Isnin, 19 September 2011

KOLEKSI ANALISA ANALISIS POLITIK MEI 2011

Anwar Terhutang Budi Kepada Abdul Hadi, Nik Aziz
(Published Thursday, May 5, 2011)


Selepas ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah selesai menyempurnakan sumpah laknat di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur pada 29 April lalu, timbul pula cabaran daripada seorang Pas memintanya menjalani ujian poligraf bagi membuktikan bekas rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bercakap benar.

Cabaran yang dibuat Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa itu disahut tanpa berbelah bahagi oleh Eskay, yang turut meminta Anwar menjalani ujian itu bersamanya dengan televisyen menyiarkannya secara langsung bagi menunjukkan kepada dunia siapa yang benar dan berbohong.

“Saya menyambut cabaran pimpinan Pas supaya mengambil ujian poligraf bagi memastikan saya tidak bercakap bohong. Saya juga mahu Anwar turut menjalani ujian itu. Saya mahu prosedur itu disiarkan secara langsung di televisyen.

“Saya mahu dunia lihat siapa yang benar dan berbohong,” kata Eskay pada Selalu lalu sebagai reaksi kepada kenyataan Husam yang mahukan trio Datuk T itu menjalani ujian bagi membuktikan mereka bercakap benar.

Cabaran Husam itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat terutama beragama Islam. Mereka menganggap pemimpin dalam parti yang memperjuangkan Islam itu lebih mempercayai mesin buatan manusia berbanding kitab suci al-Quran.

Eskay telah melafazkan sumpah laknat dengan menyebut Wallahi Wabillahi Watallahi sambil memegang senaskhah al-Quran bagi membuktikan kepada rakyat bahawa pelaku dalam rakaman video seks itu adalah Ketua Pembangkang.

Beliau bersama bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim pada 21 Mac lalu, mendedahkan kepada sekumpulan wartawan rakaman video kontroversi yang pelakunya mirip Anwar sedang melakukan hubungan seks dengan pelacur dari China.

Husam yang dipetik dari sebuah akhbar berkata, Datuk T perlu menjalani ujian berkenaan bagi membuktikan bahawa mereka tidak melakukan pendedahan semata-mata untuk kepentingan politik murahan mereka.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Husam, Shazryl Eskay berkata, itu membuktikan bahawa pemimpin Pas sedia menerima bukti secara saintifik.

“Itu menunjukkan mereka sanggup menerima rakaman video itu sebagai bukti. Mereka juga perlu terima bukti DNA dan kaedah saintifik bagi mengenal pasti lelaki dalam video itu,” ujarnya.

Walaupun trio Datuk T menunjukkan bukti klik video dan Eskay mengakui berada dalam bilik tempat pelakunya mirip Anwar melakukan hubungan seks, di samping turut memegang jam tangan Omega yang didakwa milik Ketua Pembangkang itu, namun Anwar lebih selesa membuat penafian secara lisan, bukan imbal balas secara sumpah laknat.

Anwar yang dilihat tidak langsung mempedulikan tuduhan itu turut mendapat sokongan kuat daripada rakan gabungan dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Kedua-dua pemimpin tertinggi Pas ini tetap menafikan Anwar terlibat dalam tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan melanggan pelacur China sebagaimana terkandung dalam klik video seks yang didedahkan trio Datuk T bulan lalu.

Abdul Hadi berkata, agenda Pas ketika ini ialah bersama PR untuk menawan Malaysia daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ini, manakala Nik Abdul aziz pula menganggap video seks itu sebagai meragukan.

Sungguhpun kedua-duanya belum melihat rakaman klik video seks itu, mereka tetap dengan pendirian mengatakan pelakunya bukan Anwar.

“Sebelum ini saya dengar ada pemimpin PR ketika berceramah menjelaskan video itu bukan Anwar. Kalau betul nak kenakan Anwar, kena fokus pada muka, bukan pada tubuh, itu caranya,” kata Nik Abdul Aziz ketika berceramah di Kampung Parang Putting, Kota Bharu, Kelantan, Sabtu malam.

Anwar turut bersama Menteri Besar Kelantan pada ceramah itu, tetapi kedua-duanya tidak mengulas tindakan bersumpah laknat yang dibuat oleh Eskay. Mungkin bimbang kejadian sama berulang sebagaimana dialami Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ketika turun berkempen di satu kawasan pedalaman di Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini.

Ketua kampung itu bertanyakan Anwar mengenai jam tangan Omega. Tidak semena-mena Anwar melenting dan marah-marah sehingga meninggalkan majlis beliau bersama penduduk di situ. Mungkin takut hal yang sama berulang, beliau dan Nik Abdul Aziz tidak mahu menyentuh isu itu.

Bukan perkara pelik jika pemimpin Pas memberi seribu satu alasan dalam usahanya membela Anwar kerana mereka tahu hanya Ketua Pembangkang itu yang mempunyai potensi untuk menarik sokongan rakyat memberi kemenangan kepada PR, sekali gus mencapaikan angan- angan Mat Jenin untuk menakluk Putrajaya.

Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz tahu, pengaruh mereka berdua tidak sekuat Anwar. Justeru, demi untuk mencapai cita-cita peribadi, mereka terpaksa juga memberi sokongan kepada Anwar dengan harapan isu video seks dan kes tuduhan liwat Ketua Pembangkang yang hangat ketika ini sekurang-kurangnya menarik simpati rakyat untuk memberi sokongan kepada mereka.

Benarkah rakyat makin simpati kepada PR? Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, bekas bosnya itu sememangnya pakar untuk mengalihkan sebarang tuduhan dan isu yang dihadapinya bagi meraih simpati rakyat.

Katanya, beliau lama mengenali pemimpin itu yang sememangnya akan berdiam diri apabila menghadapi sebarang tuduhan melibatkan dirinya. “Paling tidak pun, beliau akan mengalih perhatian umum dengan memainkan isu lain hingga rakyat terlupa tuduhan yang dihadapi beliau,” kata Anuar.

Belum reda dengan isu rakaman video seks, Eskay pada Selasa tampil dengan kenyataan baru yang dijangka bertambah kelam masa depan Anwar kerana satu lagi pendedahan menggemparkan negara akan dilakukannya.

Menurut Shazryl Eskay, pendedahan itu kelak, mempunyai implikasi yang jauh lebih besar berbanding rakaman video seks yang wajah pelakunya mirip Anwar kerana ia dikatakan melibatkan soal negara.

“Apa yang saya boleh beritahu ia pendedahan yang cukup besar. Implikasinya jauh lebih besar berbanding rakaman video seks Anwar. Perkara ini melibatkan kepentingan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Apakah bentuk salah laku Ketua Pembangkang itu, sama-sama kita tunggu episode akan datang.

**************************************

Dr Yusuf Al-Qardawi Jadi Alat Anwar
(Published Saturday, May 14, 2011)


Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin terdesak dalam usaha melepaskan dirinya daripada isu video seks yang mirip wajah beliau, apabila cuba mengheret Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Profesor Dr Yusuf al-Qardawi terlibat sama dalam kesnya itu.

Walaupun belum ada cubaan daripada mana-mana pihak untuk mendakwanya ke Mahkamah Syariah kerana isu video seks itu masih dalam siasatan polis, tetapi Anwar sudah gelabah dan takut pada bayang-bayang sendiri.

Sejauhmana kesanggupan Dr Yusuf datang ke Malaysia semata-mata untuk menjadi saksi kepada Anwar sekiranya ada dakwaan ke atas pemimpin yang bercita-cita tinggi itu, belum diketahui dengan jelas.

Setakat ini, ‘kesanggupan’ dr Yusuf itu hanya diuar-uarkan oleh Anwar dalam majlis perasmian Pusat Kegiatan dan Markas Pakatan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, di Kuala Pilah, bukan datang daripada mulut ulamak itu.

Persoalannya, kenapa Anwar tiba-tiba mencari Dr Yusuf? Apa yang akan Dr Yusuf jawab dalam mahkamah nanti? Adakah dia akan mengatakan pelaku itu bukan Anwar? Adakah dia menjadi saksi melihat kejadian itu?

Kalau Dr Yusuf datang ke mahkamah sebagai saksi dan mengatakan Anwar tidak bersalah, apakah asas dan alas an munasabah untuk menidakkan penglibatan Anwar? Nak tak nak, beliau terpaksa menonton klik video itu dan memerhatikan dengan teliti wajah lelaki yang secara romantik menerjah pelacur dari Negara China itu.

Dr Yusuf seorang ulamak terkenal di dunia. Beliau tentu mempunyai alas an tersendiri sebelum memberi kesanggupan menjadi saksi. Dalam Islam, sebelum suspek dituduh berzina, pendakwa mesti mengemukakan empat saksi.

Tetapi dalam kes ini, tidak ada pendakwa dan Anwar tidak didakwa di Mahkamah Syariah. Tambahan pula, Anwar hendak mengemukakan seorang saksi. Di mana tiga saksi lagi bagi pihaknya? Dan siapakah mereka? Adakah tiga lagi itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Lim Guan Eng? Atau saksi itu ialah Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Azmin Ali?

Kenapa beliau tidak menafikan saja penglibatannya dalam video seks itu dengan turut melakukan sumpah laknat bagi menidakkan dakwaan trio Datuk T, bahawa pelaku dalam rakaman video itu bukan dirinya?

Lagipun, isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah berkali-kali membuat penafian. Wan Azizah dalam sidang medianya mengatakan, lelaki dalam video seks itu bukan Anwar, dan mendakwa jam tangan Omega milik Anwar yang dikatakan tertinggal dalam bilik hotel itu, ada padanya.

Itu sudah cukup untuk dijadikan bukti, kalau Anwar benar-benar berani berbuat demikian. Kenapa perlu mengheret Dr Yusuf yang tidak tahu menahu dalam kes itu dan bukan tinggal di Malaysia pun ketika kejadian itu dikatakan berlaku.

Menurut Anwar, Dr Yusuf ada menasihatkannya supaya bersabar dan beristiqamah dengan semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya. Bersabar dan beristiqamah sahajalah. Kenapa perlu memujuk ulamak itu untuk menjadi saksi atas perbuatan terkutuknya itu.

Selain itu, dengan angkuhnya Anwar memberitahu, seorang lagi ulama besar Islam, Dr Wahbah az-Zuhaily dikatakan bersedia mengimamkan solat hajat berhubung tuduhan itu yang dijadualkan berlangsung di Stadium Selayang, Kuala Lumpur, hujung minggu ini.

“Mungkin sebab itu pihak lawan marah sangat, sebab perjuangan saya menentang gelombang fitnah mendapat sokongan ulama-ulama terkemuka dalam dunia Islam,” kata Anwar mendabik dada, kononnya beliau disanjungi ulamak terkemuka dunia.

Kita tunggu dan lihat sahaja apa yang berlaku. Allah Maha Mengetahui, Allah Maha Melihat dan Allah Maha Mendengar. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa ulamak terkemuka dunia Islam itu dalam solat hajatnya itu.

Soal Anwar dikenali ulamak terkemuka dunia Islam, itu hak dia, sebab dia bijak mempergunakan Islam untuk menampakkan imej baik pada mata ulamak berkenaan, tetapi hakikatnya, beliau sudah tidak disanjungi oleh rakyat tempatan lagi.

“Ini soal hukum, soal syariat. Bukan jerit- jerit, sumpah-sumpah tepi jalan. Ada syaratnya, rujuk ke Mahkamah Syariah, ” kata Anwar lagi merujuk demonstrasi badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang membuat laporan polis berhubung klik video seks yang dikaitkan dengan lelaki mirip wajahnya.

Beliau juga memperlekehkan tindakan Datuk Eskay yang melakukan sumpah laknat pada Jumaat dua minggu lalu. Orang yang memegang al-Quran dan bersumpah di masjid dikatakan Anwar sebagai sumpah-sumpah tepi jalan.

Begitulah Anwar, sewenang-wenangnya menghina kesucian al-Quran dan masjid, apabila cuba menyamakan apa yang dilakukan bekas sahabat baiknya itu dengan suatu benda yang kotor.

Sama-samalah kita lihat apa kesudahan perangai Anwar. Nescaya bala Allah tetap akan turun, hanya lambat cepat sahaja.

***********************************

Nik Aziz Lepas Tangan Menantu Disiasat
Published Friday, May 27, 2011


Mudahnya Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat cuba melarikan diri daripada turut dikaitkan dengan dakwaan rasuah oleh menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman bekas Ketua Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Sebagai Mursyidul Am Pas, yang lantang menentang gejala rasuah dan antara pengkritik kuat berhubung gejala itu dalam kerajaan Barisan Nasional (BN), tidak seharusnya gelabah memberi amaran kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tidak mengaitkan dia dalam siasatan itu.

Berani kerana benar, takut kerana salah, sepatutnya perumpamaan itu dipegang oleh Nik Aziz, bukan gelabah tak tentu pasal atau cuba mengelak daripada disabitkan dengan perbuatan tidak bermoral menantunya.

Kalau selama ini beliau dapat meluangkan masa lima ke enam jam sehari untuk menghadiri majlis ceramah politik, kenapa tidak boleh luangkan masa satu ke dua jam ke pejabat SPRM untuk sesi siasatan.

SPRM bukan hendak mendakwa beliau, tetapi mahukan maklumat mengenai siapa yang melantik Abdul Ariffahmi sebagai CEO PMBK dan SPRM hendak tahu sama ada Nik Aziz kenal atau tidak budak itu. Tetapi kalau awal-awal lagi beri amaran dan sudah menunjukkan sikap tidak mahu memberi kerjasama kepada SPRM, macam mana gejala rasuah dapat dihapuskan.

“Saya minta SPRM tidak kaitkan saya apabila menjalankan siasatan berhubung dakwaan rasuah terhadap menantu saya, Abdul Ariffahmi. Saya tidak mahu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa semasa menantu saya bertugas di PMBK disensasikan oleh pihak lain untuk menjejaskan kredibiliti saya sebagai menteri besar dan Mursyidul Am Pas.

“Siasatlah dengan betul, tapi jangan kaitkan orang itu (Abdul Ariffahmi) kerana (dia) menantu saya atau ada hubungan kekeluargaan dengan saya.

“Itu tak betul,” kata beliau dipetik Bernama Online.

Inilah manusia jenis lidah bercabang. Apabila sesuatu kes itu berlaku dalam BN, beliau bangkit bangun mengecam perbuatan rasuah dan membaca beberapa ayat al-Quran dan hadis untuk menguatkan hujahnya bahawa rasuah adalah haram.

Namun, apabila terkena batang hidung sendiri, soal halal haram tidak lagi dibangkitkan, sebaliknya menegur SPRM supaya jangan libatkan beliau dalam kes itu.

Di mana imej ‘bersih’ Nik Aziz yang cuba dipertahankan beliau pada mata rakyat? Kononnya beliau benci kepada rasuah, tetapi sanggup menerima rasuah daripada seorang individu yang mahu menajanya sekeluarga menunai haji ke Makkah.

Kononnya beliau menentang keras gejala rasuah, tetapi sepanjang berkempen pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, beliau menghulurkan beratus ratus wang tunai kepada pengundi dengan alasan ‘sumbangan’.

Kalau diri sendiri tidak dapat mengawal daripada memberi rasuah, adalah lebih baik mengambil sikap berlapang dada, bukan berkokok sehingga riuh sekampung, sedangkan ekor terpalit taik.

Ramai pemimpin BN dimalukan oleh pemimpin Pas seperti Nik Aziz. Mereka memainkan isu pemimpin BN rasuah sehingga pemimpin berkenaan menanggung aib yang amat sangat. Tetapi apabila terkena kepada ahli keluarganya, beliau boleh berkata, adalah berdosa jika pihak berkuasa sengaja membiarkan sesuatu kes berlarutan dan disebarkan secara meluas sehingga boleh mengaibkan seseorang untuk muslihat tertentu.

UMNO dan BN tidak pernah hasad dengki kepada pemimpin Pas, lebih- lebih lagi Nik Aziz, tetapi Mursyidul Am Pas ini boleh menyimpan dendam kesumat dalam hatinya terhadap pemimpin UMNO dan BN.

Hampir setiap hari beliau bersama para barisan kepimpinan Pas dan pembangkang dalam Pakatan Rakyat (PR) bersatu hati menabur fitnah terhadap musuh tradisinya, UMNO dan BN.

Bermacam-macam isu fitnah dicipta dan ditabur kepada halwa telinga rakyat sehingga yang difitnah itu menerima azab yang amat pedih. Namun, dalam kesedihan orang lain, mereka meraikan kejayaan terhadap fitnah yang dicipta.

Sehubungan itu, SPRM perlu profesional dalam menjalankan siasatan terhadap menantu Nik Aziz itu. Dan kalau benar-benar kertas siasatan dibuka, beliau tidak boleh tidak, WAJIB dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi utama atas penyelewengan yang dilakukan.

Abdul Ariffahmi dilantik sebagai CEO oleh Nik Aziz pada 20 September 2009, manakala kertas siasatan dibuka pada akhir tahun 2009. Pelantikan itu bagaimanapun mencetuskan kontroversi dan Abdul Ariffahmi dinasihat melepaskan jawatannya oleh Nik Aziz.

Nik Aziz tidak boleh mengelakkan diri. Beliau harus tampil memberi kerjasama bagi menyelesaikan siasatan terhadap Ariffahmi. Kalau panggil tertuduh sahaja, tanpa ada saksi, itu bukan siasatan namanya. Nik Aziz harus tahu prosedur.

Jangan hanya tahu hendak pegang jawatan tinggi dan bersekongkol dengan penyeleweng dan perasuah, tetapi apabila tiba masa penyeleweng dan perasuah itu didakwa, beliau mahu melepaskan diri. Ini bukan jenis pemimpin yang baik, bersih dan amanah. Ini jenis pemimpin yang tidak boleh menerima hakikat dirinya berbuat silap.

****************************************

Pembangkang Sengaja Salah Ertikan Makna Jihad (Bahagian Satu)
Published Saturday, May 28, 2011


Apabila Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menyatakan kesediaannya berjihad di jalan Allah jika posisi dominan dan kedaulatan Islam serta kedudukan orang Melayu terus diganggu gugat, banyak pihak dari bukan Melayu dan Melayu mengecamnya.

Walaupun mereka faham apa yang dimaksudkan oleh Ibrahim, tetapi kerana hendak mengeruhkan keadaan, mereka cuba memutar belitkan pengertian jihad itu supaya rakyat berasa takut dan benci kepada Melayu yang tidak menyokong Pakatan Rakyat (PR).

DAP umpamanya, bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Menunggu masa yang sesuai untuk mengempakkan isu jihad Ibrahim terhadap bukan Melayu yang juga bukan Islam dengan memberi amaran kononnya mereka tidak lagi selamat berada di bumi Malaysia.

PAS yang bersengkokol dengan DAP pun tumpang sekaki untuk mencemarkan air yang jernih dengan harapan sokongan Melayu beralih kepada mereka dan menjadikan impian menakluk Putrajaya sebagai kenyataan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ini.

Walaupun perkataan jihad terdapat di dalam al-Quran dan banyak disebut di dalam hadith-hadith Rasulullah s.a.w., namun konsep jihad tetap menjadi pertikaian di kalangan orang bukan Islam, bahkan sebahagian daripada orang Islam.

Sebagai orang yang berpelajaran dan berpengalaman dalam politik, DAP dan PAS harus menelusuri pengertian dan konsep jihad dalam tradisi Islam dan bukan Islam serta mengupas beberapa isu dan persoalan yang timbul berkaitan jihad dewasa ini.

Kajian secara objektif amat diperlukan untuk melihat perkara ini dengan jelas dan amanah. Pensyariatan jihad dalam Islam tidak perlu dilihat sebagai sesuatu yang negatif walaupun dunia hari ini cenderung ke arah itu.

Sebagai seorang Muslim yang percaya dan yakin dengan kesempurnaan ajaran Islam, pensyariatan jihad sudah pasti mengandungi hikmah dan kebaikan bagi umat Islam yang bijak memahaminya dan melaksanakannya pada tempat dan masa yang sepatutnya.

Sebagaimana Ibrahim mengakui yang beliau bersedia berjihad terhadap Kristian jika kedaulatan Islam dan kedudukan orang Melayu diganggu gugat. Mesej itu tidak lain tidak bukan bertujuan supaya pihak berkenaan berhenti daripada melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya.

“Bukan bererti saya nak menimbulkan atau tidak menghormati lain-lain kaum atau agama,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Kampung Changkat, Gombak baru-baru ini.

Dalam konteks Malaysia, terutama orang Melayu-Islam, jihad bermakna usaha yang dibuat untuk mengeluarkan masyarajat daripada kejumudan, kemiskinan, kejahilan, kegagalan dan kesesatan dengan menjadikan mereka lebih berpendidikan, tahap sosio-ekonomi lebih baik, berdikari dan berdaya saing serta bermaruah dan bertamadun.

Semua pemimpin negara ini adalah tokoh jihad. Allahyarham Tunku Abdul Rahman telah memerdekakan tanah air dan menjadikan Melayu-Islam sebagai bangsa yang merdeka dan berdaulat.

Begitu juga dengan peranan Allahyarham Tun Abduk Razak, melaksanakan jihad ekonomi, membasmi kemiskinan, membuka tanah baru dan peluang kepada anak Melayu-Islam bagi membaiki taraf sosio-ekonomi.

Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn pula meletakkan nilai yang tinggi kepada soal integriti, governans dan anti-rasuah dengan berjihad menjadikan Melayu-Islam sebagai bangsa yang dihormati.

Tun Dr Mahathir Mohamed, sepanjang 22 tahun pemerintahannya meletakkan negara mencapai bermacam-macam pembangunan, peningkatan ekonomi dan teknologi sehinggakan beliau digelar Bapa Pembangunan Moden.

***********************************

Pembangkang Sengaja Salah Ertikan Makna Jihad (Bahagian 2)
Published Sunday, May 29, 2011


Konteks jihadnya telah menjadikan Melayu-Islam ada sikap jati diri, percaya kepada kebolehan sendiri, mampu mencapai kejayaan bertaraf dunia dan menyediakan prasarana untuk masa depan.

Setelah pentadbiran diambil alih oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau melaksanakan jihad dengan menekankan kepada modal insan berkualiti dan memperkenalkan Islam Hadhari.

Manakala jihad di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak pula menumpukan kepada proses transformasi masyarakat dan mahu meletakkan Malaysia ke arah negara maju yang berpendapatan tinggi dalam tempoh 10 tahun lagi, di samping memperkenalkan konsep 1Malaysia dan Islam bersifat wasatiyyah (sederhana).

Semua yang dilakukan pemimpin negara ini adalah dalam rangka pembangunan yang dikongsi bersama dalam sebuah masyarakat majmuk.

Jihad bukanlah bermakna menentang agama lain atau bangsa lain. Itu dalam konteks sejarah. Jihad lebih besar ialah memperbaiki diri sendiri, menjadi manusia lebih baik dan berguna, menyumbang kepada kejayaan negara, anak bangsa dan negara.

Jihad yang relevan di Malaysia ialah menjadikan negara Islam yang aman damai, makmur, progresif dan maju. Tempat di mana agama Islam berdaulat, umat Islam mempunyai peluang dan ruang untuk mencipta kejayaah serta menjadi contoh kepada umat Islam dan bukan Islam.

Ini yang dimaksudkan jihad, termasuk yang diperkatakan oleh Ibrahim. Bukan memberi erti bangsa Melayu-umat Islam berperang menentang penganut agama lain.

Melayu yang diperjuangkan UMNO masih waras dalam usahanya meningkatkan bangsa sendiri. Masih tetap berpegang kemas akta-akta dan fasa-fasa yan terkandung dalam Perlembagaan Negara.

Kenapa DAP, PAS dan PKR tidak menggunakan akal fikiran yang waras untuk menjelas-ertikan istilah jihad yang dimaksudkan Ibrahim? Kenapa perlu menyeleweng daripada maksud asal pengertian jihad yang dibangkitkan Presiden Perkasa itu.

Sekarang bukan masa untuk berperang. Zaman mengangkat senjata sudah berakhir dengan penyerahan kalah tentera Jepun dan tamatnya Perang Dunia ke-II pada 1945. Sekarang adalah era bersatu semua bangsa dan agama dengan menghormati persetujuan pemimpin terdahulu menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara.

Kenapa perlu ada usaha daripada pihak lain untuk menafikan hak majoriti umat Islam di Malaysia? Tidak cukupkah apa yang diberikan, dilayan istimewa oleh kerajaan kepada mereka selama ini sehinggakan masing-masing hidup dalam keadaan aman, damai, harmoni dan sejahtera.

Sebagai pemimpin Melayu yang memimpin sebuah pertubuhan Melayu, Ibrahim ada hak untuk bangkit dan mengingatkan pihak tertentu supaya tidak sekali- kali cuba untuk mengganggu gugat keharmonian negara sebagaimana katanya, beliau tidak berniat menimbulkan rasa tidak hormat kepada agama lain, tetapi kenyataannya semata-mata mahu mempertahankan kedaulatan agama Islam yang sebelum ini telah diganggu gugat oleh pihak tertentu.

Menurut Ibrahim, beliau bertindak demikian selepas timbul cerita tuntutan paderi di akhbar Utusan Malaysia yang kemudian dikecam oleh pelbagai pihak di negara ini.

Beliau menegaskan tindakannya itu sebagai satu langkah awal untuk mengingatkan kepada orang ramai agar tidak lagi menyebut atau menyentuh isu- isu sensitif berkaitan kaum dan agama.

“Saya buat kenyataan ini hanya apabila seorang ahli DAP yang hadir (pada majlis itu) membuat laporan polis dan selepas membaca kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di akhbar yang mengatakan laporan Utusan Malaysia itu ada asasnya.

“Jadi salahkah apabila saya mengaitkan perkara ini untuk sekadar mengingatkan. Lainlah kalau saya mencetuskan sesuatu yang tidak ada. Memang saya patut dianggap salah atau patut diambil tindakan,” katanya.

Ahad, 18 September 2011

Penerima Anugerah Diraja UniMap

Para penerima anugerah khas Konvokesyen Ke-6 Universiti Malaysia Perlis, (dari kiri) Mohamad Syahmie Mohd. Rasidi, Mohd. Alif Ismail, Khor Kang Nan, Norsima Nazirah Sidek, Teoh Vil Cherd dan Tan Kim Seah ceria bersama anugerah masing-masing pada majlis konvokesyen universiti tersebut di Dewan 2020, Kangar, semalam. - MINGGUAN/FAIZAL ABU HASSAN

KANGAR 17 Sept. - Ketika para graduan terutama daripada jurusan kejuruteraan berlumba mencari kerja berpendapatan tinggi di sektor swasta, dua penerima Anugerah Pelajaran Emas Diraja Universiti Malaysia Perlis (Unimap) lebih selesa bergelar pendidik.

Norsima Nazirah Sidek, 23, dan Khor Kang Nan, 23, masing-masing graduan Sarjana Kejuruteraan Bioperubatan dan Mikroelektrik menyifatkan pendidik sebagai tugas murni kerana dapat mencurahkan kembali ilmu pengetahuan kepada anak bangsa.

Kedua-duanya menyambung pengajian di Unimap iaitu Norsima meneruskan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) manakala Kang Nan pula di peringkat ijazah sarjana.

Norsima dari Bukit Payung, Terengganu berkata, walaupun peluang kerja yang luas dalam bidang kejuruteraan namun hatinya tetap mahu menjadi seorang pensyarah.

"Jiwa saya lebih sebati sebagai seorang pendidik malah saya rasa terpanggil untuk mencurahkan kembali bakti kepada anak bangsa," katanya.

Kang Nan pula memberitahu, keluarganya merupakan pendorong utama malah bapanya berpesan bahawa ilmu adalah lebih penting daripada wang ringgit.

"Tumpuan saya adalah untuk menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana sebelum meneruskan pengajian di peringkat PhD," katanya.

Sementara itu, Anugerah Pingat Emas Canselor menjadi milik Mohd. Alif Ismail, 23, lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan (Sistem Elektrik) dari Tanah Merah, Kelantan dan Pingat Emas Canselor dianugerahkan kepada graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal), Teoh Vil Cherd dari Pulau Pinang manakala Pingat Emas Naib Canselor dianugerahkan kepada graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Polimer), Syahmie Mohamad Rasidi dari Tanah Merah, Kelantan dan graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Bahan), Tan Kim Seah dari Pulau Pinang.

Kesemua mereka menerima anugerah daripada Canselor Unimap, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada istiadat konvokesyen Unimap keenam di sini hari ini.

----------------------------------------------------------------------------

KANGAR 17 Sept. - Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meminta semua graduan untuk bermuhasabah tentang kebolehan serta keupayaan diri dalam memastikan mereka mampu bersaing dalam pasaran kerja.

Titah baginda, graduan juga perlu memperbaiki kelemahan, menimba pengalaman dan menambah baik kekuatan diri untuk tujuan itu kerana tidak semestinya tamat pengajian di universiti merupakan jaminan untuk memperoleh pekerjaan.

"Dalam hubungan ini, saya ingin menyarankan kepada ibu bapa supaya tidak memberi tekanan kepada universiti dari segi kesulitan para graduan mendapat kerja selepas menerima ijazah," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian dalam ucapan semasa istiadat konvokesyen keenam Unimap yang turut dihadiri oleh Pro Canselor, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil di sini hari ini.

Titah baginda, persepsi kerja menanti graduan tidak boleh lagi diterima pakai kerana beribu-ribu graduan dilahirkan oleh universiti tempatan dan luar negara setiap tahun.

"Persoalannya adakah universiti berperanan untuk menjamin pekerjaan setelah graduan tamat pengajian? Saya percaya pihak universiti tidak akan sekali-kali lepas tangan dalam hal ini," titah baginda.

Dalam pada itu titah baginda, Malaysia mempunyai ramai calon yang berpotensi untuk memenangi Hadiah Nobel.

"Kita perlu berusaha untuk menyertainya melalui jaringan global para intelek dan penyelidik antarabangsa, malah saya percaya kita mempunyai calon-calon berpotensi yang boleh dididik ke arah mencapai sasaran ini," titah baginda.

Sebelum itu, baginda menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan kepada Dr. R. Vasant Kumar dari Universiti Cambridge, Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan dan Ijazah Kehormat Sarjana Kejuruteraan kepada Pengarah Kejuruteraan Board Design Center Malaysia, Mohd. Parid Sulaiman.

Baginda turut menganugerahkan ijazah kepada kira-kira 400 graduan pada sidang pertama istiadat konvokesyen kali ini yang diadakan sebanyak tiga sidang bermula hari ini.

Istiadat konvokesyen kali ini melakar sejarah dengan penambahan jumlah graduan iaitu daripada 1,100 graduan kepada 1,237 graduan.

Mereka terdiri daripada empat graduan doktor falsafah (PhD), Ijazah Sarjana Sains (58), Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (953) dan seramai 222 graduan Diploma Kejuruteraan.

Jumaat, 16 September 2011

Perutusan Khas Hari Malaysia oleh Perdana Menteri

Teks Perutusan Khas Hari Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

ASSALAMUALAIKUM Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Hari Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua, kita dapat menyambut ulang tahun penubuhan Malaysia bagi kali ke-48 sebagai warga sebuah negara yang merdeka, berdaulat, demokratik, aman dan makmur.

Sesungguhnya kisah perjalanan Malaysia penuh warna-warni. Bermula daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah semasa penubuhannya, hari ini, hasil mahsul perancangan penuh sistematik dan pelaksanaan begitu mapan, kita telah berjaya muncul sebagai negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. Bertolak dari situ, sekalipun kejayaan yang telah dicapai bersifat monumental dan amat signifikan, ia bukanlah alasan yang membenarkan kita untuk berhenti berusaha, berasa puas hati, berasa selesa, apatah lagi mengambil sikap bersimpuh sambil berpeluk tubuh.

Apa yang sewajarnya dilakukan demi sur- vival serta kesejahteraan rakyat terus meningkat lagi terjamin dalam dunia yang amat kompetitif dewasa ini, marilah melipatgandakan usaha bagi menambah baik daya saing nasional melalui penggunaan kreativiti, inovasi dan menjulat usaha penciptaan kekayaan baru berasaskan sifat keusahawanan mandiri. Semua matlamat ini tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan, kestabilan dan keharmonian.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
Membelek helaian-helaian tawarikh, apabila negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu sehingga Malaysia dibentuk enam tahun kemudiannya, bersama-sama Sabah dan Sarawak, banyak pihak ketika itu, sama ada pemerhati asing, mahupun warga tempatan berasa ragu-ragu serta waham mempersoalkan tentang, sebuah negara baru yang negeri-negerinya terpisah dek Laut Cina Selatan, sedang diancam pula pemberontakan komunis, dengan separuh penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan, ditambah oleh faktor kemajmukan demografik yang luar biasa kompleksitinya, mungkinkah mampu untuk kekal utuh sebagai sebuah negara bangsa apatah lagi untuk berjaya?

Ternyata, pencapaian Malaysia selama ini, bertatih dan berjalan jatuh untuk mengecap nikmat kejayaan diiringi sebuah takdir yang penuh cabaran. Jika disisir sejarahnya, semacam satu keajaiban di awal usia setahun jagung meraih kemerdekaan, hakikat yang tersebut tadi ditambah berat pula dengan penerimaan sistem dan falsafah pentadbiran negara berasaskan Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan serta Persekutuan, telah diterima amal secara tuntas oleh kita begitu awal ketika mana proses pembudayaan masih lagi tidak matang.

Jelas sekali, sebelum merdeka, warga tiga belas buah negeri yang bersatu membentuk Malaysia tidak pernah berpeluang untuk memilih kerajaan yang akan memerintah sekalipun corak pentadbirannya. Kewujudan mereka hanyalah sebagai rakyat negeri-negeri naungan atau tanah jajahan yang diberi keistimewaan politik terhad mengikut budi bicara kuasa pemerintah. Pastinya, ini, bukanlah hak politik tulen yang terbit daripada kewarganegaraan sebuah negara merdeka serta berdaulat.

Menyingkap fakta, sebelum merdeka, pemilihan politik pertama yang berlangsung di mana rakyat telah diberi peluang secara terhad untuk memilih wakil mereka adalah semasa pemilihan beberapa Majlis Perbandaran pada 1952 dan seterusnya pemilihan sebahagian Anggota Majlis Perundangan Persekutuan pada 1955. Sebaliknya, hanya tahun-tahun selepas merdeka bermula 1959, rakyat mula diberi hak dan tanggungjawab sepenuhnya untuk memilih semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri sebagai hak budi bicara mutlak dalam menentukan parti manakah bagi membentuk kerajaan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

Sememangnya kita perlu bersyukur kerana dari masa hingga masa, walau apapun rintangan menjelma, sama ada bersifat dalaman mahupun luaran yang telah mengancam demokrasi dan kebebasan individu seperti pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, kemelesetan ekonomi, ekstremisme agama mahupun cauvinisme perkauman, Alhamdulillah, setiap satunya telah berjaya ditangani dan dihadapi menggunakan kerangka tindakan berhemah, demokratik berasaskan prinsip keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

Barang harus diingat jua, sepanjang tempoh tersebut tidak pernah terlintas di benak pihak kerajaan walau sedetik pun untuk menukar sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sedia ada dengan sebarang sistem antidemokratik, waima betapa getir cabaran yang dihadapi. Seperti terakam pada susur galur negara, disebabkan tragedi 13 Mei, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat YAB Perdana Menteri ketika itu menurut peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, telah mengisytiharkan darurat.

Salah satu kesan pengisytiharan darurat 1969 ialah proses pilihan raya yang belum selesai di Sabah dan Sarawak telah digantung. Peristiwa selanjutnya yang berlaku adalah pemilihan Dewan Rakyat telah disempurnakan dalam tempoh lebih kurang dua puluh bulan kemudian dan sistem Demokrasi Berparlimen dipulih kembali apabila keamanan negara telah stabil seperti sedia kala.

Kendatipun begitu, Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa itu merangkap Menteri Pertahanan yang telah diamanahkan mengetuai Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN, dengan memiliki kuasa mutlak eksekutif dan perundangan, tidak pernah menyimpan hasrat untuk mengekalkan kuasa-kuasa tersebut lebih lama daripada apa yang perlu.

Sudah terang lagi bersuluh, Allahyarham Tun bersama rakan-rakan ketika itu amat menyedari bahawa kuasa luar biasa tanpa sempadan yang tergenggam di tangan mereka tidak boleh sekali-kali dijadikan suatu kelaziman demi masa depan negara tercinta. Sebaliknya, mereka faham kuasa total itu sekadar suatu amanah untuk mengekang dan mengawal tragedi serta kegoncangan yang berlaku.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

Sebetulnya lagi, sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, kuasa untuk menentukan parti politik mana yang akan membentuk kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri terletak secara mutlak tanpa kekecualian di tangan rakyat. Setelah lebih lima dekad kemerdekaan negara dan hampir lima dasawarsa pembentukan Malaysia, kita dapati bahawa, pengalaman, kematangan serta kebijaksanaan rakyat negara ini dalam memilih kerajaan demi menentukan halatuju masa depan yang mereka dambakan tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun jua.

Bahkan, saya sering mengutarakan bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah melewati tempohnya. Revolusi dalam bidang teknologi maklumat, kemajuan komunikasi dan kecanggihan pengangkutan telah membuka persaingan serta perbandingan secara meluas lagi dinamik dalam pasaran idea.

Kontemporari ini, taraf serta akses rakyat kepada semua peringkat pendidikan semakin meluas seiring dengan korpus pengetahuan yang dimiliki. Disamping itu, pertumbuhan ekonomi yang mapan, pengurangan kadar kemiskinan dan inisiatif kejuruteraan sosial serta keberkesanannya, telah berjaya meningkatkan taraf hidup serta mewujudkan kelas menengah yang besar. Mutakhir pula, keutamaan kehendak dan keperluan rakyat Malaysia telah mengalami perubahan yang besar berbanding empat atau lima dekad yang lalu.

Melangkah lebih jauh, mentadbir negara yang terzahir dari saat kemerdekaan dikudratkan oleh kehendak rakyat, kerajaan kini akan terus komited menjunjung sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, falsafah persekutuan serta prinsip imbang dan periksa di antara ketiga-tiga cabang kerajaan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

Sebagai yang ramai maklum bahawa, kecuali darurat akibat konfrontasi pada 1964, yang telah dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang telah diisytiharkan sebelum ini, masih dianggap berkuat kuasa sehingga hari ini. Justeru, menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, merasai denyut nadi, resah gelisah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian, agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah universal dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, maka, kerajaan kini, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuat kuasanya.

Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

Dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi keadaan luar biasa yang mengancam keselamatan tanahair dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah-langkah khas yang kadangkala, bersifat di luar norma demokratik. Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan. Sesungguhnya, kebijaksanaan menangani keganasan memerlukan kita mencegah perlakuan itu, sebelum kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa, harta benda atau menatijahkan apa-apa kecederaan. Ini merupakan satu kebenaran yang bersifat global dan diterima ramai.

Dari perspektif undang-undang Islam pula, ia terangkum jelas dalam Maqasid Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama yakni; pertama: agama, kedua: nyawa, ketiga: akal, keempat: keturunan dan maruah serta kelima: harta benda. Bahkan prinsip Usul Fiqah banyak membicarakan mengenai perlunya disekat lebih awal sesuatu kemungkaran itu, sebelum ia berlaku. Manakala satu prinsip menyatakan bahawa, keputusan pemerintah adalah satu amanah yang perlu dibuat bagi pihak yang diperintah atas kepentingan maslahah ramai.

Ini bukanlah ehwal yang pelik, tidak lazim atau asing. Terbukti, negara-negara demokrasi yang maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom juga telah menggubal rangka perundangan khas bagi menangani ancaman pengganas pasca tragedi 11 September.

Pucuk pangkalnya, perseimbangan serta perimbangan yang harus ada bagi sebuah demokrasi moden adalah, di antara keselamatan nasional dan kebebasan individu. Itulah tugas dan tanggungjawab sebuah kerajaan yang matlamat tertingginya, menjunjung kebajikan serta kesejahteraan rakyat untuk mencari keseimbangan yang betul ini.

Misalnya, kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali bermaksud sebagai kewenangan hak kepada mana-mana pihak untuk membuat fitnah dan menghasut api kebencian. Sebagai contoh mudah yang lain, kerajaan turut bertanggungjawab untuk menghalang jeritan palsu tentang bom dalam sebuah stadium yang penuh sesak. Ini kerana, kebebasan luar kawal sebegitu, akan hanya menimbulkan panik yang boleh membawa kepada kecederaan dan kehilangan nyawa.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

Seperti yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya ketika mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara komprehensif. Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus.

Untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Di atas segalanya, Kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara. Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa menteri.

Di sudut lain, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi.

Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Sehubungan dengan itu lagi, kita tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.

Kajian semula komprehensif ini akan membabitkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan. Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

Sebagai sebuah negara, Malaysia dan seluruh warganya kini berada di persimpangan jalan. Pilihan yang kita putuskan hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupa bentuk Malaysia pada masa hadapan, tanah air yang akan kita wariskan kepada anak-anak kita dan generasi mendatang. Persoalannya, mampukah kita melampaui dan mencabar wasangka lazim bahawa rakyat Malaysia daripada latarbelakang yang majmuk, status sosioekonomi berbeza dan fahaman politik pelbagai, secara iradat manusiawinya, tiba kepada konsensus untuk tidak tunduk menyerah kepada sekam kebencian dan kecurigaan yang pastinya mengheret kita ke lembah kehinaan. Sebaliknya, ayuhlah kita bersama mendaya sebuah masa depan yang sarat dengan harapan dan kemuliaan.

Yakinlah bahawa, ia satu kekuatan bukan satu kelemahan untuk kita meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia membuat pilihan dalam mencorakkan hala tuju masa depan mereka sendiri. Jika kita menganggap ia satu kesilapan maka, apakah maknanya pencapaian kita hari ini, apakah gunanya kita merancang pembangunan negara dengan begitu tersusun semenjak merdeka, apakah gunanya kita membelanjakan sebahagian besar khazanah negara setiap tahun untuk memberikan akses pendidikan berkualiti kepada semua rakyat, membebaskan warga daripada cengkaman kemiskinan, membina infrastruktur fizikal serta teknologi komunikasi maklumat yang berkelas dunia?

Jawapannya sangat jelas yakni, langkah-langkah yang saya umumkan sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah. Ia berdiri sebagai pelengkap amat penting serta perlu kepada inisiatif-inisiatif transformasi bidang ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan telah rangka dan laksanakan semenjak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif.

Pastinya, masa bukan terlalu awal mahupun terlalu lewat, akan tetapi inilah kala paling sesuai serta waktu paling tepat untuk perhitungan-perhitungan besar sedemikian diambil dan dilancarkan. Kita maklum, walaupun bagi pendapat sesetengah pihak ia penuh berisiko, kita akan melakukannya demi survival, setelah lebih lima puluh tahun negara merdeka, dan hampir lima dekad Malaysia terbentuk. Lantaran kita di ambang pedati yang sedang berpacu deras untuk sampai ke destinasi sebagai sebuah negara maju sepenuhnya.


Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

Akhir kalam, saya ingin tegaskan bahawa tanpa syak dan tanpa ragu-ragu lagi, Malaysia yang kita impikan bersama dan sedang kita cipta ini adalah Malaysia yang mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif di mana keamanan dan ketenteraman awam dipelihara selaras dengan roh ketertinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada hak asasi manusia dan hak-hak individu.

Demi Malaysia, bertawakallah semua dan kepada Tuhan kita berserah.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

Selasa, 13 September 2011

Mahathir: Malaysia tak dijajah, tapi penasihat British pemerintah sebenar


















Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi menegaskan, penasihat-penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pihak itu adalah pemerintah yang sebenar berbanding Raja-raja Melayu.

Bekas perdana menteri berkata British telah bertindak seolah-olah “kita dijajah.”

“Sultan-sultan telah memutuskan untuk mengundang British datang dan menasihati mereka bagaimana untuk mentadbir negara ini.

“Dari segi itu, kita tidak ditawan. Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka bertindak seolah-olah kita dijajah,” kata Dr Mahathir (gambar).

“Dalam lain perkataan, British tidak beri nasihat, mereka beri arahan,” kata beliau sambil menambah, penasihat memerintah dan pemerintah pula memberi nasihat.

Perdana menteri keempat ini bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Universiti Perdana di sini hari ini.

Laporan media hujung minggu lalu menyebut berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu “tidak pernah terjajah”, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

Kenyataan itu yang menyusul pandangan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim mengundang kontroversi baru.

Menurut Profesor Datuk Dr Zainal Kling, “fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British).”

“Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik,” kata beliau.

Katanya lagi, sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi.

“Dinaungi tidak sama dengan kolonial... hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan iaitu, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.

“(Negeri-negeri) yang lain adalah dinaungi (atau) dilindungi... sejak mula Tanah Melayu bukan tanah jajahan atau koloni. Ini fakta sejarah dan perspektif sejarah (itu) perlu diubah,” kata beliau sambil berkata, “jangan kita sebut, kita terjajah selama 400 tahun.”

“Itu adalah kesalahan yang amat besar,” katanya.

Majlis Profesor Negara dalam kenyataannya berkata, zaman pentadbiran British yang disamakan dengan “penjajahan British” sebenarnya tidak sahih dan tidak wajar digunakan.

Selasa, 6 September 2011

Keluarga pejuang Bukit Kepong enggan temu Mat Sabu


(Gambar atas) Mokhtar dan Raja Zainal (dua dari kiri) bertemua Zaaba menyatakan keputusan Jamilah menolak kunjungan mereka di Bandar Baru Uda, Johor Bharu. (Bawah) Jamilah menunjukkan gambar bapanya, Abu Bakar Daud.

JOHOR BAHRU: Anak perempuan Allahyarham Koperal Abu Bakar Daud, salah seorang anggota polis yang cedera parah dalam serangan komunis di Bukit Kepong, 61 tahun lalu, enggan menemui Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang datang bersama rombongan ke rumahnya di Bandar Baru Uda, di sini semalam.

Jamilah Abu Bakar yang ketika itu baru berusia empat tahun dan melihat sendiri bapanya ditembak bertubi-tubi, tidak dapat menerima kenyataan pemimpin PAS itu yang mendakwa Ahmad Indera atau Mat Indera yang mengetuai serangan, adalah pejuang kemerdekaan kerana menentang British yang menjajah negara ketika itu.

“Tak payah datang, saya tak mahu berjumpanya. Ia amat keterlaluan hingga menyebabkan luka lama berdarah kembali. Macam mana saya boleh terima kedatangan orang yang menafikan pengorbanan dan perjuangan bapa dan rakan-rakannya mempertahankan maruah bangsa dan negara hingga sanggup mengorbankan nyawa sendiri, sedangkan dia (Mohamad) boleh pula mengagungkan komunis.

“Kata-katanya tidak boleh dimaafkan. Saya ketika itu berusia empat tahun, menyaksikan sendiri arwah bapa berusia 29 tahun, cedera parah terkena tembakan di badan. Saya juga melihat ibu, Fatimah Ya’aba, mengambil alih mengangkat senjata sehingga dia terbunuh ketika berbalas tembakan dengan komunis. Adik lelaki saya berusia dua tahun juga mati tertembak.

“Kenyataannya (Mohamad) seperti mengungkit kembali sejarah hitam yang terpalit dalam hidup saya selama ini. Saya tidak mahu ia dikenang lagi kerana ia membuat saya tertekan,” katanya yang kini berusia 65 tahun ketika ditemui selepas menolak hasrat rombongan pemimpin PAS untuk berkunjung ke rumahnya, di Persiaran Barli, Bandar Baru Uda.

Bapanya meninggal dunia pada 1979 akibat penyakit barah.

Rombongan Mohamad atau Mat Sabu yang menaiki beberapa kenderaan, termasuk sebuah Proton Exora berwarna merah hati tiba di jalan masuk menuju ke rumah Jamilah kira-kira jam 2.30 petang.

Menyedari kehadiran tidak dialu-alukan keluarga dan jiran Jamilah, kenderaan yang membawa Mat Sabu yang dipandu Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat, beredar dari situ sementara seorang wakilnya bersemuka dengan keluarga Jamilah di surau berdekatan.

Di surau itu, sepupu arwah suami Jamilah, Raja Zainal Abdullah, 74, dan jirannya, Mokhtar Jalok, 72, bersemuka dengan Naib Yang Dipertua PAS Pulai, Zaaba Ibrahim dan menyampaikan keputusan Jamilah menolak kunjungan itu.

Zaaba yang dihubungi selepas itu, mengesahkan Mat Sabu terpaksa beredar berikutan keengganan keluarga Jamilah menerima kunjungannya. Sebelum rombongan tiba di laluan menuju ke rumah Jamilah, seorang wakil PAS beberapa kali menghubungi anak bongsunya, Raja Zamzura Raja Buntat, 32, bertanyakan jika wakil Berita Harian dan TV3 berada di rumahnya.

Raja Zamzura mendakwa, wakil rombongan itu agak marah apabila diberitahu wakil media turut berada bersama kerana sudah meminta keluarga Jamilah tidak memaklumkan kepada media dan penduduk kampung berhubung kunjungan itu.

Rabu, 31 Ogos 2011

Populariti Najib terus susut - kajian Merdeka Center

KUALA LUMPUR — Populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjunam ke paras 59 peratus — penurunan dari 72 peratus, paras paling tinggi, yang direkodkan pada Mei tahun lalu, dipercayai berhubung kait dengan perhimpunan Bersih 2.0 yang diadakan awal Julai.

Kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan arah aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus.

Kadar populariti Najib (gambar) pernah turun sehingga 56 peratus pada September 2009 — lima bulan selepas menjadi perdana menteri Malaysia yang keenam.

“Seramai 59 peratus rakyat Malaysia mengatakan bahawa mereka berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dalam kajian (kali) ini enam peratus lebih rendah berbanding 65 peratus direkodkan pada Mei tahun ini,” kata firma kajian pandangan umum ini dalam satu kenyataan dikeluarkan tengah hari ini.

Kajian terbaru ini dikendalikan sebulan selepas perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara.

Pada Mei 2009, iaitu sebulan selepas menjadi perdana menteri, populariti Najib adalah 45 peratus dan ia melonjak kepada 65 peratus pada Jun 2009 sebelum menjunam ke aparas 56 peratus pada September tahun yang sama.

Pada Mac 2010, populariti meningkat semula kepada 66 peratus, 66 peratus pada Disember 2009, 69 peratus (Mac 2010) dan 72 peratus (Mei 2010).

Dari segi pecahan kaum, katanya, kajian menunjukkan 69 peratus responden masing-masing orang Melayu dan India dan 38 peratus kaum Cina melahirkan rasa puas hati dengan prestasi Najib, yang mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kajian kali ini, menurut Merdeka Center dikendalikan melibatkan 1,027 respoden, membabitkan pengundi berdaftar, antara 11 hingga 27 Ogos lalu.

Jumaat, 26 Ogos 2011

Asri: Janda Muslim ditahan Jais tak murtad, rujuk gereja kerana ‘desakan hidup’

KUALA LUMPUR, 25 Ogos — Salah seorang daripada 12 hadirin beragama Islam pada majlis makan malam di sebuah gereja yang diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) awal bulan ini menegaskan, dia tidak pernah murtad.

Sebaliknya, dia seorang janda mendapatkan bantuan dihulurkan dengan ikhlas oleh gereja ekoran “desakan hidup.”

Gereja Methodist Damansara Utara diserbu Jais pada malam 3 Ogos lalu ketika mengadakan majlis makan malam muhibah anjuran pertubuhan bukan kerajaan Harapan Komuniti.

Dalam pengakuan kepada bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, wanita tersebut dipetik berkata semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan pada 3 Ogos lalu, dia berada bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya.

Katanya, walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad.

“Cuma ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad,” katanya dipetik Asri dalam tulisannya dihantar kepada media hari ini.

Kata Asri lagi, “alhamdulillah dia masih kekal dengan keIslamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup.”

Asri menambah, terus-terang dia sebut “semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya.”

Dia mempunyai tiga orang anak.

“Semasa saya menziarahinya — tanpa notis awal — dia baru sahaja selesai menunaikan solat tarawih.

“Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru Muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit Aids dan juga Muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan,” kata beliau lagi.

Beliau mengadakan pertemuan dengan salah seorang daripada 12 hadirin itu, yang telah disoal siasat oleh Jais baru-baru ini dan diberikan kaunseling, minggu lalu. Tetapi nama wanita itu tidak diberikan.

Sambil berkata apa yang hendak dipelikkan, Asri menulis lagi, “begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan.”

“Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam.

“Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai PhD dan masters dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam,” kata ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia ini.

Malah dalam tulisannya, Asri berkata, menurut wanita tersebut lagi dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya.

“Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu. Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup.

“Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja,” katanya.

Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja, kata Asri lagi sambi berkata, menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja.

“Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi,” kata beliau lagi.

Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, kata Asri, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar.

“Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya. Begitu juga pihak kebajikan masyarakat.

“Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu.

“Dia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi. Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya. Terkapai-kapai ketika itu,” katanya.

Akhirnya menurut Asri lagi, maklumat yang diperoleh daripadanya menunjukkan pihak gereja juga yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut.

“Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang.

“Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan ‘tukaran’ yang tidak dapat saya maklumkan di sini,” katanya lagi.

Kata Asri lagi, wanita tersebut pernah mengunjungi pusat zakat dan Jabatan Kebajikan untuk mendapatkan bantuan sebaik ditinggalkan suaminya.

“Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit.

“Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama Kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan.

“Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan,” kata Asri sambil menambah, “pihak gereja membantu keperluan hidupnya.”

Katanya, diberikan wang dan menziarahi keluarganya, malah mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan “mesra dan saying”.

“Hatinya terpaut dengan kehalusan budi. Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya,” tulis beliau lagi.