Sabtu, 26 Ogos 2023

Persepsi, sentimen kebencian faktor menang, kalah PRN ke-15

Oleh Manzaidi Mohd Amin - 21 August 2023
BELUM terlambat untuk Bawah Kolong (BK) ucapkan tahniah kepada negeri yang menang pilihan raya kecil minggu lalu. Walaupun jumlah negeri yang dikekalkan penyandang tidak berubah, tapi bilangan kerusi banyak bertukar. Keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada malam 12 Ogos lalu ialah PH-BN menguasai Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi Kedah, Kelantan dan Terengganu. Daripada 245 kerusi DUN, Selangor 56 kerusi (PH 32 / PN 22 / BN 2), Negeri Sembilan 36 kerusi (PH 17 / BN 14 / PN 5), Pulau Pinang 40 kerusi (PH 27 / PN 11 / BN 2), Kedah 36 kerusi (PN 33 / PH 3 / BN 0), Kelantan 45 kerusi (PN43 / PH 1 / BN 1) dan Terengganu 32 kerusi (PN 32 / PH 0 / BN 0). Peratusan keluar mengundi di Selangor 72 peratus, Negeri Sembilan 68.35 peratus, Pulau Pinang 72.67 peratus, Kedah 73.86 peratus, Kelantan 60.96 peratus dan Terengganu 74.79 peratus. Jumlah keseluruhannya, Pas menang 111 kerusi daripada 127 calon yang bertanding, diikuti DAP 46 daripada 47, Bersatu menang 34 daripada 80 calon, PKR 26 daripada 58 calon, BN 19 daripada 108 calon, Amanah (lapan daripada 31 calon). PH yang mengetuai gabungan Kerajaan Perpaduan memperolehi 56 peratus atau 137 kerusi di enam negeri, manakala Pas pula meletakkan 127 calon menang 111 kerusi, parti Bersatu 80 kerusi (menang 34), parti Gerakan 36 kerusi (menang satu). Selepas keputusan itu diumumkan pelbagai andaian atau analisis dibangkitkan sama ada oleh pimpinan parti, pemerhati dan penganalisis politik, NGO serta orang perseorangan. Rata-rata BK lihat, pandangan mereka menyalahkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Selain kesalahan beberapa pimpinan dari parti-parti komponen PH-BN iaitu DAP. Ada juga yang memberi pandangan PH-BN gagal menangkis isu nasional, dakyah dan fitnah yang dimainkan atau dibawa oleh pimpinan serta jentera PN, selain isu pengundi luar, faktor Datuk Seri Najib Razak dan serangan ke atas Muhammad Sanusi Md. Nor. Muhammad Sanusi telah diangkat sebagai hero dalam PRN ke-15 baru-baru ini kerana menerima serangan bertubi-tubi daripada PH-BN. Dari suara akar umbi yang ditemui, BK dapat simpulkan hampir 95 peratus serangan dakyah PN ditujukan kepada UMNO dan BN. Antaranya isu peribadi Ahmad Zahid yang ada 45 kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Selain kelemahan jentera UMNO di peringkat penerangan dan calon UMNO terlalu mentah, tidak matang, tidak mahir dan tidak ada pengalaman dalam menangkis isu nasional. PN pula mengekalkan orang lama yang bijak dan mahir memainkan sentimen kebencian serta simpati ahli dan penyokong UMNO. Walaupun PN tahu apa yang mereka dakyahkan itu tidak benar, tetapi itulah senjata terbaik untuk menanam kebencian ahli dan penyokong ke atas Ahmad Zahid, termasuk ‘keburukan’ yang dicanangkan akan gabungan UMNO/BN dengan PH yang ada DAP. Selain itu, isu kafir juga masih relevan dan berjaya mengekalkan kepercayaan satu perempat rakyat Kelantan. Ditambah pula hasutan daripada bekas pemimpin UMNO yang dipecat dan ada yang menyertai Pas serta menyokong Bersatu. Keikhlasan beberapa pemimpin UMNO juga masih diragui. Cuma BK tidak mahu ulas kejujuran dan keikhlasan mereka yang masih bersama UMNO, tetapi boleh dikatakan seluruh jiwa raganya ditumpahkan kepada PN. Manakala serangan ke atas PH hanya tertumpu kepada keperibadian Anwar selaku Perdana Menteri ke-10 (PMX). Perwatakan dan ketrampilannya tidak menunjukkan seorang negarawan. Kita tahu, Anwar tidak mahu ada sekatan atau jurang antara dirinya dengan rakyat, tetapi kaedah itu diambil kesempatan oleh musuhnya untuk menanam persepsi agar rakyat tidak menghormatinya sebagai Perdana Menteri. Ucapan dan kenyataan Anwar pada majlis serta program bersama rakyat atau mahasiswa dikatakan gagal menarik minat golongan berkenaan. Pada BK, Anwar sepatutnya perlu ada teks untuk berucap supaya kenyataannya lebih berfakta. Ucapan tanpa teks boleh terbabas seperti mendedahkan kes-kes rasuah oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, kes harta berbilion milik Tun Mahathir dan anak-anaknya. Isu-isu ini tidak sepatutnya keluar dari mulut Anwar dikhalayak. Ia patut dikeluarkan menerusi kenyataan rasmi berasaskan fakta dan bukti pada waktu yang sesuai. Ucapan atau kenyataan tanpa teks juga secara tidak langsung memberi bola tanggung kepada lawannya, terutama Dr. Mahathir dan pimpinan Pas serta Bersatu yang sudah hilang hormat kepada Anwar selepas PH bekerjasama dengan BN dalam membentuk Kerajaan Perpaduan pada November tahun lalu. Nak serang Dr. Mahathir atau Muhyiddin atau pimpinan PN serah sahaja kepada panglima perang PH-BN. Anwar tidak perlu campur dan lebih berkesan kalau beliau hanya bercakap mengenai perancangannya, usahanya, pelannya dan pelaksanaannya untuk menstabilkan ekonomi negara. Kalau Anwar diserang oleh Dr. Mahathir, lebih baik beliau ambil sikap berdiam diri dan beri tumpuan kepada mentadbir negara. Kalau nak jawab pun, jawab secara berhemah. Antara tindakan yang perlu diambil perhatian oleh pimpinan PH-BN selepas post-mortem keputusan PRN ini ialah pengundi luar. Jangan letakkan seratus peratus kesalahan kepada pengundi luar. Ada juga antara mereka tidak pulang mengundi kerana masih marah kepada PN (Pas dan Bersatu) tidak tunai janji untuk beri duit poket kepada mereka ketika pulang mengundi PRU15 November 2022. Jangan letakkan kesalahan seratus peratus kepada pengundi luar, kerana tidak sedikit dari mereka pulang mengundi PH-BN dan mengharapkan perubahan. Ada juga pengundi luar marah dan protes kepada PH-BN tidak pulang mengundi PRN sebagai tanda protes kerana menuduh mereka pulang memberi undi kemenangan kepada Pas pada PRU15. Tidak semua se lepas mengundi, balik ke ibu kota sambung cari rezeki, sedangkan mak, ayah, ahli keluarga ditinggalkan hidup susah di bawah pentadbiran kerajaan Pas Kelantan. Tetapi, kerana dituduh secara melulu, mereka protes dan marah dan beri pengajaran kepada PH-BN, kerana bagi mereka tidak semua balik memberi undi kepada PN, ada juga yang undi PH-BN. Tapi keseluruhannya diletakkan kesalahan kepada mereka. Pengundi luar apabila mereka merajuk dan marah, mereka protes dan akan berpihak kepada PN. Tuduh menuduh ke atas mereka akan menguatkan sokongan PN pada PRU16. Kelemahan PH-BN, tidak ada ‘kepala’ yang boleh mendekati pengundi luar sama ada di Kuala Lumpur, Selangor dan negeri-negeri yang menjadi tumpuan rakyat Kelantan dan rakyat negeri lain mencari rezeki. PN ada jentera dan wakil. Setiap tahun mereka berkumpul dalam program masak bubur asyura, program makan-makan, program temu mata, program hari keluarga, program mengikut minat pengundi luar dan sekali sekala pemimpin mereka turun bersama. Sebab itu pengundi luar lebih dekat dengan PN. PH-BN tak ada menyebabkan mereka jauh hati dengan PH-BN. Kerajaan Perpaduan juga kena pertimbangkan untuk mewujudkan semula peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dalam skop yang kecil, bukan skop induk sebagaimana ditubuhkan di Kelantan di era Dr. Mahathir. Cukuplah dengan Kerajaan Perpaduan menghidupkan semula peranan Ketua Pembangunan Penyelia Mukim (KPPM) atau Penghulu di setiap Mukim atau PDM. Sejak peranan KPPM atau Penghulu Persekutuan dimansuhkan, rakyat termasuk ahli dan penyokong UMNO dan PH atau atas pagar atau berkecuali akan merujuk Tok Penghulu dari PN untuk mendapatkan sebarang pengesahan dokumen. Sebagai contoh, bekas tentera meninggal dunia. Segala dokumen berkaitan terutama pencen yang akan ditukar kepada balunya memerlukan cop pengesahan dan tandatangan Tok Penghulu lantikan Pas. Ini memberi kredit dan menambahkan sokongan atau undi kepada PN. Tok Penghulu Pas sentiasa menunjukkan ‘mudah baso sene kiro’ dengan semua lapisan rakyat, tidak seperti KPPM atau Penghulu Persekutuan sebelum ini, nak beri pengesahan pun pilih bulu. Jadi, konsep KPPM/Penghulu Persekutuan bawah Kerajaan Perpaduan ini bukan lagi melantik di kalangan ahli parti, sebaliknya kenal pasti dalam kalangan seperti imam, bilal, siak, guru dan kakitangan awam atau wakil J-Kom setiap negeri atau daerah yang semuanya disenangi penduduk dan mesra penduduk, mesra jiran. Kalau lantik di kalangan ahli parti akan menimbulkan lagi kebencian rakyat kepada PH-BN kerana pengalaman lepas-lepas lantikan ahli parti seperti ketua cawangan ini sombong dengan penduduk, lebih lagi pengundi atas pagar. Mereka diboikot oleh KPPM/Penghulu Persekutuan atas alasan orang atau penyokong pembangkang. Ini menambahburukkan lagi keadaan dan sokongan terhadap PH-BN. Sekarang ini PN main isu kononnya Kerajaan Perpaduan akan sekat peruntukan kepada negeri seperti Perlis, Kelantan, Kedah dan Terengganu. Mereka sudah mula tanam sentimen kebencian kepada PH-BN untuk dapatkan sokongan pada PRU16. Beri peruntukan seperti biasa, tetapi melalui JPP yang ditubuhkan di empat negeri berkenaan. Aktifkan peranan J-Kom di setiap negeri untuk beri penerangan kepada rakyat bahawa projek sekian-sekian yang disalurkan ke negeri PN adalah peruntukan daripada Persekutuan. Jentera PH-BN dalam apa bentuk kewujudannya kena aktif mulai sekarang dalam bab berkempen dan membantu menarik sokongan kepada parti dan kerajaan persekutuan. Setiap laporan mereka perlu dipantau, disemak kerana biasanya laporan dibuat tidak berdasarkan tinjauan, tetapi andaian. Ini bahaya kepada pimpinan parti kerana menaruh kepercayaan sepenuhnya tanpa usul periksa. Sikap ambil mudah begini perlu diubah di peringkat penyelaras atasan. Ini sahaja yang BK dapat berikan ulasan mengenai PRN ke-15 baru-baru ini. Kalau ada yang baik, guna pakailah, kalau pendapat ini dirasakan membebankan, buang saja. BK tidak ada apa-apa kepentingan pun. – MalaysiaGazette

Keputusan malam tadi seri 3-3

Oleh Manzaidi Mohd Amin - 13 August 2023
KEPUTUSAN pertandingan antara dua gabungan parti politik dalam pilihan raya kecil semalam berakhir dengan seri 3-3. Pakatan Harapan bergabung dengan Barisan Nasional (PH-BN) dapat tiga negeri, Perikatan Nasional – Bersatu dan Pas (PN) dapat tiga negeri. Rakyat telah buat pilihan begitu adil dan saksama sekali dengan setiap gabungan parti dapat sama banyak, tanpa kurang, tanpa berlebihan. Walaupun keputusan seri tapi corak permainan kedua gabungan parti amat sengit sekali dengan setiap calon masing-masing bekerja keras untuk menawan gawang lawan. Ada yang bolos, ada yang dapat ditangkis. Namun, banyak juga jaringan pihak penyandang dibolos pihak lawan walaupun gagal melepasi jumlah gol yang disasarkan. Bawah Kolong (BK) ambil contoh Selangor, sebelum PRU15, PH menang 51 kerusi, selepas PRN15 malam tadi, PH hanya beroleh 34 kerusi manakala 22 kerusi lagi berjaya dimenangi PN. Begitu juga Pulau Pinang, PN telah menerobos 11 daripada 29 kerusi DUN. Terengganu, PN sapu bersih 32 kerusi, mengulangi sejarah Pas di Kelantan dalam PRU 1990. Kedah dan Kelantan, PN hampir-hampir sapu bersih, tetapi PH dapat juga tiga kerusi di Kedah dan dua kerusi di Kelantan. Manakala Negeri Sembilan, daripada 36 kerusi dipertandingkan, PH-Bn dapat 31, PN dapat lima. Tidak sedikit UMNO dan PH hilang kerusi dalam PRN kali ini. Trend pengundi yang tidak menentu arah sokongannya menyebabkan ramai penganalisis pening. Penganalisis melihat permasalahan di negeri sebagai faktor pengundi akan membuat pilihan. Namun ternyata faktor itu bukan penyebab kepada penentu menang kalah sesebuah negeri. Sebaliknya, bergantung kepada isu nasional. Apa yang dibuat oleh pihak kerajaan kepada pihak pembangkang. Dengan kata lain, penindasan. Kita tengok di Kelantan, selama 33 tahun negeri itu dibelenggu oleh permasalahan yang tidak pernah selesai. Kalau dikira, sudah tentu rakyatnya sudah bosan dan akan buat keputusan untuk tukar pentadbiran. Malangnya walaupun kerajaan Pas Kelantan gagal menyelesaikan masalah rakyat, kemenangan tetap berpihak kepada parti itu malah makin bertambah jumlah kerusi. Nak kata rakyat Kelantan unik, keputusan ini tidak menunjukkan satu keunikan pun. Jauh sekali nak dikatakan rakyat Kelantan bijak. Bijak apa, kalau tak pandai nak beza antara parti yang banyak jasanya kepada rakyat dengan parti yang banyak timbulkan permasalahan kepada rakyat. Maknanya ada sesuatu yang sangat-sangat istimewa dalam kepimpinan Pas yang disukai rakyat dan tidak diketahui oleh musuhnya. Kalau nak kata rakyat Kelantan bijak, sudah tentu mereka pilih UMNO. Sebab parti ini cukup banyak jasa dan banyak pula bawa pembangunan serta kemajuan tapi dinafikan kemenangannya begitu saja. Seolah-olah rakyat sudah nekad untuk menguburkan parti paling tua di Malaysia ini, yang digelar parti keramat orang Melayu. Pas pun parti tua juga. Kedua tertua dari UMNO tetapi makin tua makin disukai rakya, terutama anak-anak muda. Mereka langsung tidak kekok mendampingi orang tua berjubah, berserban. Ini yang dikatakan aura. Power bau minyak atar itu mengkhusyukkan anak muda untuk lebih menyayangi pemimpin Pas. Soal pemimpin cakap hodoh, mulut celupar itu nombor dua. Mereka tak pernah kisah. Malah itulah jenaka yang menghiburkan. Paling utama, imej sederhana dibawa pemimpin Pas itu berjaya menarik minat orang ramai. Mereka senang didekati, tidak sombong dan murah senyuman walaupun kedekut daripada segi khidmat bakti. Ini tidak ada pada pemimpin UMNO. Sebut saja UMNO, sudah tertanam dalam persepsi orang ramai, UMNO ini sombong, megah, kedekut senyuman, tidak mesra, tidak ramah dan jumpa rakyat secara bermusim. BK tak tahulah betul atau tidak tetapi itulah yang sampai ke telinga BK. Setiap reaksi rakyat walaupun kecil, harus diambil berat oleh kepimpinan UMNO. Dan lagi, sudah tertanam juga dalam minda rakyat bahawa kepimpinan UMNO ini terpalit dengan rasuah, kaya raya, rumah besar, kereta besar dan hidup mewah walaupun merekalah penyumbang terbanyak zakat setiap tahun. Ini berbeza dengan pemimpin Pas, walaupun rumah banglo, riasnya tidak kelihat terlalu mewah. Walau berkereta mewah, bukan dijadikan kenderaan harian. Mereka sentiasa mahu rakyat melihat mereka hidup zuhud. Dan satu lagi, cakap belit, beri alasan tidak munasabah tetapi didengar logik oleh rakyat adalah mainan harian mereka. Inilah kelebihan Pas yang tak ada pada UMNO. Apa pun, BK harap pucuk pimpinan UMNO muhasabah diri dengan keputusan pilihan raya negeri malam tadi. Banyak struktur parti nak kena ubah dan rombak. Jangan cukup berpuas hati dengan apa yang ada. Selain itu, post mortem atau bedah siasat sudah tidak relevan lagi digunakan untuk cari punca kekalahan. Post mortem dan bedah siasat hanya khusus untuk sesuatu yang sudah mati. Kalau sudah mati, nak bedah siasat apa lagi. Hanya sekadar nak tahu punca kematian? Itu bukan jawapannya. Jawapannya ada pada diri sendiri. Tanya diri, apa yang aku telah lakukan hingga parti aku tak lagi diterima rakyat pelbagai lapisan umur. Tengok diri sendiri, imbau sejarah diri dan kenangkan balik kelakuan diri sepanjang mengetuai parti. Dan lebih penting, jika kita sudah dapat jawapan itu, eloklah mengundurkan diri. Beri laluan kepada yang lebih muda dan berintegriti. Sekianlah saja pandangan dan nasihat dari BK. BK pun dah nak bersara. Tinggal lagi satu atau dua bulan. Lepas ini BK tidak lagi terlibat dengan sebarang komentar. BK nak balik kampung, nak usahakan tanah. Mana tahu ada REE dalam tanah sekangkang kera BK. – MalaysiaGazette

Siapa bakal dinobatkan giant killer?

Oleh Manzaidi Mohd Amin - 1 August 2023
SIAPAKAH giant killer di Selangor dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 DUN Selangor pada 12 Ogos ini? Ada yang kata sudah tentu Juwairiyah Zulkifli iaitu calon PH bagi Hulu Kelang dan ada yang kata Mohd Hanif Jamaluddin calon PN DUN Sungai Tua. Kedua mereka akan bertanding melawan calon yang bukan calang-calang orang, iaitu Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali di Hulu Kelang dan Amirudin Shari Pengerusi PH Selangor di Sungai Tua. Jika Juwairiyah dari PKR dan Mohd Hanif dari Pas dapat mengalahkan lawan masing-masing, mereka akan dinobatkan sebagai giant killer. Juwairiyah pada penggal PRU14 menang di kerusi DUN Bukit Melawati, tetapi dipindahkan saat akhir ke Hulu Kelang untuk berlawan dengan bekas bosnya, Mohamed Azmin yang menyertai parti Bersatu. Mohd Hanif pula calon muka baru Pas yang diletakkan di DUN Sungai Tua untuk melawan penyandangnya, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor. Dapatkah Mohd Hanif mengalahkan Amirudin, yang membuat kejutan mengalahkan Mohamed Azmin di kerusi Parlimen Gombak pada PRU15 November tahun lalu? Mengikut adat pertandingan pilihan raya yang lepas-lepas, kalau Parlimen dimenangi parti A, makanya kerusi DUN dalam Parlimen itu juga akan dimenangi calon dari parti A. Amat jarang berlaku kerusi Parlimen dimenangi parti A, tetapi kerusi DUN dibolot oleh parti B. Kalau ada pun jumlahnya sedikit-sedikit dan kadang-kadang saja, bukan banyak-banyak. Jadi, solusinya kerusi DUN Hulu Kelang dan Sungai Tua yang ditandingi si giant ialah dua-duanya berada dalam Parlimen Gombak yang dimenangi Amirudin. Tinggal lagi dapatkah Juwairiyah dan Mohd Hanif menjadi killer? Ada yang tanya Bawah Kolong (BK), anda sebagai pengamal media yang dekat dengan situasi politik, takkan tak tahu siapa menang antara dua DUN itu. BK kata, kalau situasi politik zaman 70-an, 80-an, 90-an serta awal 2000 bolehlah buat ramalan, tetapi politik masuk era suku tahun 2000 ni sukar nak ramal kerana keadaannya boleh berubah dalam sekelip mata. Tambahan pula, PRN kali ini turut melibatkan Undi-18, yang mereka terjemahkan kali pertama pada PRU15 yang lalu. Parti mana yang mereka pilih telah dibentangkan di depan mata kita pada tengah malam 20 November 2022, dan keputusan itu, bagi yang bijak pandai menilai, akan tahulah jawapannya pada PRN 12 Ogos ini. Memang sukar dan kusut nak buat pecahan mengikut saluran undi masing-masing, tetapi kalau kita ambil secara umum, itulah jawapannya. Jadi, mana-mana parti yang bertanding satu lawan satu pada Sabtu minggu depan jangan excited sangat sebab pengalaman 22 bulan PH, 19 bulan Abah dan 14 bulan Abang Long akan menjadi penilaian rakyat. Tahu tak? Rakyat tak pernah lupa apa yang berlaku dan dilakukan kerajaan-kerajaan terdahulu. Mereka simpan kemas dalam hati dan diterjemahkan pada pilihanraya. Walaupun lima tahun sekali, undi mereka bakal memberi perubahan. Bersandarkan kepada situasi ini, BK sama seperti penganalisis politik yang bebas, tidak dapat membuat ramalan negeri mana dimenangi PN dan negeri mana dimenangi PH. Tetapi, kalau kita tanya pemimpin mereka, sudah barang tentu enam negeri mereka yang punyai. Atas dasar apa mereka buat penilaian itu, BK pun tak tahu. Tapi mungkin jawapan mereka sekadar nak menyedapkan hati yang gundah gulana. Untuk dapatkan keputusan yang tepat, negeri mana dimenangi PN dan PH, sama-samalah kita tunggu malam 12 Ogos ini. Tak lama dah, berbaki lagi 11 hari saja lagi. Namun, BK harap keputusan ini dapat diumumkan lebih awal iaitu paling lewat sehingga jam 10 malam, tidak selewat sampai tahap dini hari menunggu keputusan penuh PRU15 yang lalu. Berbalik kepada giant killer tadi. BK kata Azmin bukan calang lawan kerana beliau dua penggal menang di Gombak, sebelum dikalahkan Amirudin. Begitu juga Amirudin dua penggal menang di Sungai Tua tanpa pernah dikalahkan calon lawan. Juwairiyah pula satu penggal menang, tetapi di DUN Bukit Melawati, bukan di Hulu Kelang. Kerusi ini agak baru bagi dia, tetapi tidak bagi Azmin, walaupun dikatakan calon baru. Azmin pernah menang dua penggal di Hulu Kelang pada PRU 1999, malah dia mendakwa, kedua ibu bapanya tinggal di Hulu Kelang. Berbeza dengan Juwairiyah. Dia bukan anak tempatan Hulu Kelang, tapi mendakwa pernah tinggal di situ sebelum ini. Mohd Hanif entah dari mana. Dia tak kisah pun soal anak tempatan atau pendatang. Yang penting, dia kena kerja kuat untuk kalahkan Amirudin, sekali gus merebut anugerah giant killer. Juwairiyah pun memasang angan-angan yang sama. Dia merasakan dapat mengalahkan Azmin. Kalau Amirudin yang dituduh oleh Sanusi sebagai tak cukup inci boleh kalahkah orang kuat PN itu, masakan dia tak boleh. Bak kata orang tua-tua, tangan yang mengayun buai boleh menggegarkan dunia, tetapi masalahnya Juwairiyah belum kahwin, tangannya belum ada pengalaman mengayun buai. Maka, kata-kata yang sesuai untuk Juwairiyah ialah, pengalaman berkhidmat sebagai wakil rakyat di DUN Bukit Melawati selama lima tahun menjadi peluru baginya untuk mengalahkan Azmin. Kepada semua mereka, BK ucapkan selamat bertanding dan bersedialah menerima keputusan. Menang atau kalah. – MalaysiaGazette

Keputusan PRN tak gugat Anwar sebagai PMX

Oleh Manzaidi Mohd Amin - 26 July 2023
HEBOH pimpinan dari Perikatan Nasional (PN) mencanangkan kepada rakyat, jika mereka menang di enam negeri pada pilihan raya negeri ini, maka mereka dapat mengambil alih Putrajaya. Lama juga Bawah Kolong (BK) termenung dengan dakwaan ini. Benarkah, jika enam negeri ini, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang diperintah oleh PN maka automatik kerajaan pusat juga akan diperintah oleh PN. Dalam termenung memikirkan itu, BK terjumpa kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said. Katanya, kerajaan pusat tak sama dengan kerajaan negeri. Kerajaan pusat didiri, dibina, dibentuk melalui sokongan terbanyak ahli-ahli Parlimen manakala kerajaan negeri pula terbentuk oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Kerajaan Pusat sekarang ini disokong oleh 148 Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) termasuk Gabungan Parti Sabah (GPS). PN, dalam PRU ke-15 November tahun lalu hanya mendapat 76 kerusi. Dari 76 kerusi, jika PN nak ambil alih kerajaan pusat, mereka sekurang-kurangnya perlu menarik 36 ahli Parlimen dari kerajaan untuk mendapat majoriti mudah iaitu 112 kerusi. Untuk dapatkan 36 ahli Parlimen dari kerajaan ini bukan suatu yang mudah. Semua 222 ahli Parlimen terikat dengan Akta Anti Lompat Parti. Mereka boleh lompat tetapi sanggupkah mereka kosongkan kerusi Parlimen untuk diadakan pilihan raya kecil? Kalau mengikut akta itu, seseorang ahli Parlimen yang lompat parti perlu kosongkan kerusinya dan tidak boleh lagi bertanding. Kalau dah tak boleh bertanding, kenapa nak lompat parti hingga perlu kosongkan kerusi dan diberikan kepada orang lain bertanding? Sedangkan, calon penggantinya belum tentu menang. Oleh itu, jika PN menang di enam negeri sekalipun, kerajaan persekutuan tetap ditadbir oleh PH-BN-GPS. Kerajaan persekutuan ada tanggungjawab lagi pada empat negeri bawah PH-BN iaitu Pahang, Johor, Melaka dan Perlis. PN bolehlah jaga tujuh negeri pimpinannya, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Tetapi, adakah ianya menjadi kenyataan PN? Dibimbangi, apa yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran. Dengar berita keesokan hari, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih kekal PMX. Pendek kata, habis PRN 12 Ogos ini, semuanya balik kepada asal. PN mentadbir negeri, PH-BN-GPS mentadbir kerajaan persekutuan. Tetapi, sejauhmana pusat nak terima negeri yang diperintah oleh PN? Sudah barang tentu, kalau ada peruntukan pembangunan, pusat akan utamakan empat negeri pimpinan kerajaan perpaduan. Negeri-negeri lain terimalah hakikat mereka hanya anak tiri. Sebagai anak tiri, nak perbelanjaan lebih daripada anak kandung, payahlah sikit. Kena terimalah layanan seadanya. Tak boleh cemburu, tak boleh iri hati. Tunggulah lima tahun lagi kalau betul-betul nak ambil alih Putrajaya. Tetapi waktu itu sudah tidak sama dengan waktu hari ini. Dalam tempoh lima tahun atau empat setengah tahun dari sekarang, banyak perkara yang memberi manfaat dilaksanakan oleh pusat. Ketika itu, rakyat menilai kesungguhan kerajaan perpaduan berslogankan Malaysia Madani mentadbir dan menjaga kebajikan mereka. Malah, mungkin pada PRU16, rakyat menolak PN dan PH-BN berjaya mengambil alih semula pentadbiran di enam negeri itu. Persoalan adakah kerajaan pusat akan jatuh pada malam 12 Ogos ini, sudah terjawab. Pusat tidak sama dengan negeri. Untuk bentuk kerajaan pusat, ahli Parlimen yang tentukan. Begitu juga untuk bentuk kerajaan negeri, ADUN yang tentukan. Ahli Parlimen dan ADUN, dua entiti berbeza. Mereka ada peranan masing-masing, iaitu Ahli Parlimen di pusat, ADUN di negeri. Masing-masing mengendalikan kerajaan sendiri. ADUN kerajaan negeri, ahli Parlimen kerajaan persekutuan. Bilangan negeri yang memihak kepada mana-mana parti tidak boleh menentukan kedudukan kerajaan persekutuan. Negeri ada menteri besar dan exco manakala pusat ada perdana menteri dan menteri. Masing-masing kena buat hal sendirilah. Terpulang kepada pusat sama ada nak salurkan peruntukan sama banyak kepada negeri pembangkang atau sebaliknya, negeri berkenaan tak boleh bising. Tengok saja sebagai contoh, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika jadi perdana menteri keempat, beliau ada hak dan kuasa nak sekat peruntukan masuk ke Kelantan. Masa itu, Pas terpaksa urus tadbir negeri dengan kebijaksanaan pimpinannya untuk pastikan rakyatnya terus hidup. Begitulah nasib yang bakal menimpa enam negeri ini jika PN yang menang. Kerajaan pusat boleh untuk tidak mengambil tahu kepimpinan masing-masing sebab banyak lagi tanggungjawab nak dilakukan. Namun, BK percaya kerajaan persekutuan pimpinan Anwar dengan dibantu dua Timbalan Perdana Menteri tidak sampai hati membiarkan rakyatnya hidup dibelenggu masalah. BK yakin Anwar akan membawa kemakmuran, pembangunan, keperluan dan kebajikan rakyat serta dasar yang membawa perubahan secara progresif melalui slogan Malaysia Madani. – MalaysiaGazette

Jumaat, 21 Julai 2023

Pemimpin tidak amanah, bersedialah jawab di akhirat kelak

By Manzaidi Mohd Amin - 17 July 2023
WALAUPUN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapkan tempoh kempen selama 14 hari bermula selepas sesi penamaan calon 29 Julai ini, boleh dikatakan pimpinan dan jentera semua parti politik sudah mula turun padang. Sikap tidak patuh kepada peraturan dan undang-undang ini makin menjadi-jadi di kalangan ahli dan pimpinan politik. Mereka tunjuk sikap tidak baik kepada rakyat, walaupun dalam ceramah, mereka tekankan kejujuran, kepatuhan, kesetiaan dan keikhlasan. Tetapi, mereka sendiri langgar. Sebab itu, ramai kata politik ini umpama ketam mengajar anak berjalan lurus. Penuh nasihat dan kata-kata hikmah, tetapi mereka sendiri tidak pernah amalkan. Dalam seminggu dua ini, macam-macam isu dihidangkan kepada rakyat. Tuduh menuduh satu sama lain, keluar kenyataan tak ikut fakta, cakap tak serupa bikin dan cakap lain, buat lain. Ada parti politik sudah mula jelajah ke negeri-negeri. Ada yang sudah masuk ke kampung-kampung dan ada yang berlagak seolah mereka calon. Yang tak pernah jumpa rakyat selepas menang PRU14 lima tahun lalu, mula ketuk pintu rumah penduduk. Yang hilangkan diri sejak sekian lama, mula muncul tunjukkan kononnya peduli rakyat. Ini semua semata-mata nak menangkan hati rakyat. Nak dapatkan sokongan dan undi rakyat dalam pilihan raya negeri yang berlangsung 12 Ogos ini. Mereka turun padang dengan muka tidak bersalah. Mereka tukar imej dalam sekelip mata. Mereka tahu, rakyat tidak kisah pun, yang penting, mereka dapat pengaruhi rakyat dan hasut rakyat. Selepas itu pulang ke rumah. Dalam bab kempen, satu yang Bawah Kolong (BK) perhatikan sering berlaku, iaitu cakap bohong. Mereka anggap cakap bohong adalah senjata terbaik untuk pengaruhi minda rakyat. Mereka tidak peduli, cakap bohong dan fitnah itu satu dosa besar. Yang penting rakyat percaya dan mereka dapat sokongan. Ini yang berlaku akhir-akhir ini. Politik cacamarba atau bercampur aduk ini mula berlaku selepas Barisan Nasional (BN) mula hilang sokongan sejak PRU12 dan tersungkur dalam PRU14. Sejak itu, politik negara tidak lagi stabil seperti sebelumnya. Mereka seronok menjatuhkan kerajaan dan bertukar kepimpinan, tanpa sedikit pun fikirkan kesan yang berlaku kepada negara dan rakyat khususnya. Apa kisah dengan rakyat hilang pekerjaan. Apa kisah dengan rakyat tak cukup makan. Apa kisah dengan kos sara hidup tinggi yang semakin hari semakin mencengkam kehidupan rakyat. Yang penting, mereka dapat bentuk kerajaan, dapat jawatan dan dapat gaji beratus ribu setiap bulan. Soal rakyat tak cukup makan, belakang kira. Soal ekonomi jatuh, belakang kira dan soal politik tidak stabil juga belakang kira. BK ambil contoh Kelantan. Selama 33 tahun parti yang mendakwa memperjuangkan Islam memerintah, masalah bekalan air bersih masih gagal diatasi hingga kini. Anak-anak muda merantau cari rezeki. Jalan tidak diselenggara, bina lebuh raya ambil masa berpuluh tahun, tak siap-siap sampai sekarang. Namun, pemimpinnya tetap bangga konon mereka telah mentadbir dengan baik dan ikut landasan Islam. Kalau rakyat mengadu pasal air, mereka jawab, Sungai Kelantan penuh dengan air, tak kehabisan. Kalau rakyat mengadu cukai tinggi, mereka kata, negeri lain pun cukai tinggi juga. Negeri lain, cukainya tinggi, tetapi hasil dinikmati oleh rakyat sama rata. Di Kelantan, rakyat hidup dalam kempunan. Nak nikmati hasil cukai, mereka kena merantau negeri orang. Pemimpinnya tidak pernah fikir bagaimana nak majukan negeri. Tak pernah juga fikirkan nak tarik pelabur supaya dapat sediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya. BK cakap ini sebab BK juga anak Kelantan. Anak jati daerah Pasir Mas, yang makin hari makin mundur. BK nak sara keluarga, BK kena merantau. Maka, jadilah BK antara jutaan anak Kelantan bergelar perantau. Setiap tahun berdepan kesesakan jalan raya balik kampung. Berpuluh jam masa habis di jalan raya. Ada pemimpin peduli? Tidak. Ada pemimpin cuba lakukan sesuatu supaya perantau mereka pulang dengan selesa? Tidak. Yang mereka lakukan hari-hari ialah bercakap soal agama. Namun, dalam hafalan firman Allah, mungkin mereka terlepas pandang akan Surah Ar-Rad ayat 11: “Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu menjaganya bergiliran, dari depan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia”. Mereka tidak amalkan ayat ini, yang menekankan kepada usaha daripada pemimpin untuk mengubah nasib rakyatnya. Sebagai rakyat, sudah tentu tidak ada kuasa untuk membangunkan negeri, melainkan mengharapkan kepada pemimpin yang mereka pilih melalui pilihan raya untuk membawa segala bentuk kemajuan itu. BK pun kadang-kadang terfikir, tidakkah mereka ini yang mulutnya hafaz al-Quran dan Hadis tahu akan dosa yang bakal ditanggung kalau tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik? Adalah lebih baik, daripada menerakakan pihak lawan kerana kononnya tidak ikut perintah Allah, lebih baik fikirkan diri sendiri dahulu. Mereka diberi amanah selama 33 tahun sebagai pemimpin, tetapi masih gagal memikul amanah dengan baiknya. BK tidaklah tahu sangat pasal agama. Tetapi, mengikut logik akal, itulah yang akan berlaku kepada seorang pemimpin yang tidak melaksanakan amanah secara jujur. Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 58: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. Memetik kata-kata Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Prof. Madya Dr. S. Salahudin Suyurno berkata, amanah dan tanggungjawab perlu dipikul sebaik mungkin, malah menuntut pengorbanan cukup besar demi menjamin kesejahteraan dan kesentosaan masyarakat serta komuniti dipimpin. Lebih utama, katanya, bagaimana amanah dan tanggungjawab itu digalas akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di akhirat kelak. Jadi, tak takutkah mereka kepada Allah dengan mengabaikan amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin? Jangan rasa seronok dapat jadi wakil rakyat, gaji besar dan kereta besar sahaja. Perut jutaan rakyat di bawah mereka perlu diambil kira, sebab itu mereka dipilih menjadi wakil rakyat. – MalaysiaGazette

PRN 15: PN atau PH-BN kuasai enam negeri?

By Manzaidi Mohd Amin - 8 July 2023
BERBAKI 35 hari lagi, rakyat di enam negeri akan menentukan kerajaan melalui kertas undi pada 12 Ogos ini. Enam negeri itu ialah Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan. Mereka tidak bersama lima negeri yang lain yang mengumumkan pembubaran serentak dengan Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2022. Alasannya, mereka tidak mahu mengikut kehendak kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditadbir oleh Perdana Menteri dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika itu. Mereka anggap tarikh pembubaran itu masih pramatang dan tidak sesuai untuk masing-masing ikut serta. Oleh itu, mereka menunggu sehingga tempoh matang iaitu Jun dan Julai ini, baru mereka rasa sesuai untuk bubar. Apabila semua enam negeri ini selesai bubar DUN masing-masing, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun bermesyuarat pada Isnin 5 Julai. Dalam mesyuarat itu, SPR menetapkan tiga tarikh penting. Tarikh itu ialah 29 Julai hari penamaan calon, 8 Ogos hari undi awal dan 12 Ogos hari mengundi. Keputusan itu diumumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh. Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR), seramai 9,773,571 pemilih akan diberi kertas undi untuk memilih calon masing-masing. Daripada jumlah itu, 9,674,456 pengundi biasa, 49,660 anggota tentera dan pasangan, 47,728 anggota polis dan pasangan serta 1,727 pengundi tidak hadir luar negara. Daripada enam negeri ini, sebanyak 245 kerusi DUN akan diisi iaitu 36 kerusi Kedah, 45 kerusi Kelantan, 32 kerusi Terengganu, 40 kerusi Pulau Pinang, 56 kerusi Selangor dan 36 kerusi Negeri Sembilan. Pilihan raya ini dipanggil Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN), kerana berlaku dalam tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lebih tujuh bulan lalu selesai. Tiga daripada enam negeri ini diperintah oleh Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, manakala tiga lagi ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum bergabung dengan BN pada PRU15 melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan (KP). Maknanya, dalam PRN bulan depan ini, dua gergasi akan bertembung. Gergasi PN akan bertarung dengan gergasi PH atau lebih tepat PH-BN. Gergasi PN terdiri daripada Pas, Bersatu dan Gerakan, manakala PH-BN melibatkan PKR, Amanah, DAP dan BN. Ada yang tanya Bawah Kolong (BK), agak-agak dapat kepada PN semuakah enam negeri pada PRN ini? Atau PH berjaya merampas kembali Kelantan, Kedah dan Terengganu dari Pas? BK sebenarnya sukar nak beri jawapan yang tepat, tetapi kalau sekadar ramalan Nujum Pak Belalang, pada BK 50-50, iaitu PN boleh menang lima negeri atau PH-BN juga boleh menang lima negeri. Bagaimana lima negeri, sedangkan ada enam negeri? Satu negeri lagi iaitu Pulau Pinang, tentunya sukar digugat oleh PN kerana ia negeri dikuasai DAP. Pas, Bersatu dan Gerakan terlalu sukar nak gugat negeri ini. Tidakkah dulu Pulau Pinang pernah ditadbir oleh Gerakan? Mustahil parti itu tak boleh beri kemenangan kepada PN? Ya, dulu memang negeri itu pernah diperintah oleh Gerakan, tetapi masyarakat Cina Pulau Pinang sudah tolak Gerakan secara total. Lebih-lebih lagi Gerakan sekarang menyertai PN, makin masyarakat Cina tidak menerimanya. Adakah ramalan Nujum Pak Belalang BK ini memberi kesimpulan PH-BN kekal menguasai enam negeri? Tidak juga. Yang pastinya PH-BN berdepan kesukaran untuk menembusi kubu kuat Pas di Kelantan. Tetapi, BN ada rekod dapat menawan semula Terengganu pada PRU11 dan kekal memerintah Kedah sebelum PRU14. Bersandarkan rekod itu, BK yakin PH-BN boleh menang di lima negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan. Kalau PN menang di lima negeri pun, negeri yang berjaya ditakluki mereka ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan. Apakah PN mampu ambil alih Selangor? Ya, segalanya berkemungkinan. Walaupun Pas hanya menang satu kerusi di Selangor pada PRU14, tetapi dengan bantuan dan sokongan beberapa bekas pemimpin UMNO dan sikap agresif Azmin Ali, ia tidak mustahil. Tetapi, BK letak nisbah 60-40 iaitu 60 peratus peluang PN untuk kalah tu memang ada. Azmin tidak kuat sebagaimana disangka dan dijangka sebab dia tewas kepada anak muridnya, Amirudin Shari dalam mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada PRU15 November tahun lalu. Namun, semuanya terletak pada tangan pengundi di Selangor. Sekiranya mereka berpuas hati dengan prestasi kerja Amirudin sepanjang lima tahun ini, mereka akan kekalkan PH-BN. Jika tidak puas hati, mereka boleh tukar pada 12 Ogos ini. Pokoknya, siapa sahaja yang memerintah, sama saja. Semua parti sudah diberi peluang mentadbir dan masing-masing sudah teruji keberkesanannya. Ada yang gagal, tapi masih angkat diri dakwa berjaya, ada yang berjaya, tapi dinafikan oleh pengundi kerana termakan dengan fitnah. Sekarang pengundi lebih arif untuk memastikan sama ada negeri mereka kekal dengan pentadbiran kerajaan perpaduan atau mendapat mandat kerajaan baharu yang memerlukan nombor. – MalaysiaGazette

Apabila PMX bergurau minta nombor telefon

By Manzaidi Mohd Amin - 27 June 2023
BILA Bawah Kolong (BK) secara bergurau menyindir kesungguhan ‘musuh-musuh’ Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendesak PMX ini mohon maaf kerana ‘minta’ nombor telefon seorang budak perempuan, ramai yang marah. Dalam sindiran itu, BK nyatakan ada seorang pemimpin, suatu ketika dulu pernah juga minta (bukan bergurau ya) nombor telefon budak perempuan tapi tak dijadikan isu pun. Dalam marah-marah itu, mereka tanya kepada BK, siapakah gerangan orang yang dimaksudkan itu? BK kata, orang itu miliki sebutan nama yang sama dengan PMX, cuma ejaannya sedikit berbeza. Orang itu, kata BK, di zaman dewasa dan kegemilangannya, bukan setakat minta nombor telefon budak perempuan malah teman wanita kawan dia, isteri orang pun dia nak tackle apatah lagi janda. Memang mainan dialah perempuan-perempuan ni. Apa pun, itu cerita zaman dulu, zaman nakal-nakal dia. Tiap orang yang berada di alam dewasa semuanya akan laluan ujian itu. Cuma, mujurnya pemimpin ini tidak bawa perangai nakal tu apabila dah masuk alam warga emas. Okey, berbalik kepada tindakan PMX minta nombor telefon budak perempuan yang juga pelajar pada program dihadirinya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai baru-baru ini. Pada BK, itu hanya sekadar gurauan seorang bapa dengan anak dan gurauan seorang tua kepada seorang anak muda. Cara gurauan itu pun bukan hadir dengan nafsu terhadap budak belasan tahun. PMX pun sedar diri dia siapa nak mengorat budak-budak hingusan dan dia bergurau pun di depan khalayak, depan barisan pengurusan USIM, depan pimpinan parti dan NGO serta depan ribuan pelajar lain. Bukan dia minta nombor telefon tu secara berbisik atau secara pertemuan sulit pun. Dia hanya berjenaka untuk ceriakan suasana ketika tu. Itu pun nak dijadikan isu? Tapi tak mustahil benda kecil jadi besar sebab dalam kes ini, yang lantang menegur PMX ialah musuh politiknya. Biasalah, musuh politik. Benda sebesar busut boleh direka jadi sebesar gunung Kilimanjaro. Mereka hari-hari intai, perhati dan mahu dengar yang buruk-buruk sahaja pasal PMX. Macam harimau nak terkam mangsa, duduk menyorok di balik semak atau pokok, bila keadaan mengizinkan terus terkam. Begitulah sifat musuh. Yang buruk itulah yang dicari dan ditunggu-tunggu sebab boleh dicanang jadi besar dan hangat di pasaran. Ini memang kerja musuh yang profesional. Lebih lagi dalam kekeringan modal untuk kempen pilihan raya negeri, gurauan seperti ini yang dinanti-nantikan. Adanya modal ini, boleh dibawa naik ke pentas untuk berbohong di khalayak, di depan orang-orang yang dahagakan fitnah. Sungguh pun begitu, BK nak juga nasihatkan kepada PMX, bila sudah pegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan negara amnya, kelakuan nakal-nakal tu kenalah hentikan. Kena berhati-hatilah dalam mengeluarkan tutur kata atau ucapan, lebih lagi gurauan. Kalau masa pembangkang dulu bolehlah nak buat joke atau jenaka, sebab tak ada siapa kisah. Kalau ada tersalah kata pun, ia habis di situ sahaja, tidak dipanjang-panjangkan. Sekarang dia sudah jadi PM. Setiap tingkah lakunya boleh dijadikan isu oleh musuh politiknya. Dan satu lagi, setiap PM ada sekumpulan penasihat atau pegawai lantikan yang diberi gaji lumayan, takkan tak seorang dari puluhan mereka tak boleh beri nasihat. Imej dan maruah seorang PM kena jaga sepanjang masa, baik di dalam mahu pun di luar supaya dihormati kawan dan lawan. Benarlah kata seorang sahabat BK, “Lagi tinggi jawatan memang kelakuan kena lebih berhati-hati. Kalau tidak, apa perlunya dilantik pegawai-pegawai yang ramai dan bergaji lebat kalau bukan untuk memastikan boss mereka sentiasa dalam keadaan terkawal dan tidak melakukan joke bodoh”. BK kata ini sebab BK dulu pun pernah jadi pegawai kepada seorang timbalan menteri. Bos BK seorang wanita yang dikenali imej ustazah. Bila bos BK lantik seorang penasihat imej, tiba-tiba imejnya dari seorang ustazaz bertukar kepada imej seorang wanita sosial. Ini menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati BK. Lalu BK masuk jumpa bos BK senyap-senyap dan lontarkan beberapa nasihat. Walaupun pahit dan pedih, walaupun kena marah seketika akhirnya bos BK dengar sebab nasihat itu demi untuk imej dan maruahnya. Alhamdulillah, dia kembali kepada imej asalnya yang azali. Cuma sempatlah dia merasai perubahan itu untuk seketika. Tak apalah BK maafkan, sebab setiap manusia walau alim dan warak mana sekali pun,tak terlepas dari godaan syaitan. Tengok saja pak-pak lebai dalam sebuah parti yang mendakwa membangun bersama Islam, imej mereka ialah berjubah dan berserban. Sebagai manusia, mereka ada kelemahan juga. Dalam berpakaian sunnah, mereka nak juga merasakan bersosial dengan memakai kemeja, kot, berseluar dan bertali leher. Tapi tak ada isu pun nak dibangkitkan oleh mereka yang lantang menegur gurauan PMX. Sebab, yang menegur pun bukan seorang yang maksum. Mereka juga tidak terlepas dari kejahilan dunia. – MalaysiaGazette