Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 4 Nov. – Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk memberikan wang ihsan petroleum kepada Kelantan mulai tahun depan. Perdana Menteri berkata, pemberian itu adalah berasaskan pertimbangan sama yang diberikan kepada Terengganu iaitu mengambil kira pengeluaran petroleum di luar perairan negeri berkenaan.
Ini kerana, kata Datuk Seri Najib Tun Razak, daripada segi perundangan, Kelantan seperti juga Terengganu tiada hak menuntut royalti kerana pada masa ini tiada pengeluaran petroleum dari perairan kedua-dua negeri itu yang ditakrif lebih tiga batu nautika (5.55 kilometer) dari tikas air surut atau pesisir.
Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara itu berkata, wang ihsan itu akan diberi dalam bentuk projek pembangunan dan pembasmian kemiskinan di Kelantan.
“Keputusan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan memastikan setiap lapisan masyarakat Kelantan menikmati manfaat pembangunan negara.
“Ia selaras pendekatan inklusif dan semangat 1Malaysia yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Ini juga mengambil kira keperluan untuk terus membangunkan Kelantan dan meningkatkan kesejahteraan rakyatnya, selaras arus pembangunan perdana negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Najib memberitahu, Petronas memaklumkan pada masa ini hanya terdapat sebuah medan petroleum yang mengeluarkan hasil di Kelantan, yang terletak di luar perairan negeri tersebut iaitu medan Bumi Selatan dalam Blok PM301.
Sehubungan itu, katanya, pemberian wang ihsan kepada Kelantan akan mengambil kira pengeluaran dan penjualan dari medan petroleum Bumi Selatan berkenaan.
“Wang ihsan itu akan disalurkan setelah maklumat terperinci jumlah pengeluaran gas dan tatacara berkaitan dimuktamadkan. Peruntukan pertama wang ihsan bagi Kelantan dijangkakan pada 2010,” katanya.
Dalam pada itu, suasana dalam Dewan Rakyat menjadi panas antara penyokong kerajaan dan pembangkang yang mempertikaikan penggunaan istilah wang ihsan, bukannya royalti.
Salahuddin dalam soalan tambahannya meminta penjelasan Najib mengapa istilah wang ihsan digunakan, bukannya royalti seperti termaktub dalam Akta 144 Petronas.
“Istilah wang ihsan timbul selepas Pas memerintah Terengganu sedangkan dalam akta itu jelas menyebut royalti bukan wang ihsan, kami rakyat Kelantan memperjuangkan hak kami, tiada bumi Malaysia tanpa negeri dan pantai Kelantan.
“Rakyat Kelantan bukannya peminta sedekah, mereka hanya mahukan hak mereka yang jelas termaktub dalam peruntukan undang-undang, minta penjelasan,” katanya.
Najib kemudian menjawab: “Janganlah cuba mempolitikkan perkara ini, tidak habis-habis dengan politik.”
Ketika inilah wakil pembangkang membuat kecoh dengan mencelah mempertikaikan jawapan Perdana Menteri itu, antaranya Dr. Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) dan Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam).
“Buktikan 1Malaysia, bayarlah... itu adalah hak Kelantan,” kata Dzulkefly.
“Hak ini mesti diiktiraf, orang Kelantan dah tolak BN. Prinsipnya ialah keadilan, royalti ini bukan hak Pusat tetapi milik Kelantan,” celah Khalid.
“Saya tetap tidak berpuas hati. Kenapa istilah wang ihsan digunakan, bukannya royalti?” kata Salahuddin.
Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) yang turut mencelah berkata: “Inilah jenis manusia, apabila diberi tetapi tidak mahu dan tidak pandai mengucapkan terima kasih. Perdana Menteri sudah beri penjelasan, apa lagi nak jelaskan.
“Saya cadangkan peruntukan ini disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) kerana ia adalah hak Kerajaan Persekutuan.”
Pada tahap ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia terpaksa masuk campur dan mengingatkan semua wakil rakyat menjaga perilaku masing-masing dan menghormati Dewan.
“Apabila Perdana Menteri dan menteri tidak datang, kamu semua suruh hadir tetapi apabila hadir kamu pula syok sendiri dan bergaduh sama sendiri,” katanya.
Najib yang kemudian bangun menjawab soalan tambahan itu berkata, setiap projek yang akan disalurkan terlebih dahulu diadakan perundingan dengan Kerajaan Kelantan.
“Apa yang penting ialah kepentingan rakyat Kelantan.
“Kita juga ada semangat hendak berunding dengan kerajaan negeri, apa yang hendak dipertikaikan lagi kerana rakyat Kelantan akan dapat manfaat daripada wang ihsan ini,” katanya.
Siti Zailah Mohd. Yusoff (Pas-Rantau Panjang) yang mengemukakan soalan tambahan meminta jaminan kerajaan supaya memastikan wang ihsan itu disalurkan kepada kerajaan negeri bukannya JPP.
Najib sentiasa tenang sepanjang berada di Dewan Rakyat hari ini kemudian menjawab: “Selama ini Kelantan tidak mempunyai hak untuk menerimanya, ini melibatkan kawasan pertindihan.
“Baru-baru ini sahaja dapat disahkan bahawa ada blok yang boleh dipertimbangkan, maka kita akan pertimbangkan bagi memastikan rakyat Kelantan mendapat manfaat.”
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan