Cakap memanglah mudah... tetapi hakikatnya Tengku Razaleigh Hamzah sendiri meragui bagaimana Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh mencapai impiannya hendak menjadi Perdana Menteri dengan ikatan rapuh DAP dan Pas yang mempunyai perbezaan ketara dalam dasar dan ideologinya.
Atas hakikat itu, Ahli Parlimen Gua Musang yang juga bekas Menteri Kewangan, yakin negara akan menghadapi keadaan yang buruk jika Anwar menerajui kerajaan.
"Bagaimana hendak tadbir Malaysia dengan wujudnya dua ideologi dan dasar yang berbeza.
"Saya rasa agak sukar bagi Anwar kerana DAP adalah rakan baik ketika pilihan raya, tetapi apabila dasar dan ideologi mereka diambil kira, saya rasa Anwar tidak akan berjaya," katanya.
Katanya, Anwar yang dilantik ketua pembangkang di Parlimen perlu membuktikan dakwaannya bahawa beliau mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan dan Barisan Nasional (BN) sudah kehilangan majoriti.
"Bila dia (Anwar) mendakwa mempunyai jumlah itu (Ahli Parlimen yang menyertai Pakatan Rakyat), dia perlu membuktikannya, tetapi dia gagal berbuat demikian, dia ini pandai buat tawaran yang dianggap popular kepada mereka yang mempercayainya," katanya pada sesi dialog dengan pengendali blog sebelum majlis berbuka puasa di rumahnya di Kuala Lumpur.
Tengku Razaleigh berkata, Anwar berharap untuk menarik sokongan orang ramai terhadap agendanya untuk menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
"Sebab itu ada penyokong dalam kalangan parti Gerakan, MCA, MIC tertarik dengan tawaran dia. Ini memang menjejaskan BN. Pada pilihan raya lalu (8 Mac) BN kalah di banyak tempat. Selain dari itu, ada juga isu-isu yang lain," katanya.
Sementara itu, ketika bercakap kepada wartawan, Tengku Razaleigh berkata, tiada jalan mudah bagi Ketua Pembangkang itu untuk mengambilalih kerajaan walaupun beliau menghadap yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk membuktikan beliau cukup majoriti dalam parlimen melalui ahli parlimen BN yang didakwanya lompat parti.
Katanya, Anwar boleh bercita-cita hendak menjadi Perdana Menteri dan menghadap Yang di-Pertuan Agong, tetapi jika beliau betul-betul ada jumlah ahli parlimen yang cukup menyokongnya, ianya mesti diuji di Parlimen.
Sidang parlimen sesi terdekat akan bermula 13 Oktober ini.
"Ikut Perlembagaan, jika Anwar betul-betul ada jumlah itu, dia bawalah (ahli parlimen) untuk usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen. Jika Perdana Menteri tak dapat sokongan dan Anwar ada cukup sokongan, Abdullah kena berhenti," katanya.
Menurutnya, Anwar tidak boleh buat cerita macam di kedai kopi kononnya sudah cukup ahli parlimen untuk dia menjadi Perdana Menteri tanpa membuktikannya.
"Untuk membuktikan ini, Anwar kena pergi ke Parlimen, bukan guna kuasa Yang di-Pertuan Agong. Perlembagaan sudah tentukan, kekuatan satu kumpulan ditentukan di Parlimen," katanya.
Katanya, apabila Perdana Menteri jatuh dalam Parlimen, beliau (Abdullah) mesti letak jawatan dengan menghadap Agong dan secara automatik jika ini berlaku, setiap menteri Kabinet gugur.
Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berkata mengikut perlembagaan, hanya Yang di-Pertuan Agong berkuasa menentukan dan memilih siapa Perdana Menteri.
"Ini tidak semestinya Anwar. Baginda boleh memanggil (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), Anwar atau mana-mana ahli Dewan Rakyat," katanya.
Malah, secara berseloroh, Tengku Razaleigh berkata, yang di-Pertuan Agong juga boleh melantiknya kerana beliau Ahli Parlimen Gua Musang.
Bagaimanapun katanya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai pilihan lain dengan membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum semula.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan