Jumaat, 14 November 2008

Sekilas Pandang

Ex-gratia, dengan rakyat pun hendak berahsia

PEMBERIAN jumlah ex-gratia kepada enam hakim kanan termasuk mantan Ketua Hakim Negara sudah terjawab.

Walaupun pada dasarnya kerajaan bersetuju merahsiakan jumlah RM itu daripada pengetahuan rakyat, tetapi sekarang tidak menjadi rahsia lagi sebab pemberian itu tidak tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim yang berjanji kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk merahsiakan jumlah itu terpaksa menerima hakikat hak rakyat perlu dimaklumkan kepada rakyat.

Persoalannya, kenapa dia hendak merahsiakan jumlah itu daripada rakyat. Kalau rakyat tahu sekali pun, apa sangat rakyat boleh buat? Rakyat hendak membantah? Sejauh mana kesannya. Hanya sekadar seperti anjing menyalak bukit sahajalah.

Sebetulnya Zaid harus tahu, selepas kerajaan bersetuju memberikan pampasan (ex-gratia) kepada enam hakim kanan itu, rakyat reda dan akur. Tetapi apabila dia enggan mendedahkan jumlahnya, rakyat memendam rasa.

Rakyat terasa hati dengan tindakan kerajaan kerana setiap hari, minggu, bulan dan tahun mereka membayar cukai. Mereka berhak tahu ke mana wang yang diamanahkan itu diguna dan disalurkan.

Sekian lama rakyat membuat andaian sendiri berapa ringgit setiap hakim kanan itu menerima pampasan, yang menurut mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mereka dipecat setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kira-kira 20 tahun lalu.

Kalau dipecat kenapa perlu diberi pencen. Kalau pampasan memang logik sebab itu adalah imbuhan sebagai mengenang jasa mereka.

Tetapi kalau diberi pencen, rakyat akan bertanya, begitukah dasar kerajaan terhadap penjawat awam yang dikenakan tindakan sehingga membawa kepada perlucutan jawatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohamed Nazri Aziz ketika memberitahu Dewan Rakyat beberapa hari lalu menjelaskan semua enam hakim kanan itu tidak dipecat, tetapi diminta bersara awal.

Bagaimanapun, Khamis lalu beliau memohon maaf dan membetulkan kenyataannya dengan mendakwa, enam hakim kanan itu bukan diminta bersara awal, sebaliknya dipecat. Dan jumlah ex-gratia yang diberikan kerajaan kepada mereka berjumlah kira-kira RM10.5 juta.

Daripada jumlah itu, katanya, RM5 juta dibayar kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, manakala Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri George Edward Seah Kim Seng masing-masing RM2 juta, Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh, Allahyarham Tan Sri Suleiman Pawanteh dan Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer pula masing-masing mendapat RM500,000.

Selain ex-gratia, mereka juga menerima bayaran pencen antara RM4,000 hingga RM6,000 sebulan.

Saya percaya, kalau Zaid masih dalam kerajaan, beliau tentu menghalang rakan sejawatannya itu daripada berbuat demikian (mendedahkannya), kerana dia sudah berjanji kepada Pak Lah dan hakim berkenaan untuk merahsiakannya.

Kenapa kerajaan perlu merahsiakan daripada rakyat? Kalau duit itu daripada poket Zaid memang wajarlah, tetapi RM10.5 juta itu adalah duit rakyat.

Tidak wajar setiap penggunaan atau pengaliran wang rakyat dirahsiakan. Rakyat ada hak mengetahuinya ke mana dan apa duit mereka digunakan.

Apa rasionalnya Zaid mahu merahsiakan jumlah ex-gratia itu kepada rakyat sehingga menimbulkan tanda tanya kenapa penjawat awam yang dipecat diberi pencen.

Memang wajar Zaid kecewa, sebab sekurang-kurangnya dia dapat merasai sebagaimana rakyat rasai sikapnya sebelum ini. (Siaran 15hb November 2008)

2 ulasan:

DR MUHAMMAD SAIFUL HAQ berkata...

Beginilah barangkali betapa para pemimpin kita menguruskan wang rakyat dan harta negara.

manzaidi berkata...

Itu yg kita tau. Yg kita tak tau...Tah tah berbilion ringgit mereka sudah mkn. Patutlah rakyat makin miskin dan tak ada kejayaan nak mensifarkan kemiskinan. Nak sifar mcmana kalau cakap saja, buatnya tidak. Sebut jumlah beratus2 juta nak tingkat ekonomi rakyat miskin, tapi satu juta pun tak jatuh ke tangan rakyat. P Ramlee kata, "...inilah sandiwara dunia.