"Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa," kata seorang rakyat Kelantan ketika ditemui di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Selangor semalam.
Dia bersama serombongan 150 penyokong bola sepak The Red Warriors sampai di Kuala Lumpur lewat malam kelmarin kerana hendak menyaksikan perlawanan akhir pasukan kesayangan mereka melawan Negeri Sembilan.
"Kalau orang dah campak bunga pada kita, takkan kita nak campak tahi pula," katanya lagi membidas rungutan pihak tertentu di negeri Serambi Makkah yang masih tidak berpuas hati dengan pemberian wang ihsan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan.
"Sepatunya setelah orang yang haus diberi air, orang yang lapar telah diberi nasi, kita bersyukurlah sebab apa yang kita hajati selama ini telah tercapai dan menjadi kenyataan.
Kenapa perlu bising-bising seperti ayam telur sebiji riuh sekampung," katanya berbidalan sehingga penulis ternganga mendengar setiap baris tutur katanya.
Itu adalah sebahagian daripada dialog antara saya dengan seorang rakyat Kelantan. Saya sengaja mahu mendapatkan reaksinya berhubung pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu yang meluluskan pemberian wang ihsan itu berasaskan pertimbangan sama seperti diberikan kepada Terengganu.
Ternyata, apa yang diungkit dan dibangkitkan oleh pemimpin kerajaan negeri (Kelantan) mengenai pemberian wang ihsan itu bukan mewakili suara rakyat, sebaliknya lebih bersifat kepada peribadi dan politik.
Suara rakyat sebenar ialah sebagaimana dialog di atas. Mereka gembira dengan pemberian wang ihsan oleh Kerajaan Pusat, walau bukan dengan nama royalti.
"Yang penting rakyat berpendapatan sederhana seperti saya dapat merasainya. Anak-anak yang belajar dapat belajar dengan sempurna. Sistem pembangunan di Kelantan dapat dimajukan dan dibangunkan," kata tetamu yang bernama Mohd Isa Abdullah dari Pengkalan Chepa itu.
Diharapkan kerajaan negeri menerima hakikat iaitu dari segi perundangan, Kelantan sama juga seperti Terengganu, tiada hak untuk menuntut royalti kerana pada masa ini tiada pengeluaran petroleum dari perairan kedua-dua negeri itu yang boleh ditakrifkan lebih tiga baru nautika dari tikas air surut atau pesisir.
Oleh itu, pemberian royalti yang diistilahkan sebagai perkongsian keuntungan dalam pengusahaan telaga minyak tidak boleh diberikan, sebaliknya atas dasar prihatin, Kerajaan Persekutuan meluluskan pemberian ihsan yang membawa maksud kemurahan hati.
Wang itu akan disalurkan terus kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, bukan melalui kerajaan negeri. Tujuannya supaya setiap golongan sasar akan dapat merasai sama rata mengikut perancangan ditetapkan.
Jadi tidak ada sebab kenapa kerajaan negeri perlu berkecil hati, kerana apa yang dituntutnya telah pun diperoleh, dan soal bagaimana wang itu disalurkan oleh Kerajaan Pusat tidak seharusnya dijadikan isu atau dipolitikkan.
Mereka sepatutnya menyambut baik dan menyatakan kesanggupan memberi kerjasama kepada JPP Kelantan untuk memastikan wang itu benar-benar sampai kepada golongan sasar.
Itulah yang sepatutnya dilakukan pemimpin kerajaan negeri. Menunjukkan sikap kepimpinan melalui teladan, bukan berkokok tidak puas hati sehinggakan rakyat jadi keliru antara 'wang perkongsian untung' dengan 'wang kemurahan hati'.
Ambilah pengajaran daripada Mohd Isa Abdullah itu. Walaupun dia seorang rakyat peringkat bawahan dan tidak mengerti makna royalti dengan ihsan, tetapi baginya asalkan orang memberi dia mahu merasa dan memanjat kesyukuran. Inilah antara rakyat yang berilmu dan lengkap sifat diri sebagai umat Islam. Siaran 9hb November 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan