga menakutkan waris si mati. Sepatutnya waris hanya bersedih dengan kehilangan orang tersayang sahaja, bukan dua kali sedih akibat terpaksa menanggung kos si mati. Itu pentingnya khairat kematian yang disediakan oleh masjid atau surau. Ia adalah untuk meringankan beban waris, tetapi ada sesetengah tempat, malah boleh dikatakan di semua tempat sebagaimana yang BK dengar, khairat kematian terhad kepada orang tertentu sahaja. BK sendiri pun, setiap kali balik bercuti di kampung, beberapa kali jumpa pengurusan masjid untuk mendaftar khairat kematian, tetapi ditolak dengan cara baik. Begitu juga BK cuba daftar ditempat BK menjadi perantau, tetap ditolak dengan alasan BK bukan anak tempatan atau anak mukim. Jadi, BK sudah awal-awal buka tabung untuk suatu hari nanti ahli keluarga BK tidak perlu fikir nak cari duit di mana untuk urus jenazah BK. BK sudah ada tabung dan anak-anak boleh gunakan wang tabung itu tanpa mengharapkan sumbangan masjid atau surau atau orang ramai. Sewajarnyalah, pada BK ada baiknya kerajaan negeri mengambil berat masalah ini. Sediakan sejumlah peruntukan kepada masjid dan surau untuk urusan mengurus jenazah kariah terutama di kalangan keluarga miskin tegar dan B40 di sesebuah mukim. Tidak dinafikan memang ada kerajaan negeri sediakan peruntukan itu, tetapi ia sekadar uar-uar sahaja, peruntukan itu tidak sampai ke masjid atau surau. Yang sering didengari ialah waris tanggung sendiri. Kerajaan atau pihak berwajib perlu mengambil serius perkara seperti ini. Si mati sudah mati, arwah tidak menanggung apa-apa lagi. Yang menanggung atas kematiannya ialah waris. Oleh itu, kerajaan perlu fikir atau cari jalan bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini. Ada kerajaan negeri, sebelum ini buat kenyataan akan bagi RM1,500 atau RM2,000 sebagai khairat kematian kepada waris. Malangnya, duit yang sampai ke tangan waris ada yang berjumlah RM300, ada yang berjumlah RM500. Selebihnya? Senyap begitu sahaja. – MalaysiaGazette

Isnin, 22 Mei 2023

Kenapa wakil rakyat sekarang tak lagi dipandang mulia?

By Manzaidi Mohd Amin - 8 May 2023
KITA lupakan dulu pasal isu penyanyi Hattan dengan seorang pembaca berita. Isu pun dah lama berlalu dan macam biasa ia akan hilang begitu saja. Kali ini Bawah Kolong nak bincang isu politik. Sehari dua baru ni timbul isu pembangkang dakwa mereka sudah dapat nombor. Angkanya 126. Jumlah ini, kalau era sebelumnya, pembangkang sudah boleh bertukar jadi kerajaan, manakala kerajaan pula bertukar menjadi pembangkang. Tetapi, era sekarang, ia tak akan berlaku lagi sebab negara sudah ada Akta Lompat Parti. Kalau dulu, sebelum ada akta ini, mana-mana Ahli Parlimen yang rasa nak lompat parti kerana rasakan parti baharu itu boleh jadi kerajaan, mereka akan lompat. Parlimen membenarkan, Istana Negara mengizinkan. Tapi sekarang, sorry to say. Akta ini menyekat mereka bentuk kerajaan, walaupun tak larang mereka lompat parti. Dalam akta ini kata, kalau sesiapa rasa nak lompat parti, parti boleh isytiharkan kerusi Ahli Parlimen katak itu kosong dan perlu diadakan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan itu. Jadi, untuk lompat parti sekarang, mereka kena fikir banyak kali, walaupun mereka yakin boleh menang dengan adanya PRK. Hari ini, rakyat dah makin matang dan sedar, buat apa lagi nak pilih calon katak kalau asyik melompat sana sini. Rugikan masa, rugikan duit rakyat. Pegangan pengundi ini menyebabkan Ahli Parlimen yang ada rancangan nak lompat akan fikir panjang. Dulu tak apalah, lompat saja mereka akan diraikan oleh parti baharu. Malah, diberi jawatan lagi dalam kerajaan sebagai tanda terima kasih. Kali ini, tak boleh dah. Sesiapa lompat, rakyat atau pengundi akan tolak. Rakyat pilih dulu pun bukan untuk suka-suka lompat. Rakyat pilih supaya mereka bela rakyat. Bila mereka tak bela rakyat dan asyik lompat, rakyat akan tendang. Sekali fikir, elok juga ada Akta Lompat Parti. Sekurang-kurangnya kerajaan dapat bertahan sehingga habis penggal kalau nak bertukar pun, bukan macam penggal PRU14, tiga kali tukar kerajaan. Kalahkan Thailand. Berbalik kepada angka 126. Bawah Kolong sendiri pun pening fikir darimana mereka dapat jumlah ini. Selepas PRU15 pada 19 November 2022 dan keputusan rasmi keluar 20 November 2022, Perikatan Nasional (PN) hanya dapat 73 kerusi. Kalau 74 kerusi nak capai 126 kerusi, maknanya mereka dapat ‘curi’ seramai 53 Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan/Barisan Nasional (PH-BN), yang kini ada 148 kerusi. Siapakah 53 Ahli Parlimen itu? Dan dari parti manakah mereka ini? Kalau diadakan PRK, bolehkah 53 kerusi yang kosong ini dimenangi semula oleh calon yang lompat parti? Bagaimana kalau separuh saja menang? Separuh menang bermakna 26 atau 27 orang. Campur dengan 74 yang sedia ada, baru dapat 100 atau 101 orang. Mana nak dapat 26 atau 25 orang lagi? UMNO yang ada 30 kerusi pun dah beri jaminan tak akan ada seorang pun Ahli Parlimennya akan lompat. Begitu juga parti Gabungan Rakyat Sabah dan Sarawak, Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM). Mereka tak mungkin akan belakangkan keputusan rakyat pada PRU15. Maknanya, yang kata dah ada angka 126 itu mungkin mengigau. Mungkin juga mimpi di siang hari. Atau mungkin alat kira-kira atau kalkulatornya rosak. Tekan satu campur satu keluar lima. Itulah gamaknya jadi 126. Bawah Kolong nak nasihat sikit kepada mereka yang tengah pasang angan-angan nak tukar kerajaan. Nak tukar tak salah, tapi tunggulah PRU16 empat tahun lebih lagi. Nak menang majoriti pula kenalah kerja kuat dari sekarang. Nak ubah minda rakyat supaya undi kita, tak susah pun. Kalau acap dan kerap turun padang jumpa mereka, selesaikan masalah mereka, bantu mereka yang kesempitan hidup walau sekadar pembangkang, rakyat akan kenang budi dan beri sokongan. Rakyat tak pernah jasa wakil rakyat kepada mereka. Rakyat rasa wakil rakyat itu seorang yang baik dan cakna, rakyat tak teragak-agak nak beri undi atau sokongan lagi walaupun dalam PRK sekali pun. Lainlah kalau yang menang itu walaupun sekadar pembangkang tak pernah turun jumpa rakyat. Kalau turun pun hanya sekali ketika kempen PRU15. Yang ni dah tentu rakyat akan tolak mentah-metah pada PRU16 nanti. Cubalah jadi pembangkang yang gentleman atau pembangkang budiman. Pembangkang yang terima hakikat mereka jadi pembangkang. Cukup-cukuplah langkah itu langkah ini. Tak ke mana pun. Hidup ini ibarat roda. Hari ini kita jatuhkan orang, esok orang jatuhkan kita balik. Jadi, kalau tak nak kita dijatuhkan suatu hari nanti, terimalah hakikat kita adalah pembangkang. Rakyat akan menilai siapa pembangkang budiman, siapa pembangkang suka makan kawan. Tak rugi pun jadi pembangkang seperti sebelum PRU14. Sabar menunggu penggal demi penggal untuk jadi kerajaan. Tapi, kalau jadi kerajaan kerana curi angka dan lompat parti, ia bukan wakil rakyat yang gentlemen atau wakil rakyat budiman. Ia adalah wakil rakyat yang jilake kata ayahnda Rani Kulup. Suatu ketika dulu seseorang wakil rakyat sama ada pembangkang atau kerajaan dipandang mulia oleh rakyat kerana mereka seorang yang berprinsip. Sekarang, mereka dipandang hina, malah jadi bahan ketawa rakyat. Wakil rakyat tidak boleh salahkan rakyat kalau mereka tidak lagi dipandang mulia atau darjatnya diangkat tinggi seperti dulu. Mereka sendiri yang meletakkan maruah diri berada di tahap paling rendah. Bawah Kolong bukan nak hina, Bawah Kolong hanya nak sedarkan mereka bahawa maruah mereka bukan lagi semahal emas tulen, tetapi semurah emas tiruan. – MalaysiaGazette

Sabtu, 6 Mei 2023

Aduhai Hattan, sombong benor kamu ya!

By Manzaidi Mohd Amin - 30 April 2023
MULANYA Bawah Kolong malas nak ambil kisah isu seorang penyanyi telah memalukan seorang penyampai berita berhubung kematian seorang penyanyi era 80an, Mael XPDC. Bawah Kolong malas nak panjangkan kisah ini sebab Bawah Kolong tak pernah anggap bidang hiburan ni sebagai suatu yang perlu diikuti atau ditaksubkan. Tidak ada yang menarik dengan hiburan ini, lebih lagi perangai artis yang langsung tidak mencerminkan seorang yang boleh dijadikan ikutan, panduan, apatah lagi idola. Ini ditambah pula dengan kesombongan seorang penyanyi lama seperti berlaku dan disaksikan secara langsung oleh seluruh masyarakat baru-baru ini. Beginikah perangai seorang artis? Wajarkah Bawah Kolong kata dunia hiburan tidak menjadi ketaksuban untuk diikuti? Saudara Hattan telah membuktikannya. Kesombongannya ketika menjawab pertanyaan daripada seorang wartawan penyiaran amat keterlaluan. Siapalah sangat Hattan ni. Lagu-lagunya pun bukan popular sangat. Hanya gimik saja lebih dan tidak keterlaluan kalau Bawah Kolong kata, media telah memberi publisiti secara keterlaluan kepadanya sehingga menutup ego dirinya yang sebenar. Kita tengok penyanyi Mawi. Siapalah dia kalau tidak kerana media yang terlebih promosi sehingga namanya dalam sekelip mata naik kemuncak. Begitu juga Hattan, masyarakat sekarang tidak mengenalinya kalau tidak kerana publisiti dari media. Namun, kesombongannya tidak dapat disembunyikan apabila dia sendiri menampailkan sifatnya itu di khalayak, walaupun secara alam maya. Jadi, tidak hairanlah kalau Bawah Kolong katakan, tak ada apa sebenarnya dunia hiburan ini. Namun, bukan semua ya. Ianya hanya segelintir artis yang suka buat taik. Sepanjang hampir 40 tahun Bawah Kolong bekerja sebagai pengamal media, baru hari ini Bawah Kolong terkejut dengan tindakan Hattan mempersoalkan wartawan penyiaran itu tidak buat kajian terlebih dahulu sebelum hubunginya untuk mendapatkan komen pasal kematian rakan artisnya. Inilah pertama kali dalam sejarah, seorang artis minta wartawan buat kajian dahulu untuk dapatkan komen daripadanya. Siapakah artis untuk wartawan buat pencarian mengenai dirinya? Adakah artis lebih mahal atau penting daripada seorang ahli politik, seorang ahli sejarah, seorang pengkaji, seorang angkasawan dan seorang ahli konglomerat? Siapalah Hattan untuk wartawan penyiaran itu buat kajian mengenainya. Lagi pun, wartawan penyiaran tu hubunginya untuk dapatkan komen mengenai kematian Mael sahaja. Bukan pun nak korek sejarah hidupnya yang entah apa-apa itu. Lagunya pun bukan meniti di bibir anak muda dan amat jarang lagu-lagunya diputarkan di radio atau televisyen. Jadi, tidak perlulah nak tunjuk ego atau jaguh. Wartawan hanya nak kau jawab atau ceritakan kisah kau dengan arwah sahaja. Kalau itu pun kau telah malukan wartawan, tunggu dan lihatlah tindakan media nanti. Kita orang media, senang dan mudah saja. Kalau sombong-sombong dan ego, kita tak perlu beri promosi percuma. Wartawan tidak sekali-kali akan hipokrit dengan penyanyi yang sombong. Bawah Kolong masih ingat dengan penghibur terkenal Allahyarham Sudirman Arshad, Allahyarham Sharifah Aini, Allahyarham Dahlan Zainuddin, Allahyarham Salem dan lain-lain. Bawah Kolong membesar dengan lagu-lagu mereka dan layanan mereka yang baik, peramah, mesra dan sopan santun. Begitu juga dengan penyanyi Black Dog Bone, Slam, Lefthanded. Penyanyi berkumpulan ini lebih santun daripada Hattan dalam memberi kerjasama kepada media. Kepada Hattan, tak mahu minta maaf atas keegoan mu kepada wartawan itu pun tak apalah. Cuma nasihat Bawah Kolong, sedar-sedarlah diri. Kamu bukan di era kepopulariti lagi. Kemasyhuran kamu sudah jatuh. Nama mu pun sudah malap dalam industri muzik dan hiburan. Tetapi, atas sikap keprihatinan media, nak selamatkan nama kamu, terpaksa juga bagi publisiti, walaupun kami meluat dengan keegoan kamu. – MalaysiaGazette

Ahad, 30 April 2023

Ada sambungan sikit lagi Tan Sri!

By Manzaidi Mohd Amin - 18 April 2023
ASSALAMUALAIKUM Tan Sri, hari ini saya ada sedikit kelapangan untuk sambung isu “oleh” dan “yang” yang dikatakan telah dibunuh oleh pengamal media. Tan Sri kata, akibat pembunuhan karektor itu, ayat bagi satu-satu berita atau lebih mudah dengan panggilan ‘story’ jadi tidak lengkap atau lari dari maksud asal. Seperti yang saya katakan sebelum ini, perkataan “oleh” dan “yang”, ada pun tidak apa, tidak ada pun tidak apa. Ia ibarat peribahasa seperti melukut di tepi gantang. Cuma, kalau diajukan persoalan itu kepada saya, saya lebih suka menggunakan dua perkataan ini pada ayat yang terlalu mendesak untuk dipakaikan. Kalau sekadar untuk menyedapkan ayat itu, saya tak akan guna sama sekali. Sebolehnya saya cuba bina ayat yang boleh hilangkan perkataan “oleh” dan “yang” ini. Contohnya, “Rumah itu dibina oleh dua kontraktor yang berpengalaman” kepada “Rumah itu dibina dua kontraktor berpengalaman”. Begitu juga, “Mayat yang dipercayai warga asing itu ditemui oleh sekumpulan penduduk kampung” kepada ayat “Mayat warga asing itu ditemui sekumpulan penduduk”. Jadi, kedua-dua ayat itu kalau digunakan pun boleh menjadi satu ayat yang lengkap, kalau tidak menggunakannya pun akan menjadi ayat yang lengkap. Cuma kalau dibunuh keduanya, ia menjadi ayat yang lebih ringkas dan padat. Oleh itu, pada saya, kehilangan atau kewujudan “oleh” dan “yang” bukan suatu masalah besar, sebaliknya ia adalah rencah penyedap kepada ayat berkenaan jika digunakan. Saya pernah diberi tanggungjawab oleh sebuah syarikat akhbar untuk membukukan gaya penulisan bagi akhbar berkenaan suatu ketika dahulu, dan saya tunaikan hasrat syarikat itu. Saya juga minta syarikat berkenaan anjurkan bengkel kepada wartawan dan penyunting untuk saya latih dan biasakan diri mereka dengan perkataan yang patut digunakan atau ditiadakan, perkataan yang patut dihilangkan atau diadakan, perkataan yang patut ditukarkan atau dikekalkan dan perkataan yang patut digantikan atau diteruskan penggunaannya. Contoh ayat yang patut digunakan dan patut dihilangkan seperti “oleh”, “yang” dan “di”, manakala ayat yang wajar diganti ialah perkataan “tentang” ditukar kepada “mengenai”. Contoh ayat, “Kita bercakap tentang seseorang” kepada “Kita bercakap mengenai seseorang”. Ternyata penukaran perkataan “tentang” kepada “mengenai” ini lebih relevan berbanding menggunakannya, yang kita rasa agak janggal apabila dibaca. “Tentang”, kita nak menentang siapa? Sedangkan kita bercakap “mengenai” seseorang, bukan “tentang” seseorang. Itulah yang saya belajar daripada seorang wartawan kanan akhbar Berita Harian di awal tahun 2000, yang secara kebetulan akhbar berkenaan sedang mereformikan ayat pemberitaannya agar tidak sama dengan akhbar pesaingnya. Dan, saya bersetuju seratus peratus dengan penukaran atau penggantian ayat itu kerana ianya nampak lebih kemas, teratur, padat, ringkas dan tidak hilang mesej atau maksud asalnya. Sebab itu, walaupun sudah lebih 20 tahun berlalu saya mengikuti bengkel pembelajaran itu, sampai sekarang saya masih kekal dengan ayat yang ringkas dan padat. Satu lagi contoh ayat yang saya cukup anti membaca dan menggunakannya ialah contohnya, “Polis berkata, mayat itu masih belum ditemui”. Saya lebih selesa membina ayat, “Polis berkata, mayat itu belum ditemui”. Perkataan “masih” tidak perlu digunakan kalau bersambung dengan “belum”. Kenapa perlu guna perkataan “masih” kalau situasinya yang hendak dimaklumkan polis itu “belum” ditemui? Ini juga sama seperti “dijangka akan” dengan “dijangka” sahaja. Kalau sudah “dijangka”, tidak perlu lagi ada “akan”. Contohnya, “Majlis itu dijangka akan diadakan jam 10 pagi”. Kan lebih sesuai dibina ayat, “Majlis itu dijangka diadakan jam 10 pagi”. Ia nampak lebih padat dan kemas. Sepanjang saya bekerja sebagai wartawan sejak tahun 1984 sehingga hari ini, saya cukup menjaga kualiti penulisan. Prinsip saya, apabila saya ulang baca berita yang ditulis, saya akan buang perkataan “oleh” dan “yang” sebanyak mungkin sehingga saya berpuas hati dengannya, sebelum diserahkan kepada penyunting dan editor untuk siaran. Banyak hendak saya perkatakan di sini mengenai gaya penulisan berita, tetapi penyampaian secara lisan lebih sampai maksudnya daripada menerangkannya secara tulisan. Walaupun dunia penulisan berubah mengikut peredaran masa dan sejak wujudnya media sosial, semua sudah boleh jadi ‘wartawan’. Semua sudah boleh melaporkan kejadian dan peristiwa dengan gaya penulisan tersendiri, walaupun tulisan itu lari dari gaya penulisan pemberitaan yang saya belajar sejak awal 80-an. Tulisan wartawan sekarang boleh diumpamakan kalau baca al-Quran, sebutan tajwid dan taranumnya tidak tepat. Tetapi, asalkan sedap, ia diteruskan juga pembacaannya, walau lari dari maksud. Begitulah dengan gaya penulisan berita. Asalkan hendak menyampaikan mesej, mereka hentam (tulis) saja, biarpun ayatnya tunggang terbalik, lintang pukang dan tidak tersusun. Saya pun tidak tahu dari mana mereka belajar kaedah penulisan berita seperti ini, tiba-tiba mereka sudah bergelar wartawan. Sebab itu, di zaman 80-an, 90a-an dan di awal tahun 2000, media ketika itu ada enam sahaja iaitu Berita Harian, Utusan Malaysia, RTM, TV3, Bernama dan The Star, sebelum wujudnya Harian Metro, Kosmo, portal berita dan TV Internet. Era 90-an, empat atau lima wartawan yang hadir untuk satu-satu liputan, berbanding sekarang sudah cecah puluhan media. Saya masih ingat ketika bertugas di Kelantan dahulu, kalau Perdana Menteri datang melawat, hanya lima atau enam wartawan dari media ini sahaja yang hadir untuk buat liputan. Sekarang berpuluh, malah mencecah ratusan wartawan hadir untuk satu-satu program melibatkan Perdana Menteri atau Menteri. Hinggakan kita yang sudah veteran ini ditolak, diasak oleh wartawan baharu hingga jauh terperosok ke belakang. Begitulah perkembangan dunia kewartawanan, yang semakin maju dan canggih, tetapi berita yang dihasilkan pula tidak mempunyai asas pemberitaannya iaitu 5W 1H. Kalau ada pun, keadaannya tunggang terbalik dan lintang pukang. 5W 1H ialah How (Bagaimana), What (Apa), Why (Kenapa), Where (Di mana), When (Bila) dan Who (Siapa). Kadang-kadang dalam intro pun tidak ada pun 5W 1H. Tapi kalau kita rajin membacanya sampai habis, asas itu ada di kedudukan para kedua, ketiga dan di penamat story. Ini jauh dari yang saya belajar dahulu. Namun, untuk mendidiknya semula agar berada di landasan yang betul, rasanya agak sukar. Gaya penulisan pemberitaan sekarang ini umpama nasi sudah menjadi bubur. Tidak boleh diperbetulkan lagi kerana seseorang wartawan akan menulis mengikut gaya sendiri. Kalau 100 wartawan begini, maknanya 100 gaya penulisan akan terhidang di media-media sepertimana yang kita hadap hari ini. Kadang-kadang saya terfikir, sudah jauh ketinggalan zaman gaya penulisan aku. – MalaysiaGazette

Selasa, 18 April 2023

Tan Sri! Bukan setakat “oleh”, “yang” juga dibunuh

By Manzaidi Mohd Amin - 2 April 2023
BARU-BARU ini Bawah Kolong ada terbaca satu artikel berkaitan persoalan dibangkitkan Tan Sri Johan Jaaffar (JJ) berkenaan pembunuhan perkataan “oleh” dalam pemberitaan. Bekas Pengerusi Media Prima Berhad yang juga bekas Pengarah Kumpulan New Straits Times Berhad itu mempersoalkan kenapa perkataan “oleh” dibunuh atau ditalkinkan oleh sebahagian besar editor akhbar Bahasa Melayu. Untuk pengetahuan Tan Sri JJ, karektor “oleh” mula dihilangkan oleh akhbar Berita Harian pada akhir 1999 atau awal tahun 2000-an. Bawah Kolong antara pemberita yang turut tersenarai dalam kursus gaya bahasa anjuran Berita Harian, yang mana panelnya diketuai wartawan Ahmad Tajuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Ataj. Dalam kursus tiga hari itu, kami didedahkan dengan kaedah penggunaan ayat atau perkataan yang sesuai untuk penulisan satu-satu berita. Baginya, berita harus ringkas dan padat. Justeru, untuk meringkas dan memadatkan berita itu, beberapa ayat atau perkataan perlu dikorbankan daripada digunakan, dan ayat atau perkataan ini jika tidak digunakan, berita tetap kemas atau sedap dibaca. Sebagai contoh, Bawah Kolong boleh sahaja introkan tulisan ini seperti berikut; Baru-baru ini Bawah Kolong ada terbaca satu artikel berkaitan persoalan “yang” dibangkitkan “oleh” Tan Sri Johan Jaafar (JJ) berkenaan pembunuhan perkataan “oleh” dalam pemberitaan. Tetapi, Bawah Kolong lebih sedap meringkaskannya kepada ayat yang menjadi intro kepada artikel ini sebagaimana permulaannya di atas. Dalam kursus tiga hari itu, Bawah Kolong dan rakan pemberita yang lain dimaklumkan mengenai beberapa perkataan yang bakal ditalkinkan. Antaranya, “oleh”, “yang”, “di”, “telah” dan “ekor”. Contohnya, “majlis itu telah dirasmikan oleh Tan Sri JJ”, tetapi lebih padat dan kemas kalau ditulis, “majlis itu dirasmikan Tan Sri JJ”. Begitu juga perkataan “yang”. Contohnya, “meja yang digunakan oleh Tan Sri JJ didapati telah hilang”, tetapi lebih padat dan kemas kalau ditulis, “meja digunakan Tan Sri JJ telah hilang”. Gaya pemberitaan tidak sama dengan gaya penulisan kreatif seperti cerpen dan novel. Genre cerpen, novel, rencana, analisis dan pojok boleh gunakan “oleh” dan “yang” sebanyak mungkin. Bagaimanapun, dalam pemberitaan, perkataan “oleh” atau “yang” sebolehnya dikurangkan atau ditiadakan langsung. Ayat-ayat itu umpama melukut di tepi gantang, ada tidak menambah, tiada tidak berkurangan. Bukan setakat itu, perkataan “dijilat api”, “orang”, “buah”, “sawah padi” juga turut dipinda kepada yang lebih ringkas. Begitu juga perkataan, “dijangka akan dirasmikan”, “lima ekor ayam mati”, tiga biji buah limau” dan “lima orang kanak-kanak”, setiap ayat yang mempunyai penjodoh bilangan akan dibuang. Ia lebih sedap dan kemas dibaca begini, “dijangka dirasmikan”, “lima ayam mati”, tiga biji limau” dan “lima kanak-kanak”. Ini termasuk ayat seperti, “Abdul Rahman mengusahakan lima ekar sawah padi” kepada yang lebih kemas dan ringkas, “Abdul Rahman mengusahakan lima ekar bendang”. Contoh lain, “Rumah agam itu musnah dijilat api dalam kejadian jam 5 pagi tadi” kepada ayat yang lebih kemas “Rumah agam itu musnah terbakar dalam kejadian jam 5 pagi tadi”. Seingat Bawah Kolong, Berita Harian juga tidak menggunakan perkataan “melibatkan”, sebaliknya menggunakan “terbabit”, “menelan belanja” ditukar kepada “melibatkan”. Contoh, “pembinaan rumah itu menelan belanja kira-kira RM5 juta”, ditukar kepada ayat, “pembinaan rumah itu melibatkan belanja RM5 juta”. Berita Harian juga ketika itu sebolehnya mahu meringkaskan penulisan berita dengan gaya bahasa yang mantap dan kemas selaras dengan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebab itu, gaya bahasa Berita Harian tidak sama dengan Utusan Malaysia. Walaupun dua akhbar ini menjadi pilihan utama rakyat Malaysia, tetapi masing-masing mempunyai nilai atau gaya bahasa tersendiri. Bawah Kolong pernah mendengar perbualan pembaca mengenai struktur ayat pemberitaan Berita Harian dan Utusan Malaysia. Ada menyatakan, ayat Berita Harian lebih intelek berbanding ayat Utusan Malaysia yang lebih disukai ramai. Sebab itu, apabila Bawah Kolong menerima pelawaan daripada sebuah akhbar kompak pada tahun 2004, Bawah Kolong minta untuk menetapkan gaya bahasa sendiri pada akhbar baharu itu. Untuk gaya bahasa akhbar kompak itu, Bawah Kolong campur daripada gaya bahasa Berita Harian dan gaya bahasa Utusan Malaysia. Namun, perkataan “oleh”, “yang” “di”, “dijangka akan” dimatikan sama sekali. “Oleh”, “yang” dan “di” boleh digunakan, tetapi sekurang-kurangnya satu atau dua dalam satu berita atau stori. Kalau kebetulan Bawah Kolong yang sunting stori berkenaan, Bawah Kolong cantas seboleh mungkin perkataan itu. Untuk maklumkan juga, ayat-ayat itu boleh digunakan dalam penulisan rencana, analisis, pendapat dan pojok, tetapi sebolehnya dilarang sama sekali dalam penulisan berita. Boleh digunakan, tapi tertakluk kepada pembinaan ayat. Harap Tan Sri JJ tahu reformasi perkataan yang dibangkitkan itu dimulakan di era Tan Sri mengetuai akhbar arus perdana lagi, tetapi mungkin ketika itu Tan Sri sibuk dengan aktiviti kesusasteraan. Berita adalah penulisan diskriptif atau penjelasan, manakala sastera adalah penulisan kreatif, iaitu mengikus Kamus DBP, biasanya digunakan bagi merujuk kepada tindakan menghasilkan idea baru. Penulisan kreatif sesuai dengan Tan Sri yang berasal dari orang sastera. Tan Sri banyak menulis cerpen, novel, puisi, sajak dan gurindam hingga corak penulisan terbawa-bawa dalam penulisan rencana, berita dan pojok. Semua genre ini berbeza antara satu sama lain dari segi penggunaan perkataan. Ada yang boleh guna sebanyak mungkin “oleh” dan “yang”. Ada yang langsung tidak perlukan “di”, “telah” dan “akan”. Namun, ayatnya atau jalan ceritanya tetap dapat memberi kefahaman kepada pembaca, walaupun digunakan atau tidak digunakan. Dalam konteks hendak pendekkan berita, ia tidak perlu digunakan, tetapi kalau mahu panjangkan berita, boleh digunapakai. Seingat Bawah Kolong, gaya bahasa ini hanya kekal kepada pemberita yang seangkatan dengan Bawah Kolong sahaja, selainnya, yang baharu masuk selepas era Ataj, gaya bahasanya kembali kepada zaman dulu-dulu. Kadang-kadang malu bila baca berita kejadian kebakaran di akhbar Berita Harian, ada wartawan menulisnya “dijilat api”. Kata Ataj, kalau kita guna perkataan dijilat api, ia menggambarkan seolah api itu ada lidah. Sama juga perkataan “kejar mengejar”. Kita tidak guna perkataan kejar mengejar kerana menggambarkan seolah polis dan pencuri saling berhambatan. Mula-mula polis kejar pencuri, kemudian pencuri kejar polis pula. Malah, banyak lagi yang Bawah Kolong nak terang dan jelaskan jika dapat duduk semeja dengan Tan Sri JJ. – MalaysiaGazette