Khamis, 8 Disember 2022
Tiada lagi cah keting dalam UMNO selepas kalah PRU14?
By Manzaidi Mohd Amin - 25 October 2022
UNGKAPAN “Pas tidak kuat, tapi UMNO tak mahu menang” tidak lagi jadi ulasan penganalisis dan pemerhati politik dalam tulisan mereka setiap kali mengaitkan kekalahan UMNO dalam Pilihan Raya Umum (PRU) terutama di Kelantan.
Kalau tidak, dari PRU kesembilan (PRU9 – 1995) yang menyaksikan Pas sudah menang sepenggal di Kelantan sejak PRU8 tahun 1990 hingga ke PRU14 tahun 2018, ungkapan itulah digunakan untuk mensabitkan kekalahan UMNO.
Kini, selepas banyak penggal berlalu dan sepanjang tempoh itu UMNO Kelantan masih juga gagal mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, walaupun di seluruh negara UMNO menang besar.
Jadi, sesuailah ungkapan “Pas tidak kuat, UMNO tak mahu menang” dijadikan alasan kerana setiap kali PRU, wujudlah budaya cah keting, tikam belakang dan sabotaj sesama sendiri.
Puncanya, kerana tak dapat jadi calon. Yang sepatut dipilih sebagai calon, dipinggirkan, yang tidak layak menjadi calon disenaraikan bertanding. Ini punca mengapa UMNO Kelantan kalah dalam tujuh kali PRU dari 1990, 1995, 1999, 2004, 2008, 2013 dan 2018.
Benar, UMNO pernah ada peluang untuk tawan semula Kelantan dalam PRU11 tahun 2004, tetapi tindakan tidak masuk akal pucuk pimpinan parti ketika itu memecat enam Ketua Bahagian, menyebabkan UMNO masih gagal merampas negeri bergelar Serambi Mekah itu.
Secara jujur Bawah Kolong (BK) kata, rakyat Kelantan sudah meluat dengan pentadbiran Pas yang langsung tidak menyumbangkan apa-apa pembangunan sepanjang 32 tahun memerintah.
Namun, rakyat lebih meluat dengan pertelagahan sesama sendiri yang tidak pernah berkesudahan berlaku dalam UMNO. Mereka tunggu musim pemilihan bahagian untuk menjatuhkan satu sama lain.
Ada yang taja perwakilan ke negara jiran. Ada yang bawa rombongan tunai umrah dan tidak sedikit beri habuan semata-mata untuk pancing undi dan menang. Ini hakikat yang berlaku dalam UMNO sebelum ini.
Memang dahsyat kempen mereka. Sanggup berhabisan ratusan ribu ringgit untuk menang. Pendek kata, kempen peringkat parti lebih meriah dari kempen pilihan raya negeri.
Sebab itu, musuh parti iaitu Pas tidak risau setiap kali PRU. Mereka tahu mereka menang kalau tidak turun berkempen pun kerana ahli dan penyokong UMNO akan undi sabotaj terhadap calon mereka.
UMNO hanya akan menang beberapa kawasan Parlimen sahaja seperti Ketereh dan Gua Musang, manakala 12 kawasan lain bergilir menang dengan lawan. Contohnya, Parlimen Tumpat, pernah BN menang, pernah Pas menang. Begitu juga Parlimen lain seperti Bachok dan Kuala Krai.
Kali ini, BK perhatikan tidak ada lagi budaya cah keting dan suka khianat sesama mereka. Mereka ini telah lenyap bersamaan dengan kekalahan teruk UMNO pada PRU14 yang lalu.
Mereka menghilangkan diri dan lari kerana tidak sanggup lagi bersama UMNO selepas menyedari Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah hilang sokongan serta pengaruh.
Selama ini, mereka ‘berkhidmat’ dalam parti hanya kerana dua pemimpin ini terlalu memanjakan mereka. Hidup serba mewah. Rumah besar, kereta besar, isteri besar dan ego pun besar. Sebab segaka-galanya cukup.
Sekarang, selepas kedua pemimpin itu berdepan dengan kes di mahkamah, ramai yang ‘makan di tangan’ melarikan diri dan ghaib tiba-tiba. Ada yang seberang ke parti sebelah sana, ada yang ambil keputusan ‘bersara’ dan tidak kurang juga mengambil sikap tidak mahu campur tangan.
Maka, tinggallah pemimpin yang kurang dikenali menampilkan muka mengiringi Najib dan Zahid di mahkamah. Pemimpin yang sebelum menempel sebelah kiri kanan Najib dan Zahid, hilang dari radar.
Pada BK, ini satu petanda baik kepada UMNO dan sebenarnya kalau UMNO mahu terus maju dan mara, UMNO tidak perlu pun ahli politik seperti ini. Ahli politik muka tembok yang muncul bila ketua senang, hilang ketika ketua susah.
Di Kelantan misalnya, selepas UMNO kalah pada PRU14, baharu rakyat boleh nampak muka baharu terajui parti dan baharulah muka-mula baharu berpeluang tonjolkan diri.
Kalau masih menang lagi tahun 2018, tak tahulah apa nak kata. Mungkin selama itulah rakyat akan asyik tengok muka sama sahaja melintas depan mata mereka, walaupun loya tengok gelagat pemimpin berusia senja dan antik.
Sekarang, peluang anak muda atau muka baharu meneruskan kesinambungan parti. Yang antik dan lapuk elok sahaja tinggal di rumah habiskan masa bersama isteri, anak dan cucu cicit.
Biarlah anak muda dan muka baharu yang teruskan perjuangan. Mungkin mereka lebih elok daripada kita yang sudah tua bangka ini. Ini juga sesuai dengan perubahan masa dan peredaran zaman. – MalaysiaGazette
Kalau takut banjir, Pas-PN, PKR-PH jangan tanding Parlimen
By Manzaidi Mohd Amin - 17 October 2022
INI yang peliknya Pas dan Perikatan Nasional (PN), PKR dan Pakatan Harapan (PH). Mereka tegas tak mahu bubar DUN masing-masing serentak dengan Dewan Rakyat.
Alasan konon, kalau mengundi tahun ini rakyat dalam bahaya kerana hari mengundi jatuh pada Monsun Timur Laut. Kata mereka, musim itu akan berlaku hujan lebat, ribut petir dan banjir besar.
Fenomena ini boleh mengancam nyawa rakyat. Bahaya kepada bot-bot dan perahu kecil di laut. Sepatutnya dalam musim begini rakyat patut duduk di rumah, jangan keluar ke mana-mana.
Secara logiknya memang betullah andaian mereka itu. Bawah Kolong (BK) pun setuju. Mana mungkin rakyat boleh keluar mengundi kalau air depan rumah separas lutut dan pinggang.
Mana mungkin rakyat boleh pergi ke pusat mengundi kalau hujan lebat dan ribut petir. Nak cari penyakit? Nyawa itu penting. Nyawa memang tak ada nilai nak dibayar. Nyawa sangat mahal.
Ini yang difikirkan oleh Pas dan PN, PKR dan PH. Mereka utamakan keselamatan dan nyawa rakyat. Sebab itu mereka tak mahu bubar DUN sekarang. Mereka nak bubar DUN tahun depan, apabila cuaca dah elok, dah okey.
Tapi, satu saja mereka lupa atau mereka buat-buat lupa. Mereka prihatin dengan keselamatan nyawa rakyat, tapi mereka bertanding juga di kerusi Parlimen PRU-15 ini.
Tidakkah bila mereka bertanding di Parlimen, rakyat akan keluar mengundi juga walaupun hujan lebat, ribut petir dan banjir?
Adakah kalau mereka bertanding di Parlimen tak berlaku banjir? Hanya kalau bertanding Parlimen dan DUN serentak baru berlaku malapetaka banjir? Ini yang BK kata pelik.
Selepas Perdana Menteri UMNO umum Yang di-Pertuan Agong perkenan bubar Parlimen, maka Pas-PN dan PKR-PH sahkan bertanding di 222 kerusi Parlimen. Apakah ketika memutuskan untuk bertanding tahun ini, mereka tidak fikir soal keselamatan dan nyawa rakyat?
Apakah mereka fikir nyawa rakyat kalau DUN dibubarkan serentak? Ilmu politik apa yang mereka guna pakai?
Bertanding di Parlimen, tak mengapa banjir pun. Cuma tak boleh DUN ikut serta bertanding, takut banjir.
Kalau nak jaga sangat nyawa rakyat, baik mereka jangan bertanding. Beri saja kemenangan percuma kepada UMNO dan BN.
Kalau mereka nak bertanding juga November ini, baik mereka bubar DUN serentak supaya rakyat sekali turun dapat selesaikan dua tanggungjawab serentak. Itu lagi logik dan masuk akal.
Kalau ada nyawa terkorban kerana banjir ketika keluar mengundi pun tak mengapa, kerana mereka berkorban untuk keluar mengundi calon Parlimen dan calon DUN.
Tapi kalau mereka terkorban hanya sempat mengundi calon Parlimen, maka Pas-PN dan PKR-PH akan kehilangan satu undi untuk calon DUN yang akan diadakan tahun depan.
Ini pandangan bodoh BK lah. BK bagi pandangan bodoh ini sesuai dengan keadaan politik yang semakin tidak cerdik.
Apapun alasannya, jawapan yang BK dapat daripada tindakan mereka ini adalah mudah saja.
Mereka bukan fikirkan sangat soal keselamatan dan nyawa rakyat, tetapi mereka tak bubar DUN serentak kerana mereka tak sempat nak tabur gula-gula kepada rakyat dalam Bajet Negeri.
Semua negeri akan bentang Bajet 2023 seminggu selepas Parlimen bersidang. Tetapi, Tak sampai tiga hari bersidang, Parlimen sudah dibubarkan. Maka, tidak sempatlah mereka nak bentang bajet masing-masing.
Bajet 2023 dalam keadaan sekarang sangat penting untuk dibentangkan, kerana bajet itu adalah nyawa orang politik. Mereka boleh gunakan bajet itu untuk sambung nyawa.
Mereka tahu, rakyat mudah lupa. Mereka tahu rakyat mudah termakan dengan janji, dan mereka tahu rakyat akan undi mereka jika janji kosong itu diolah nampak seperti ada isi.
Ini alasan sebenar yang mereka cuba sembunyikan dari pengetahuan rakyat. Tetapi, demi politik, putar belit isu supaya rakyat percaya mereka ambil berat soal keselamatan dan nyawa rakyat.
Tengok Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dibubarkan Oktober 2021 dan mengundi pada November 2021. Tidak ada satu pun bantahan daripada Pas, PKR dan Bersatu desak tangguh pembubaran DUN itu kerana hari mengundi jatuh pada musim tengkujuh.
Mereka berkempen, bertanding molek alah, kata orang Kelantan. Sikit pun mereka tidak fikir soal hujan, ribut petir dan banjir, padahal masa itu Monsum Timur Laut juga. – MalaysiaGazette
Sejak bila blok sana ambil berat pasal banjir?
By Manzaidi Mohd Amin - 11 October 2022
BAWAH Kolong (BK) pun perasan, sebaik tersebar khabar angin UMNO mahu PRU15 diadakan tahun ini, ramai dalam kalangan pemimpin blok pembangkang dan separa kerajaan membantah.
Alasan utama mereka bantah, kerana PRU tahun ini akan berlangsung dalam musim tengkujuh, atau dengan kata lain, hujan lebat, ribut, kilat dan banjir. Ini menyusahkan rakyat, kata mereka.
Sejak bila blok sana prihatin sangat dengan kesusahan rakyat hadapi banjir? Selama ini pun, kalau berlaku banjir hanya sebelah pihak saja yang nampak bersungguh-sungguh bantu mangsa banjir.
Tidak nampak pun batang hidung atau kelibat mereka ini, yang sekarang ini beriya-iya tunjuk simpati kepada rakyat. Bukan BK nak perlekeh mereka, tapi meluat dengan sandiwara politik yang mereka mainkan.
Sebenarnya, yang mereka takut bukan rakyat harungi banjir, tetapi mereka akan kehilangan banyak kerusi Parlimen dan DUN, malah negeri kerana sepanjang penggal PRU14, rakyat telah menjadi penilai dan keputusan sudah ada di tangan mereka.
Itu yang mereka takut. Lepas itu ancam rakyat dengan situasi banjir, supaya rakyat takut dan sekali gus mengharapkan rakyat tolak PRU15 tahun ini.
BK dah nampak mainan politik mereka, selain mereka sendiri malas untuk turun padang bantu rakyat yang berdepan dengan banjir. Mereka takut basah. Mereka takut bantuan yang dihulurkan kepada rakyat tidak segempar yang mereka canang sebelum ini.
Kalau di Zon Selatan, banjir berlaku hampir setiap masa, bukan dalam musim tengkujuh saja. Setiap kali hujan, berlakulah banjir kilat. Penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara. Siapa yang uruskan? Kerajaan yang memerintah uruskan, selain sayap parti dari UMNO yang bertungku lumus turun membantu.
Di Zon Timur pula, sudah ditetapkan musim tengkujuhnya bulan Disember tahun ini dan berlarutan hingga bulan Mac tahun depan. Begitu juga di Zon Utara dan Zon Tengah, banjir melanda di luar musim tengkujuh.
Pendek kata, banjir sekarang ini berlaku di luar musim. Banjir di Johor baru-baru ini, dan sebelum itu berlaku kepala air di Baling Kedah. Berlaku di luar musim. Begitu juga banjir besar di Selangor ada Disember tahun lalu dan melarat hingga ke Januari dan Mac tahun ini. Semuanya berlaku di luar musim tengkujuh.
Malah, sekarang pun berlaku banjir kilat kalau hujan lebat. Blok sana tidak ambil kira pun bencana ini. Masih juga memperbesar-besarkan isu PRU dalam musim tengkujuh. Sengaja nak menakut-nakutkan rakyat.
Pada BK, blok sana memang tidak profesional. Mereka nak berpolitik, tetapi tidak kena tempat. Macam-macam alasan digunakan untuk tarik sokongan.
Setiap musim ini, tak kira musim tengkujuh, musim buah-buahan, musim perayaan mahupun musim apa saja, akan mengikut kitaran. Kalau sebelum ini musim tengkujuh di Zon Timur berlaku bulan Oktober, tahun depan akan berlaku bulan November dan terusnya Disember, Januari tahun berikutnya.
Musim ini tidak tetap pada satu-satu bulan itu saja. Ia berubah-ubah. Begitu juga musim perayaan, Ramadan, Syawal dan sebagainya. Ia ikut kitaran. Mereka tahu kitaran ini, tetapi mereka mainkan sentimen untuk menakut-nakutkan rakyat, sebab kononnya rakyat jahil bab kitaran ini.
Ini yang BK kata blok sebelah sana tidak profesional. Lebih lagi si murai yang baru dapat sarang. Kicaunya membingitkan telinga. Kicau saja lebih, hasilnya ke laut.
Pada BK, PRU tahun ini atau tahun depan sama saja. Janji kerajaan baharu adalah kerajaan yang kuat dan stabil. Mentadbir tanpa gangguan daripada mana-mana pihak yang berkepentingan. Barulah rakyat hidup senang. Ekonomi negara dapat dipulihkan dan pelabur mula yakin dengan Malaysia.
Macam sekarang, apa sudah jadi? Tak sampai 22 bulan memerintah sudah jatuh. Tak sampai setahun setengah mentadbir sudah tukar Perdana Menteri. Pelabur mana tak lari dengan keadaan yang menakutkan mereka ini.
Pelabur datang nak tanam modal, nak buat duit dan kongsi bersama. Kita pula buat mereka takut. Cabut larilah, buat apa lagi duduk dalam negara yang kacau bilau.
Jadi, ini yang UMNO fikirkan. Mereka fikir soal kesejahteraan rakyat, keselamatan rakyat, ekonomi stabil, sama-sama dapat cari dan kongsi rezeki dalam negara yang aman, damai dan harmoni, tanpa sebarang gangguan.
Malangnya, niat baik UMNO cuba dipesongkan, kononnya UMNO nak menyusahkan rakyat. Ingat, susah-susah dahulu, senang-senang kemudian. Ini peribahasa yang digunakan oleh UMNO. – MalaysiaGazette
Bajet sudah, bubar belum lagi
By Manzaidi Mohd Amin - 8 October 2022
PERDANA Menteri dah selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong petang Khamis. Mesyuarat Kabinet pun dah selesai sebelum solat Jumaat dan Bajet 2023 juga selesai dibentang di Dewan Rakyat petang Jumaat.
Tinggal lagi teka teki bila Perdana Menteri nak umum bubar Dewan Rakyat untuk beri laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membolehkan kerajaan yang memerintah adalah kerajaan yang stabil, bukan kerajaan yang terhuyung hayang macam sekarang.
Bila sebut bab bubar ni, Bawah Kolong (BK) sebenarnya dah hampir tiga minggu tak cukup tidur kerana sibuk monitor, cari info dan kumpul maklumat dengan kawan-kawan media mahupun kawan-kawan politik.
Semua info dan maklumat yang BK dapat sependapat mengatakan Perdana Menteri akan umum bubar Parlimen selepas selesai Menteri Kewangan bentang Bajet 2023.
Namun, sehingga coretan ini ditulis (jam 9.55 malam), belum ada apa-apa warta pasal bubar. Maknanya, Parlimen masih boleh bersidang pada Isnin ini untuk bahas Bajet 2023.
Ada satu lagi info yang BK terima mengatakan, tidak mungkin Yang di-Pertuan Agong akan memberi perkenan baginda untuk pembubaran Parlimen dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini.
Baginda adalah seorang raja berjiwa rakyat, prihatin dengan masalah dihadapi rakyat dan amat logik kalau baginda tidak setuju PRU15 diadakan tahun ini. Biarlah musim tengkujuh berlalu, baharulah adakan PRU.
BK pun tak faham, kenapa ada segelintir pemimpin politik nak sangat pilihan raya diadakan dalam musim tengkujuh. Berapa kerat sangat yang akan keluar mengundi dalam cuaca hujan dan ketika air sedang melimpah di jalan-jalan raya.
BK sendiri pun kalau hujan, terutama waktu nak pergi kerja, rasa malas nak keluar rumah. Inikan pula nak redah hujan semata-mata nak ke pusat mengundi.
Begitu juga BK sebagai pengundi luar. Tempat mengundi BK di Kelantan, BK bekerja di Kuala Lumpur. Tiba-tiba hari mengundi ditetapkan pada musim hujan, sudah tentu BK akan batalkan niat nak balik mengundi.
BK tak mahu cari pasal rempuh jalan licin, hujan lebat dan bersesak-sesak di lebuh raya serta di jalan raya dalam keadaan cermin kereta berkabus, jarak pemandangan kabur.
Lagipun, jarak Kuala Lumpur ke Kelantan bukan lima kilometer, jauhnya lebih 500 kilometer. Kena rentas dua negeri iaitu Selangor dan Pahang sebelum masuk Kelantan.
Kalau perjalanan pergi balik pada hari biasa, enam hingga tujuh jam baru sampai ke destinasi. Ini musim hujan, jalan licin, cuaca lembab mahu ambil masa 10 hingga 12 jam memandu. Dalam usia BK yang tahun depan akan masuk kategori warga emas, BK tak larat.
BK tak mahu tempah risiko rempuh suasana macam ini untuk ulang alik KL-Kelantan, Kelantan-KL semata-mata hendak mengundi. Sekali balik sekurang-kurangnya RM500 perlu habis.
Sepanjang tiga penggal PRU, BK jadi pengundi luar tak pernah walau sekali BK dibayar oleh parti-parti politik, walaupun mereka berjanji akan beri duit poket kalau pengundi luar balik mengundi.
Janji macam ini BK dah masak sangat, faham sangat-sangat. Masa jumpa pengundi luar di KL, muka calon semanis manggis. Masa pengundi luar balik dan selesai membuang undi, muka calon tak nampak. Hilang tiba-tiba.
Kali pertama BK layak mengundi ialah pada PRU ke-6 tahun 1982. Sejak itu sehinggalah PRU14 tahun 2018, BK tak pernah tertinggal dari menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
BK tidak pernah bosan keluar mengundi, kerana pertama, BK gembira dapat undi calon yang BK suka dan kedua, semua PRU itu pula diadakan bukan dalam musim tengkujuh. Walaupun ada sekali sekala hujan dan berangin, itu perkara biasa.
Jadi, sampai sekarang BK tak dapat cari jawapan, kenapa Presiden UMNO mahu PRU ke-15 kali ini diadakan dalam musim hujan.
Nak kata takut dipenjarakan, lebih 40 pertuduhan ke atasnya telah diputuskan oleh mahkamah baru-baru ini sebagai tidak bersalah. Maknanya dia sudah bebas.
Nak kata takut hilang kelayakan bertanding, sebab sebutan baki kes masih tertangguh dan hanya di peringkat perbicaraan. Maknanya kalau PRU bulan Mac tahun depan pun, belum tentu mahkamah akan jatuhkan hukum.
Nak kata takut orang lain menang dalam perebutan jawatan tertinggi parti, Perlembagaan parti dan RoS sudah setuju pemilihan akan diadakan selepas enam bulan selesai PRU. Maknanya tidak akan ada pemilihan selagi PRU tidak diadakan.
Pendek kata, kalau tidak diadakan PRU sekarang pun dan diadakan sama ada pada Februari atau Mac atau April atau Mei tahun depan, ketiga-tiga alasan itu masih memihak kepada Presiden.
Ini yang BK tak faham. Strategi politik apa yang Presiden dan teamnya rencanakan. – MalaysiaGazette
PRU-15: Apa kesudahan Pas, bersama UMNO atau Bersatu?
By Manzaidi Mohd Amin - 3 October 2022
PAS mula bergaduh dengan UMNO selepas kedua-duanya berpisah. Masing-masing serang menyerang dan masing-masing mempertahankan diri. Mereka tidak bergaduh ketika bersama. Baik dan seia sekata.
Selepas bermain kayu tiga dengan Bersatu, Pas dan UMNO tidak lagi hidup bersama. Mereka bercerai. Mungkin talak satu, mungkin talak dua, tetapi tidak talak tiga. Maknanya boleh rujuk semula, bila-bila masa mereka mahu.
Punca perceraian kerana Pas telah berlaku curang. Pas bermain kayu tiga dengan Bersatu, iaitu parti yang pada Pas nampak cantik, montok dan boleh dikahwini sebagai bini muda. Akhirnya mereka kahwin dan hidup bersama.
Selepas melayari kehidupan dengan Bersatu, Pas tidak lagi melihat jandanya baik. Serba serbi tak kena. Ada saja keburukan dan kelemahan UMNO di matanya, walaupun jandanya hidup bersendirian.
Biasalah, bila habis manis sepah dibuang. Dulu, UMNO jalan pincang pun nampak elok, sempurna. Selepas hati terpikat pada yang baharu, bini tua buat baik pun nampak buruk.
Namun, akhir-akhir ini Pas dilihat seperti ayam gila sangkak. Selalu mengintai-intai aktiviti jandanya yang sejak bercerai makin lawa, makin berisi dan makin digilai ramai.
Untuk menambat semula hati UMNO, Pas dalam diam-diam cuba memujuk jandanya kembali hidup bersama. UMNO pula jual mahal, bagi syarat, kalau nak rujuk, Pas kena tinggalkan Bersatu.
Kalau tak sanggup tinggal bini muda, baik jangan rujuk. UMNO tak hingin. UMNO boleh hidup bahagia secara solo. Saham UMNO sejak menjanda ni makin hari makin naik. UMNO boleh hidup berdikari walau bersendirian.
Pas tidak berputus asa. Pas cuba juga memikat hati UMNO dengan harapan mereka dapat bertaut semula. Kalau boleh, Pas mahu bawa bersama madunya hidup sebumbung. Bagi UMNO, sorry to say.
UMNO muktamad dengan keputusannya. Syarat itu mesti dipenuhi dan dipatuhi Pas kalau hendakkan hasratnya menjadi kenyataan.
Sebab itu, tidak hairan kalau Pas mula tegur Bersatu yang mengisytiharkan UMNO sebagai musuh utamanya. Pas yang mula terlekat hati kepada UMNO, tidak mahu Bersatu memburuk-burukkan jandanya itu.
Pas juga takut kalau-kalau UMNO beranggapan pengisytiharan Bersatu itu memberi makna Pas juga turut menganggap UMNO musuh utamanya. Maklum, Pas dan Bersatu kan laki bini. Apa kata bini, mesti itulah kata suami.
Pas tidak mahu perkara itu berlaku. Sebolehnya Pas mahu tangani kemelut antara janda dan bini mudanya itu secara baik. Umpama tarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak terburai.
Tetapi pada Bawah Kolong (BK), usaha itu sudah terlambat. Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang tidak lama lagi. Bila-bila masa dari sekarang. Ada ramalan mengatakan Oktober ini bubar, November ini hari mengundi.
Ada pula meramalkan PRU pada suku pertama tahun depan. Apapun tarikh PRU, Pas sepatutnya gunakan keterbatasan waktu yang bersisa ini untuk menyiapsiagakan jentera parti, bukan menghabiskan masa memujuk UMNO dan Bersatu berbaik. Mereka berdua ini tak mungkin akan bertaut.
Inilah dilema dialami Pas sekarang. Bersatu mereka sayang, UMNO mereka cinta. Dasar pak lebai suka kahwin ramai hanya berlaku dalam dunia nyata, bukan dalam dunia politik, lebih lagi UMNO dan Bersatu.
Lainlah kalau team diketuai Ahmad Zahid Hamidi telah hilang kuasa dan diganti team pro Bersatu. Barulah biduk berlalu kiambang bertaut jadi kenyataan.
Kenapa dalam UMNO ada yang pro Bersatu? Sebab Bersatu bukan parti serpihan DAP atau PKR atau Amanah. Bersatu adalah serpihan UMNO. Mereka yang ada dalam Bersatu adalah kawan yang sama-sama gelak ketawa.
Segelintir daripadanya lompat parti kerana tidak setuju dengan pucuk pimpinan masa itu. Mereka keluar dari UMNO, mereka tubuh parti baharu yang dinamakan Bersatu.
Sebab itu, Bersatu dan UMNO tidak jauh bezanya. Cuma UMNO lebih besar dari Bersatu, yang kini dilihat tidak lagi bersatu seperti mula-mula penubuhannya. Sudah ramai lari masuk UMNO semula kerana sedari perjuangan Bersatu tidak akan ke mana.
Pas pula memilih Bersatu kerana ketika itu Bersatu mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan melantikan beberapa pemimpin memegang jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC.
BK percaya dan yakin, kalau bukan Muhyiddin Yassin Perdana Menteri ketika itu, Pas tidak teringin pun bersama Bersatu, malah akan kekal selama-lamanya dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).
Itulah Pas, nak kata tamak, bukan tamak, tapi itulah permainan politik parti pak lebai. Parti mana dilihat lebih kuat, parti itulah mereka hulur kepala nak berkawan.
Apapun pengakhiran antara Pas dan UMNO, BK ramalkan mereka berdua akan bersama menempuh badai PRU15. Tinggal Bersatu terkontang kanting mencari rakan pakatan baharu untuk dapatkan kemenangan banyak kerusi. – MalaysiaGazette
Tok wakil semua free, marhaen semua kena bayar
By Manzaidi Mohd Amin - 27 September 2022
BILA anak dah besar panjang dan sudah sampai jodoh, perkara yang difikirkan oleh marhaen seperti Bawah Kolong (BK) ini ialah mencari wang untuk menampung kos perbelanjaan kenduri.
Tak kira kenduri kahwin, kenduri apa sekali pun, semuanya perlukan duit, terutama bagi marhaen.
Sebelum bersetuju untuk terima bakal menantu, perkara utama difikirkan marhaen sebelum tetapkan tarikh ialah kos untuk sewa khemah, meja, kerusi, pinggan mangkuk, periuk kuali.
Kalau seseorang itu dalam kategori B40, sudah tentu tidak mampu nak sewa semua itu termasuk tempahan katering, pelamin dan hiasan yang cantik-cantik. Sebab itu semua perlukan kos yang besar.
Di mana mereka nak dapatkan itu semua kalau duit tidak ada? Nak mohon dengan jabatan, agensi dan PBT untuk dapatkan peralatan itu, siapalah kita mereka nak layan.
Nak tak nak, terpaksa berhutang dengan adik beradik, dengan majikan atau dengan sesiapa yang kita rasa boleh beri hutang, ataupun cara lain ialah gadai atau jual relong sawah atau jual kerbau lembu untuk pastikan kenduri berjalan lancar.
Itu belum kira kos beras, lauk, buah, minuman, telur atau kek atau coklat untuk buah tangan tetamu yang hadir. Semuanya perlukan duit.
Beginilah nasib marhaen. Nak buat kenduri, semuanya kena tanggung sendiri. Tak ada siapa akan bantu. Tak ada duit, anak tak boleh kahwin. Nak tengok anak kahwin, mak ayah kena ada duit yang cukup, walaupun buat ala kadar.
Ini lain dengan orang kaya atau pemimpin politik. Anak nak kahwin boleh sewa hotel lima bintang, tempah ribuan bunga, sediakan meja dan kerusi yang cantik-cantik, makanan yang sedap-sedap. Tetamu pun jemput dari orang yang ada-ada saja.
Bukan macam marhean. Jemput tetamu di kalangan orang kampung, petani, nelayan, penternak, orang-orang tua yang hidup harian dihabiskan di bendang, di kebun, di ladang dan di rumah.
Di Kampung, tetamu bagi duit kenduri paling banyak RM10. Beza dengan orang kaya-kaya atau pemimpin politik, sekurang-kurangnya ratusan ringgit, ribuan ringgit dihulurkan kepada tuan rumah atau kepada pengantin.
Bagi yang tak nak buat kenduri di hotel, mereka boleh dapatkan dewan. Tapi, dengan pengaruh yang ada mereka tidak perlu sewa, sebaliknya mohon saja kepada pihak berkenaan. Kalau bukan percuma pun, sekurang-kurangnya dikenakan separuh harga.
Prosedur pihak berkenaan pula, kalau nama wakil rakyat atau datuk datin dan tan sri yang mohon, tanpa banyak cakap terus lulus. Esok sampailah peralatan yang dimohon. Dihantar dengan lori.
Semuanya free. Demi tok wakil, demi datuk datin, tan sri semua peralatan yang dimohon tidak dikenakan bayaran. Ya, kena jaga maruah mereka
Kenduri selesai, duit tak banyak habis. Malam tu yang habis ialah masa, kira duit yang dapat dari tetamu yang kaya raya.
Rakyat marhaen macam BK, habis kenduri, garu kepala. Banyak tanggung hutang dan fikir macam mana nak langsai hutang. Sebab permohonan nak guna meja, kerusi dan hiasan tak lulus.
Pendek kata, marhaen semuanya kena bayar, orang politik, orang kaya tak kena bayar. Inilah fenomena hidup, yang kaya makin kaya, yang miskin makin miskin.
Orang politik, tak kira yang ada jawatan dalam kerajaan atau parti semua benda kerajaan atau parti tanggung. Orang marhean semua benda kena tanggung sendiri, hatta nak makan paha ayam KFC sekalipun kena duit poket sendiri.
Fenomena ini patut kena ubah. Rakyat yang patut diberi kemudahan mendapatkan dewan, kerusi dan meja, bukan wakil rakyat. Mereka dah kaya raya, gaji puluhan ribu ringgit sebulan, elaun puluhan ribu ringgit sebulan.
Cukai jalan tak kena bayar, tol percuma, petrol atau diesel free. Semua ditanggung kerajaan. Rakyat tak dapat nikmati semua itu, apatah lagi nak buat kenduri besar-besaran meraikan perkahwinan anak.
Tetapi, setakat ini belum ada lagi kerajaan yang benar-benar merasai denyut nadi rakyat, semua sekadar slogan dan kata manis di bibir mulut sahaja. – MalaysiaGazette
Tak mustahil Pas kembali bertaut dengan UMNO
By Manzaidi Mohd Amin - 22 September 2022
MASIH ada lagikah peluang untuk Pas bersama UMNO sebagaimana di awal-awal meterainya Muafakat Nasional (MN) tidak lama dulu?
Persoalan ini masih menjadi misteri dan menghantui banyak pihak termasuk di kalangan pemimpin Pas dan UMNO sendiri.
Bahkan, Bawah Kolong (BK) pun tak dapat cari jawapan yang tepat, melainkan andaian semata-mata mengenai apa kesudahan dengan dua parti terbesar orang Melayu dan Islam ini.
Pagi tadi, dalam jam 6.45 pagi, BK terima panggilan telefon dari seorang Datuk yang sudah pencen dari politik tetapi masih mahu bercakap mengenai politik. Datuk ini adalah bekas menteri dan kini banyak menghabiskan masa bermain dengan cucu-cucu.
BK ingatkan Datuk pencen ini hendak keluarkan kenyataan media pasal perkembangan politik semasa, rupanya dia telefon hanya nak tanya pasal Pas dan UMNO.
Dia tanya BK, ada kemungkinankah Pas akan bersama UMNO pada PRU-15 ini?
BK kata, tak mungkin dan amat mustahil. Alasan BK, pertama, Pas lebih sayangkan parti Bersatu dari UMNO. UMNO ketika itu sudah jatuh miskin dan papa kedana lagi selepas kalah PRU-14.
Kedua, Pas terhutang budi kepada Muhyiddin selaku orang kaya baru (sebagai Perdana Menteri) yang berikan beberapa jawatan menteri dan timbalan menteri kepada pemimpinnya.
Ketiga, sekurang-kurangnya di bawah Muhyiddin, Presiden Pas pun dapat merasa jawatan dalam Kabinet, walaupun sekadar Duta Besar ke Timur Tengah, tetapi bertaraf menteri.
Pendek kata, Muhyiddin ketika berkuasa melalui Langkah Sheraton, pandai membeli jiwa hinggakan Pas sanggup tinggalkan ‘bini pertamanya’ untuk bersama ‘bini baru’ (walaupun sudah tua).
Itulah alasan yang BK berikan kepada Datuk pencen itu. Namun, Dato’ pencen itu tak mahu terima alasan BK.
Dia punyai pandangan lain dari BK dalam bab ini. Dia kata dengan penuh yakin, Pas akan bersama UMNO dalam PRU-15 ini. Alasannya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh menang kalau bergerak solo.
Sedangkan, parti-parti lain semuanya bergabung, buat khemah besar untuk lawan dengan musuh mereka.
PKR, DAP dan Amanah bergabung. Pas, Bersatu, Gerakan pun bergabung bawah satu bumbung. Begitu juga Putra, Iman dan Berjasa bergabung dalam Gerakan Tanah Air (GTA).
Ini UMNO dan BN tidak mahu bergabung? Nak bertanding solo dengan pihak lawan yang semakin kuat? Mustahil UMNO, BN akan menang, kata Dato’ pencen itu.
BK cuba beritahu kepada Dato’ itu, yang BK sebelum ini pernah buat artikel atau analisa mengenai formula Pas atau UMNO jika mahu menang PRU. Kesimpulan kepada analisa itu ialah Pas dan UMNO mesti bergabung.
Datuk itu mengiyakan apa yang BK kata mengenai formula dalam analisa itu. Tetapi, katanya, kali ini dua parti ini akan benar-benar bersatu semula tanpa ada parti ketiga (Bersatu).
Pada BK, mustahil perkara itu akan berlaku, kerana Pas tidak akan tinggalkan Bersatu dan UMNO tidak akan sekali-kali terima Bersatu. Lainlah kalau Pas sudah berpatah arang berkerat rotan dengan ‘bini barunya’ itu, baharulah UMNO boleh terima.
Datuk itu tidak puas hati. Dia cuba juga untuk yakin BK bahawa kali ini UMNO akan benar-benar terima Pas dan Pas akan tinggalkan Bersatu untuk bersama UMNO.
Pertama, alasannya kata Datuk itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dah makin lembut dan boleh terima Pas perlahan-lahan. Kedua, Ahmad Zahid pun fikirkan perkara sama, iaitu BN tidak boleh menang kalau bertanding secara solo.
Dan banyak lagi alasan diberikan Datuk itu kepada BK dengan harapan BK percaya dengan formula dia, kononnya akan berlaku kejutan besar sebelum Perdana Menteri umumkan pembubaran Parlimen.
Kejutan itu maksudnya, Pas akan tinggalkan Bersatu dan rakan parti Gerakan kerana hendak memeterai semula MN yang sekian lama terputus akibat pentingkan diri dan parti.
Kini, selepas Pas melihat gabungannya dengan Bersatu tidak akan pergi jauh, maka mereka merancang untuk merujuk kembali dengan isteri tuanya (UMNO).
Sebab itu, dalam seminggu dua ini kita lihat kenyataan pemimpin Pas terhadap UMNO pun mula ringan-ringan, tidak hentam keromo seperti mula-mula berpisah dulu.
Cumanya, dalam hal ini BK tidak menolak kemungkinan musuh dalam selimut yang ada dalam UMNO akan main cocok-cocok untuk pastikan gabungan Pas-UMNO tidak akan tercapai.
Musuh dalam selimut ini sudah terang lagi bersuluh. Mereka jiwa UMNO, tapi tidak sebulu dengan Presiden. Mereka tidak mahu Pas saja bergabung dengan UMNO. Mereka mahu Bersatu pun turut bersama dalam gabungan itu.
Mereka ini sebenarnya adalah anai-anai, yang makan dalam, yang merosakkan satu-satu organisasi secara diam-diam dari dalam. UMNO tidak terlepas dari anai-anai ini. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catatan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...






