Memang wajar Khairy bimbang
PETANG Rabu lalu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin melahirkan kebimbangan dengan krisis keyakinan generasi muda terhadap pergerakan itu.
Ketika berucap pada Program Nur Ramadan di Dewan Utama Pusat Rekreasi Cheras, beliau dilaporkan berkata, generasi muda telah menunjukkan sikap tidak menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada pilihan raya umum lalu termasuk yang terbaru pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.
Baguslah kalau pucuk kepemimpinan pergerakan itu sudah sedar. Seperkara lagi yang beliau, ketuanya dan barisan kepemimpinan Pemuda perlu tahu ialah parti itu turut kehilangan sokongan dan minat golongan veteran serta dewasa.
Hakikat ini harus diterima UMNO. Anjakan tsunami politik yang dibawa parti komponen Pakatan Rakyat (PR) terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas telah mengubah segala persepsi masyarakat terhadap UMNO/BN.
Anak-anak muda, veteran dan dewasa dilihat lebih berminat kepada parti pembangkang bukan kerana mereka dijanjikan habuan, sebaliknya kaedah yang dibawa pemimpinnya sama seperti seorang pejuang, bukan seorang berkepentingan diri. Ini perbezaan jelas yang dapat dinilai.
Sama ada disedari atau tidak, itulah kenyataannya. Kebanyakan pemimpin Pemuda yang dipilih menerajui bahagian di seluruh negara bukan jenis berjiwa pejuang dan pembela.
Mereka menyertai parti hanya untuk mengejar kekayaan dan kemewahan. Jadi, tidak hairan kalau kita terserempak dengan begitu ramai pemimpin jenis itu yang memiliki pelbagai jenis kemewahan iaitu daripada kereta mewah sehingga rumah mewah dan isteri-isteri yang mewah.
Mereka lupa kepada matlamat dan visi parti untuk membela nasib orang Melayu. Mereka lupa kepada anak-anak muda yang memerlukan perhatian. Mereka hanya sedar diri yang mereka adalah pemimpin, apabila ada pemilihan di peringkat bahagian, negeri dan pusat serta tempoh pilihan raya umum hampir tiba.
Di situ mereka mula turun padang mencari anak-anak muda. Mengumpankan golongan itu dengan bulu tangkis, sepak takraw, bola pingpong dan sebagainya. Mereka cuba memperdayakan golongan remaja dengan menampilkan dirinya seolah-olah pejuang seperti
Mat Kilau dan Tok Janggut.
Bezanya, Mat Kilau dan Tok Janggut adalah pejuang tulen yang tidak ada sikit pun dalam hatinya untuk menipu, berbanding pemimpin muda hari ini, yang berjuang mengikut musim.
Oleh itu, memang wajar menantu Pak Lah runsing. Bagaimanapun, dia tidak boleh bersendirian. Dia patut mengajak ketuanya dan anggota Exco duduk semeja berbincang, mencari kaedah terbaik untuk menyelamatkan sayap parti itu daripada terus hilang kepercayaan orang Melayu semua peringkat usia.
Saya hanya boleh memberi satu cadangan kepada Khairy jika dia benar-benar serius hendak mencari punca kelemahan jentera partinya. Iaitu mengkaji semula sikap dan perangai kebanyakan pemimpin Pemuda di peringkat bahagian. Walaupun mereka memegang jawatan tertinggi kerana menang dalam pertandingan, tetapi faktor kemenangan itu harus dikaji dengan teliti.
Bagaimanapun, Pergerakan Pemuda harus sedar, apa yang berlaku atau menimpa sayap parti itu adalah bentuk hukuman Allah di atas ketakburan dan ketidakikhlasan mereka memimpin parti selama ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan