Isnin, 25 September 2023
Barang keperluan kritikal, kerajaan jangan beri jawapan mudah
Oleh Manzaidi Mohd Amin - 22 September 2023
BERAS tak ada, kami tak boleh makan nasi. Kalau ada pun beras naik harga satu dua kali ganda mahalnya. Demikian rungut rakyat di luar sana.
Kerajaan pula jawab, beras ada, bekalan mencukupi. Masalah ketiadaan beras dan harga naik kerana berlaku pembelian panik.
Bawah Kolong (BK) tak tau siapa yang betul. Rakyat atau kerajaan. Yang alami masalah tiada di pasaran adalah rakyat, manakala yang pantau dan kawal beras pula adalah kerajaan.
Jadi, kedua-dua golongan ini, rakyat dan kerajaan tahu keadaan sebenar. Rakyat kata beras tak ada dan beras naik harga sebab mereka alami sendiri ketika ke pasar-pasar raya dan kedai-kedai runcit.
Kerajaan pula tahu beras ada dan cukup sebab mereka sendiri menerima laporan daripada pembekal bahawa bekalan sentiasa dihantar kepada peruncit.
Akhirnya isu beras tak ada dan mahal berlarutan sehingga hari ini. Selain, bermacam-macam spekulasi timbul. Kata, ada pembekal sengaja sorok untuk kaut keuntungan. Kata lagi, ada kartel-kartel yang ambil kesempatan, tapi tidak diambil tindakan oleh kerajaan.
Kesudahannya ada dalam kalangan rakyat terpaksa berjimat cermat makan nasi dan ada pula terpaksa catu bekalan beras kerana bimbang masalah itu berpanjangan tanpa penghujung.
Di awal isu ini timbul, BK sendiri tak percaya beras tempatan naik harga dan bekalan beras tak ada di pasaran. Bila dah masuk minggu ketiga dan BK sendiri pergi ke pasar-pasar raya dan kedai-kedai runcit, memang betul beras tempatan naik harga dan ada sesetengah tempat stoknya sudah habis.
Macam mana perkara ini boleh berlaku? Itu yang timbulkan tanda tanya. Apa tindakan drastik kerajaan dalam tangani masalah ini? Sehingga kini belum nampak apa-apa tindakan diambil. Melainkan kenyataan menteri bahawa berlaku pembelian panik.
Darimana menteri dapat jawapan itu, BK pun tak tahu. Biasanya pembelian panik ini berlaku jika sebelum itu ada ura-ura bekalan beras akan habis. Setakat ini, tidak kedengaran ura-ura itu.
Kalau alasan Negara India kurangkan pengeluaran eksport berasnya ke Malaysia, agak munasabah, tetapi itu melibatkan beras import, tak ada kena mengena dengan beras tempatan.
Sekurang-kurangnya kalau beras import naik, harga beras tempatan kekal stabil. Ini tidak berlaku. Ia umpama mendengar guruh di langit, semua air dalam tempayan menerima kesan.
Pengalaman BK yang pernah bekerja di sebuah agensi pertanian di Kelantan puluhan tahun lalu mendapati masalah bekalan beras tempatan tidak akan berlaku kekurangan atau ‘hilang’ dari radar, jika kerajaan tidak mengubah status tanah pertanian kepada pembangunan.
Bila status itu ditukar, maka banyaklah tanah-tanah sawah dan bendang dibeli dengan harga jauh lebih murah dari tanah darat untuk dibina sama ada rumah persendirian mahupun projek perumahan.
Dengan itu, jumlah pengeluaran padi negara semakin tahun semakin berkurangan dan kerajaan terpaksa bergantung kepada beras import untuk keperluan lebih 30 juta rakyat Malaysia.
Itu belum dicampur dengan jutaan warga asing yang ada di negara ini. Mereka turut menyumbang kepada pertambahan ratusan ribu metrik tan beras sebulan dan setahun.
Kita tidak boleh persalahkan mereka kerana mereka juga perlu makan. Mereka datang ke Malaysia untuk bekerja, selain ada yang datang tidak pulang-pulang ke negara asal.
Untuk tangani masalah ini, kerajaan perlu kreatif dan inovatif. Kerajaan perlu adakan kerjasama dengan negara-negara yang warganegara mereka ada di Malaysia. Minta tolong negara berkenaan bantu bekalkan beras ke negara ini kerana rakyat mereka juga nak makan.
Negara India contohnya, rakyat mereka berada di negara ini tidak sedikit. Kerajaan perlu bijak main sentiment supaya kerajaan India celik mata, jika mereka kurangkan jumlah berat import, rakyat mereka di sini juga menerima kesan.
Begitu juga negara Indonesia, Myanmar, Nepal, Bangladesh, Pakistan dan lain-lain, takkan mereka tidak dapat bantu meringankan beban yang ditanggung Malaysia yang setiap hari menanggung keperluan hidup rakyat mereka di sini.
Ini yang memerlukan kekreativitian dan keinovatifan kerajaan. Jangan semuanya kita nak tanggung sendiri. Kena juga minta bantuan dan kerjasama negara-negara jiran supaya turut membantu.
Walaupun bantuan itu bukan untuk keperluan rakyat kita, sekurang-kurangnya rakyat mereka di sini tidak mengganggu bekalan yang ada di Malaysia. Ini semua kita yang sediakan dan belanjakan untuk mereka, yang akhirnya jadi macam anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran.
Tak kebuluran macam mana kalau beras tempatan, telur, minyak masak berebut dengan warga asing. Dalam bab belanja, warga asing tak ada masalah sebab mereka ada kerja, ada gaji.
Warga tempatan, yang hilang kerja di zaman pandemik Covid-19 dua tahun lalu pun masih ada yang belum dapat pekerjaan baharu sampai sekarang. Hidup mereka kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang.
BK nak ingatkan kepada kerajaan. Ketika Datuk Seri Salahuddin Ayub mengetuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH), Allahyarham selalu membuat tinjauan dan lawatan mengejut ke pasar-pasar raya.
Tetapi, sejak KPDNKSH kehilangan menterinya yang genap dua bulan esok (23 September 2023), pelbagai isu berkaitan harga dan barang keperluan berlaku.
Perdana Menteri tidak boleh biarkan sesebuah kementerian kosong begitu lama. Lebih lagi, krisis barang keperluan ini di bawah KPDNKSH dan sangat kritikal sekarang ini.
Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menjawab dengan mudah sambil berpeluk tubuh. Sepatutnya, bila dengar ada aduan, rungutan atau masalah berlaku, kerahkan semua anggota penguatkuasa gempur pihak-pihak berkaitan.
Biar pihak berkaitan merasa takut dengan ketegasan kerajaan. Sekarang ini pihak berkenaan seolah gembira denga napa yang berlaku, sebab tidak ada tindakan diambil ke atas mereka. Sekian. – MalaysiaGazette
Nak selamatkan Malaysia, Fadhli, Wan Fayhsal tidak muncul?
Oleh Manzaidi Mohd Amin - 18 September 2023
HIMPUNAN aman Selamatkan Malaysia anjuran Pemuda Perikatan Nasional (PN) di ibu kota Sabtu lalu boleh dikatakan gagal sepenuhnya. Bawah Kolong (BK) hanya bagi satu perempat bintang.
Selain kehadiran tidak sampai pun 2,000 orang, ketua-ketua mereka seperti Fadhli Shaari dan Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal langsung tidak nampak batang hidung untuk menyampaikan amanat dan apa tujuan mereka nak selamatkan Malaysia.
BK percaya, hampir 2,000 peserta yang hadir tu nak tahu apa yang bahayanya Malaysia sekarang. Kenapa Malaysia perlu diselamatkan dan PN nak selamatkan Malaysia dari ancaman siapa?
Malangnya, kedua mereka tak hadir, melainkan yang kelihatan dan berada atas kenderaan hilux hanya dua bekas ahli parti politik iaitu CheguBard bekas ahli seumur hidup PKR dan seorang lagi bekas ahli UMNO, Faisal Ismail.
Jadi, ada sebab kenapa hampir 2,000 peserta yang berjemur panas di jalanan sejak jam 12 tengah hari merasa kecewa. Mereka merasakan telah dipermain dan diperalatkan oleh penganjur.
BK yang turut tercari-cari dan mencari-cari kelibat Fadhli dan Wan Fayhsal cuba buat semakan dengan rakan-rakan media dan kenalan-kenalan dalam PN. Mereka kata, dua orang tu ada, tapi hotel mereka telah ‘dikepung’ polis.
Timbul tanda tanya BK, kalau hotel kena ‘kepung’, kenapa CheguBard dan Faisal yang ada bersama mereka di bilik hotel boleh terlepas ke tempat himpunan, sedangkan Fadhli dan Wan Fayhsal gagal melepasi ‘kepungan’ itu?
Malah, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid sendiri dalam kenyataan balasnya menyatakan tiada mana-mana individu yang terlibat dengan himpunan selamatkan Malaysia dikepung.
Dakwaan itu, tegas Allaudeen, tidak benar kerana polis sudah bertindak untuk memudah cara himpunan itu tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Nah, sekarang apa alasan terpaling relevan untuk Fadhli dan Wan Fayhsal berikan kepada peserta himpunan yang marah dan ramai daripada mereka meninggalkan himpunan itu secara beransur-ansur?
Pada BK, cara mereka berdua buat kepada peserta himpunan itu tak molek. Sangat-sangat tak molek.
Sekurang-kurangnya kalau rasa malu nak hadir, maklumkan sepatah dua kepada wakil kamu, CheguBard dan Faisal tu kenapa kamu berdua tak dapat bersama dalam himpunan. Cirit biritkah, atau benarkah ke klinik sebagaimana diviralkan pihak tertentu mengenai keadaan kamu pada hari himpunan tersebut.
Ini kamu berdiam diri. Orang-orang tua kata, lagi kamu diam, lagi membenarkan apa yang ditanggapi pihak musuh. Ya, sebetulnya begitulah, sebab sebelumnya kamu berdegar-degar di luar, rupanya bila suruh masuk gelanggang mula ketar lutut.
Apapun, BK buat kesimpulan ketidakhadiran Fadhli dan Wan Fayhsal ke himpunan itu sebab mereka rasa tak berbaloi dengan jumlah peserta yang hadir.
Mungkin pada mereka, kalau tunjukkan juga muka di khalayak yang tidak berapa kerat itu dah pasti akan menjatuhkan maruah dan air muka mereka. Maka, lebih elok berada di bilik hotel berhawa dingin.
Selain itu, BK nak juga nasihatkan Fadhli dan Wan Fayhsal, jadilah pemimpin berintegriti, bermoral dan dihormati. Letakkan taraf kepimpinan anda di atas kepala rakyat, bukan di bawah tapak kaki rakyat.
Maksud BK, apabila kamu gagal tunjuk khidmat bakti yang baik kepada rakyat di kawasan kamu, sebaliknya sibuk dengan aktiviti nak menumbangkan kerajaan di peringkat pusat, rakyat tidak lagi hormati kamu sebagai Yang Berhormat.
Rakyat akan lihat, pandang dan letak kamu di bawah tapak kaki mereka. Rakyat tidak lagi tunduk hormat setiap kali terserempak dengan kamu dan hanya menganggap kamu sekadar orang biasa walaupun kamu bergelar YB.
YB, selain Yang Berhormat, ia juga membawa definisi Yang Berkhidmat atau wakil rakyat. Kalau rakyat Kelantan panggil Tok Wakil. Tugasan YB ini ialah membawa suara rakyat ke pihak atasan, selain mencari jalan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.
Tetapi, sekarang YB bukan Yang Berkhidmat lagi. Mereka lebih kepada menyusahkan rakyat. Nak buka pejabat minta duit dengan rakyat. Guna duit poket ziarah rakyat sakit, mati pun ungkit di Parlimen.
Bahkan, ada yang merungut tak dapat bayar gaji kakitangan, tak dapat buka pusat khidmat dan tak dapat hadir kenduri rakyat sebab tak ada duit atau sebab kena guna duit gaji.
Jauh bezanya YB pembangkang hari ini dengan YB pembangkang era 60an, 70an, 80an dan 90an. YB pembangkang zaman dulu, sanggup gadai emas berlian dan harta sendiri demi untuk melihat rakyat dapat makan sesuap nasi.
YB pembangkang sekarang, buat fitnah adalah mainan mereka, bila kena saman minta sedekah dengan rakyat nak bayar. Senangnya jadi YB pembangkang sekarang. Semuanya minta dengan rakyat. Rakyat yang akan tanggung makan minum mereka.
Walaupun, Malaysia hari ini sudah selamat selepas himpunan selamatkan Malaysia selesai tanpa penutup kira-kira jam 3.30 petang Sabtu tu. – MalaysiaGazette
Selasa, 12 September 2023
Kalau tak tahu apa-apa jangan pertikai keputusan mahkamah
Oleh Manzaidi Mohd Amin - 10 September 2023
SEMINGGU dua ini kecoh pasal keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dari baki 47 pertuduhan rasuah yang dihadapinya.
Isu ini bising dari pimpinan pembangkang. Mereka tidak puas hati keputusan itu yang disifatkan sebagai tidak adil. Kalau boleh, mereka mahu mahkamah kenakan hukuman penjara ke atas Ahmad Zahid.
Itulah politik. Walaupun, mereka keputusan itu dibuat mengikut undang-undang, tetapi jika berdiam diri, maknanya sokongan rakyat ke atas mereka makin berkurangan.
Untuk tambah rencah supaya isu itu lebih panas dan Ahmad Zahid dilihat ‘jahat’, mereka hasut rakyat dengan bermacam-macam dakyah agar rakyat tidak menerima keputusan itu.
Mereka hanya berpuas hati apabila mahkamah memenjarakan Ahmad Zahid sebagaimana mahkamah mengenakan hukuman penjara 12 tahun ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak.
Itu pun, masih ada yang ratib nama Najib, walaupun mantan Perdana Menteri yang juga mantan Presiden UMNO itu sudah setahun berada dalam bilik besi.
Itulah politik. Pada mereka, mahkamah hanya dilihat adil jika pemimpin mereka yang disabitkan dengan kes rasuah dilepas dan dibebaskan. Maka, bermacam-macamlah alasan diberikan.
Kononnya, mangsa pendakwaan terpilih. Kononnya, menjadi mangsa dendam pemimpin kerajaan dan macam-macam konon lagi, walaupun ada kes untuk didakwa. Mereka pandai dan bijak bermain persepsi.
Namun, bila pihak lawan dilepas dan dibebaskan atau dilepas tanpa dibebaskan, mereka bising. Mereka main persepsi melalui semua medium media semata-mata untuk memburuk-burukkan mahkamah dan mangsa.
Sebelum Bawah Kolong (BK) menulis lebih lanjut, suka BK nyatakan di sini, bahawa pemimpin pembangkang sebenarnya tahu apa yang berlaku ke atas Ahmad Zahid.
Maksud BK, mereka tahu Presiden UMNO itu tidak ada kes nak disabitkan, tetapi kalau tidak ‘dimatikan’ watak ini melalui mahkamah, mereka tahu, mereka tidak akan dapat beroleh kemenangan majoriti pada Pilihan Raya Umum (PRU).
Nak lawan secara fizikal dan mental untuk menang PRU sudah tentu tidak ada kemampuan. Maka, jalan terbaik ialah menggunakan orang yang dilantik menjaga puncak undang-undang agar mencipta apa saja kes untuk membuat pendakwaan.
Dengan cara itu saja mereka dapat melemahkan semangat dan mengurangkan sokongan parti lawan. Inilah taktik kotor yang digunakan sebagai strategi berkesan untuk menjatuhkan lawan dan menang secara tidak bermoral.
Soal moral tidak ada dalam kamus orang politik. Yang ada ialah kepentingan diri. Sebab itu, pada BK, politik hari ini bukan politik jujur, bukan juga politik bersih. Siapa yang juju rakan menjadi mangsa kepada yang berkepentingan.
Hanya sejauhmana mereka bijak mengatur dan mencatur politik, mereka boleh terlepas dari fitnah. Kalau sekadar ilmu politik hanya panjang sejengkal, BK awal-awal nasihatkan, lebih baik jadi orang biasa.
Politik hari ini tidak seperti politik dahulu. Politik hari ini masing-masing berebut nak jadi wakil rakyat. Selepas jadi wakil rakyat, berebut pula nak jadi kerajaan. Selepas jadi kerajaan, mereka mula gelap mata.
Akhirnya, berleluasalah gejala rasuah. Siapa yang mulakan jenayah ini kalau bukan orang politik, kemudian dilibatkan pegawai-pegawai tinggi kerajaan sebelum merebak ke peringkat bawah.
Maka, rasuah dijadikan syarat utama untuk memohon atau mendapatkan sesuatu projek atau untuk mendapatkan kelulusan atau apa saja urusan yang berkaitan dengan ‘cari makan’.
Mana-mana parti pun, kalau berjaya membentuk kerajaan, apa perkara pertama pimpinannya beritahu kepada rakyat? Nak hapuskan rasuah. Nak perangi rasuah. Betapa semangatnya usaha nak bersihkan negara dari korupsi.
Apabila sudah berada di Kabinet, apabila sudah berada di alam sebenar sebagai kerajaan atau pemerintah, baru mereka sedar, usaha nak perangi dan banteras rasuah tidak semudah sebut A B C.
Akhirnya, tidak ada pelaksanaan, tidak ada usaha ke arah yang dilaung-laungkan ketika berada di luar Putrajaya sebelum ini. Rasuah tetap berlaku dan berleluasa.
Sesiapa pernah hadir ke mahkamah, boleh tahulah berapa banyak kes rasuah didakwa, dituduh dan dibicarakan setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun. Banyak tak terkira. BK tahu sebab BK selalu ke mahkamah.
Berbalik kepada kes lepas tanpa bebas Ahmad Zahid. BK percaya, setiap keputusan yang dibuat mahkamah melalui prosedur perundangan yang betul. Mahkamah tidak mungkin membuat keputusan sesuka hatinya tanpa merujuk hujah pendakwa dan peguam bela.
Kalau kita tahu dan menghayati prosedur ini, tidak mungkin kita akan mempertikaikan setiap keputusan hakim atau majistret. Tetapi, dalam politik, yang betul dikatakan salah. Yang salah dikatakan betul.
Kalau yang betul, mereka akan pusing dan twist supaya dilihat tidak betul. Begitu juga kalau yang salah, mereka pusing dan twist supaya nampak betul. Hanya mereka yang sudah belajar 30 peratus dunia politik tahu selok belok dan propaganda ini.
Itupun masih kena banyak belajar lagi. Sebabnya, dalam politik ini, yang mahir seratus peratus pun masih kena tipu sesama sendiri lagi.
Ilmu politik ni bukan sekadar mencakupi hal hakikat, syariah, tarikat dan maarifat saja, tipu daya, muslihat, putar belit semua kena campur sekali, barulah jadi politik! – MalaysiaGazette
Sabtu, 26 Ogos 2023
Persepsi, sentimen kebencian faktor menang, kalah PRN ke-15
Oleh Manzaidi Mohd Amin - 21 August 2023
BELUM terlambat untuk Bawah Kolong (BK) ucapkan tahniah kepada negeri yang menang pilihan raya kecil minggu lalu. Walaupun jumlah negeri yang dikekalkan penyandang tidak berubah, tapi bilangan kerusi banyak bertukar.
Keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada malam 12 Ogos lalu ialah PH-BN menguasai Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Daripada 245 kerusi DUN, Selangor 56 kerusi (PH 32 / PN 22 / BN 2), Negeri Sembilan 36 kerusi (PH 17 / BN 14 / PN 5), Pulau Pinang 40 kerusi (PH 27 / PN 11 / BN 2), Kedah 36 kerusi (PN 33 / PH 3 / BN 0), Kelantan 45 kerusi (PN43 / PH 1 / BN 1) dan Terengganu 32 kerusi (PN 32 / PH 0 / BN 0).
Peratusan keluar mengundi di Selangor 72 peratus, Negeri Sembilan 68.35 peratus, Pulau Pinang 72.67 peratus, Kedah 73.86 peratus, Kelantan 60.96 peratus dan Terengganu 74.79 peratus.
Jumlah keseluruhannya, Pas menang 111 kerusi daripada 127 calon yang bertanding, diikuti DAP 46 daripada 47, Bersatu menang 34 daripada 80 calon, PKR 26 daripada 58 calon, BN 19 daripada 108 calon, Amanah (lapan daripada 31 calon).
PH yang mengetuai gabungan Kerajaan Perpaduan memperolehi 56 peratus atau 137 kerusi di enam negeri, manakala Pas pula meletakkan 127 calon menang 111 kerusi, parti Bersatu 80 kerusi (menang 34), parti Gerakan 36 kerusi (menang satu).
Selepas keputusan itu diumumkan pelbagai andaian atau analisis dibangkitkan sama ada oleh pimpinan parti, pemerhati dan penganalisis politik, NGO serta orang perseorangan.
Rata-rata BK lihat, pandangan mereka menyalahkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Selain kesalahan beberapa pimpinan dari parti-parti komponen PH-BN iaitu DAP.
Ada juga yang memberi pandangan PH-BN gagal menangkis isu nasional, dakyah dan fitnah yang dimainkan atau dibawa oleh pimpinan serta jentera PN, selain isu pengundi luar, faktor Datuk Seri Najib Razak dan serangan ke atas Muhammad Sanusi Md. Nor.
Muhammad Sanusi telah diangkat sebagai hero dalam PRN ke-15 baru-baru ini kerana menerima serangan bertubi-tubi daripada PH-BN.
Dari suara akar umbi yang ditemui, BK dapat simpulkan hampir 95 peratus serangan dakyah PN ditujukan kepada UMNO dan BN. Antaranya isu peribadi Ahmad Zahid yang ada 45 kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Selain kelemahan jentera UMNO di peringkat penerangan dan calon UMNO terlalu mentah, tidak matang, tidak mahir dan tidak ada pengalaman dalam menangkis isu nasional.
PN pula mengekalkan orang lama yang bijak dan mahir memainkan sentimen kebencian serta simpati ahli dan penyokong UMNO. Walaupun PN tahu apa yang mereka dakyahkan itu tidak benar, tetapi itulah senjata terbaik untuk menanam kebencian ahli dan penyokong ke atas Ahmad Zahid, termasuk ‘keburukan’ yang dicanangkan akan gabungan UMNO/BN dengan PH yang ada DAP.
Selain itu, isu kafir juga masih relevan dan berjaya mengekalkan kepercayaan satu perempat rakyat Kelantan. Ditambah pula hasutan daripada bekas pemimpin UMNO yang dipecat dan ada yang menyertai Pas serta menyokong Bersatu.
Keikhlasan beberapa pemimpin UMNO juga masih diragui. Cuma BK tidak mahu ulas kejujuran dan keikhlasan mereka yang masih bersama UMNO, tetapi boleh dikatakan seluruh jiwa raganya ditumpahkan kepada PN.
Manakala serangan ke atas PH hanya tertumpu kepada keperibadian Anwar selaku Perdana Menteri ke-10 (PMX).
Perwatakan dan ketrampilannya tidak menunjukkan seorang negarawan. Kita tahu, Anwar tidak mahu ada sekatan atau jurang antara dirinya dengan rakyat, tetapi kaedah itu diambil kesempatan oleh musuhnya untuk menanam persepsi agar rakyat tidak menghormatinya sebagai Perdana Menteri.
Ucapan dan kenyataan Anwar pada majlis serta program bersama rakyat atau mahasiswa dikatakan gagal menarik minat golongan berkenaan. Pada BK, Anwar sepatutnya perlu ada teks untuk berucap supaya kenyataannya lebih berfakta.
Ucapan tanpa teks boleh terbabas seperti mendedahkan kes-kes rasuah oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, kes harta berbilion milik Tun Mahathir dan anak-anaknya. Isu-isu ini tidak sepatutnya keluar dari mulut Anwar dikhalayak. Ia patut dikeluarkan menerusi kenyataan rasmi berasaskan fakta dan bukti pada waktu yang sesuai.
Ucapan atau kenyataan tanpa teks juga secara tidak langsung memberi bola tanggung kepada lawannya, terutama Dr. Mahathir dan pimpinan Pas serta Bersatu yang sudah hilang hormat kepada Anwar selepas PH bekerjasama dengan BN dalam membentuk Kerajaan Perpaduan pada November tahun lalu.
Nak serang Dr. Mahathir atau Muhyiddin atau pimpinan PN serah sahaja kepada panglima perang PH-BN. Anwar tidak perlu campur dan lebih berkesan kalau beliau hanya bercakap mengenai perancangannya, usahanya, pelannya dan pelaksanaannya untuk menstabilkan ekonomi negara.
Kalau Anwar diserang oleh Dr. Mahathir, lebih baik beliau ambil sikap berdiam diri dan beri tumpuan kepada mentadbir negara. Kalau nak jawab pun, jawab secara berhemah.
Antara tindakan yang perlu diambil perhatian oleh pimpinan PH-BN selepas post-mortem keputusan PRN ini ialah pengundi luar.
Jangan letakkan seratus peratus kesalahan kepada pengundi luar. Ada juga antara mereka tidak pulang mengundi kerana masih marah kepada PN (Pas dan Bersatu) tidak tunai janji untuk beri duit poket kepada mereka ketika pulang mengundi PRU15 November 2022.
Jangan letakkan kesalahan seratus peratus kepada pengundi luar, kerana tidak sedikit dari mereka pulang mengundi PH-BN dan mengharapkan perubahan.
Ada juga pengundi luar marah dan protes kepada PH-BN tidak pulang mengundi PRN sebagai tanda protes kerana menuduh mereka pulang memberi undi kemenangan kepada Pas pada PRU15.
Tidak semua se lepas mengundi, balik ke ibu kota sambung cari rezeki, sedangkan mak, ayah, ahli keluarga ditinggalkan hidup susah di bawah pentadbiran kerajaan Pas Kelantan.
Tetapi, kerana dituduh secara melulu, mereka protes dan marah dan beri pengajaran kepada PH-BN, kerana bagi mereka tidak semua balik memberi undi kepada PN, ada juga yang undi PH-BN. Tapi keseluruhannya diletakkan kesalahan kepada mereka.
Pengundi luar apabila mereka merajuk dan marah, mereka protes dan akan berpihak kepada PN. Tuduh menuduh ke atas mereka akan menguatkan sokongan PN pada PRU16.
Kelemahan PH-BN, tidak ada ‘kepala’ yang boleh mendekati pengundi luar sama ada di Kuala Lumpur, Selangor dan negeri-negeri yang menjadi tumpuan rakyat Kelantan dan rakyat negeri lain mencari rezeki.
PN ada jentera dan wakil. Setiap tahun mereka berkumpul dalam program masak bubur asyura, program makan-makan, program temu mata, program hari keluarga, program mengikut minat pengundi luar dan sekali sekala pemimpin mereka turun bersama. Sebab itu pengundi luar lebih dekat dengan PN. PH-BN tak ada menyebabkan mereka jauh hati dengan PH-BN.
Kerajaan Perpaduan juga kena pertimbangkan untuk mewujudkan semula peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dalam skop yang kecil, bukan skop induk sebagaimana ditubuhkan di Kelantan di era Dr. Mahathir.
Cukuplah dengan Kerajaan Perpaduan menghidupkan semula peranan Ketua Pembangunan Penyelia Mukim (KPPM) atau Penghulu di setiap Mukim atau PDM.
Sejak peranan KPPM atau Penghulu Persekutuan dimansuhkan, rakyat termasuk ahli dan penyokong UMNO dan PH atau atas pagar atau berkecuali akan merujuk Tok Penghulu dari PN untuk mendapatkan sebarang pengesahan dokumen.
Sebagai contoh, bekas tentera meninggal dunia. Segala dokumen berkaitan terutama pencen yang akan ditukar kepada balunya memerlukan cop pengesahan dan tandatangan Tok Penghulu lantikan Pas. Ini memberi kredit dan menambahkan sokongan atau undi kepada PN.
Tok Penghulu Pas sentiasa menunjukkan ‘mudah baso sene kiro’ dengan semua lapisan rakyat, tidak seperti KPPM atau Penghulu Persekutuan sebelum ini, nak beri pengesahan pun pilih bulu.
Jadi, konsep KPPM/Penghulu Persekutuan bawah Kerajaan Perpaduan ini bukan lagi melantik di kalangan ahli parti, sebaliknya kenal pasti dalam kalangan seperti imam, bilal, siak, guru dan kakitangan awam atau wakil J-Kom setiap negeri atau daerah yang semuanya disenangi penduduk dan mesra penduduk, mesra jiran.
Kalau lantik di kalangan ahli parti akan menimbulkan lagi kebencian rakyat kepada PH-BN kerana pengalaman lepas-lepas lantikan ahli parti seperti ketua cawangan ini sombong dengan penduduk, lebih lagi pengundi atas pagar.
Mereka diboikot oleh KPPM/Penghulu Persekutuan atas alasan orang atau penyokong pembangkang. Ini menambahburukkan lagi keadaan dan sokongan terhadap PH-BN.
Sekarang ini PN main isu kononnya Kerajaan Perpaduan akan sekat peruntukan kepada negeri seperti Perlis, Kelantan, Kedah dan Terengganu. Mereka sudah mula tanam sentimen kebencian kepada PH-BN untuk dapatkan sokongan pada PRU16.
Beri peruntukan seperti biasa, tetapi melalui JPP yang ditubuhkan di empat negeri berkenaan. Aktifkan peranan J-Kom di setiap negeri untuk beri penerangan kepada rakyat bahawa projek sekian-sekian yang disalurkan ke negeri PN adalah peruntukan daripada Persekutuan.
Jentera PH-BN dalam apa bentuk kewujudannya kena aktif mulai sekarang dalam bab berkempen dan membantu menarik sokongan kepada parti dan kerajaan persekutuan.
Setiap laporan mereka perlu dipantau, disemak kerana biasanya laporan dibuat tidak berdasarkan tinjauan, tetapi andaian. Ini bahaya kepada pimpinan parti kerana menaruh kepercayaan sepenuhnya tanpa usul periksa. Sikap ambil mudah begini perlu diubah di peringkat penyelaras atasan.
Ini sahaja yang BK dapat berikan ulasan mengenai PRN ke-15 baru-baru ini. Kalau ada yang baik, guna pakailah, kalau pendapat ini dirasakan membebankan, buang saja. BK tidak ada apa-apa kepentingan pun. – MalaysiaGazette
Keputusan malam tadi seri 3-3
Oleh Manzaidi Mohd Amin - 13 August 2023
KEPUTUSAN pertandingan antara dua gabungan parti politik dalam pilihan raya kecil semalam berakhir dengan seri 3-3.
Pakatan Harapan bergabung dengan Barisan Nasional (PH-BN) dapat tiga negeri, Perikatan Nasional – Bersatu dan Pas (PN) dapat tiga negeri.
Rakyat telah buat pilihan begitu adil dan saksama sekali dengan setiap gabungan parti dapat sama banyak, tanpa kurang, tanpa berlebihan.
Walaupun keputusan seri tapi corak permainan kedua gabungan parti amat sengit sekali dengan setiap calon masing-masing bekerja keras untuk menawan gawang lawan.
Ada yang bolos, ada yang dapat ditangkis. Namun, banyak juga jaringan pihak penyandang dibolos pihak lawan walaupun gagal melepasi jumlah gol yang disasarkan.
Bawah Kolong (BK) ambil contoh Selangor, sebelum PRU15, PH menang 51 kerusi, selepas PRN15 malam tadi, PH hanya beroleh 34 kerusi manakala 22 kerusi lagi berjaya dimenangi PN.
Begitu juga Pulau Pinang, PN telah menerobos 11 daripada 29 kerusi DUN. Terengganu, PN sapu bersih 32 kerusi, mengulangi sejarah Pas di Kelantan dalam PRU 1990.
Kedah dan Kelantan, PN hampir-hampir sapu bersih, tetapi PH dapat juga tiga kerusi di Kedah dan dua kerusi di Kelantan. Manakala Negeri Sembilan, daripada 36 kerusi dipertandingkan, PH-Bn dapat 31, PN dapat lima.
Tidak sedikit UMNO dan PH hilang kerusi dalam PRN kali ini.
Trend pengundi yang tidak menentu arah sokongannya menyebabkan ramai penganalisis pening. Penganalisis melihat permasalahan di negeri sebagai faktor pengundi akan membuat pilihan.
Namun ternyata faktor itu bukan penyebab kepada penentu menang kalah sesebuah negeri. Sebaliknya, bergantung kepada isu nasional. Apa yang dibuat oleh pihak kerajaan kepada pihak pembangkang. Dengan kata lain, penindasan.
Kita tengok di Kelantan, selama 33 tahun negeri itu dibelenggu oleh permasalahan yang tidak pernah selesai. Kalau dikira, sudah tentu rakyatnya sudah bosan dan akan buat keputusan untuk tukar pentadbiran.
Malangnya walaupun kerajaan Pas Kelantan gagal menyelesaikan masalah rakyat, kemenangan tetap berpihak kepada parti itu malah makin bertambah jumlah kerusi.
Nak kata rakyat Kelantan unik, keputusan ini tidak menunjukkan satu keunikan pun. Jauh sekali nak dikatakan rakyat Kelantan bijak. Bijak apa, kalau tak pandai nak beza antara parti yang banyak jasanya kepada rakyat dengan parti yang banyak timbulkan permasalahan kepada rakyat.
Maknanya ada sesuatu yang sangat-sangat istimewa dalam kepimpinan Pas yang disukai rakyat dan tidak diketahui oleh musuhnya.
Kalau nak kata rakyat Kelantan bijak, sudah tentu mereka pilih UMNO. Sebab parti ini cukup banyak jasa dan banyak pula bawa pembangunan serta kemajuan tapi dinafikan kemenangannya begitu saja.
Seolah-olah rakyat sudah nekad untuk menguburkan parti paling tua di Malaysia ini, yang digelar parti keramat orang Melayu.
Pas pun parti tua juga. Kedua tertua dari UMNO tetapi makin tua makin disukai rakya, terutama anak-anak muda. Mereka langsung tidak kekok mendampingi orang tua berjubah, berserban.
Ini yang dikatakan aura. Power bau minyak atar itu mengkhusyukkan anak muda untuk lebih menyayangi pemimpin Pas. Soal pemimpin cakap hodoh, mulut celupar itu nombor dua. Mereka tak pernah kisah. Malah itulah jenaka yang menghiburkan.
Paling utama, imej sederhana dibawa pemimpin Pas itu berjaya menarik minat orang ramai. Mereka senang didekati, tidak sombong dan murah senyuman walaupun kedekut daripada segi khidmat bakti.
Ini tidak ada pada pemimpin UMNO. Sebut saja UMNO, sudah tertanam dalam persepsi orang ramai, UMNO ini sombong, megah, kedekut senyuman, tidak mesra, tidak ramah dan jumpa rakyat secara bermusim.
BK tak tahulah betul atau tidak tetapi itulah yang sampai ke telinga BK. Setiap reaksi rakyat walaupun kecil, harus diambil berat oleh kepimpinan UMNO.
Dan lagi, sudah tertanam juga dalam minda rakyat bahawa kepimpinan UMNO ini terpalit dengan rasuah, kaya raya, rumah besar, kereta besar dan hidup mewah walaupun merekalah penyumbang terbanyak zakat setiap tahun.
Ini berbeza dengan pemimpin Pas, walaupun rumah banglo, riasnya tidak kelihat terlalu mewah. Walau berkereta mewah, bukan dijadikan kenderaan harian. Mereka sentiasa mahu rakyat melihat mereka hidup zuhud.
Dan satu lagi, cakap belit, beri alasan tidak munasabah tetapi didengar logik oleh rakyat adalah mainan harian mereka. Inilah kelebihan Pas yang tak ada pada UMNO.
Apa pun, BK harap pucuk pimpinan UMNO muhasabah diri dengan keputusan pilihan raya negeri malam tadi. Banyak struktur parti nak kena ubah dan rombak. Jangan cukup berpuas hati dengan apa yang ada.
Selain itu, post mortem atau bedah siasat sudah tidak relevan lagi digunakan untuk cari punca kekalahan. Post mortem dan bedah siasat hanya khusus untuk sesuatu yang sudah mati.
Kalau sudah mati, nak bedah siasat apa lagi. Hanya sekadar nak tahu punca kematian? Itu bukan jawapannya.
Jawapannya ada pada diri sendiri. Tanya diri, apa yang aku telah lakukan hingga parti aku tak lagi diterima rakyat pelbagai lapisan umur.
Tengok diri sendiri, imbau sejarah diri dan kenangkan balik kelakuan diri sepanjang mengetuai parti.
Dan lebih penting, jika kita sudah dapat jawapan itu, eloklah mengundurkan diri. Beri laluan kepada yang lebih muda dan berintegriti.
Sekianlah saja pandangan dan nasihat dari BK. BK pun dah nak bersara. Tinggal lagi satu atau dua bulan. Lepas ini BK tidak lagi terlibat dengan sebarang komentar.
BK nak balik kampung, nak usahakan tanah. Mana tahu ada REE dalam tanah sekangkang kera BK. – MalaysiaGazette
Siapa bakal dinobatkan giant killer?
Oleh Manzaidi Mohd Amin - 1 August 2023
SIAPAKAH giant killer di Selangor dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 DUN Selangor pada 12 Ogos ini?
Ada yang kata sudah tentu Juwairiyah Zulkifli iaitu calon PH bagi Hulu Kelang dan ada yang kata Mohd Hanif Jamaluddin calon PN DUN Sungai Tua.
Kedua mereka akan bertanding melawan calon yang bukan calang-calang orang, iaitu Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali di Hulu Kelang dan Amirudin Shari Pengerusi PH Selangor di Sungai Tua.
Jika Juwairiyah dari PKR dan Mohd Hanif dari Pas dapat mengalahkan lawan masing-masing, mereka akan dinobatkan sebagai giant killer.
Juwairiyah pada penggal PRU14 menang di kerusi DUN Bukit Melawati, tetapi dipindahkan saat akhir ke Hulu Kelang untuk berlawan dengan bekas bosnya, Mohamed Azmin yang menyertai parti Bersatu.
Mohd Hanif pula calon muka baru Pas yang diletakkan di DUN Sungai Tua untuk melawan penyandangnya, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor.
Dapatkah Mohd Hanif mengalahkan Amirudin, yang membuat kejutan mengalahkan Mohamed Azmin di kerusi Parlimen Gombak pada PRU15 November tahun lalu?
Mengikut adat pertandingan pilihan raya yang lepas-lepas, kalau Parlimen dimenangi parti A, makanya kerusi DUN dalam Parlimen itu juga akan dimenangi calon dari parti A.
Amat jarang berlaku kerusi Parlimen dimenangi parti A, tetapi kerusi DUN dibolot oleh parti B. Kalau ada pun jumlahnya sedikit-sedikit dan kadang-kadang saja, bukan banyak-banyak.
Jadi, solusinya kerusi DUN Hulu Kelang dan Sungai Tua yang ditandingi si giant ialah dua-duanya berada dalam Parlimen Gombak yang dimenangi Amirudin. Tinggal lagi dapatkah Juwairiyah dan Mohd Hanif menjadi killer?
Ada yang tanya Bawah Kolong (BK), anda sebagai pengamal media yang dekat dengan situasi politik, takkan tak tahu siapa menang antara dua DUN itu.
BK kata, kalau situasi politik zaman 70-an, 80-an, 90-an serta awal 2000 bolehlah buat ramalan, tetapi politik masuk era suku tahun 2000 ni sukar nak ramal kerana keadaannya boleh berubah dalam sekelip mata.
Tambahan pula, PRN kali ini turut melibatkan Undi-18, yang mereka terjemahkan kali pertama pada PRU15 yang lalu.
Parti mana yang mereka pilih telah dibentangkan di depan mata kita pada tengah malam 20 November 2022, dan keputusan itu, bagi yang bijak pandai menilai, akan tahulah jawapannya pada PRN 12 Ogos ini.
Memang sukar dan kusut nak buat pecahan mengikut saluran undi masing-masing, tetapi kalau kita ambil secara umum, itulah jawapannya.
Jadi, mana-mana parti yang bertanding satu lawan satu pada Sabtu minggu depan jangan excited sangat sebab pengalaman 22 bulan PH, 19 bulan Abah dan 14 bulan Abang Long akan menjadi penilaian rakyat.
Tahu tak? Rakyat tak pernah lupa apa yang berlaku dan dilakukan kerajaan-kerajaan terdahulu. Mereka simpan kemas dalam hati dan diterjemahkan pada pilihanraya. Walaupun lima tahun sekali, undi mereka bakal memberi perubahan.
Bersandarkan kepada situasi ini, BK sama seperti penganalisis politik yang bebas, tidak dapat membuat ramalan negeri mana dimenangi PN dan negeri mana dimenangi PH.
Tetapi, kalau kita tanya pemimpin mereka, sudah barang tentu enam negeri mereka yang punyai. Atas dasar apa mereka buat penilaian itu, BK pun tak tahu. Tapi mungkin jawapan mereka sekadar nak menyedapkan hati yang gundah gulana.
Untuk dapatkan keputusan yang tepat, negeri mana dimenangi PN dan PH, sama-samalah kita tunggu malam 12 Ogos ini. Tak lama dah, berbaki lagi 11 hari saja lagi.
Namun, BK harap keputusan ini dapat diumumkan lebih awal iaitu paling lewat sehingga jam 10 malam, tidak selewat sampai tahap dini hari menunggu keputusan penuh PRU15 yang lalu.
Berbalik kepada giant killer tadi. BK kata Azmin bukan calang lawan kerana beliau dua penggal menang di Gombak, sebelum dikalahkan Amirudin. Begitu juga Amirudin dua penggal menang di Sungai Tua tanpa pernah dikalahkan calon lawan.
Juwairiyah pula satu penggal menang, tetapi di DUN Bukit Melawati, bukan di Hulu Kelang. Kerusi ini agak baru bagi dia, tetapi tidak bagi Azmin, walaupun dikatakan calon baru.
Azmin pernah menang dua penggal di Hulu Kelang pada PRU 1999, malah dia mendakwa, kedua ibu bapanya tinggal di Hulu Kelang. Berbeza dengan Juwairiyah. Dia bukan anak tempatan Hulu Kelang, tapi mendakwa pernah tinggal di situ sebelum ini.
Mohd Hanif entah dari mana. Dia tak kisah pun soal anak tempatan atau pendatang. Yang penting, dia kena kerja kuat untuk kalahkan Amirudin, sekali gus merebut anugerah giant killer.
Juwairiyah pun memasang angan-angan yang sama. Dia merasakan dapat mengalahkan Azmin. Kalau Amirudin yang dituduh oleh Sanusi sebagai tak cukup inci boleh kalahkah orang kuat PN itu, masakan dia tak boleh.
Bak kata orang tua-tua, tangan yang mengayun buai boleh menggegarkan dunia, tetapi masalahnya Juwairiyah belum kahwin, tangannya belum ada pengalaman mengayun buai.
Maka, kata-kata yang sesuai untuk Juwairiyah ialah, pengalaman berkhidmat sebagai wakil rakyat di DUN Bukit Melawati selama lima tahun menjadi peluru baginya untuk mengalahkan Azmin.
Kepada semua mereka, BK ucapkan selamat bertanding dan bersedialah menerima keputusan. Menang atau kalah. – MalaysiaGazette
Keputusan PRN tak gugat Anwar sebagai PMX
Oleh Manzaidi Mohd Amin - 26 July 2023
HEBOH pimpinan dari Perikatan Nasional (PN) mencanangkan kepada rakyat, jika mereka menang di enam negeri pada pilihan raya negeri ini, maka mereka dapat mengambil alih Putrajaya.
Lama juga Bawah Kolong (BK) termenung dengan dakwaan ini. Benarkah, jika enam negeri ini, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang diperintah oleh PN maka automatik kerajaan pusat juga akan diperintah oleh PN.
Dalam termenung memikirkan itu, BK terjumpa kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Katanya, kerajaan pusat tak sama dengan kerajaan negeri. Kerajaan pusat didiri, dibina, dibentuk melalui sokongan terbanyak ahli-ahli Parlimen manakala kerajaan negeri pula terbentuk oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Kerajaan Pusat sekarang ini disokong oleh 148 Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) termasuk Gabungan Parti Sabah (GPS). PN, dalam PRU ke-15 November tahun lalu hanya mendapat 76 kerusi.
Dari 76 kerusi, jika PN nak ambil alih kerajaan pusat, mereka sekurang-kurangnya perlu menarik 36 ahli Parlimen dari kerajaan untuk mendapat majoriti mudah iaitu 112 kerusi.
Untuk dapatkan 36 ahli Parlimen dari kerajaan ini bukan suatu yang mudah. Semua 222 ahli Parlimen terikat dengan Akta Anti Lompat Parti.
Mereka boleh lompat tetapi sanggupkah mereka kosongkan kerusi Parlimen untuk diadakan pilihan raya kecil?
Kalau mengikut akta itu, seseorang ahli Parlimen yang lompat parti perlu kosongkan kerusinya dan tidak boleh lagi bertanding.
Kalau dah tak boleh bertanding, kenapa nak lompat parti hingga perlu kosongkan kerusi dan diberikan kepada orang lain bertanding? Sedangkan, calon penggantinya belum tentu menang.
Oleh itu, jika PN menang di enam negeri sekalipun, kerajaan persekutuan tetap ditadbir oleh PH-BN-GPS. Kerajaan persekutuan ada tanggungjawab lagi pada empat negeri bawah PH-BN iaitu Pahang, Johor, Melaka dan Perlis.
PN bolehlah jaga tujuh negeri pimpinannya, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
Tetapi, adakah ianya menjadi kenyataan PN? Dibimbangi, apa yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran. Dengar berita keesokan hari, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih kekal PMX.
Pendek kata, habis PRN 12 Ogos ini, semuanya balik kepada asal. PN mentadbir negeri, PH-BN-GPS mentadbir kerajaan persekutuan. Tetapi, sejauhmana pusat nak terima negeri yang diperintah oleh PN?
Sudah barang tentu, kalau ada peruntukan pembangunan, pusat akan utamakan empat negeri pimpinan kerajaan perpaduan. Negeri-negeri lain terimalah hakikat mereka hanya anak tiri.
Sebagai anak tiri, nak perbelanjaan lebih daripada anak kandung, payahlah sikit. Kena terimalah layanan seadanya. Tak boleh cemburu, tak boleh iri hati. Tunggulah lima tahun lagi kalau betul-betul nak ambil alih Putrajaya.
Tetapi waktu itu sudah tidak sama dengan waktu hari ini. Dalam tempoh lima tahun atau empat setengah tahun dari sekarang, banyak perkara yang memberi manfaat dilaksanakan oleh pusat.
Ketika itu, rakyat menilai kesungguhan kerajaan perpaduan berslogankan Malaysia Madani mentadbir dan menjaga kebajikan mereka. Malah, mungkin pada PRU16, rakyat menolak PN dan PH-BN berjaya mengambil alih semula pentadbiran di enam negeri itu.
Persoalan adakah kerajaan pusat akan jatuh pada malam 12 Ogos ini, sudah terjawab. Pusat tidak sama dengan negeri. Untuk bentuk kerajaan pusat, ahli Parlimen yang tentukan. Begitu juga untuk bentuk kerajaan negeri, ADUN yang tentukan.
Ahli Parlimen dan ADUN, dua entiti berbeza. Mereka ada peranan masing-masing, iaitu Ahli Parlimen di pusat, ADUN di negeri. Masing-masing mengendalikan kerajaan sendiri. ADUN kerajaan negeri, ahli Parlimen kerajaan persekutuan.
Bilangan negeri yang memihak kepada mana-mana parti tidak boleh menentukan kedudukan kerajaan persekutuan. Negeri ada menteri besar dan exco manakala pusat ada perdana menteri dan menteri.
Masing-masing kena buat hal sendirilah. Terpulang kepada pusat sama ada nak salurkan peruntukan sama banyak kepada negeri pembangkang atau sebaliknya, negeri berkenaan tak boleh bising.
Tengok saja sebagai contoh, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika jadi perdana menteri keempat, beliau ada hak dan kuasa nak sekat peruntukan masuk ke Kelantan. Masa itu, Pas terpaksa urus tadbir negeri dengan kebijaksanaan pimpinannya untuk pastikan rakyatnya terus hidup.
Begitulah nasib yang bakal menimpa enam negeri ini jika PN yang menang. Kerajaan pusat boleh untuk tidak mengambil tahu kepimpinan masing-masing sebab banyak lagi tanggungjawab nak dilakukan.
Namun, BK percaya kerajaan persekutuan pimpinan Anwar dengan dibantu dua Timbalan Perdana Menteri tidak sampai hati membiarkan rakyatnya hidup dibelenggu masalah.
BK yakin Anwar akan membawa kemakmuran, pembangunan, keperluan dan kebajikan rakyat serta dasar yang membawa perubahan secara progresif melalui slogan Malaysia Madani. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catatan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...






