Kenapa perlu berasa hina dan jijik
KETIKA dalam usia tujuh tahun (37 tahun lalu), kehidupan keluarga saya amat daif sekali. Siang, ayah bekerja sebagai buruh di Jabatan Parit dan Tali Air (sekarang Jabatan Pengairan dan Saliran), malam pula sebagai jaga (pengawal keselamatan) di Rumah Pam Kemubu.
Emak pula setiap pagi selepas solat Subuh bertandang ke rumah tauke Cina untuk mengambil pakaian kotor dan mencucinya. Cukup bulan emak dapat sedikit upah. Jika digabungkan, purata pendapatan emak dan ayah boleh dikatakan cukup makan sahaja. Cukup untuk menyara hidup saya empat beradik dan kami sekeluarga.
Sungguhpun begitu, emak dan ayah harus bijak mengurus perbelanjaan. Mereka tidak boleh boros. Belanja hari-hari perlu berjimat cermat. Makan minum seisi keluarga perlu ala kadar. Duit sekolah setiap kami tidak boleh banyak atau 'mewah'. Cukup 10 sen tiap seorang.
Hidup kami sekeluarga pada masa itu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Walaupun ayah sudah bertungkus lumus mencari pekerjaan sampingan untuk menambah pendapatan. Malangnya ketika itu tidak ada banyak peluang pekerjaan seperti sekarang.
Namun, saya bersyukur dengan apa yang dinikmati. Dapat makan nasi berlaukkan ikan selayang goreng yang direbus terlebih dahulu dengan berkuah kicap cap gajah pun sudah satu rahmat. Saya adik beradik tidak pernah merungut.
Itulah makanan kami setiap hari sehingga kami membesar dan mempunyai haluan hidup masing-masing. Ketika itu, kami tidak pernah bermimpi pun untuk makan nasi berlaukkan ayam goreng, daging kerutuk, kari ikan tenggiri atau sup ikan merah. Kami lupakan itu semua. Pada kami, menu sedemikian mewah itu tidak pernah wujud dalam hidup kami.
Begitu sekali daifnya hidup keluarga saya. Tetapi sebagai keluarga Islam, kami dilatih bersabar dan bersyukur oleh kedua ibu bapa saya dengan nikmat yang dikecap. Kami tidak pernah merungut, walaupun ada sekali dua hati memberontak hendak merasai lauk ayam goreng dan makan nasi ada kuah.
Mengimbau kisah lampau - Setiap hari, ketika balik dari sekolah, dalam keadaan perut kosong dan lapar, saya nampak emak tekun menyediakan makanan tengah hari. Emak bersungguh-sungguh menanak nasi dan memasak lauk menggunakan kayu api kerana anak-anaknya tidak makan sejak dari pagi lagi ketika ke sekolah.
Buka sahaja saji, terhidang nasi putih berbau asap api, tetapi tidak ada kuah. Yang ada hanya lauk ikan goreng dan sebotol kicap. Dalam mangkuk kecil ada sedikit sos tomato dan dua biji telur goreng separuh masak (telur mata kerbau).
Memang kalau ikutkan hati, hilang selera makan ketika itu, tetapi emak pandai mainkan peranan. Emak gaulkan kepala dan isi ikan dengan nasi dan campur sedikit kicap sebagai kuah, lalu emak suapkan ke mulut saya. Em... tiba-tiba sahaja ada selera makan. sedap nasi tu.
Saya, kakak, abang dan adik makan dengan berselera sekali. Ikan yang direbus masin terlebih dahulu sebelum digoreng telah membangkitkan selera saya empat beradik, walaupun saya terpaksa menolak nasi dalam mulut itu dengan air kosong supaya jatuh ke perut.
Selesai makan, saya melihat emak mengambil cebisan kepala, ekor dan tulang ikan yang ada itu lalu digaulnya dengan sedikit nasi. Ingatkan emak hendak makan, tetapi emak berikan kepada seekor kucing peliharaan kami. Pelahap sekali kucing yang diberi nama Comel itu makan.
Saya adik beradik melihatnya dengan penuh kesyukuran. Kami tidak pernah merungut atau marahkan emak kerana memberi makanan kepada si Comel sama seperti makanan yang kami makan. Pada saya, semua jenis makanan (asalkan yang tidak beracun) adalah rezeki. Kenapa saya perlu berasa terhina hanya kerana ia menyamai makanan untuk kucing.
Sekarang pun, walaupun sudah bekerja, saya tetap merindui, malah masih menikmati menu 37 tahun lalu iaitu nasi kosong berlaukkan ikan rebus goreng dan kicap. Malah, ketika makan di restoran, jika ada kucing berkeliaran di bawah meja, saya tetap berkongsi makanan dengannya.
Kenapa saya perlu berasa jijik? Sedangkan makanan itulah yang membesarkan saya dari usia kecil sehingga masih dapat melihat dunia hari ini. Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan